Translate

Wednesday, April 27, 2011

Bantah pindah operasi kuanter bas

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Pengusaha bas ekspres di Terminal Bas Medan Gopeng di sini tidak setuju dengan keputusan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang mengarahkan semua kaunter tiket bas ekspres di terminal itu berpindah ke tingkat dua berbanding tingkat bawah sebelum ini mulai Khamis ini.

Timbalan Pengerusi Pengusaha Bas Medan Gopeng, Ahmad Nadzri Abdul Hamid mendakwa, pemindahan kaunter tiket itu bukan sahaja akan menyusahkan pengguna malah akan mengganggu operasi lebih 100 bas ekpres di terminal bas tersebut.

Menurutnya, arahan tersebut dikeluarkan selepas PKNP berjaya dalam pertikaiannya dengan pengendali Terminal Bas Medan Gopeng, Express Variety Sdn. Bhd. (Express Variety) di mahkamah dan berjaya mendapat notis pengosongan tingkat bawah terminal bas tersebut pada 14 April lalu.

"Berdasarkan notis mahkamah itu, semua lebih 40 penyewa premis meliputi kaunter tiket dan kiosk diarahkan untuk berpindah ke tingkat dua sebelum Khamis ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengadakan demonstrasi membantah keputusan PKNP tersebut bersama penyewa lain di hadapan bangunan PKNP di sini semalam.

Ahmad Nadzri mendakwa pihaknya bimbang pemindahan kaunter tiket ke tingkat dua akan menyukarkan pengguna terutamanya golongan orang kelainan upaya (OKU) membeli tiket bas ekspres sekali gus memberi kerugian kepada pengusaha.

Beliau juga mendakwa persekitaran lokasi baru kaunter tiket tersebut tidak memuaskan selain kemudahan tidak sempurna.

"Enam tahun kami beroperasi di tingkat bawah yang jelas amat memudahkan pengguna namun tiba-tiba keputusan drastik dibuat tanpa meminta pandangan pengusaha dan pengguna," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pengarah Eksekutif PKNP,Datuk Samsudin Hashim menafikan pihaknya mahu menyusahkan pengusaha bas ekspres dan pengguna sebaliknya kemudahan di tingkat dua meliputi 36 kaunter tiket dan enam kiosk adalah lebih selesa.

Hari Terbuka UniKL-RCMP

PENDEDAHAN. Kolej Perubatan Diraja Perak Universiti Kuala Lumpur (UniKL-RCMP) mengadakan hari terbuka di kampusnya di Greentown, Ipoh baru-baru ini.

Program yang dirasmi oleh Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) Perak, Rusnah Yusoff itu memberi peluang kepada bakal pelajar meneroka prospek peluang melan jutkan pelajaran dalam peringkat ijazah dan diploma yang ditawarkan kolej universiti tersebut.

Dekan UniKL-RCMP, Prof. Dr. Hashari Bohari berkata, beberapa acara telah diadakan sempena penganjuran hari terbuka tersebut seperti ceramah kerjaya, pameran ke sihatan dan lawatan kampus.

“Selain penerangan dengan program ditawarkan, bakal pelajar akan dibawa melihat sendiri kemudahan pembe lajaran disediakan di kampus ini seperti makmal, perpustakaan dan kelas,” katanya.

Monday, April 25, 2011

Padah langgar lampu isyarat

IPOH - Akibat melanggar lampu merah, seorang penunggang motosikal maut dirempuh sebuah kereta lain di Jalan Kuala Kangsar di sini semalam.

Kejadian pukul 12.30 tengah malam itu menyebabkan M. Mogan, 40, yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Chemor dekat sini dari bandar raya Ipoh mati di tempat kejadian.

Ketua Trafik Daerah Ipoh, Deputi Supritendan Mohd. Rodzi Rejab berkata, Mogan dipercayai melanggar lampu isyarat merah dengan keluar dari simpang Jalan Cetak menuju ke Jalan Kuala Kangsar di sini.

“Ekoran itu sebuah kereta dari arah bertentangan gagal untuk mengelak lalu merempuh motosikal mangsa.

“Mangsa mati selepas mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Mohd. Rodzi berkata, pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah membuat la poran di Balai Polis Tasek.

Menurutnya, mayat Mogan telah dihantar ke Unit Fo rensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk bedah siasat.

Takaful Ikhlas kutip RM1 juta

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (Takaful Ikhlas) berjaya mengutip lebih RM1 juta nilai sumbangan pelanggan baru sepanjang empat hari penganjuran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2011 yang berlangsung sejak Rabu lalu.

Naib Presiden Eksekutifnya, Wan Mohd. Fadzlullah Wan Abdullah berkata, pihaknya menyasarkan untuk mencapai jualan sekurang-kurangnya RM4 juta sepanjang penganjuran MSAM.

“Berdasarkan sambutan menggalakkan dan kehadiran pengunjung yang semakin ramai, kami yakin dapat mencapai sasaran itu dalam tempoh tiga hari terakhir ini.

“Antara produk yang mendapat permintaan ialah Takaful Simpanan Ikhlas iaitu pelan berbentuk pelaburan yang menyediakan dana simpanan, memberi pulangan ke atas pelaburan dan menawarkan perlindungan kepada peserta,” katanya kepada pemberita selepas memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara Takaful Ikhlas dengan Koperasi Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini semalam.

Beliau telah mewakili Takaful Ikhlas manakala Koperasi MBI diwakili Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Abdul Rahim Md. Ariff.

Wan Mohd. Fadzlullah berkata, selain berperanan sebagai Rakan Agama dalam penganjuran MSAM 2011, Takaful Ikhlas juga menganjurkan pelbagai program sokongan lain seperti pertandingan mengeja jawi dengan kerjasama Utusan Melayu (M) Bhd.

Menurutnya, pengunjung turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk pakej menunaikan haji dan umrah menerusi penganjuran Kuiz Ikhlas @ MSAM.

Mengenai MoU dengan Koperasi MBI, Wan Mohd. Fadzlullah memberitahu, Takaful Ikhlas telah diberi kebenaran untuk mempromosikan produk takaful kendalian syarikat itu kepada kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

“Dua produk takaful yang diberi penekanan iaitu takaful Berkelompok Pinjaman dan pelan persaraan.

“Pada tahun pertama, kami menyasarkan sekurang-kurangnya satu pertiga daripada 3,500 kakitangan MBI akan menyertai skim takaful kami,” katanya.


Saturday, April 23, 2011

Skim pinjaman mudah diwujudkan

IPOH - Satu skim pinjaman mudah bakal diperkenalkan untuk membantu golongan pendapatan rendah melabur dalam Amanah Saham 1Malaysia, salah satu produk pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembayaran balik skim pinjaman mudah itu hanya akan dilunaskan melalui dividen yang akan diagihkan bagi produk pelaburan terbabit pada setiap akhir tahun kewangan.

“Berdasarkan perbincangan dengan PNB, melalui skim pinjaman mudah ini, ia akan memberi peluang seluas-luasnya kepada golongan berpendapatan rendah untuk menyertai skim tersebut sekaligus ia akan memberi jaminan masa depan kepada mereka.

“Skim ini sedang dipertimbangkan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Kementerian Kewangan. Butirannya akan diumumkan saya dalam sedikit masa lagi,” katanya selepas merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2011 di Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini semalam.

Turut hadir ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Najib menjelaskan pengenalan skim pinjaman mudah tersebut bertujuan untuk meningkatkan penyertaan golongan berpendapatan rendah dalam unit saham amanah.

Beliau berkata, pendekatan itu selaras dengan objektif asal penubuhan PNB untuk memperbetul kepincangan ekonomi dan merapatkan jurang pendapatan antara kaum.

“Pada hari ini (semalam), genap 30 tahun usia skim unit amanah sulung PNB, Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dilancarkan.

“Kita boleh berbangga kerana telah berjaya menguasai beberapa syarikat berjenama penjajah seperti Sime Darby Berhad dan Kumpulan Island and Peninsular dengan dana rakyat melalui PNB,” katanya.

Najib berkata, menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP), beliau yakin syarikat senaraian PNB terbabit mempunyai prospek cerah untuk berkembang.

Menurut beliau, ia secara tidak langsung memberi keyakinan kepada rakyat untuk meningkatkan pelaburan dalam unit saham amanah.

Wednesday, April 20, 2011

Polis palsu akhir masuk lokap

IPOH - Tembelang seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota polis dengan niat untuk memeras ugut beberapa peniaga Pasar Pasir Pinji di sini pecah apabila dia ditangkap dan disumbat ke dalam lokap semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, sekumpulan penduduk setempat diketuai Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Kevin Chang yang curiga dengan perlakuan lelaki berusia lingkungan 40-an tersebut telah bertindak mengepungnya.

Kevin berkata, beliau dihubungi beberapa peniaga pasar terbabit tentang kelibat seorang 'anggota polis ' yang mencurigakan sedang melakukan operasi penguatkuasaan bersendirian.

"Anggota polis itu mendakwa peniaga terlibat melakukan kesalahan menjual barangan seperti buah-buahan dan bawang melebihi harga ditetapkan dan mahu bertindak merampas barangan jualan tersebut.

"Pelik kerana hanya seorang anggota polis melakukan penguatkuasaan barangan kawalan yang sepatutnya dilakukan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan," katanya kepada pemberita setelah membuat laporan di Balai Polis Pasir Pinji di sini semalam.

Sehubungan itu, Kevin berkata, beliau telah menghubungi Pengerusi Rukun Tetangga (RT) Taman Pinji , Tan Seong Fatt untuk meminta bantuan sebelum bersama-sama menjejak lelaki terbabit di Pasar Pasir Pinji .

Menurut beliau, akibat terlalu panik dikepung penduduk, lelaki itu menunjukkan gambar dia memakai pakaian seragam polis dan tali pinggang berlogo Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai bukti kononnya dia anggota pasukan keselamatan tersebut.

"Helahnya itu tidak berjaya mengaburi kami dan beliau kemudiannya ditahan sebelum diserahkan ke Balai Polis Pasir Pinji kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.

"Kami juga difahamkan kereta lelaki itu juga mempunyai pelekat PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias yang dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Beliau memberitahu siasatan awal polis mendapati lelaki tersebut juga pernah memiliki satu rekod jenayah lampau iaitu Seksyen 170 Kanun Keseksaan iaitu menyamar sebagai penjawat awam.

1,000 kamera kesan kesalahan trafik

IPOH - Sebanyak 1,000 kamera yang dilengkapi Sistem Penguatkuasaan Automatik ( AES ) akan dipasang di 500 lokasi yang sebahagian besarnya dikenal pasti sebagai laluan berisiko tinggi kemalangan maut mulai 1 September depan.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh berkata, semua kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya akan direkodkan melalui kamera automatik itu dan saman dikeluarkan serta-merta melalui sistem komputer Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Saya baru lepas menghadiri persidangan bagi membincangkan persediaan pelaksanaan AES melibatkan JKJR, Kementerian Pengangkutan, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tadi (semalam)."

AES mampu meningkatkan kecekapan penguatkuasaan kesalahan trafik daripada 25 peratus kepada 95 peratus,"

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Pemakaian Topi Keledar di Jalan Raja Muda Musa di sini semalam.

Suret berkata, kempen keselamatan jalan raya perlu disokong elemen lain seperti penguatkuasaan, kejuruteraan, persekitaran selamat dan program penilaian untuk mencapai sasaran.

"AES dilihat boleh memberi kesan maksimum kerana kamera rakamannya beroperasi 24 jam," katanya.

Sistem AES yang telah digunakan secara meluas di negara maju seperti Australia, Britain dan Amerika Syarikat akan membolehkan saman trafik dikeluarkan serta-merta terhadap pesalah trafik.

Thursday, April 14, 2011

14 individu buat kecoh ditahan

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan
MOHD. AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

IPOH - Seramai 14 individu termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr. S. Jeyakumar ditahan polis kerana menyertai perhimpunan haram di hadapan Bangunan Darul Ridzuan di sini yang menjadi lokasi Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak semalam.

Penahanan lima wanita dan sembilan lelaki termasuk Setiausaha Kebangsaan Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf), P. Ramesh itu dibuat selepas mereka enggan bersurai walaupun amaran telah dikeluarkan oleh pihak polis.

Mereka yang merupakan sebahagian daripada 40 penduduk Kampung DBI Buntong mula berhimpun dan berarak di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di sini sejak pukul 10.30 pagi.

Dengan membawa sepanduk dan kain rentang, kumpulan penunjuk perasaan terbabit kemudian mahu bertemu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir bagi menyelesaikan masalah penempatan setinggan mereka.

Walaupun lima wakil kumpulan itu dibenarkan menyerahkan memorandum di pintu masuk utama kira-kira pukul 11.20 pagi, namun kumpulan terbabit enggan beredar dari kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, 14 suspek yang ditahan berusia di antara 30 hingga 50 tahun.

"Mereka ditahan di bawah Seksyen 27 Akta Polis kerana berhimpun tanpa permit dan kesemua suspek kemudian dibebaskan petang semalam dengan jaminan polis," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Penasihat Menteri Besar Perak bagi komuniti India, Datuk S. Veerasingam berkata, perhimpunan itu tidak sepatutnya diadakan kerana isu Kampung DBI Buntong telah diselesaikan oleh kerajaan negeri.

Jelasnya, pada 11 Januari lalu kerajaan negeri telah bersetuju menawarkan kesemua 132 penghuni setinggan berkenaan rumah kos sederhana atau sebidang tanah.

Wednesday, April 13, 2011

Tidak hormat Pemangku Raja Perak

IPOH - Perlakuan wakil pembangkang, Nga Kor Ming (DAP-Pantai Remis) menghadiri Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-12 dengan memakai sut kelabu mencetuskan rasa tidak puas hati ahli dewan sehingga mendapat teguran Speaker DUN Perak, Datuk R. Ganesan.

Kor Ming yang sepatutnya memakai pakaian istiadat dan bersongkok disifatkan tidak menghormati Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang menyempurnakan majlis perasmian tersebut.

Ganesan berkata, walaupun pemakaian sut tidak menjadi kesalahan Peraturan Tetap DUN Perak tetapi kelaziman mengenakan pakaian istiadat dan bersongkok pada setiap majlis perasmian sidang DUN perlu dihormati semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

"Beliau (Kor Ming) sudah jadi wakil rakyat sejak 1999 dan pernah menjadi Exco. Sepatutnya beliau hormat kepada Tuanku (Raja Nazrin).

"Lagipun sut yang dikenakan beliau berwarna kelabu sedangkan yang dibenarkan cuma berwarna hitam,'' katanya sejurus majlis perasmian Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Sidang DUN Perak Ke-12 di sini semalam.

Sehubungan itu, Ganesan menegaskan akan menguatkuasakan notis peraturan pakaian kepada semua ADUN mulai perasmian sidang DUN Perak penggal hadapan.

Beliau menegaskan, jika ia gagal dipatuhi, tindakan akan diambil termasuk melarang ADUN terlibat daripada memasuki dewan.

Sementara itu, Kor Ming mempertahankan tindakannya atas alasan ia tidak melanggar Peraturan Tetap DUN Perak.

Monday, April 11, 2011

Disamun ketika gunting rambut

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Seorang wanita yang rambutnya sedang digunting oleh pekerja di sebuah salun di Taman Perpaduan, Ulu Kinta dekat sini tergamam apabila premis itu disamun kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 7.45 malam itu, dua lelaki bersenjatakan sebilah parang tiba-tiba menyerbu ke dalam salun kecantikan tersebut.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, ketika kejadian, tiga pekerja salun termasuk seorang tukang gunting berada di dalam premis tersebut.

"Kedua-dua suspek kemudian bertindak menyamun wang tunai RM1,000 daripada hasil kutipan salun tersebut.

"Empat telefon bimbit pelbagai jenis termasuk milik pelanggan terbabit turut dilarikan penyamun," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Azisman berkata, dua lelaki tersebut kemudiannya melarikan diri dengan sebuah motosikal yang sebelum itu diletakkan di hadapan salun berkenaan.

Beliau memberitahu, pemilik salun kecantikan itu telah membuat laporan polis di Balai Polis Bercham pada malam kelmarin.

"Polis telah menemui sebuah motosikal dipercayai milik penjenayah yang ditinggalkan di tepi jalan tidak jauh dari lokasi kejadian.

"Sebilah parang yang digunakan dua suspek itu turut ditemui di dalam bakul motosikal berkenaan," katanya.

Telur ayam tiruan dikesan dijual di Pulau Pinang dan Kedah

IPOH - Siasatan awal Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mendapati telur ayam tiruan ketika ini hanya dijual Pulau Pinang dan Kedah.

Timbalan Menterinya, Datuk Tan Lian Hoe berkata, bagaimanapun pihaknya akan terus melakukan pemantauan penjualan telur tersebut di negeri-negeri lain.

"Penguat kuasa terpaksa pecahkan telur ayam untuk tentukan sama ada ia tiruan atau palsu dan adalah mustahil untuk merampas berjuta-juta telur di pasaran.

"Sehubungan itu, saya memohon pengguna yang telah membeli telur tiruan agar segera membuat laporan kepada pihak kami bagi membolehkan tindakan segera diambil," katanya di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan Lian Hoe mengarahkan semua penguat kuasa KPDNKK di seluruh negara supaya membuat pemeriksaan terhadap aktiviti jualan telur tiruan .

Ia berikutan pendedahan Persatuan Pengguna Pulau Pinang yang mendakwa telur tersebut dijual di Pulau Pinang ekoran aduan seorang pembeli yang dipercayai terbeli 30 biji telur itu di Pasar Awam Pulau Tikus pada Selasa lalu.

Dalam pada itu, Lian Hoe meminta pengguna supaya lebih teliti semasa membeli telur ayam kerana telur tiruan kulitnya lebih besar, cerah dan berkedut.

Wednesday, April 6, 2011

Pelajar cemerlang Orang Asli terima penghargaan

MOTIVASI. Pelajar berketurunan Orang Asli, Hojita Itam, 18, menerima penghargaan daripada kerajaan negeri Perak berikutan kejayaannya mencapai keputusan 8A, 2B pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 baru-baru ini.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Tajul Ariffin, Manong, Kuala Kangsar itu menerima sebuah komputer riba, wang tunai RM300 dan sijil penghargaan.

Hadiah penghargaan itu disampaikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di Ipoh baru-baru ini. Turut hadir bapa Hojita, Itam Chu yang juga Tok Batin Kampung Ulu Bekor, Manong.

Hojita berkata, penghargaan itu menyemarakkan lagi semangatnya untuk terus meraih pencapaian lebih tinggi dalam pelajaran dan mengharumkan nama komuniti Orang Asli.

Monday, April 4, 2011

PIUP mula beroperasi hujung bulan ini

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Universiti Antarabangsa Premier Perak (PIUP) akan memulakan sesi akademik sulungnya pada akhir bulan ini di kampus sementara di Jalan Raja Permaisuri Bainun di sini.

Menteri Besar Perak , Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir memberitahu, universiti itu ditubuhkan dengan kerjasama Blair Education Services Sdn. Bhd. dan sebuah konglomerat dari India, Maan Srovar Group.

"Kampus tetap PIUP bakal dibina di tanah seluas 100 hektar berhampiran Gua Tempurung, Gopeng dan ia kini dalam proses akhir pemilihan reka bentuk.

"Pada sesi kemasukan pertama pada akhir bulan ini dan Mei depan, universiti tersebut menawarkan program asasi untuk kursus farmasi, komputer sains komputer dan pentadbiran perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima replika cek biasiswa RM1.5 juta bagi pihak kerajaan negeri Perak daripada Ahli Lembaga PIUP, Datuk S. Veerasingam di sini semalam.

Turut hadir Naib Canselor PIUP, Professor Emeritus Datuk Dr. V. G. Kumar Das.

Zambry berkata, biasiswa itu akan diperuntukkan kepada 150 pelajar kelahiran Perak bagi mengikuti pengajian program asasi di universiti tersebut pada sesi akademik pertamanya.

Sehubungan itu, beliau mempelawa lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memohon masuk ke PIUP melalui laman web www.piup.edu.my bagi membolehkan mereka disenarai pendek untuk menerima biasiswa tersebut.

Sunday, April 3, 2011

‘Masa itu ingat nak mati sahaja’

IPOH – Tahap kesihatan bekas jaguh bina badan Asia, Datuk Malek Noor yang mengalami serangan jantung pada Rabu lalu kini beransur pulih.

Dia sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pantai Ipoh (HPI) sebelum dipindahkan ke wad biasa pada pukul 3 petang semalam.

Namun Malek, 56, meminta tidak ditemubual oleh wartawan sebaliknya hanya bercerita melalui Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong yang datang melawatnya semalam.

Malek yang mengaku dia tidak tahu menghidap penyakit jantung, tidak putus-putus mengucap kalimah syahadah sepanjang perjalanan ke hospital.

“Masa itu saya ingat hendak mati sahaja dan terbayang pengalaman menunaikan ibadah umrah seminggu lalu,’’ katanya kepada Zolkples.

Turut sama melawat Malek ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Belia dan Sukan Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Datuk Mumtaz Jaafar.

Menurut Malek, ketika diserang sakit jantung, dia sempat berpaut pada palang gol dan menjerit meminta bantuan.

“Pada mulanya saya fikir ada masalah angin sebab masa itu perut kembung sampai jersi penjaga gol yang dipakai tiba-tiba jadi ketat," katanya.

Dia juga mengaku tiga jam sebelum perlawanan ada memakan banyak durian dan minum air kelapa muda.

Namun Malek mendakwa sebelum kejadian dia cergas dan sempat melakukan senaman pemanas badan untuk persediaan perlawanan Piala Amal Menteri Besar Perak di Stadium Perak itu pada malam Rabu lalu.

Oleh sebab itu dia pada mulanya enggan percaya apabila beberapa pakar perubatan mendakwa kejadian itu akibat sakit jantung.

"Apa pun, Alhamdulillah, bagi saya ini petanda untuk berjaga-jaga (jaga kesihatan), tidak jadi seperti ini, saya pun tidak tahu ada masalah jantung," katanya.

Sementara itu, pakar perubatan jantung HPI, Dr. Chan Chong Chuan berkata, tahap kesihatan Malek mula menunjukkan perkembangan positif.

Namun katanya, bekas atlet tersebut masih perlu menjalani rawatan susulan sekurang-kuranya seminggu lagi.

Adik bongsu Malek, Mohd. Salleh, 49, pula memberitahu keluarganya bersyukur abang mereka semakin ceria dan bersemangat.

“Kami bercadang untuk memindahkan abang ke Hospital Pantai Kuala Lumpur dalam masa terdekat bagi mem bolehkan lebih ramai ahli keluarga menjenguk beliau.

“Saya juga terharu dengan keprihatinan MSN dan Yakeb dalam menjaga kebajikan abang saya,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan Malek tidak henti-henti menangis sejurus beliau sedar kerana amat terharu di kelilingi beberapa orang adik-beradiknya yang datang dari Johor.

Saturday, April 2, 2011

Pencuri mati terjatuh lombong ketika lari daripada dikejar penduduk

IPOH - Tindakan seorang pencuri melarikan diri daripada penduduk yang mengejarnya ketika cuba memecah masuk sebuah rumah mengundang padah apabila dia lemas di dalam sebuah lombong di Bandar Seri Botani di sini kelmarin.

Sebelum kejadian pada pukul 7 petang itu, Mohd. Shahril Sufian, 30, dikatakan cuba memecah masuk rumah seorang penduduk taman perbumah tersebut.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, mayat lelaki itu ditemui terapung di per mukaan lombong berkenaan oleh anggota bomba dan pe nyelamat pada pukul 7.50 pagi semalam.

“Mangsa yang panik selepas dikejar penduduk bertindak nekad terjun ke dalam sebuah lombong berhampiran. Penduduk kemudian memaklumkan kepada polis," katanya yang masih menyiasat dakwaan tersebut.

Azisman berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai telah bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menye lamat Mohd. Shahril.

Mayat Mohd. Shahril telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk bedah siasat.

Malek tidak henti menangis

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azliadlan@kosmo.com.my

IPOH - Suasana sedih menyelubungi Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pantai Ipoh (HPI) di sini semalam apabila bekas juara bina badan Asia, Datuk Malek Noor tidak henti-henti menangis sejurus beliau sedar tengah hari semalam.

Mr. Asia sebanyak enam kali itu amat terharu apabila mendapati beliau dikelilingi beberapa orang adik-beradiknya yang datang dari Johor untuk melawat beliau sejak malam kelmarin.

Menurut adik bongsu Malek, Mohd. Salleh, 49, abang ketiganya itu mula sedar pada pukul 12.15 tengah hari selepas diberi ubat penenang bagi rawatan jantung yang dijalaninya.

“Sebaik tersedar, beliau tak banyak bercakap tetapi menangis tak henti-henti. Katanya, dia terharu melihat kami adik-beradik datang menziarahinya.

“Biarpun masih lemah, abang tetap meluangkan masa untuk berbual sebentar dengan ahli keluarga yang melawatnya.

"Semasa kami tiba di HPI dari Bukit Indah, Johor Bahru pada pukul 11 malam semalam (kelmarin), Malek masih belum sedar," katanya ketika ditemui di perkarangan ICU HPI di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan Malek dikejarkan ke sebuah hospital swasta di sini selepas mengalami sesak nafas akibat serangan jantung malam Rabu lalu.

Ketika kejadian, beliau sedang menyertai perlawanan bola sepak Piala Amal Menteri Besar Perak di Stadium Perak di sini.

Beberapa ahli keluarga terdekat Malek termasuk dua adik-beradik perempuannya, Rohaya dan Salbiah turut berada di hospital.

Mohd. Salleh berkata, abangnya itu kini semakin stabil dan dia mula memberikan respons positif semalam.

Sementara itu, pakar perubatan jantung HPI, Dr. Chan Chong Guan berkata, pemeriksaan kesihatan mengesahkan serangan jantung Malek berpunca daripada dua saluran jantungnya tersumbat.

“Tahap kesihatan Malek masih dipantau rapi dan jika kesihatannya semakin stabil, dia akan dipindahkan ke wad biasa dalam tempoh dua, tiga hari lagi,” katanya.