Translate

Thursday, March 31, 2011

100 sertai perkelahan renjer muda di taman tema air LWOT

RIADAH MINDA. Seramai 100 kanak-kanak menyertai perkelahan Renjer Muda anjuran pengurusan taman tema air, Lost World of Tambun (LWOT), Ipoh baru-baru ini.

Pengurus Besar LWOT, Calvin Ho berkata, aktiviti santai selama sehari tersebut diadakan sempena ulang tahun setahun penubuhan renjer muda di pusat rekreasi berkenaan.

Beliau berkata, renjer muda terbabit didedahkan dengan habitat, makanan, sifat dan penjagaan haiwan yang dipelihara di dalam taman tema berkenaan.

"Keahlian renjer muda terbuka kepada kanak-kanak dan remaja berusia enam hingga 16 tahun dengan yuran keahlian RM200 setahun. Selain mendapat baju seragam khas ranjer muda, peserta dibenarkan memasuki taman tema ini pada bila-bila masa.

Wednesday, March 30, 2011

Taman Teman Upin Ipin dirancang

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Syarikat animasi terkemuka, Les' Copaque Production Sdn. Bhd. (Les Copaque) telah dipelawa untuk bekerjasama dengan KPerak Implementation and Coordination Corporation (KPerak) bagi membina sebuah taman tema berkonsepkan watak-watak di dalam siri animasi Upin Ipin dan rakan-rakan di bandar raya ini.

Pengarah Urusan Les' Copaque, Burhanuddin Md. Radzi berkata, pihaknya kini dalam proses perbincangan dengan KPerak mengenai konsep dan lokasi taman tema ala Disneyland yang dianggarkan bakal menelan kos RM200 juta itu.

"Idea Taman Tema Upin dan Ipin di Ipoh timbul setelah cadangan awal untuk membangunkan teman tema itu di Lembah Klang tidak menjadi kenyataan ekoran kurangnya sokongan pihak luar.

"Secara dasarnya, Ipoh sesuai kerana kedudukannya yang strategik dan mudah diakses menerusi Lebuh Raya Utara-Selatan dan perkhidmatan tren elektrik (ETS)," katanya selepas sidang akhbar mengenai penganjuran Karnival ICT BersamaUpin dan Ipin di Pusat Dagangan Tekno Perak (PTTC), Bandar Meru Raya di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif KPerak, Dr. Ahmad Kamil Mahmood.

Burhanuddin berkata, sudah tiba masanya negara mempunyai teman tema beridentiti tempatan dan tidak hanya mencedok idea-idea Barat semata-mata.

Menurut beliau, siri Upin dan Ipin dan filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula boleh menjadi tema taman itu kerana jalan ceritanya menerapkan konsep lanunm futuristik, sains fiksyen, hantu dan lain-lain.

Perak haramkan tarian poco-poco


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Tarian poco-poco yang popular sebagai aktiviti riadah dalam kalangan suri rumah dan penjawat awam ketika menghadiri kursus dan majlis keraian telah diputuskan sebagai haram oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak baru-baru ini.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, tarian tersebut diharamkan kerana ia mempunyai unsur kepercayaan agama lain iaitu Kristian selain pemujaan roh.

Katanya, keputusan sebulat suara itu dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak kali ke-186 yang bersidang dari 24 hingga 26 Januari lalu.

“Kajian mendapati tarian yang sering diamalkan di Jamaica itu bercirikan agama Kristian. Oleh itu haram bagi orang Islam mengamalkannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penyebaran sepucuk surat pekeliling mengenai pengharaman tarian poco-poco dalam Internet baru-baru ini.

Surat bertarikh 28 Februari 2011 itu yang ditandatangani oleh Harussani ditujukan kepada Persatuan Kakitangan Islam Malayan Banking cawangan Perak.

Harussani juga mengesahkan kesahihan surat pekeliling tersebut memang dikeluarkan Jabatan Mufti Perak setelah persatuan tersebut memohon kepastian beliau mengenai hukum mengamalkan tarian poco-poco.

Beliau memberitahu pewartaan fatwa pengharaman tarian itu akan dibuat dalam masa terdekat.

Tuesday, March 29, 2011

Ulang tahun ke-2 'Deme Tanya, Pak Ngah Jawab'

ULANG TAHUN. Slot ‘Deme tanya Pak Ngah Jawab’ kelolaan Ketua Penerangan Perak, Datuk Hamdi Abu Bakar genap dua tahun bersiaran di stesen radio, Perak FM baru-baru ini.

Sempena ulang tahun tersebut, Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir berinteraksi secara langsung dengan pendengar Perak FM selama 45 minit.

Zambry kemudiannya memotong kek khas sempena sambutan berkenaan.

Turut hadir du Exco kerajaan negeri, Datuk Saarani Mohamad dan Datuk Dr. Mah Hang Soon, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk R. Ganesan, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim dan Pengarah Radio Televisyen Malaysia (RTM) Perak, Noraini Idris.

Monday, March 28, 2011

Sayangi Diri , Sayangi Wanita dapat sambutan

IPOH - Bengkel Sayangi Diri, Sayangi Wanita peringkat Perak yang berlangsung semalam mendapat respons positif daripada lebih 200 peserta dari seluruh negeri itu.

Rata-rata peserta mengakui bengkel sehari anjuran majalah Wanita tersebut telah memberi input-input berguna dan praktikal bagi peningkatan sahsiah diri dan keluarga.

Seorang peserta, Fairuz Fakhrurazi, 45, dari Lumut dekat sini, berkata, pengisian bengkel berkenaan begitu komprehensif dan seimbang merangkumi aspek kekeluargaan, kesihatan, keagamaan, kecantikan dan undang-undang.

"Banyak panduan berguna kepada wanita supaya dapat memainkan peranan yang lebih berkesan sebagai isteri dan ibu ke arah keluarga sejahtera," katanya ketika ditemui menyertai bengkel berkenaan di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak di sini semalam.

Bengkel yang mendapat kerjasama Badan Amal dan Usaha Isteri-Isteri Wakil Rakyat Barisan Nasional Perak (Baiduri) dan Yayasan Bina Upaya (YBU) Darul Ridzuan itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Baiduri, Datin Saripah Zulkifli.

Pengarang Wanita, Normala Hamzah turut hadir dalam bengkel yang juga mendapat sokongan beberapa penaja seperti Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Jamu Mak Dara, Adabi, A-Lazo dan D'or Rue.

Seorang peserta lain, S. Thilakavathi, 35, dari Lahad di sini, berkata, selain ilmu kekeluargaan, bengkel tersebut memberi kesedaran kepadanya terhadap kecantikan diri seperti penjagaan wajah dan solekan yang sering diabaikan selama ini.

"Tidak bermakna sudah lama berkeluarga dan mempunyai anak tidak boleh bergaya. Selain itu saya juga dapat belajar seni kraf tangan yang rupanya tidak sesukar mana membuatnya," katanya.

3,000 atlet sertai Sukan Perak ke-6

GEMILANG. Seramai 3,000 atlet menyertai kejohanan dwi-tahunan Sukan Perak (Super) ke-6 di Ipoh baru-baru ini.

Kejohanan itu disertai atlet berusia bawah 20 tahun dari 10 daerah di Perak.

Beberapa kontinjen jemputan turut menyertai kejohanan itu seperti Universiti Teknologi Mara Seri Iskandar, Politeknik Ungku Omar, Politeknik Sultan Azlan Shah, Universiti Teknologi Petronas dan Kolej Tunku Abdul Rahman.

Sebanyak 11 disiplin sukan dipertandingkan iaitu memanah, karate-do, silambam, badminton, sepak takraw, taekwondo, olahraga, bola keranjang, hoki dan bola jaring.

Kejohanan itu dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Belia dan Sukan negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Saturday, March 26, 2011

Ramai pengusaha ternakan di Perak tiada lesen

IPOH - Sebanyak 42 peratus pengusaha ladang unggas terutamanya ternakan ayam dan itik di Perak beroperasi secara haram.

Rata-rata pengusaha terbabit gagal memohon lesen seperti termaktub dalam Enakmen Peladangan Unggas 2005 dan Peraturan-Peraturan Peladangan Unggas 2010.

Pengarah Perkhidmatan Veterinar Perak, Dr. Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, hanya 58 peratus atau 473 daripada 805 pengusaha terbabit memohon lesen sejak enakmen itu mula dikuatkuasakan awal tahun ini.

"Pengusaha tidak perlu takut kerana masa munasabah akan diberi kepada mereka dan tiada ladang akan ditutup kerana pihak kami juga bertanggungjwab memastikan bekalan daging unggas mencukupi," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.

Menurutnya, di bawah enakmen berkenana, pengusaha yang tidak memiliki lesen boleh dikenakan denda RM1,000 dan ladangnya diarah tutup jika sabit kesalahan.

Tiada lagi bau busuk di Desa Cempaka

IPOH - Masalah penduduk Desa Cempaka di sini yang terpaksa menghidu bau busuk sejak dua tahun lalu daripada kolam rawatan air kumbahan Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) berhampiran kediaman mereka berjaya diselesaikan.

Lebih 200 penduduk taman perumahan terbabit kini kembali menghidu udara segar setelah masalah kerosakan mekanikal kipas mesin kolam rawatan tersebut diperbaiki pihak IWK beberapa hari lalu.

Ketua Jabatan Komunikasi IWK, Amin Lin bin Abdullah berkata, berikutan laporan Kosmo! mengenai masalah itu, pihaknya telah menjalankan siasatan dan mendapati ia berpunca daripada kerosakan panem kawalan elektrik yang dipanah petir.

"Kerosakan panel itu menyebabkan peralatan pengudaraan tidak dapat berfungsi hingga menyebabkan bau busuk di sekitar kawasan berkenaan.

"Bagaimanapun, peralatan tersebut telah diganti dan ia telah beroperasi semula,"katanya kepada Kosmo! semalam.

Kosmo! 21 Mac lalu melaporkan lebih 200 penduduk Desa Cempaka di sini menderita akibat pencemaran bau ekoran kipas mesin kolam rawatan air kumbahan IWK tidak ber fungsi sejak dua tahun lalu.

Perak rizabkan semua kampung Orang Asli

IPOH - Kerajaan negeri Perak akan merizabkan semua 255 perkampungan Orang Asli yang terdapat di negeri ini bagi menjamin tidak berlaku masalah pencerobohan pihak luar.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, langkah itu bagi memastikan masyarakat pribumi di negeri ini sentiasa mendapat pembelaan.

“Buat permulaan, 28 perkampungan Orang Asli yang disyorkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) telah dikenalpasti untuk dirizabkan dalam masa terdekat.

“Baki perkampungan Orang Asli lain di negeri ini akan turut dirizabkan secara berperingkat-peringkat,” katanya selepas merasmikan penutup Seminar Memperkasakan Ba tin-Batin Orang Asli Perak di Hotel Tower Regency di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jakoa, Nisra Nisran Asra Ramlan dan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Ke miskinan, Perladangan dan Kebajikan Perak, Datuk Shaarani Mohamad

Seramai 144 Tok Batin seluruh Perak menyertai seminar selama dua hari tersebut yang bertujuan merapatkan hu bungan antara kerajaan negeri dan pemimpin Orang Asli terbabit.

Zambry berkata, kerajaan negeri Perak amat mengambil berat kebajikan Orang Asli dan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang pencerobohan yang dilakukan di perkampungan komuniti berkenaan.

Thursday, March 24, 2011

Dua beranak maut digilis MPV

IPOH - Dua beranak maut dalam keadaan tragis apabila digilis kenderaan pelbagai guna ( MPV ) di Jalan Bercham-Tanjung Rambutan, Tambun dekat sini semalam.

Dalam kejadian pukul 10.14 malam itu, Awaliah Mohd. Ali, 42, dan anak sulungnya, Muhammad Aliff Adam Yusri, 18, dari Kampung Tersusun Batu 8, Tambun dekat sini mati di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di seluruh badan.

Ketua Trafik Daerah Ipoh, Deputi Supritendan Mohd. Rodzi Rejab berkata, semasa melalui jalan tersebut, motosikal yang ditunggang Muhammad Aliff terbabas hingga menyebabkan dia dan ibunya terjatuh.

"Sebuah MPV jenis Nissan Serena yang berada di belakang motosikal dua beranak terbabit tidak dapat mengelak lalu melanggar dua beranak itu hingga terseret sejauh kira-kira 23 meter," katanya kepada Kosmo! semalam.

Mohd. Rodzi berkata, mayat Awaliah dan Muhammad Aliff Adam telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini sebelum dituntut keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun selepas solat Zuhur semalam.

Sementara itu, keluarga mangsa enggan ditemu bual kerana terlalu bersedih dengan kehilangan Awaliah dan Muhammad Aliff.

Muhammad Aliff yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Teknik Slim River sepatutnya mengambil slip keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semalam.

Sementara itu di Kuantan, seorang kelindan wanita, Fong Lee Ping, 45, maut dalam kemalangan membabitkan dua buah lori di Kilometer 40, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dekat Bukit Tinggi, Bentong pada pukul 12.45 tengah malam kelmarin.

Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, kejadian berlaku apabila lori yang dinaiki mangsa bertembung dengan sebuah lori lain dari arah bertentangan. Ketika itu mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bentong.

Kegiatan melombong haram di kubur terbongkar


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Disangkakan tanam sayur dan bela ikan, rupa-rupanya menggali batu besi secara senyap-senyap.

Tindakan sebuah syarikat mengeluarkan batu besi secara haram di kawasan Tanah Perkuburan Rapat Setia, Gunung Rapat di sini sejak tujuh bulan lalu akhirnya terbongkar berikutan serbuan pihak berkuasa semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 8.30 pagi itu, lebih 200 penguat kuasa Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Ipoh, Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) dan polis menyita peralatan seperti jentolak, cangkul dan tong yang digunakan untuk ‘melombong’ batu besi di tanah perkuburan itu.

Namun tiada sebarang tangkapan dibuat kerana aktiviti mengeluarkan mineral yang mengandungi bijih besi itu tidak beroperasi semalam.

Serbuan itu dibuat berikutan laporan Jawatankuasa Tanah Perkuburan Rapat Setia (JTPRS) yang diamanahkan untuk menyelia tanah perkuburan tersebut oleh JAIP.

Pengerusi JTPRS, Mohd. Mokhtar Saidin berkata, sebelum ini, pihaknya telah menjalin kerjasama dengan sebuah syarikat untuk menjalankan projek pertanian dan penternakan ikan di kawasan seluas 6.9 hektar berdekatan tanah perkuburan itu.

"Bagaimanapun, tanpa pengetahuan kami mereka telah mengeluarkan mineral batu besi dari kawasan itu," katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Mohd. Mokhtar yang menyedari kegiatan itu pada Oktober lalu berkata, dia telah membuat beberapa aduan di PTG Ipoh dan balai polis sejak lima bulan lalu sebelum tindakan diambil.

Sementara itu, jurucakap PTG berkata, pihaknya melakukan serbuan tersebut berikutan laporan mengenai kegiatan secara tidak sah syarikat itu di sebahagian kawasan kosong di tanah perkuburan tersebut.

Katanya, siasatan awal mendapati kelulusan permit tanah pertanian itu telah disalah guna syarikat terbabit dengan mengeluarkan batu besi yang biasanya digunakan untuk pembuatan seramik seperti pinggan mangkuk serta sebagai bahan binaan bangunan.

Tuesday, March 22, 2011

Hidu bau busuk selama dua tahun

Penduduk dakwa kipas kolam pembetungan IWK rosak, tidak diselenggara


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Gara-gara kipas mesin kolam rawatan air kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) tidak berfungsi, lebih 200 penduduk Desa Cempaka di sini menderita akibat pencemaran bau sejak dua tahun lalu.

Seorang penduduk, Liew Ni Pan, 69, mendakwa pengurusan IWK gagal menyelenggara mesin berkenaan walaupun ia telah mengalami kerosakan sejak 2009.

"Akibat masalah mekanikal itu, air kumbahan tidak dapat dirawat malah ia akan melimpah keluar ke dalam longkang berhampiran.

"Setiap hari kami yang tinggal berhampiran kolam rawatan air kumbahan berkenaan terpaksa menghidu bau busuk. Baunya semakin kuat pada waktu malam dan setiap kali hujan," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Ketua Urus Setia Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional Perak, Mohd. Ravi Abdullah turut turun padang semalam meninjau masalah terbabit setelah menerima aduan daripada penduduk berkenaan.

Seorang penduduk lain, Beh Lau Seng, 70, mendakwa, masalah pencemaran bau tersebut telah menyebabkan rutin kehidupan penduduk setempat terganggu.

"Hari-hari kena hidu bau busuk terutama pada waktu malam. Nak tidur dan makan pun tak selesa. Kami sampai malu nak terima kehadiran tetamu berkunjung ke rumah ekoran masalah ini," dakwanya.

Jirannya, Michelle Woo, 50, pula mendakwa, tiada langkah penyelesaian jitu diambil pengurusan IWK walaupun aduan telah diutarakan oleh penduduk sejak masalah tersebut timbul.

"Pihak terbabit macam acuh tak acuh terima aduan kami. Seingat saya tak pernah sekali pun mereka turun padang meninjau masalah ini sepanjang dua tahun lalu.

"Saya kesal kerana majoriti daripada penduduk sentiasa menunaikan kewajipan membayar bil pembetungan IWK tapi perkhidmatan yang diberikan tidak seperti dijanjikan," ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Ravi berkata, beliau akan berkunjung sendiri ke ibu pejabat IWK cawangan Perak di sini dalam masa terdekat bagi menyelesaikan masalah penduduk tersebut.

Beliau juga kesal kerana tiada seorang pun pegawai IWK hadir untuk membuat tinjauan dan bertemu penduduk bersamanya walaupun telah dijemput untuk berbuat demikian.

Cucu trauma lihat datuk maut terperosok

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TAPAH - Semalam mungkin merupakan hari yang tidak dapat dilupakan buat seorang cucu apabila menyaksikan datuknya maut selepas terperosok di bawah bas dalam kemalangan di Kilometer (KM) 341.9, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini.

Nurul Najwa Roslan , 17, trauma dengan kejadian pada pukul 4.50 pagi itu apabila melihat datuknya, Sahad @ Shariff Md. Din, 74, mati dalam nahas itu.

"Saya trauma menyaksikan saat-saat akhir datuk menemui ajal dalam keadaan dia menahan sakit akibat tersepit," ceritanya yang menetap bersama datuknya di Tanjung Tokong, Pulau Pinang.

Sementara itu, anak Sahad, Sarimah, 45, berkata, sebelum kejadian, mereka lima sekeluarga dalam perjalanan untuk membeli-belah ke pusat pemborong Nilai 3, Negeri Sembilan dari Tanjung Tokong. Selain mereka, bas itu turut membawa 38 penumpang lain.

Ceritanya, selepas melepasi Plaza Tol Bidor, bas itu telah merempuh belakang sebuah lori yang berhenti di laluan kiri.

"Ekoran itu, enam penumpang parah akibat patah kaki manakala kami sekeluarga selamat sebelum keluar dari bas. Namun, tidak lama kemudian, ayah dan beberapa penumpang lain masuk semula ke dalam bas untuk membantu mereka yang tercedera.

"Tidak lama selepas itu, sebuah treler kontena merempuh belakang bas menyebabkan ayah terperosok ke bawah bas manakala beberapa mangsa lain terhumban ke hadapan," katanya.

Selain Sahad, Sarimah dan Nurul Najwa , bas itu turut dinaiki ibu Nurul Najwa , Hasni, 46; nenek, Hasanah Khamis, 64, dan seorang sepupunya. Sarimah mengalami luka di mulut, Hasanah cedera di lutut sementara Nurul Najwa luka di dada.

Monday, March 21, 2011

Pelajar Orang Asli cemerlang PMR terima penghargaan


GALAKAN. Seramai sembilan pelajar Orang Asli dari seluruh Perak yang cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010 menerima penghargaan daripada Yayasan Bina Upaya (YBU) di Ipoh baru-baru ini.

Ketua Khidmat Korporat YBU, Khairul Anwar Mohd. Nor berkata, semua pelajar Orang Asli terbabit yang memperoleh sekurang-kurangnya satu A dalam peperiksaan tersebut menerima sijil penghargaan dan wang tunai RM100.

Beliau berkata, penghargaan itu bertujuan untuk menyuntik semangat pelajar Orang Asli di Perak agar terus cemerlang dalam pelajaran.

"Sebelum ini YBU juga pernah menganjurkan program motivasi melibatkan 201 pelajar Orang Asli negeri ini di Pulau Pangkor pada Disember lalu," katanya.

Saturday, March 19, 2011

Lelaki mati rentung atas katil

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Seorang lelaki warga emas ditemui mati dalam keadaan mengerikan apabila dibiarkan rentung di dalam rumahnya sendiri selepas lehernya dikelar oleh penjenayah dalam kejadian di di Ampang Baru di sini semalam.

Mayat Ho Choong Fah, 84, ditemui hangus pukul 9 pagi di atas sebuah katil di dalam sebuah bilik tidur rumah tersebut oleh pasukan bomba yang bertungkus-limus memadamkan kebakaran sebaik menerima panggilan pada pukul 10 malam kelmarin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersendirian di rumah tersebut dan pihaknya percaya Choong Fah menjadi mangsa pembunuhan.

"Ia berdasarkan kesan kelar yang terdapat pada leher mangsa. Berikutan itu, kita tidak menolak kemungkinan mangsa telah dibunuh terlebih dahulu sebelum dibakar," katanya di sini semalam.

Tambahnya, pihaknya tidak menolak ke mungkinan kebakaran di rumah mangsa berpunca daripada perbuatan khianat penyerang bagi menutup pembunuhan tersebut.

Menurut Mohd. Shukri, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk menjalani bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhbung kejadian agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2451500 bagi membantu siasatan.

Pemandu bas diarah bela diri

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Pemandu bas dua tingkat Sani Ekspres, Mohd. Kamil Mohd. Rashid, 37, yang terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan 10 penumpang maut diperintah membela diri pada akhir kes pendakwaan di Mahkamah Khas Trafik di sini semalam.

Majistret Mohamed Ruhizat Abdullah memerintahkan demikian setelah pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim berjaya membuktikan prima facie dalam kes tersebut.

"Berdasarkan keterangan saksi, ekshibit (barang bukti) dan keterangan bertulis daripada pihak pendakwaan, mahkamah memutuskan kes prima facie telah berjaya dibuktikan," jelasnya dalam penghakiman bertulis.

Sebelum ini seramai 29 saksi telah dipanggil oleh pihak pendakwaan untuk memberi keterangan di mahkamah sejak pembicaraan kes tersebut bermula 3 Februari 2010.

Mohamed Ruhizat memutuskan tarikh pembelaan diri selama tiga hari bermula 25 Mei depan dan Mohd. Kamil yang diwakili peguam bela, S. Arumugam dan Khairun Niza Husnin kelihatan tenang serta memilih untuk memberi keterangan di kandang mahkamah.

Kosmo! 30 Disember 2009 melaporkan Mohd. Kamil mengaku tidak bersalah atas tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian 10 penumpang di Kilometer 280.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di sini pada kira-kira 1.23 pagi 26 Disember lalu.

Dia yang berasal dari Taman Setia Jaya, Yan, Kedah didakwa di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Friday, March 18, 2011

Rahsia pencuri kondom


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Rahsia sekumpulan enam perompak yang menyembunyikan selama 26 hari 264 kotak mengandungi 700,000 keping kondom curi bernilai RM850,000 di sebuah gudang di Klang, Selangor terbongkar apabila polis menemui sebahagian besar alat kelengkapan seks itu kelmarin.

Kejayaan tersebut dicapai ekoran kerja keras polis menjejaki dan menahan enam penyamun berusia di antara 23 dan 46 tahun pada 15 Februari lalu sebaik menerima laporan mengenai kehilangan kondom tersebut 10 hari sebelum itu.

Selain itu, laporan meluas media turut membuatkan kesemua perompak bimbang akan ditahan sebelum menyembunyikan barang curi itu untuk dilupuskan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, rancangan tersebut gagal apabila polis terlebih dahulu menghidu kegiatan mereka hasil maklumat daripada salah seorang suspek.

Katanya, polis menemui 258 kotak yang setiap sati mengandungi 144 kotak kecil. Kotak kecil itu pula mengandungi enam keping kondom.

“Sebanyak 255 kotak ditemui di gudang tersebut manakala tiga lagi dijumpai di sebuah rumah di Puchong, Selangor. Kita masih mencari bai enam kotak kondom tersebut.

"Soal siasat mendapati suspek berniat untuk melupuskan kondom itu kerana tidak menemui pembeli berikutan kegiatan mereka telah dibongkar oleh media," katanya di sini semalam.

Sebelum ini akhbar melaporkan sebuah kontena yang sepatutnya mengandungi kondom ultra nipis itu didapati kosong sebaik tiba di Tokyo, Jepun. Siasatan kemudian mendapati ia telah dicuri oleh sekumpulan lelaki sebelum kontena tersebut diserahkan ke Pelabuhan Klang Barat.

Menurut Mohd. Shukri, enam suspek yang bekerja pemandu lori kontena dan buruh itu ditahan di sekitar bandar raya ini, Bidor, Batu Gajah, Puchong dan Klang.

Empat daripada mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis manakala bakinya masih ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 407 Kanun Keseksaan iaitu pecah amanah.

Thursday, March 17, 2011

Polis Ipoh dekati masyarakat melalui program CCOP

TURUN PADANG. Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh mengadakan konvoi orientasi komuniti polis (CCOP) peringkat Balai Polis Kampung Baru di Restoran Nasi Kandar Makmur, Ipoh baru-baru ini.

Konvoi berkenaan yang bertujuan merapatkan hubungan masyarakat setempat dengan pegawai polis itu merupakan lanjutan daripada program komuniti polis yang dianjurkan sebelum ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Supritendan Mohd. Isa Hussin berkata, pada konvoi itu, beliau bersarapan pagi dengan wakil penduduk sambil memberi maklum balas terhadap aduan dikemukakan.

"Kami percaya ia mampu mengurangkan kadar jenayah selain membolehkan orang ramai berkomunikasi secara terus dengan pegawai polis tersebut," katanya.

Bom lama bawah timbunan besi


Oleh AZLI ADLAN dan AINSAFRE BIDIN
berita@kosmo.com.my

TELUK INTAN - Lapan pekerja yang sedang mengumpul besi buruk terkejut apabila menemui sebutir bom mortar lama di sebuah pusat pengumpulan barangan lusuh di Jalan Maharaja Lela di sini semalam.

Bom yang masih aktif dan dianggarkan berusia lebih 60 tahun itu dijumpai di bawah timbunan besi pada pukul 9.30 pagi.

Pemilik pusat pengumpulan itu, Borhan Alias, 50, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh salah seorang pekerjanya yang berasal dari Myanmar.

"Sebaik menerima panggilan telefon daripada pekerja itu, saya bergegas ke tempat kejadian dan mengarahkan semua pekerja supaya keluar dari kawasan itu kerana bimbang ia mengancam nyawa mereka," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Borhan, dia kemudian membuat laporan polis berhubung penemuan bom tersebut.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak telah dihantar ke tempat kejadian sebaik menerima laporan.

" Bom mortar lama sepanjang 56 sentimeter itu dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua," katanya.

Menurutnya, bom tersebut yang dianggarkan seberat 3 kilogram itu telah dimusnahkan di tempat tersebut pukul 4.30 petang.

Wednesday, March 16, 2011

KAMBG anjur Pameran Pendidikan Perak

IPOH - Kelab Anak Malaysia Batu Gajah (KAMBG) dengan kerjasama PenExpo Events Sdn. Bhd. (PenExpo Events) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan menganjurkan Pameran Pendidikan Perak selama dua hari mulai Sabtu ini.

Penaung KAMBG, Datuk Chang Ko Youn berkata, ia akan diadakan di Stadium Indera Mulia di sini mulai pukul 9 pagi hingga 9 malam.

Katanya, pameran terbuka kepada lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala institusi pengajian tinggi (IPT) yang akan menyertai pameran tersebut termasuklah Institut Pengurusan Singapura dan Universiti Malaysia Kelantan.

Tuesday, March 15, 2011

Isteri peniaga ayam diserang dua penyamun

IPOH - Seorang isteri peniaga ayam cemas apabila ber hadapan dengan dua penyamun bersenjatakan parang yang menceroboh rumahnya di Kampung Tersusun Tambahan Kopisan Baru, Gopeng dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, dua lelaki yang dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an terbabit me larikan barangan kemas bernilai kira-kira RM25,000 dan wang tunai RM500.

Ketua Polis Daerah Kampar, Supritendan Abdul Aziz Salleh berkata, semasa kejadian, hanya wanita berusia 40 tahun itu dan seorang anaknya berada di dalam rumah sementara suaminya sedang sibuk menjual ayam di Pasar Awam Gopeng dekat sini.

“Dua lelaki bersenjatakan parang tersebut mengugut dua beranak terbabit diam sebelum mengikat mereka dengan tali.

“Penjenayah itu kemudiannya melarikan wang tunai dan barangan kemas milik mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Abdul Aziz berkata, tidak lama selepas penyamun ber kenaan beredar, wanita terbabit berjaya melepaskan diri daripada ikatan dan menghubungi suaminya untuk me maklumkan kejadian tersebut.

Thursday, March 3, 2011

Perak beli tiket, sumbang elaun RM500

IPOH - Kerajaan negeri Perak mengambil tindakan yang sama dengan beberapa kerajaan nege ri apabila turut menanggung sepenuhnya kos penerbangan 696 pelajar dari negeri itu untuk kembali ke Mesir bagi menyambung pengajian masing-masing.

Selain tiket, setiap pelajar itu juga akan menerima wang saku RM500.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kos keseluruhan pembelian tiket berjumlah RM1.5 juta manakala Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIMP) menyumbang duit sakut pelajar.

“Kos tiket setiap pelajar dianggarkan berjumlah RM2,000. Penerbangan mereka ke Mesir akan dilakukan secara berperingkat-peringkat bermula 12 Mac ini.

“Proses itu perlu disegerakan kerana sebahagian pelajar itu akan menghadapi peperiksaan akhir semester mulai 17 Mac ini,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini semalam.

Sebelum ini, beberapa kerajaan negeri seperti Perlis, Pahang, Melaka, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan bersetuju untuk menaja penghantaran pulang pelajar masing-masing ke Mesir.

Wednesday, March 2, 2011

PAC Perak tidak puas hati

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC) Perak tidak berpuas hati dengan kegagalan pegawai kanan Ba hagian Pinjaman Pelajaran Negeri Perak memberi pen jelasan memuaskan mengenai ketidakupayaan jabatan itu mengutip semula tunggakan pinjaman berjumlah RM27.6 juta.

Sehubungan itu, Pengerusinya, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, pegawai kanan jabatan tersebut akan dipanggil semula dalam masa terdekat.

“Maklumat yang diberikan tentang status 181 peminjam terlibat tidak begitu tersusun dan PAC negeri tidak puas hati.

“Jadi, kita akan panggil beliau sekali lagi untuk memberi penjelasan me ngenai isu berkenaan dalam mesyuarat PAC Perak akan datang yang dijadualkan 11 Mac ini,” katanya selepas mem pengerusikan mesyuarat PAC Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.

Kosmo! 29 Januari lalu melaporkan PAC Perak akan memanggil pegawai kanan Bahagian Pinjaman Pelajaran Negeri Perak bagi mendapatkan penjelasan berhubung kegagalan jabatan terbabit mengutip semula pinjaman pe lajaran berjumlah RM27.6 juta yang tertunggak sejak 1981.

Berdasarkan laporan dan siasatan jawatankuasa tersebut, jabatan itu dikatakan tidak mempunyai maklumat dan senarai terkini peminjam berkenaan selain gagal mengambil sebarang langkah untuk menuntut semula bayaran ter sebut.

habis