Translate

Saturday, November 18, 2023

PRK Kemaman: ‘Ini peluang Ahmad Samsuri pejuang isu Terengganu di Parlimen’

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Pemilihan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman tidak bermaksud Pas ketandusan pelapis untuk diketengahkan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, sebaliknya percaturan itu bagi memberi peluang Ahmad Samsuri memainkan peranan mengetengahkan keperluan kerajaan negeri Terengganu secara langsung di peringkat Persekutuan sekiranya terpilih sebagai Ahli Parlimen.

“Bukan soal kekurangan calon, ada lima telah diangkat (dicadangkan) dan kita menilai.

“Berdasarkan kajian lapangan dilakukan di Kemaman, beliau (Ahmad Samsuri) pilihan utama (pengundi). Bukan sahaja peluang untuk menang malah peranan lebih besar juga boleh dimainkan,” katanya selepas mengumumkan calon PRK Parlimen Kemaman di sini malam tadi.

Ahmad Samsuri yang genap berusia 53 tahun kelmarin merupakan Naib Presiden Pas dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang.

Tuan Ibrahim berkata, beliau yakin komitmen Ahmad Samsuri sebagai Menteri Besar Terengganu tidak akan terjejas walaupun sekiranya terpilih sebagai Ahli Parlimen Kemaman nanti.

Jelas beliau, Menteri Besar dan Ketua Menteri sebagai Ahli Parlimen bukan perkara yang baru dalam landskap politik tanah air.

“(Buat masa ini) kita mempunyai tiga Menteri Besar dan Ketua Menteri di Parlimen iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment