Translate

Monday, November 20, 2023

Bapa pelajar UniSZA meninggal 15 minit sebelum terima skrol

 

KUALA NERUS – Luluh hati seorang graduan apabila mendapat khabar duka bapanya yang berada di Tawau, Sabah meninggal dunia kira-kira 15 minit sebelum menerima skrol ijazah sarjana mudanya pada Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ke-25 semalam. 

 Haslina Kalang, 23, bagai­manapun berkata, dia menguatkan diri menaiki pentas untuk menerima skrol Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa (Dengan Kepujian) tersebut daripada Pro Canselor UniSZA, Tan Sri Yusof Noor biarpun dengan linangan air mata. 

 “Sewaktu menunggu giliran nama diumumkan (untuk menerima skrol ijazah), saya tiba-tiba menerima panggilan telefon daripada salah seorang jiran pukul 10.30 pagi.

 “Luluh hati saya apabila dimaklumkan ayah (Kalang Tona, 56) yang menderita strok baru meninggal dunia,” katanya ketika ditemui selepas majlis Kovokesyen UniSZA ke-15 di sini semalam. 

 Haslina mengakui pada mulanya berat untuk menghadiri majlis konvokesyen terbabit kerana terlalu risaukan tahap kesihatan bapanya, namun akur apabila lelaki itu bersungguh-sungguh meminta hadir untuk menerima sendiri skrol ijazah sarjana mudanya itu.

 “Saya dengan berat hati hadir juga ke majlis konvokesyen ini ditemani kakak sulung, Kasnia, 24, yang kini menetap di Johor. 

 “Memang sebaik tamat pengajian dahulu, saya terus pulang ke kampung halaman dan tidak memohon apa-apa pekerjaan kerana mahu menjaga ayah terlantar akibat sakit strok,” ujarnya. 

 Haslina yang tidak menyangka bapanya dijemput Allah pada hari dirinya menerima ijazah sarjana muda yang didambanya selama ini bagaimanapun bersyukur berpeluang berbakti menjaga bapanya sehingga ke akhir hayat orang tuanya.

 Sementara itu, pengurusan UniSZA yang bersimpati menghulurkan sumbangan wang tunai RM2,500 kepada Haslina bagi membeli tiket penerbangan pulang menghadiri upacara pengebumian bapanya di Tawau pada kadar segera.

No comments:

Post a Comment