KUALA NERUS – Biarpun berseorang mendaftar masuk ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini semalam, namun ia langsung tidak mematahkan semangat Ridzwan Omar, 20.
Semuanya dilakukannya kerana tidak mahu membebankan ibu, Jujija Kimsoy, 42, dan bapanya Omar Umba, 40.
Menurut Ridzwan, bapanya hanya bekerja sebagai pekerja am dengan pendapatan kecil manakala ibunya suri rumah.
“Kami bukannya orang senang. Kos pengangkutan kapal terbang untuk saya seorang sahaja sudah mencecah RM400,” katanya di kampus UMT di sini semalam.
Sehubungan itu, Ridzwan yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah berkata, dia sudah memutuskan untuk mendaftar masuk ke UMT secara bersendirian sejak menerima surat tawaran pada 8 September lalu.
Ridzwan yang ditawarkan mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Maritim) memberitahu, dia perlu membeli dua tiket penerbangan sebelum tiba di kampus UMT di daerah ini.
“Penerbangan pertama dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sebelum transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
“Saya kemudiannya menaiki penerbangan ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) pula.
“Perjalanan memakan masa lebih sembilan jam dari pukul 8 pagi hingga 5 petang,” katanya.
Ridzwan berkata, biarpun begitu, ia pengalaman pertama dirinya keluar dari Sabah dan juga secara bersendirian.
Jelasnya, dia tekad demi keazaman untuk menuntut ilmu bagi mengubah nasib keluarga.
“Saya terharu ketibaan di LTSM semalam (kelmarin) diambut mesra Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMT.
“Syukur juga proses pendaftaran sebagai pelajar baharu UMT hari ini (semalam) juga berjalan lancar," katanya.
No comments:
Post a Comment