Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Calon Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menganggap desas-desus mendakwa beliau bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman bagi ditampilkan calon Perdana Menteri masa depan Perikatan Nasional (PN) cumalah spekulasi semata-mata.
Menteri Besar Terengganu itu menganggap andaian kebanyakan penganalisis politik tersebut sebagai satu kebiasaan setiap kali tiba musim pilihan raya.
“Saya tidak tahu (dakwaan calon PM masa depan PN) kerana tiada perbincangan secara khusus dalam PN sebelum ini.
“Kita tak boleh hendak halang orang membuat spekulasi, what can i say? (apa saya hendak cakap?) Terpulang masing-masing hendak buat macam mana,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Chedering di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri menafikan dakwaan kononnya pencalonan beliau untuk mewakili Pas pada PRK Parlimen Kemaman itu sebenarnya dicadangkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Naib Presiden Pas itu berkata, sepanjang pengetahuannya, Mahathir hanya menjalankan tugas sebagai dalam bidang ekonomi sebagai Penasihat State-Goverment 4 (SG4) atau empat kerajaan negeri ditadbir Pas tanpa pernah menyentuh soal politik.
“Semasa Tun (Mahathir) hadir ke Terengganu untuk berbincang pasal SG4, Tun tidak sentuh politik. Jadi tak ada kena mengena (cadangan calon) dengan Tun pasal PRK Kemaman,” katanya.
Pada PRK Kemaman yang berlangsung 2 Disember ini, Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang akan ditentang calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment