Translate

Monday, June 26, 2023

Pantai Beting Lintang cantik, tapi penuh sampah sarap

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Keindahan Pantai Be­ting Lintang di sini yang menjadi antara tarikan pelancongan di daerah ini kini diibaratkan seperti ‘tapak pelupusan’ akibat dicemari dengan timbunan sampah-sarap.

Kekotoran pesisir pantai tersebut memberi ketidakselesaan kepada orang ramai yang mengunjungi pantai peranginan tersebut untuk bersantai.

Seorang pengunjung, Mohd. Akmal Salleh, 38, berkata, persekitaran pantai berkenaan sebenarnya amat cantik dan mempunyai banyak kedai makan menjual makanan laut seperti ikan, udang dan sotong celup tepung pada harga yang amat berpatutan.

“Bagaimanapun, kegembiraan kami hilang sebaik melihat kawasan pantai yang tidak terurus dengan penuh dengan timbunan sampah-sarap,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Seorang lagi pengunjung, Siti Sarah Hashim, 36, menggesa pihak bertanggungjawab agar memantau persekitaran di kawasan Pantai Beting Lintang.

Katanya, potensi tinggi pantai peranginan itu untuk menjadi antara destinasi pelancongan utama di daerah ini hanya menjadi sia-sia sekiranya kawasan berkenaan terus dibiarkan kotor.

“Selain panorama indah menghadap Laut China Selatan dan makanan laut yang murah, Pantai Beting Lintang mempu­nyai industri ikan bilis tradisional dipelopori masyarakat tempatan,” katanya.

Sunday, June 25, 2023

Bebanan kerja, tak mahir komputer punca guru bersara awal


 Oleh SITI A'ISYAH SUKAIMI, MOHD AZLI ADLAN, ROHANA MOHD. NAWI dan NUR AMALINA AZMAN

PETALING JAYA – Bebanan tugas pendidik selain sistem pendigitalan secara dalam talian yang tidak mampu dikuasai ter­utama dalam kalangan guru lama antara faktor ramai warga pendidik memohon untuk bersara awal.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang berkata, perkara itu antara isu yang sekian lama diperkatakan selain pernah diutarakan kepada Kementerian Pendidikan (KPM).

“Faktor terbesar memang beban tugas sebab mereka sudah tak sanggup berdepan dengan kerja-kerja tersebut. Kita tak boleh sekat mereka untuk bersara, tapi yang penting ada usaha mengurangkan beban tugas guru ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bahawa guru Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris antara yang pa­ling ramai memohon bersara awal berdasarkan rekod KPM sepanjang 2021 dan 2022.

Menurut Fadhlina, bilangan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) yang memohon persaraan pilihan berdasarkan enam opsyen utama tertinggi adalah Bahasa Melayu (2,862), Bahasa Inggeris (1,146), Mate­matik (1,015), Pendidikan Islam (755), Sains (629) dan Sejarah (483).

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, pada masa ini diakui KPM mempunyai inisiatif dalam mengurangkan bebanan ditanggung oleh guru, namun keberkesanannya mungkin belum dapat dilihat lagi.


Di Kuala Terengganu, Tereng­ganu, seorang bekas guru Bahasa Melayu nekad bersara awal setelah tidak mampu menguasai teknologi bagi tujuan pengajaran.

Bekas guru sebuah sekolah menengah di bandar raya ini yang hanya mahu dikenali sebagai Ramli, 58, berkata, dia menyedari tidak berupaya mengikut kehendak pengajaran semasa ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM).

“Saya mengakui tidak begitu mahir menggunakan komputer dan gajet lain sedangkan ia tuntutan pengajaran di dalam kelas pada masa kini.

“Saya akur untuk mengundur diri daripada profesion perguruan yang saya cintai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Ramli berkata, dia memilih untuk bersara awal dalam perkhidmatan perguruan pada tahun 2018.

Tambahnya, dia rela mengorbankan kerjayanya walaupun berpendapat pengajaran Bahasa Melayu lebih berkesan dengan kaedah konvensional.

“Saya tidak mahu mengecewakan harapan tinggi KPM dan pengurusan kanan sekolah,” katanya.

Di Langkawi, Kedah, seorang guru Bahasa Melayu yang bersara tahun lalu dikenali Rohani, 57, berkata, mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris merupakan subjek dengan waktu mengajar terbanyak.

“Kebiasaannya jumlah guru yang mengajar subjek lain adalah kira-kira separuh daripada jumlah guru yang mengajar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

“Jadi pastinya saban tahun jumlah guru bahasa yang pencen juga adalah lebih ramai berbanding guru subjek lain,” katanya.

Rohani yang sebelum ini mengajar di sebuah sekolah kebangsaan di Shah Alam memberitahu, dia memilih untuk pencen awal kerana rasa beban mengajar yang meningkat berikutan peredaran zaman.

Jelasnya, murid generasi sekarang memerlukan cara pembelajaran yang banyak menggunakan teknologi yang tidak pernah digunakannya semasa dia masih di maktab perguruan.

“Saya agak sukar untuk mengajar dengan menggunakan teknologi sepenuhnya kerana gaya dan caranya jauh berbeza berbanding cara yang saya diajar dahulu,” ujarnya.

Di Kota Bharu, Kelantan, bekas guru, Noriha Yusoff, 56, berkata, dia sepatutnya bersara wajib dua tahun lagi, namun bersara pada tahun ini selepas tidak dapat mengikuti perkembangan teknologi maklumat.

Menurutnya, semua pembelajaran PdP ketika ini perlu disampaikan kepada murid-murid menggunakan rujukan menerusi komputer dan peranti elektronik.

“Saya perlu menggunakan komputer untuk setiap sesi pembelajaran. Keadaan itu menyebabkan saya agak tertekan apabila tidak dapat mengikuti perkembangan pengajaran kaedah tersebut.

“Saya boleh mengajar subjek Bahasa Inggeris dengan baik tanpa menggunakan komputer atau peranti. Apabila menggunakan alat bantuan mengajar itu, ia seolah-olah mengehadkan kemampuan saya untuk mengajar,”  katanya.

Noriha memberitahu, kaedah pembelajaran yang hanya menggunakan buku sebenarnya sudah cukup untuk memberi kefahaman kepada murid-murid terutamanya di peringkat sekolah rendah.

Katanya, beliau mengakui bahawa penggunaan komputer dan peranti semasa sesi PdP memberi lebih kefahaman selain pengetahuan kepada murid-murid.

“Cuma, kaedah itu tidak sesuai untuk saya. Jadi, lebih baik saya bersara awal untuk berehat selain dapat menguruskan keluarga sementara badan masih sihat,” katanya.

Buruh ladang maut, rakan sekerja cedera dirempuh Proton Saga

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Seorang buruh ladang maut manakala rakan sekerjanya pula cedera selepas motosikal masing-masing dirempuh sebuah kereta Proton Saga di Jalan Kampung Rahmat – Kilang Sawit Chalok di sini semalam.

Mangsa, Muhammmad Shaifudin Mat Rahim, 36, meninggal dunia hari ini selepas hampir 18 jam bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Seorang lagi mangsa, Zaidah Mustafa, 44, yang menaiki motosikal Honda C100 pula cedera pada bahagian paha.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, sewaktu kemalangan pada pukul 3.15 petang semalam, Muhammmad Shaifudin dan Zaidah yang bekerja di Ladang Cahaya Chalok di sini dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing.

“Motosikal dinaiki mereka masing-masing telah dirempuh sebuah kereta Proton Saga dipandu seorang operator kilang kelapa sawit yang dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Kenderaan itu dikatakan telah hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan yang dilalui kedua-dua mangsa,” katanya di sini hari ini.

Afandi berkata, Muhammmad Shaifudin dan Zaidah yang cedera telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Setiu di sini.

Tambah beliau, Muhammmad Shaifudin yang kritikal kemudiannya dipindahkan ke HSNZ sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 9 pagi tadi.

“Pemandu kereta Proton Saga berusia 47 tidak mengalami kecederaan. Kes disiasat Mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Saturday, June 24, 2023

Jambatan Pulau Poh pemangkin ekonomi Tasik Kenyir

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Jambatan Pulau Poh bakal menjadi pemangkin pembangunan ekonomi bukan sahaja kepada Tasik Kenyir malah daerah ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelbagai acara pelancongan yang memberi peluang perniagaan kepada penduduk setempat telah dianjurkan sejak jambatan ikonik itu dibuka pada 22 Disember 2021.

“Kewujudan kiosk-kiosk jualan di kawasan sekitar (Jambatan Kuala Poh) sudah pasti memberi peluang kepada lebih ramai usahawan-usahawan negeri ini.

“Kerajaan negeri juga telah mengenal pasti kawasan-kawasan (sekitar) berpotensi untuk dibangunkan bagi meningkatkan ekonomi setempat,” katanya sewaktu menghadiri perasmian Jambatan Pulau Poh di sini malam tadi.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan perasmian jambatan tersebut sempena Hari Keputeraan baginda ke-61.

Ahmad Samsuri berkata, Jambatan Pulau Poh yang menghubungkan Pengkalan Gawi dengan Marina Pulau Poh merupakan salah komponen insfrastruktur destinasi pelancongan terkenal, Tasik Kenyir.

Jelas beliau, jambatan empat lorong sepanjang 133 meter tersebut dibina dengan kos kira-kira RM105 juta.

“Konsep seni bina Jambatan Pulau Poh ini diinspirasi daripada rekabentuk hiasan perahu tradisional masyarakat Terengganu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

UMT temui spesies baharu ikan, Ambassis octava

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya menemui spesis baharu ikan seriding atau nama saintifiknya, Ambassis baru-baru ini.

Ketua projek penyelidikan tersebut, Prof. Dr. Siti Azizah Mohd. Nor berkata, setakat ini, spesies baharu ikan yang dinamakan Ambassis octava tersebut dikesan didapati di pesisir pantai Johor, Perak dan Pulau Pinang.

Beliau berkata, Ambassis octava yang ditemui oleh penyelidik UMT dan Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan spesies kelapan ikan seriding yang pernah ditemui.

“Spesies terdahulu iaitu ketujuh ikan Ambassis dikenali sebagai Ambassis kopsii
yang berjaya ditemui saintis dikesan di Singapura pada tahun 1858.

“Kejayaan mengenalpasti spesies kelapan setelah 165 tahun Ambassis kopsii dijumpai merupakan penemuan yang bersejarah,” katanya di sini hari ini.

Siti Azizah berkata, antara ciri ikan Ambassis ialah ialah ia memiliki duri dan gerigi di kepala yang tajam.

Tambah beliau, spesies ikan terbabit suka hidup di dalam kawasan pantai yang mempunyai ekosistem bakau.

“Artikel berkenaan penemuan Ambassis octava diterbitkan di dalam Icythyological Research yang merupakan jurnal saintifik antarabangsa berprestij disunting Persatuan Iktiologi Jepun,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Kedai perkakasan musnah terbakar di Wakaf Tapai

 Oeh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Sebuah premis perkakasan musnah dalam kebakaran di Wakaf Tapai, di sini hari ini, pada pukul 1.41 tengah hari itu melibatkan dua lot premis.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BPB) Wakaf Tapai, Hambali Mohamad berkata, kedai perkakasan terbabit terletak di sebuah bangunan premis perniagaan setinggi tiga tingkat.

“Kemusnahan melibatkan 80 peratus di mana seramai 29 anggota bomba dari tiga BPB iaitu Wakaf Tapai, Kuala Berang dan Kuala Terengganu terlibat dalam operasi pemadaman terbabit,” katanya, di sini hari ini.

Hambali berkata, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan berlaku dan api kebakaran berjaya dikawal pada pukul 2.26 petang. – KOSMO! ONLINE

Yayasan Pendidikan Maidam taja asnaf belajar animasi

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Yayasan Pendidikan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mengambil inisiatif menghantar 20 belia asnaf negeri ini untuk menjalani latihan dalam bidang animasi
tiga dimensi (3D).

Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Pendidikan Maidam, Datuk Wan Ismail Wan Yusoh berkata, penajaan latihan aminasi 3D tersebut bertujuan membantu asnaf terbabit memanfaatkan kemahiran digital tersebut bagi mengubah nasib diri dan keluarga.

Beliau berkata, latihan selama enam bulan tersebut dikendalikan syarikat animasi dan grafik, Artiseni Sdn. Bhd.

“Kita percaya industri animasi mempunyai permintaan tinggi yang menjanjikan peluang pekerjaan terhadap golongan asnaf terbabit.

“Ia bakal menjadi pemangkin kepada mereka untuk mengubah nasib diri dan keluarga sekali gus keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya selepas merasmikan Kampus Kreatif di TD1303 di sini hari ini.

Wan Ismail berkata, kesemua pelatih terbabit bakal diserapkan di syarikat animasi seluruh negara sebaik tamat latihan dalam tempoh enam bulan.

Jelas beliau, mereka akan diberi kontrak kerja sekurang-kurangnya setahun untuk berkhidmat di syarikat animasi terpilih berkenaan.

“Peluang kerja dalam bidang animasi 3D amat terbuka luas termasuk menjadi pencipta kandungan.

“Harapan kita kursus ini turut dalam menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi berasaskan digital di Terengganu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tiada penceroboh Vietnam punca sotong berlambak di Terengganu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN dan KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU – Penyelidik marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT) percaya lambakan sotong terutama di perairan Dungun dan Kemaman pada musim mencandat kali ini di­sebabkan kurang pencerobohan di kawasan habitat sotong.

Pensyarah Kanan Bidang Teknologi Alatan Perikanan dan Ekologi Perikanan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Mohd. Fazrul Hisam Abd. Aziz berkata, dasar perairan Kemaman dan Dungun agak berbatu berbanding kawasan lain di negeri ini.

“Landskap perairan yang berbatu menyebabkan ia agak selamat daripada ancaman pukat tunda oleh nelayan-nelayan yang rakus.

“Kawasan dasar berbatu ini juga secara tidak langsung telah mewujudkan ekosistem yang ideal sebagai lubuk sotong,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurutnya, ekosistem marin yang kurang terusik turut membekalkan sumber makanan yang banyak terhadap sotong.

Katanya, kawasan terumbu karang yang banyak terdapat di perairan Dungun dan Kemaman juga menjadi habitat perlindungan terbaik buat telur-telur sotong dihasilkan.

“Apatah lagi, perairan Du­ngun dan Kemaman kurang tekanan berbanding Marang, Kuala Terengganu dan Setiu yang menjadi lokasi popular mencandat sotong sejak puluhan tahun lalu.

“Apapun kajian saintifik lebih terperinci terhadap kualiti air, populasi terumbu karang dan lubuk sotong diperlukan bagi mengetahui punca sebenar lambakan sotong pada tahun ini,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid mengakui pencerobohan nelayan Vietnam di perairan Terengganu menunjukkan trend penurunan sejak awal tahun ini.

“Setakat ini, cuma tujuh bot nelayan Vietnam berjaya ditahan setelah dikesan menangkap hasil laut secara haram di perairan Terengganu sejak awal Januari lalu.

“Risikan mendapati, kebanyakan bot nelayan asing tersebut kini banyak beralih untuk menceroboh perairan Indonesia pula,” katanya.

Rashidilhadi berkata, Maritim Malaysia (APMM) percaya perubahan trend itu berikutan tindakan penguatkuasaan yang keras terhadap nelayan Vietnam sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Beliau juga mengakui sotong merupakan antara hasil laut paling banyak dijarah nelayan negara jiran itu setiap kali menceroboh perairan Terengganu sebelum ini.

“Begitupun itu tidak bermakna ancaman nelayan Vietnam semakin kendur kerana apa sahaja boleh berlaku dalam baki enam bulan terakhir tahun ini.

“APMM tetap mengetatkan kawalan perairan seperti biasa bagi memastikan kedaulatan negara terpelihara,” ujarnya.

Terengganu Inc. bangun loji tenaga solar terapung di Tasik Kenyir

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Terengganu Inc. berhasrat untuk membangunkan projek pembinaan loji tenaga solar terapung melibatkan pelaburan dianggarkan lebih RM1 bilion di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

Presiden Terengganu Inc., Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, kajian pembangunan loji tenaga solar fotovoltaik terapung tersebut bakal dilaksanakan bersama syarikat utiliti, TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco).

“Projek loji tenaga solar terapung tersebut dicadang untuk dibina di kawasan seluas 2,000 hektar di Tasik Kenyir,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) berhubung projek tersebut dengan Pengarah Urusan TNB Genco, Datuk Nor Azman Mufti.

Burhanuddin Hilmi berkata, kajian dan penerokaan pembangunan projek loji tenaga solar itu bakal dilaksanakan dalam tempoh setahun.

Tambah beliau, kajian kebolehlaksanan projek tersebut menjadi penentu bagi pelaksanaan projek berkenaan.

“Syarikat kerajaan negeri dan pelabur dalam dan luar negara bakal dilibatkan dalam pembinaan projek loji tenaga solar terapung berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Friday, June 23, 2023

Buruh didakwa perkosa, liwat tiga anak perempuan kandung

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan memperkosa dan meliwat tiga anak perempuannya yang berusia sembilan hingga 13 tahun.

Lelaki yang berusia 38 tahun tersebut membuat pengakuan tidak bersalah sebaik kesemua pertuduhan terbabit dibacakan dihadapan Hakim Hakim Nooriah Osman.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa memperkosa anak keduanya yang berusia 12 tahun.

Perbuatan tersebut didakwa melakukan tertuduh pada bulan Mac dan Disember tahun lalu di sebuah rumah di Kuala Nerus.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat dan kelima pula, lelaki itu didakwa memperkosa anak sulungnya berusia 13 tahun di lokasi sama antara bulan Oktober tahun lalu dan Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat sehingga 10 kali jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut berdepan dua lagi pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii anak ketiganya berusia sembilan tahun di lokasi sama pada bulan Februari 2022 dan Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

PRN: 97 peratus agihan kerusi PN selesai

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Agihan kerusi Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi telah selesai 97 peratus.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebahagian besar agihan kerusi itu telah diselesaikan dalam perbincangan terakhir antara parti komponen PN pada 5 Jun lalu.

Beliau berkata, baki tiga peratus kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang masih belum selesai bakal dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Kita (PN) telah selesai (agihan) 97 peratus kerusi daripada 245 kerusi. Ada lima, enam kerusi belum selesai.

“Baki agihan sebanyak tiga peratus itu saya jangka siap sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, PN juga telah menyelesaikan 99 peratus agihan 32 kerusi DUN di negeri ini.

“Satu kerusi sahaja yang belum (dimuktamadkan). Pastinya bukan kerusi DUN Rhu Rendang (disandang beliau),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Pelajar asnaf UniSZA dilatih jadi usahawan agro

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Seramai 30 pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerima latihan dalam bidang pertanian menerusi program Usahawan Agro Muda Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) – Maybank Islamic (MIYA).

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniSZA, Datuk Prof. Madya Dr. Mohd. Hafiz Yusoff berkata, program tersebut mendapat tajaan Maybank Islamic Berhad (Maybank Islamic).

“Program MIYA ini memfokuskan untuk membentuk pelajar UniSZA dalam kalangan asnaf menjadi usahawan tani apabila mereka tamat pengajian kelak.

“Fasa pertama melibatkan 30 pelajar dari Fakulti Biosumber dan Industri Makanan, Informatik dan Komputeran serta Pengajian Kontemporari Islam,” katanya di UniSZA kampus Tembila di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyaksikan pelancaran MIYA oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Nor Shahrizan Sulaiman.

Mohd. Hafiz berkata, peserta MIYA terlibat dalam penanaman cili, terung dan sawi di kawasan lapang yang terdapat di kawasan kampus UniSZA Tembila.

Beliau berkata, kesemua 30 pelajar terbabit akan melalui modul menjadi usahawan agro seperti kaedah penanaman bersepadu dan teknik pertanian pintar, Internet of Things (IoT) dan dron.

Tambah beliau, mereka juga akan diberikan bimbingan perniagaan dan pengurusan kewangan sepanjang tempoh latihan selama setahun tersebut. – KOSMO! ONLINE

Gadis meracau, cederakan diri lepas jumpa dukun kampung

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang wanita berusia 28 tahun tidak menyangka tahap kesihatan mentalnya menjadi semakin kronik selepas berjumpa dengan seorang dukun kampung selepas didakwa terkena buatan orang. 

Wanita berkenaan yang mahu dikenali Maryam berkata, dia mula mengalami depresi kronik pada tahun 2020 ketika menjaga ibunya yang diserang strok secara bersendirian sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 “Waktu itu cuma saya seorang yang berada di rumah untuk menjaga ibu kerana tiga abang saya yang menetap di Kuala Lumpur tidak dapat pulang ekoran PKP. 

“Kerenah ibu yang sakit ditambah masalah pembelajaran menerusi pengajaran dan pembelajaran (PdP) silibus universiti secara online membuat saya tertekan dan banyak memendam rasa,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam. 

Maryam berkata, pada waktu itu fikiran agak berkecamuk dan mula berfikir yang bukan-bukan kononnya adik-beradik lain yang berada di luar Terengganu lepas tangan tidak mahu sama-sama mengambil tanggungjawab menjaga ibu mereka. 

Tambahnya, keadaan bertambah parah pada awal 2021 apabila mula meracau dan menjerit-jerit bagi melepaskan tekanan. 

 Maryam berkata, pada mulanya dia menerima rawatan daripada seorang dukun kampung kerana menyangkakan terkena ‘buatan orang’. 

“Selepas menjalani rawatan, penyakit saya masih tidak sembuh. 

“Sebaliknya keadaan mental saya semakin kronik apabila kerap melempar barangan dan mencederakan diri sendiri tanpa sedar,” katanya. 

Susulan keadaannya yang semakin kronik, Maryam akhirnya terpaksa dirujuk ke hospital berhampiran pada awal tahun lalu. 

 “Saya kini dalam proses pemulihan dan perlu mengambil pil penenang secara berkala apabila dirujuk kepada pakar psikiatri,” katanya.

Pesakit mental lebih percaya bomoh, sangka diri terkena sihir

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Masalah kesihatan mental dalam kalangan rakyat Malaysia kini semakin kronik apabila ramai pesakit terutama golongan muda lebih berminat untuk mendapatkan rawatan daripada pengamal perubatan alternatif seperti bomoh berbanding berjumpa pakar psikiatri. 

Situasi berlaku apabila pesakit mental ini dimomokkan dengan pelbagai kepercayaan karut kononnya mereka me­ngalami gangguan makhluk halus ataupun penyakit berunsurkan mistik. 

Berdasarkan Kajian Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA), dianggarkan hampir 77 peratus individu yang menghadapi masalah kesihatan mental di negara ini gagal mendapatkan rawatan awal. 

Presiden MIASA, Anita Abu Bakar berkata, rawatan awal sebenarnya penting bagi mengubati masalah berkaitan mental. 

Beliau berkata, apa yang membimbangkan pihaknya apabila kebanyakan pesakit ini lebih gemar berjumpa dukun dan pengamal perubatan alternatif untuk mengubati penyakit yang dialami.

 “Mereka percaya masalah berkaitan mental yang dihadapi itu adalah disebabkan oleh unsur mistik dan sebab itu mereka beranggapan ia hanya boleh dirawat oleh bomoh.

 “Bagaimanapun, penyakit itu tidak juga sembuh, malah wang pesakit banyak dihabiskan untuk membayar rawatan. 

“Akhirnya, penyakit mental yang dihadapi akan semakin kronik dan selepas itu, barulah mereka mahu merujuk ke hospital,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini. 

Sehubungan itu, Anita menasihatkan individu yang mempunyai gejala penyakit mental agar segera mendapatkan rawatan dengan pakar kesihatan yang bertauliah. 

Jelas beliau, masyarakat hari ini tidak seharusnya bimbang dengan stigma negatif atau malu dicemuh masyarakat kerana tidak semua masalah mental itu dikategorikan sebagai gila.

 “Saya akui kesedara ngan masyarakat semakin meningkat sejak kebelakangan ini. 

“Buktinya, lebih 100,000 individu telah menghubungi MIASA untuk mengadu masalah berkaitan mental yang dihadapi mereka sejak permulaan pandemik Covid-19 pada awal tahun 2020,” katanya. 

Bagaimanapun, Anita memberitahu, hanya 33,000 orang daripada mereka tampil mendapatkan perkhidmatan susulan sokongan mental, emosi dan rohani setakat ini. 

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, antara masalah berkaitan mental yang sering diadukan kepada MIASA ialah kemurungan, depresi, kecelaruan bipolar dan skizofrenia. 

“Kes berkaitan kesihatan mental semakin kerap diterima kami sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 bermula kerajaan pada pertengahan Mac 2020,” katanya. 

Anita berkata, golongan remaja dan belia juga semakin terdedah dengan ancaman masalah mental kerana terlalu terdedah kepada media sosial. 

Jelas beliau, mereka yang masih mentah biasanya tidak mampu menangani respon negatif segelintir netizen yang boleh dikategorikan sebagai buli siber. 

“Pengkongsian dan interaksi keterlaluan di media sosial sebenarnya turut menjadi punca golongan muda mengalami masalah mental,” katanya

Aktiviti seleweng minyak diesel di tapak pembinaan tumpas

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel yang berselindung di sebalik projek tapak pembinaan di bandar raya ini semalam.

Dalam serbuan pada pukul 3.30 petang itu, pasukan penguat kuasa KPDN berjaya merampas 32,670 liter minyak diesel bernilai keseluruhan RM510,434.

Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, dua lelaki berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an disyaki anggota sindiket penyeludupan terbabit turut berjaya diberkas dalam serbuan terbabit.

“Pasukan penguat kuasa KPDN telah melakukan risikan selama dua minggu sebelum menyerbu tapak pembinaan terbabit.

“Serbuan menemui sebuah lori tangki, beberapa tangki simpanan berisi minyak diesel dan beberapa peralatan lain yang disyaki digunakan untuk kegiatan pemindahan minyak diesel tersebut,” katanya di sini hari ini.

Saharuddin berkata, pasukan penguat kuasa KPDN turut menyita beberapa dokumen berkaitan aktiviti penyelewengan minyak diesel itu.

Tambah beliau, siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengenalpasti rantaian pembekalan dan pengedaran minyak diesel tersebut. – KOSMO! ONLINE

Thursday, June 22, 2023

Hamzah nafi kediamannya diserbu LHDN

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menafikan kediamannya telah diserbu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada Selasa lalu.

Sebaliknya Setiusaha Agung Perikatan Nasional (PN) tersebut mendakwa ia merupakan fitnah yang ditujukan terhadap beliau menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

” ‘Serbu’ itu bagaimana maksudnya? Saya tidak mahu menjawab fitnah dan berita yang tersebar luas ini.

“Sudah banyak fitnah dilakukan terhadap saya,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Jentera Pilihan Raya PN peringkat Marang di Binjai Rendah di sini malam ini.

Kosmo! hari ini melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu beliau tidak dimaklumkam tentang penggeledahan kediaman Hamzah terbabit.

Sebaliknya, beliau menyerahkan urusan tersebut kepada LHDN dan badan penyiasat untuk melakukan siasatan.

Sebelum ini, kediaman Ahli Parlimen Larut berkenaan dikatakan telah diserbu LHDN bagi membantu siasatan kes cukai yang didakwa ttidak dilaporkan.

Sehubungan itu, Hamzah memberi amaran untuk mengambil tindakan perundangan terhadap pihak yang menyebarkan dakwaan kononnya kediamannya diserbu LHDN itu. – KOSMO! ONLINE

Seorang maut, bot candat dirempuh bot pelancong di Pulau Perhentian

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Seorang nelayan yang baru pulang membawa trip mencandat sotong maut, manakala tiga cedera termasuk dua parah apabila bot mereka naiki dirempuh sebuah bot pelancong di perairan Pulau Perhentian di sini hari ini.

Kejadian pada pukul 8.15 pagi itu mengorbankan Rahmat Mat Ariffin, 43, akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, sewaktu kejadian, bot dinaiki mangsa bersama 12 lain dalam perjalanan pulang ke Jeti Kampung Nelayan Pulau Perhentian.

“Mangsa dan dua kru bot tersebut baru selesai membawa rombongan 10 pemancing mencandat sotong di sekitar perairan Pulau Perhentian.

“Sebaik di lokasi kejadian, bot mereka telah dilanggar sebuah bot yang sarat membawa 10 pelancong termasuk tiga warga asing yang dalam perjalanan ke Jeti Pulau Perhentian Besar dari Long Beach di sini,” katanya di sini hari ini.

Azrol Anuar berkata, rempuhan itu menyebabkan bot nelayan kelas A terbabit bocor lalu karam.

Tambah beliau, kesemua 10 pelancong termasuk dua kanak-kanak pula terselamat tanpa sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa (Rahmat) yang meninggal dunia telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut di sini untuk tindakan lanjut.

“Dua mangsa yang cedera parah pula dikejarkan ke unit kecemasan hospital sama manakala seorang lagi mangsa yang cedera ringan pula dirawat di Klinik Kesihatan Pulau Perhentian di sini,” katanya.

Azrol Anuar berkata, kes kemalangan dua bot itu telah dirujuk kepada Maritim Malaysia (APMM) untuk siasatan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE

Sultan Mizan kurnia darjah kebesaran kepada 111 individu







Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA TERENGGANU – Seramai 111 orang menerima kurniaan darjah kebesaran dan bintang sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ke-61.

Sultan Mizan berkenan menyampaikan darjah kebesaran dan bintang berkenaan pada majlis istiadat penganugerahan tersebut berlangsung di Istana Syarqiyyah, di sini hari ini.

Mendahului senarai penerima darjah kebesaran tersebut ialah Pengarah Tanah dan Galian Terengganu, Datuk Zulkifli Ali dan Pengerusi dan Pengarah Urusan Yen Tin, Datuk Tan Choo Meng.

Zulkifli menerima gelaran Datuk Nara Setia manakala Choo Meng pula Datuk Kaya Pati.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Datuk Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Pengerusi Eksekutif TSLAW Tower, Tan Sri Law Ten Seng pula dikurnia Darjah Kebesaran Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu Yang Amat Terpilih (S.S.M.Z) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Darjah Kebesaran Dato’ Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (D.S.M.Z) dikurnia kepada enam individu.

Antara penerima ialah Pengarah Jabatan Pencegahan dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Aidi Ismail; Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid dan Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Datuk Seri Dr. Yusof Ismail.

Sultan Mizan turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati (D.P.M.T) yang membawa gelaran Datuk kepada 27 individu.

Antara penerimanya ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd. Nor Hamzah; Mufti Terengganu, Dr. Mohamad Sabri Haron; Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin, Prof. Dr. Fadzli Adam dan Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Ishamudin Hashim.

Pengurus Besar Syarikat Bekalan Air KIPC Sdn. Bhd, Atemin Sulong; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu, Wan Adnan Wan Derahman dan Timbalan Setiausaha (Pengurusan) Kerajaan Negeri Terengganu, Anuar Awang turut menerima D.P.M.T. – KOSMO! ONLINE

Wednesday, June 14, 2023

UMT tawar program Asasi STEM Antarabangsa mulai Ogos

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bakal menawarkan program baharu, Asasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Antarabangsa mulai sesi kemasukan 2023/24, Ogos depan. 

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd. Ghaffar berkata, program STEM Antarabangsa membuka ruang kepada pelajar asing untuk melanjutkan pelajaran di negara ini dari peringkat persediaan lagi.

 “Pengenalan program baharu ini membuktikan keupayaan UMT untuk menawarkan kursus berkualiti sesuai dengan kehendak global.

 “Pelajar asing yang melepasi program Asasi STEM Antarabangsa bakal ditawarkan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi bermula dengan Ijazah Sarjana Muda di UMT,” katanya di sini semalam. 

Program Asasi STEM Antarabangsa memberi fokus kepada asas sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik melibatkan tempoh pembelajaran selama tiga semester iaitu setahun. 

Mazlan berkata, program tersebut juga membolehkan UMT melakukan pengambilan pelajar antarabangsa secara terus bermula peringkat persediaan. 

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, UMT mempunyai beberapa program dwi-sarjana dengan beberapa institusi pengajian tinggi luar negara. 

“Setakat ini, UMT telah mempunyai ‘Joint PhD’ (dwi-Sarjana Doktor Falsafah) bersama Ghent University, Belgium. “Pelaksanaan ‘dwi-sarjana’ program bersama-sama Solent University, United Kingdom pula dalam peringkat pelaras peringkat akhir,” katanya.

Tuesday, June 13, 2023

Terkedu lihat adik sendiri maut kemalangan

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki yang tersangkut dalam kesesakan lalu lintas akibat kemalangan terkedu apabila mangsa terlibat rupa-rupanya adik kandungnya sendiri. 

Muhammad Hairie Fitri Mohd. Husaini, 20, berkata, dia hiba apabila mengetahui mayat yang ditutup kain putih adalah adik lelakinya, Muhammad Araf Farhin, 16. 

Katanya, sebelum kejadian, dia yang sedang memandu kereta tersangkut dalam kesesakan di Jalan Sultan Mahmud di sini pada pukul 12.50 tengah malam semalam.

 “Saya yang baru pulang dari tempat kerja di Lembah Bidong, Setiu dalam perjalanan ke hospital untuk menziarah ibu dan ayah di dalam wad,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, sewaktu hampir di lokasi kemalangan, dia menerima panggilan daripada kawannya yang memaklumkan kemalangan itu. 

Dia kemudian berhenti di tepi jalan untuk memeriksa mayat tersebut bagi membuat pengesahan.

 “Hancur hati saya, memang sah adik saya yang menjadi terkorban,” katanya. 

Dia memberitahu, kemalangan berlaku apabila motosikal dinaiki Muhammad Araf Farhin gagal mengelak sebuah kenderaan utiliti sukan sebelum merempuhnya.

Monday, June 12, 2023

Ajal lelaki OKU terbabit nahas ketika pulang ke rumah

MARANG – Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) maut selepas motosikal yang ditunggang bertembung dengan kenderaan jenis sama di Jalan Rawai-Padang Limau Nipis berhampiran Kampung Bukit Damai di sini kelmarin.

 Kejadian pada pukul 9.45 malam itu mengorbankan mangsa, Mohd. Azman Mat Salleh, 43, yang kudung kaki tangan. 

 Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala dan beberapa anggota badan. 

Kemalangan itu turut menyebabkan dua lagi mangsa iaitu Mohamad Zulkifli Suparman, 32, dan anaknya, Nur Ameena Sofia, 4, cedera. 

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, sewaktu kejadian, Mohd. Azman yang menunggang motosikal Honda Dash 125 dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Limau Nipis. 

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan memasuki laluan bertentangan. 

“Kenderaan itu kemudian bertembung dengan motosikal Yamaha LC135 yang dinaiki Mohamad Zulkifli dan anak perempuannya,” katanya semalam. 

Mohd. Zain berkata, impak pelanggaran itu menyebabkan ketiga-tiga mangsa tercampak dari motosikal masing-masing. 

Mayat Mohd. Azman dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk dibedah siasat. Mohamad Zulkifli yang patah tangan dan kaki serta anaknya dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk mendapatkan rawatan.

Sunday, June 11, 2023

Sanggup tipu jadi janda sebab nak mohon duit zakat

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Golo­ngan miskin tegar di negeri ini sanggup melakukan pelbagai cara untuk mendapatkan bantuan zakat termasuk mengaku sebagai janda biarpun bergelar isteri orang. 

Selain itu, terdapat golongan tersebut yang menjual semula barangan bantuan seperti enjin bot, motosikal roda tiga dan haiwan ternakan yang diberikan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang untuk mengubah hidup mereka. 

Perbuatan itu membantutkan usaha Maidam untuk mengubah golongan itu untuk keluar daripada kemiskinan, malah bilangannya bertambah saban tahun. 

Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, statistik menunjukkan bilangan asnaf fakir miskin bertambah 500 orang kepada 22,023 orang setakat April lalu berbanding 21,500 orang tahun lalu. 

“Keadaan itu menggambarkan seolah-olah usaha bersungguh-sungguh pihak zakat membantu golongan miskin selama ini gagal.

 “Saya bimbang kerana sejak berkhidmat (di Maidam) puluhan tahun, golongan fakir miskin di negeri ini tidak pernah berkurangan, malah semakin bertambah,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini. 

Menurut Shaikh Harun, walaupun pandemik Covid-19 melanda tiga tahun lalu menjadi antara penyumbang kepada peningkatan angka tersebut, namun punca utama adalah mentaliti segelintir golongan miskin tegar. 

Jelasnya, ada asnaf yang tidak mahu berusaha kerana berasa selesa menerima bantuan zakat, malah tidak kurang juga ada yang mengambil kesempatan. 

“Ada yang sanggup mengaku sebagai ibu tunggal sedangkan masih bersuami semata-mata mahukan bantuan zakat.

 “Tidak kurang juga ada yang menjual semula barangan bantuan seperti enjin bot, motosikal roda tiga dan haiwan ternakan yang diberikan pihak Maidam untuk mengubah nasib masing-masing,” katanya. 

Shaikh Harun memberitahu, inisiatif menaja anak-anak miskin tegar yang keciciran pelajaran untuk mendapat kemahiran agar menjadi usahawan bagi mengubah nasib keluarga juga seolah-olah tidak memberikan hasil yang memuaskan.

Tambahnya, pelbagai alasan diberikan oleh golongan tersebut setelah kursus kemahiran yang menelan kos tinggi mencecah RM8,000 tamat. 

“Tajaan itu jauh lebih tinggi daripada bantuan diberikan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di universiti luar negara di bawah kategori asnaf fi sabilillah. 

“Akhirnya kehidupan mereka kekal miskin dan hanya menagih bantuan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, adalah menjadi cabaran besar buat Maidam dalam mengubah sikap serta mentaliti golongan tersebut yang bukan sahaja miskin harta, tetapi juga minda.

 “Sebagai agensi pelaksana, kita perlu mencari mekanisme lain lebih berkesan untuk mengubah mentaliti itu yang sudah bersarang sekian lama,” katanya. 

Beliau turut menepis persepsi masyarakat yang menuduh seolah-olah agihan zakat tidak telus.

 “Hakikatnya agihan melebihi kutipan. Misalnya, setakat Mac lalu, Maidam menerima RM24 juta. Agihan kepada asnaf yang layak jauh lebih banyak iaitu RM36.3 juta,” katanya.