Translate

Saturday, December 31, 2022

Kosmo! gondol 3 anugerah Apresiasi Media Terengganu


KUALA TERENGGANU – Mdia Mulia Sdn. Bhd. menerusi dua akhbar terbitannya, Kosmo! dan Utusan Malaysia cemerlang menggondol tiga anugerah utama pada majlis Apresiasi Media Terengganu kelmarin. 

Wakil Negeri Kosmo! Biro Terengganu, Mohd. Azli Adlan dinobatkan pemenang utama kategori Berita Terbaik Media Cetak menerusi laporan Misi Vaksinasi Warga Pulau. 

Rencana disiarkan pada 24 Ogos tahun lalu itu memaparkan cabaran kerajaan negeri Terengganu memastikan imuniti kelompok dalam kalangan 5,000 warga rangkaian pulau peranginan sebagai inisiatif menyegerakan pembukaan semula sektor pelancongan yang ditutup ekoran pandemik Covid-19. 

Jurugambar Kosmo!, Puqtra Hairry Rosli pula meraih dua anugerah, masing-masing bagi kategori Foto Terbaik Media Digital dan juga Foto Terbaik Media Cetak. Beliau meraih tempat pertama untuk kategori Foto Terbaik Media Digital menerusi karya Rindu Solat Jumaat yang disiarkan pada 2 Julai 2021. 

Karya Wau Naga yang disiarkan pada 28 Mac lalu pula melayakkan Puqtra Hairry memenangi tempat kedua kategori Foto Terbaik Media Cetak. 

Kedua-dua petugas Kosmo! terbabit masing-masing membawa pulang ganjaran wang tunai RM3,000 bagi kemenangan tempat pertama, manakala RM2,000 di tempat kedua di samping plak dan sijil penghargaan. 

Hadiah anugerah anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Terengganu (UPDI) tersebut disampaikan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Yahaya Ali. 

Selain itu, beliau turut menyampaikan anugerah khas kepada 13 pempengaruh media sosial tempatan seperti pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus sebagai Tokoh Media Berpengaruh. 

Terdahulu, Yahya berkata, pengamal media telah melaksanakan peranan besar bagi melakukan semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan negeri Terengganu selama ini.

Ahmad Samsuri mohon maaf keluar negara waktu banjir buruk

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memohon maaf ekoran tindakannya ke luar negara ketika negeri ini dilanda musibah banjir besar sejak Ahad lalu.

Beliau juga kesal tidak dapat bersama rakyat yang sedang menderita terutama sepanjang tempoh ktitikal banjir besar iaitu pada Isnin hingga Rabu lalu.

“Saya mohon jutaan kemaafan kepada mangsa (banjir) dan rakyat Terengganu. Saya faham tidak boleh memberikan apa juga alasan (tentang) ketiadaan saya.

“Saya juga faham apa juga penjelasan, ia tidak akan memberi apa-apa makna kepada rakyat Terengganu,” katanya di sini hari ini.

Kosmo! semalam melaporkan ramai rakyat Terengganu yang menjadi mangsa banjir tertanya-tanya kelibat Ahmad Samsuri yang kali terakhir dilihat berada di negeri ini pada 11 Disember lalu.

Difahamkan beliau bercuti bersama keluarganya di New Zealand sebelum berjanji akan pulang segera setelah menerima kecaman ramai.

Ahmad Samsuri menjelaskan keputusannya ke luar negara baru-baru ini dibuat kerana menyangkakan banjir gelombang pertama di Terengganu sudah semakin pulih.

Jelas beliau, pada waktu itu, berlaku trend penurunan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini dan langsung tidak menyangka ia kembali memburuk mulai 17 Disember lalu.

“Saya ada turun bertemu mangsa banjir pada peringkat awal iaitu 9 dan 10 Disember lalu. Saya tetap teliti suasana banjir (di Terengganu) setiap masa.

“Sebarang kekurangan dan kelemahan di pihak kerajaan negeri, saya mengambil memohon maaf daripada mangsa. Kita akan cuba baiki pada masa akan datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Kekal di PPS, banjir mungkin berulang

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Mangsa banjir di seluruh negara dinasihatkan agar tidak pulang lagi ke rumah masing-masing pada masa terdekat.

Mereka sebaliknya disaran kekal di pusat pemindahan sementara (PPS) sekurang-kurangnya sehingga Ahad ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, berdasarkan Jabatan Meterologi Malaysia (MET), kemuncak hujan lebat pada gelombang kedua banjir dijangka akan turun pada lusa.

“(Pada masa sama, fenomena) air pasang besar juga paling kemuncak pada 25 Disember ini.

“Nasihat kita, walaupun (banjir) sudah surut, jangan balik (rumah) dulu. Kita takut (berlaku) gelombang kedua yang akan menyebabkan banjir semula,” katanya selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Peradong, Manir di sini hari ini.

Mohamad berkata, risiko banjir tetap ada walaupun hujan mungkin tidak turun di penempatan mangsa terlibat yang terletak di kawasan hilir sungai seperti Manir pada masa ini.

Jelas beliau, ini kerana sekiranya berlaku hujan di hulu, ia akan bakal meningkatkan paras sungai sebelum melimpahi kawasan hilir berkenaan.

Kosmo! hari ini melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan semua agensi terlibat bersiap siaga untuk menghadapi gelombang kedua banjir sehingga Rabu depan. – KOSMO! ONLINE

Kereta peronda polis musnah terbakar di LPT 2

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Dua anggota polis panik apabila kereta peronda yang dinaiki mereka tiba-tiba terbakar di Kilometer 381.8, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran Bukit Besi di sini hari ini.

Kejadian yang memusnahkan kereta peronda polis jenis Proton Preve tersebut berlaku pada pukul 4.57 petang.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Khairul Ilmi Mohd. Akhir berkata, sewaktu kejadian, kereta peronda dinaiki dua anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu itu sedang menghala ke arah Ajil, Hulu Terengganu.

“Kereta peronda polis yang dinaiki mereka tiba-tiba berasap sebelum terbakar. Mereka sempat keluar dari kenderaan untuk menyelamatkan diri.

“Anggota polis berkenaan kemudian melaporkan kejadian kereta peronda terbakar itu kepada bomba,” katanya di sini hari ini.

Khairul Ilmi berkata, kereta peronda polis itu hangus dan musnah 100 peratus akibat kebakaran berkenaan dan berjaya dipadamkan anggota bomba tidak lama kemudian.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE

Banjir: 25,895 mangsa masih terkesan di Terengganu

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Mangsa banjir Terengganu pagi ini terus berkurangan kepada 25,895 mangsa daripada 6,844 keluarga.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, mereka masih berlindung di 181 pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini.

“Kemaman kekal paling terjejas dengan 5,439 mangsa daripada 1,390 keluarga masih berada di 16 PPS.

“Seramai 5,201 mangsa daripada 1,396 keluarga pula masih ditempatkan di 32 PPS di Dungun,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, sebanyak 49 PPS masih aktif di Besut dengan 4,309 mangsa daripada 1,067 keluarga di dalamnya.

Tambah beliau, Hulu Terengganu pula mempunyai 3,567 mangsa daripada 1,116 keluarga yang berada di 30 PPS.

“Seramai 3,561 mangsa daripada 909 keluarga berada di 17 PPS di Kuala Nerus manakala sebanyak 13 PPS yang mempunyai 2,503 mangsa masih dibuka di Kuala Terengganu.

“Setiu pula masih mempunyai 1,118 mangsa daripasa 276 keluarga di 21 PPS manakala hanya tinggal 197 mangsa di Marang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Pemuda mati lemas terjatuh Sungai Berang

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Seorang lelaki maut akibat lemas selepas dipercayai terjatuh di Sungai Berang berhampiran Jambatan Kampung Pengkalan Ajal di sini hari ini.

Mangsa, Muhammad Haikal Naim Muktar, 20, yang dipercayai menghidap penyakit sawan dikatakan telah tergelincir ketika berdiri di tebing sungai berkenaan pada pukul 8.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Hasmeera Hassan berkata, mangsa yang menetap tidak jauh dari lokasi kejadian kemudiannya dibawa arus deras.

“Mayat mangsa telah tersangkut pada akar pokok kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian. Dua penduduk kampung yang ke lokasi kejadian untuk memukat ikan kemudiannya menemui mayat mangsa kira-kira pukul 12.30 tengah hari,” katanya di sini hari ini.

Hasmeera berkata, mayat Muhammad Haikal  kemudiannya dibawa ke tebing sungai sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, setakat ini, tiada unsur jenayah ditemui dan kematian mangsa diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. – KOSMO! ONLINE

Agensi diarah siap siaga hadapi gelombang baharu banjir

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Belum reda banjir gelombang pertama yang mencetuskan bencana besar khususnya di Pantai Timur sejak Ahad lalu, amaran gelombang kedua bah telah dikeluarkan mulai hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), luruan hujan yang membawa risiko banjir bakal melanda negara sekali lagi hingga Rabu depan.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan telah mengarahkan semua agensi terlibat terus bersiap siaga menghadapi gelombang kedua banjir tersebut walaupun trend banjir terkini menunjukkan penurunan.

“Saya telah memberitahu setiausaha kerajaan negeri-negeri agar sentiasa bersiap siaga di daerah-daerah.

“Berdasarkan nasihat MetMalaysia, pemindahan (penduduk terlibat) perlu dilakukan (segera) di pusat pemindahan sementara (PPS) ditetapkan,” katanya selepas memantau perkembangan banjir di Kampung Bukit Mentok, di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, Kabinet juga telah mengarahkan Kementerian Pertahanan memobiliti aset-aset penting seperti trak dan lori 10 tan ke atas ke depoh bekalan di negeri-negeri berisiko tinggi banjir berkuatkuasa hari ini.

Jelas beliau, ia sebagai penyelesaian masalah logistik yang mengganggu operasi penyelamat dan penghantaran bantuan makanan kepada mangsa banjir khusunya di kawasan terputus hubungan sebelum ini.

“Kementerian Pertahanan telah diminta memobilisasikan trak di depoh-depoh bekalan supaya dapat digerakkan di kawasan-kawasan yang sedia mengalami banjir,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Banjir: 15,243 mangsa masih terjejas di Terengganu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Mangsa banjir Terengganu pagi ini terus berkurangan kepada 15,243 orang daripada 4,182 keluarga.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, sebanyak 112 pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di semua lapan daerah di negeri ini.

Beliau berkata, Hulu Terengganu mempunyai mangsa banjir teramai iaitu 3,431 orang daripada 1,150 keluarga di 26 PPS.

“Seramai 2,988 mangsa daripada 759 keluarga masih berada di 14 PPS di Kuala Nerus manakala 21 PPS yang mempunyai 2,604 mangsa daripada 666 keluarga masih beroperasi di Dungun.

“Besut pula mempunyai 2,138 mangsa daripada 567 keluarga yang masih menghuni 30 PPS,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, seramai 1,970 mangsa daripada 502 keluarga masih berlindung di empar PPS di Kemaman.

Tambah beliau, sebanyak 10 PPS yang menempatkan 1,811 mangsa daripada 490 keluarga masih aktif di Kuala Terengganu.

“Setiu pula tinggal 225 mangsa daripada 47 keluarga yang berada di enam PPS manakala 76 penghuni sebuah madrasah masih terjejas banjir di Marang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Banjir: 36,231 mangsa masih berada di 256 PPS

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Situasi banjir di Terengganu tidak banyak berubah pagi ini apabila 36,231 mangsa daripada 9,739 keluarga masih ditempatkan di 256 pusat pemindahan sementara (PPS), di seluruh negeri ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Kemaman kekal daerah paling terjejas dengan 7,364 mangsa daripada 1,971 keluarga masih berada di 24 PPS.

“Seramai 6,672 mangsa daripada 1,587 keluarga pula berada di 66 PPS di Besut,” katanya di sini, hari ini.

Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, sebanyak 41 PPS masih beroperasi di Dungun dengan 6,186 mangsa daripada 1,619 keluarga masih berlindung.

Tambah beliau, Hulu Terengganu masih mempunyai 5,954 mangsa daripada 1,976 keluarga yang berada di 47 PPS.

“Seramai 3,895 mangsa daripada 988 keluarga masih berada di 17 PPS di Kuala Nerus.

“Sebanyak 13 PPS yang mempunyai 2,863 mangsa daripada 751 keluarga masih dibuka di Kuala Terengganu,” katanya.

Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, Setiu pula masih mempunyai 2,375 mangsa daripada 622 keluarga.

Beliau berkata, seramai 922 mangsa daripada 255 keluarga berada di 12 PPS di Marang. – KOSMO! ONLINE

Banjir: Terengganu tinggal 5,810 mangsa

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Situasi banjir di Terengganu semakin pulih dengan hanya 5,810 mangsa daripada 1,651 keluarga masih berada di 44 pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, semua tujuh daerah di negeri ini menunjukkan trend penurunan manakala Kemaman pula telah pulih sepenuhnya semalam.

“Kuala Nerus yang terletak di hilir Sungai Terengganu mempunyai 2,210 mangsa daripada 574 keluarga yang masih berada di 11 PPS.

“Seramai 1,288 mangsa daripada 482 keluarga pula masih berada di tujuh PPS di Hulu Terengganu,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, sebanyak enam PPS masih aktif di Kuala Terengganu dengan 916 mangsa daripada 259 mangsa berlindung di dalamnya.

Tambahnya, Dungun pula masih mempunyai 773 mangsa daripada 207 keluarga yang berada di 10 PPS.

“Seramai 421 mangsa daripada 105 keluarga masih berada di tujuh PPS di Besut manakala tinggal dua PPS yang mempunyai 126 mangsa beroperasi di Setiu.

“Seramai 76 penghuni sebuah madrasah pula masih terjejas banjir di Marang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Penyebar berita palsu kononnya Jambatan Manir runtuh diburu polis

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Tindakan tegas akan diambil terhadap seorang pengguna akaun TikTok yang dipercayai menyebarkan video palsu kononnya Jambatan Manir di sini bakal runtuh berikutan banjir besar pada Ahad lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, video tersebut telah mencetuskan panik dan kegusaran dalam kalangan pengguna jalan raya di bandar raya ini.

Beliau berkata, dakwaan Jambatan Manir bakal runtuh tersebut juga telah menyebabkan ramai pengguna menghindari laluan menghubungkan mukim Durian Burung dan Manir di sini sekali gus menyebabkan kesesakan di laluan alternatif lain.

“Satu laporan polis berhubung penyebaran video palsu di akaun TikTok tersebut telah diterima semalam.

“Sehubungan itu, kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya di sini hari ini.

Rohaimi berkata, pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak menyebarkan berita palsu sewaktu musim banjir ini.

Tegas beliau, amaran telah diberikan sebelum ini kerana penyebaran berita palsu berkenaan boleh mencetuskan kegusaran awam. – KOSMO! ONLINE

Banjir: Orang Dungun, Setiu, Hulu Terengganu mula kemas rumah

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Cuaca baik sepanjang hari ini membolehkan situasi banjir Terengganu semakin pulih dengan Dungun, Setiu dan Hulu Terengganu telah surut sepenuhnya.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, sebanyak 19 pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di tiga daerah itu telah dibenarkan ditutup.

Beliau berkata, seramai 3,974 mangsa semua daerah berkenaan telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat sehingga pukul 6 petang tadi.

“Mangsa banjir Terengganu yang masih berada di PPS kini tinggal 1,836 orang daripada 485 keluarga di empat daerah.

“Ia melibatkan daerah Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Besut dan Marang dengan 15 PPS masih dibuka,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, Kuala Nerus yang terletak di hilir Sungai Terengganu masih mempunyai 1,359 mangsa daripada 379 keluarga di tujuh PPS.

Tambah beliau, seramai 218 mangsa daripada 54 keluarga masih ditempatkan di dua PPS di Kuala Terengganu.

“Sebanyak lima PPS yang mempunyai 183 mangsa masih aktif di Besut manakala 76 penghuni sebuah madrasah kekal terjejas banjir di Marang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Banjir: 40,456 mangsa masih terjejas di Terengganu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Mangsa banjir hari ini terus meningkat kepada 40,456 orang daripada 11,197 keluarga.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, setakat ini, sebanyak 299 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh lapan daerah di negeri ini.

“Kemaman kekal daerah paling teruk terjejas dengan 9,147 mangsa daripada 2,441 keluarga masih berada di 30 PPS.

“Seramai 8,536 mangsa daripada 2,265 keluarga pula berada di 88 PPS di Besut,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, seramai 49 PPS masih aktif di Hulu Terengganu dengan 5,893 mangsa daripada 1,952 keluarga ditempatkan.

Tambah beliau, Dungun pula masih mempunyai 4,419 mangsa daripada 1,239 keluarga yang berlindung di 40 PPS.

“Seramai 4,352 mangsa daripada 1,246 keluarga pula masih berada di 52 PPS di Setiu.

“Mangsa banjir di Kuala Nerus meningkat kepada 3,597 orang daripada 862 keluarga di 16 PPS,” katanya.

Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, Kuala Terengganu pula masih mempunyai 2,777 mangsa daripada 752 keluarga.

Tambah beliau, sebanyak 12 PPS beroperasi di Marang dengan masih dihuni 1,735 mangsa daripada 440 keluarga,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Banjir: Terengganu semakin pulih, tinggal 1,438 mangsa

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Situasi banjir di Terengganu semakin pulih dengan hanya 1,438 mangsa daripada 385 keluarga masih terjejas.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, mereka berada di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah.

“Kuala Nerus masih mempunyai 1,090 mangsa daripada 312 keluarga yang berlindung di empat PPS.

“Seramai 183 mangsa daripada 51 keluarga pula berada di lima PPS di Besut manakala hanya dua PPS yang mempunyai 89 mangsa masih beroperasi di Kuala Terengganu,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, seramai 76 penghuni sebuah madrasah masih terjejas banjir di Marang.

Tambah beliau, keadaan banjir di negeri ini dijangka semakin baik memandangkan cuaca diramal cerah hari ini. – KOSMO! ONLINE

ATM diarah mobiliti aset bantu banjir Pantai Timur

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Kerajaan telah mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memobiliti aset-aset khususnya trak dan lori melebihi 10 tan ke negeri-negeri yang terjejas teruk dengan banjir pada masa ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia bertujuan bagi mengatasi isu kekurangan aset yang agak mengganggu operasi banjir khususnya di Pantai Timur.

“Saya telah meminta agar Angkatan Tentera Malaysia khususnya Menteri Pertahanan (Datuk Seri Mohamad Hasan) untuk memobilisasikan trak atau lori yang lebih berat lagi 10 tan ke atas bagi dikerahkan ke Kelantan, Terengganu Pahang dan mungkin negeri-negeri lain.

“Saya yakin semua (masalah) logistik akan diselesaikan sesegera mungkin,” katanya selepas memantau keadaan banjir di Kampung Nangka di sini hari ini.

Kosmo! Online semalam melaporkan
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, pasukan keselamatan menghadapi kekangan logistik bagi menjalankan operasi memindah dan menyelamatkan mangsa banjir.

Beliau berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, Kemaman dan Setiu telah memohon penambahan aset bagi menghadapi banjir kali ini yang agak buruk berbanding musim tengkujuh lalu.

Ahmad Zahid berkata, masalah logistik berlalu kerana hujan lebat dan luruan monsun yang berlaku sejak hujung minggu lalu telah mencetuskan banjir besar tiga kali ganda daripada kebiasaan.

Jelas beliau, masalah logistik terbabit telah menyebabkansedikit kelewatan dalam penghantaran bekalan makanan di pusat pemindahan sementara (PPS) kritikal di pedalaman akibat terputus hubungan.

“Begitupun saya yakin koordinasi yang dilakukan di peringkat daerah dan negeri dapat menyantuni segera semua permasalahan mangsa (banjir) terlibat dengan segera,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Banjir: Mangsa Terengganu tinggal 191 orang

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Cuaca baik sepanjang hari ini membolehkan situasi banjir semakin pulih dengan hanya 191 mangsa masih berada di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Terengganu.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Kuala Nerus menjadi daerah terbaharu yang pulih sepenuhnya daripada banjir.

Beliau berkata, semua 1,090 mangsa daripada 312 keluarga yang sebelum ini berada di empat PPS di daerah berkenaan telah dibenar pulang ke rumah masing-masing mulai pukul 12 tengah hari.

“PPS Sekolah Kebangsaan Pengkalan Berangan di Marang yang sebelum ini dihuni 76 mangsa banjir juga telah menutup operasi pada pukul 10 pagi tadi.

“Hanya dua daerah masih terjejas iaitu Besut dan Kuala Terengganu,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, seramai 138 mangsa daripada 41 keluarga masih ditempatkan di dua PPS di Besut iaitu Masjid Kampung La dan Balai Raya Kampung Pantai.

“Satu-satunya PPS yang masih beroperasi di Kuala Terengganu pula ialah SK Bukit Losong di sini.

“Seramai 53 mangsa daripada 12 keluarga masih ditempatkan di PPS itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Banjir: 37,692 mangsa berlindung di 310 PPS di Terengganu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Situasi banjir di Terengganu semakin memburuk dengan 37,792 orang daripada 10,401 keluarga telah terjejas.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, setakat 310 pusat pemindahan sementara (PPS) telah diaktifkan di seluruh lapan daerah di negeri ini.

“Kemaman paling teruk terjejas melibatkan 12,000 mangsa daripada 3,094 keluarga yang kini ditempatkan di 37 PPS.

“Seramai 8,228 mangsa daripada 2,250 keluarga pula terjejas di Besut dan melibatkan pembukaan 92 PPS,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, sebanyak 61 PPS telah dibuka di Hulu Terengganu melibatkan 6,691 mangsa daripada 2,097 keluarga.

Tambah beliau, Setiu pula melibatkan 3,988 mangsa daripada 1,196 keluarga yang berada di 56 PPS.

“Seramai 2,484 mangsa daripada 659 keluarga pula berada di 36 PPS di Dungun mananakala Kuala Terengganu mempunyai 1,900 mangsa daripada 503 keluarga.

“Sebanyak 10 PPS di buka di Kuala Nerus melibatkan 1,521 mangsa daripada 371 keluarga,” katanya.

Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, seramai 980 mangsa daripada 231 keluarga pula berada di lapan PPS di Marang.

Beliau berkata, setakat ini, hujan lebat yang turun sejak malam Sabtu lalu di seluruh Terengganu masih belum ada tanda untuk reda. – KOSMO! ONLINE

Banjir: Tinggal hanya 138 mangsa di Besut

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Situasi banjir di Terengganu semakin pulih dengan hanya 138 mangsa daripada 41 keluarga masih berada di dua pusat pemindahan sementara (PPS).

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Besut merupakan satu-satunya daerah yang masih terjejas dengan banjir di negeri ini.

Beliau berkata, Kuala Terengganu pula telah pulih sepenuhnya dengan PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Losong dibenarkan menutup operasi pada pukul 4 petang semalam.

“Seramai 126 mangsa daripada 38 keluarga masih ditempatkan di Masjid Kampung La, Besut.

“Satu lagi PPS di Besut iaitu Balai Raya Kampung Pantai pula masih mempunyai 12 mangsa daripada tiga keluarga,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, banjir di negeri ini diharapkan terus pulih memandangkan cuaca diramal cerah pada hari ini. – KOSMO! ONLINE

Terengganu bagai dilanda ‘tsunami kecil’

KUALA TERENGGANU – ­Mang­sa banjir di negeri ini ­terus meningkat kepada hampir 40,000 orang melibatkan semua lapan daerah yang disifatkan seolah-olah dilanda tsunami kecil.

Angka itu dijangka terus me­ningkat memandangkan hujan lebat sejak malam Sabtu lalu tia­da tanda akan surut pada masa terdekat.

Berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia, hujan le­bat dan lurun monsun tersebut akan berterusan sehingga esok.

Rata-rata penduduk yang terjejas berasakan musibah kali ini antara terburuk pernah melanda Terengganu dan hampir me­nyamai banjir besar yang pernah berlaku pada 1986.

Ribuan rumah penduduk ditenggelami, malah ada yang dihanyutkan air.

Selain itu, banyak kemudahan awam, pejabat kerajaan, institusi pengajian tinggi dan sekolah juga terjejas melibatkan kerugian dianggarkan jutaan ringgit.

Beberapa kawasan terutama di Kemaman dan Hulu Terengganu mengalami gangguan bekalan elektrik dan air yang menjejaskan kehidupan penduduk.


Seorang mangsa, Ab. Fattah Salleh, 57, berkata, rumahnya di Kampung Pulau Rusa di sini dinaiki air sedalam 1.5 meter tidak sampai sejam selepas hujan lebat pada Ahad lalu.

“Waktu itu saya menonton siaran langsung perlawanan akhir Piala Dunia bersama keluarga.

“Air masuk memenuhi rumah dengan pantas, tidak sampai sejam sudah naik setinggi 1.5 meter,” katanya di sini semalam.

Di Besut, Kampung Mak Sara di sini ditenggelami banjir sehingga menghanyutkan sebahagian gerai penduduk semalam.

Hampir kesemua rumah penduduk tenggelam hingga paras bumbung.

Seorang penduduk, Nur ­Amiza Zakaria, 32, berkata, banjir yang melanda sejak kelmarin membawa arus deras yang disifatkan bagaikan tsunami kecil.

Pengusaha gerai makanan itu memberitahu, rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang didiaminya sejak lima tahun lalu turut ‘hilang’ ditenggelami banjir.

“Banjir yang berlaku sangat dahsyat dan paling buruk dalam tempoh 20 tahun.

“Saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa barangan dan hanya boleh sayu melihat keseluruhan rumah ditenggelami air,” katanya.

Di Kota Bharu, Kelantan, mangsa banjir terus mencatatkan peningkatan apabila seramai 26,513 mangsa ditempatkan di 133 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah setakat semalam.

Pegawai Pengurusan Bencana dan Operasi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Kapten Mohd. Hanif Omar berkata, jumlah itu membabitkan 7,379 buah keluarga yang berlindung di PPS.

Menurutnya, Pasir Mas masih kekal daerah paling teruk terjejas apabila melibatkan seramai 6,994 mangsa diikuti Pasir Puteh (4,379), Tumpat (4,202) dan Kota Bharu (4,071).

“Seramai 3,418 mangsa banjir di Kuala Krai, Tanah Merah (1,315), Machang (1,124) dan Bachok (1,158).

“Tiga PPS di Jeli yang menempatkan 420 mangsa kelmarin ditutup sepenuhnya semalam. Daerah Gua Musang masih selamat apabila tiada mangsa banjir dicatatkan setakat ini,” katanya.

Laluan 393.4 LPT2 ditutup ekoran cerun runtuh

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Laluan Kilometer (KM) 393.4, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) arah utara menghala ke Ajil di sini ditutup untuk kegunaan kenderaan ekoran kejadian cerun runtuh malam tadi.

Jurucakap Lebuhraya Pantai Timur 2 Sdn. Bhd. (LPT 2) berkata, insiden cerun runtuh tersebut berlaku pada pukul 11.10 malam.

Beliau berkata, kejadian cerun runtuh tersebut berlaku di lokasi sama berlaku limpahan air dan banjir lumpur pada pukul 11.30 pagi semalam.

“Laluan kontra telah dibuka berikutan kejadian limpahan air itu sebelum ditutup kira-kira sejam kemudian setelah kerja-kerja pembaikan selesai.

“Begitupun, berlaku kejadian cerun runtuh di laluan kontra terbabit pada pukul 11.10 malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, jurucakap LPT 2 berkata, buat masa ini, semua kenderaan yang melalui lebuh raya berkenaan dari arah Kuantan, Pahang akan dilencongkan keluar ke Plaza Tol Dungun di sini.

“Kenderaan yang dari arah Kuala Terengganu pula akan keluar melalui Plaza Tol Ajil di sini,”katanya. – KOSMO! ONLINE

Campak 102.83 kg ganja tepi LPT 2

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Anggota polis trafik yang mengadakan rondaan di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) menjumpai 101 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja berhampiran susur keluar Plaza Tol Kuala Terenggganu berhampiran Kampung Gemuroh di sini kelmarin.

Ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja itu dianggarkan bernilai RM257,075.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, sebelum ini, empat anggota polis trafik berkenaan melakukan operasi pemeriksaan pergerakan awam di kawasan sekitar Kampung Jong hingga plaza tol berkenaan.

“Operasi itu dilakukan di lokasi tersebut dan sekitarnya dari pukul 2.30 pagi hingga 4 pagi hari itu.

” Sebaik tiba di kawasan susur keluar menghala ke arah Kuantan, mereka menjumpai objek mencurigakan berupa beberapa kotak yang diletakkan di atas tanah berhampiran pembahagi jalan,” katanya di sini hari ini.

Rohaimi berkata, pemeriksaan mendapati 101 bungkusan tersebut mengandungi ganja seberat 102.83 kilogram (kg).

Tambah beliau, penemuan tersebut kemudiannya dimaklumkan kepada Bahagian Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu.

“Siasatan awal tidak menolak kemungkinan bungkusan dadah berkenaan ditinggalkan sementara oleh penjenayah sementara menunggu pemeriksaan anggota polis trafik selesai,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Banjir: Terengganu pulih sepenuhnya

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Banjir gelombang pertama yang melanda Terengganu sejak 7 Disember lalu sebelum mencapai kemuncaknya pada 10 hari kemudian berakhir sepenuhnya hari ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, satu-satu pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu Masjid Kampung La, Besut yang masih beroperasi sebelum ini telah menutup operasinya pada pukul 10 pagi tadi.

“Seramai 22 mangsa daripada lima keluarga yang berlindung di PPS itu telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sebentar tadi.

“Sehubungan itu, semua PPS yang telah beroperasi di negeri ini sejak 7 Disember lalu ditutup,” katanya di sini hari ini.

Banjir gelombang pertama yang pada mulanya telah melibatkan dua daerah iaitu Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu telah merebak ke seluruh negeri ini mulai 17 Disember lalu.

Sepanjang tempoh itu, lebih 41,000 keluarga terpaksa berpindah ke PPS di lapan daerah di Terengganu.

Antara kawasan yang teruk terjejas ialah Kampung La, Hulu Besut apabila semua 100 rumah penduduk ditenggelami banjir. – KOSMO! ONLINE