Translate

Wednesday, August 31, 2011

Belajar melombong di Lembah Bijih Timah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Lost World of Tambun (LWOT), taman tema air popular di negeri Perak menampilkan tarikan terbaharu kepada para pengunjungnya iaitu Lembah Bijih Timah yang mula dibuka kelmarin.

Pengurus Besarnya, Calvin Ho berkata, Lembah Bijih Timah merupakan laman pendidikan yang bukan sahaja membolehkan pengunjung mengetahui sejarah awal mengenai aktiviti perlombongan bijih timah tetapi juga merasai sendiri aktiviti mendulang bijih timah.

Menurutnya, LWOT telah melabur lebih daripada RM2 juta untuk membina tarikan terbaharu itu di atas tanah seluas kira-kira 1.01 hektar.

“Lembah Bijih Timah amat signifikan kepada LWOT memandangkan Ipoh pernah menjadi pengeluar bijih timah terbesar di dunia suatu masa dulu.

“Malah Tambun sendiri berasal daripada perkataan menambun yang merujuk kepada perbuatan menimbus bekas lombong untuk dijadikan kebun sayur-sayuran,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Calvin menjelaskan, Lembah Bijih Timah  mempunyai lima segmen iaitu laluan sejarah, galeri lembah bijih timah,  pengangkut bijih timah, mendulang dan denai bijih timah.

Menurut beliau, segmen pengangkut bijih timah me rupakan sebuah taman yang mempunyai empat replika gajah  telah dibina bagi menggambarkan peranan haiwan tersebut  membawa hasil bijih timah pada masa dahulu.

“Sebuah tangga didirikan di salah sebuah replika gajah  besar bagi membolehkan pengunjung sekeluarga menga badikan kenangan menerusi foto di kawasan tersebut.

“Pada pukul 4.30 petang setiap hari pula, kanak-kanak  dibenarkan merasai sendiri pengalaman mendulang bijih  timah dengan bantuan kakitangan kami,” katanya.

Sebelum ini LWOT mempunyai lima tarikan lain iaitu  Taman Air, Taman Hiburan, Kolam Air Panas dan Spa,  Lembah Harimau dan Zoo Haiwan Peliharaan.

Saturday, August 27, 2011

SMT Ipoh cipta gas hidrogen bakar ganti petrol

IPOH - Sekolah Menengah Teknik (SMT) Ipoh Jalan Brash di sini yakin projek 'Generator Hidrogen'yang dipertandingkan dalam pertandingan 'Peperangan Minda' mampu memberi cabaran sengit kepada pasukan lain sempena Ekspo Saintis Muda Perak pada 9 hingga 11 September depan.

Guru pembimbing, Nur Nazalishah Ahmad Lias berkata, projek kejuruteraan tersebut akan menghasilkan prototaip enjin kenderaan yang digerakkan oleh gas hidrogen.

“Objektif projek ini ialah untuk menampilkan gas hidrogen sebagai bahan bakar alternatif kepada petrol pada masa depan.

“Sehubungan itu sebuah generator akan dibina untuk menghasilkan gas hidrogen berterusan untuk menggerakkan enjin kenderaan menerusi proses elektrolisis,” katanya ke tika ditemui Kosmo! semalam di sini semalam.

Terdahulu beliau menemani pasukan SMT Ipoh Jalan Brash untuk menjalani pengambaran dokumentari 'Pe perangan Minda' yang berkonsepkan program realiti yang diarahkan Jak Othman.

Nur Nazalishah berkata, Generator Hidrogen yang mengguna pakai dua bahan asas iaitu air suling dan rod elektrod itu mengaplikasi beberapa prinsip sains yang dipelajari dalam subjek seperti Kimia, Fizik, Kejuruteraan Elektrik dan Lukisan Kejuruteraan.

Menurut beliau, tiga pelajar tingkatan empat iaitu Abdul Latif Shazali, Norhafezaidi Mat Saman dan Muhammad Husaini Ayob akan mewakili SMT Ipoh Jalan Brash dalam pertandingan yang julung kali diadakan tersebut.

“Saya optimis projek ini dapat memberi cabaran ber makna kerana ia pernah muncul johan Karnival Sains dan Kejuruteraan peringkat Pelajar Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara pada Mei lalu,” katanya.

Sebanyak 60 sekolah rendah dan menengah seluruh Perak yang menyertai 'Peperangan Minda' yang merupakan salah satu acara pada Ekspo Saintis Muda Perak di Pusat Da gangan Tekno Perak (PTTC), Bandar Meru Raya di sini.

Kosmo! merupakan media rasmi program anjuran Uni versiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama K Perak Implementaion and Coordination Corporation (KPe rak) itu.

Ekspo Saintis Muda tarik minat pelajar minati sains

IPOH - Ekspo Saintis Muda Perak yang menonjolkan subjek sains secara interaktif akan diadakan di Pusat Dagangan Tekno Perak (PTTC), Bandar Meru Raya di sini pada 9 hingga 11 September ini.

Dekan Fakulti Sains dan Matematik Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Mustaffa Ahmad berkata, ekspo itu bertujuan untuk menarik minat lebih ramai pelajar memilih aliran sains tulen.

"Dengan tema Berseronok Dengan Sains, generasi muda akan didedahkan dengan teknik mudah dan menyeronokkan mempelajari mata pelajaran sains tulen seperti Kimia, Biologi, Fizik, Matematik dan Matematik Tambahan.

"Antara daya penarik ekspo berkenaan ialah pertandingan 'Peperangan Minda' melibatkan 60 sekolah seluruh Perak yang mempertaruhkan projek inovasi sains masing-masing," katanya.

Kosmo! merupakan media rasmi ekspo anjuran UPSI dan K PerakImplementaion and Coordination Corporation (KPerak ) itu.

Mustaffa berkata, pertandingan itu terbahagi kepada 11 kategori inovatif sains dan matematik melibatkan sekolah rendah, sekolah menengah dan guru yang menawarkan hadiah trofi, wang tunai dan sijil penghargaan.

Menurut beliau, perjalanan pertandingan 'Peperangan Minda' tersebut juga bakal menjadi sebuah dokumentari berkonsep program realiti yang akan diarahkan penerbit dokumentari, Jak Othman.

Mustaffa berkata, penyampaian hadiah dan penutup ekspo berkenaan dijangka disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain itu, antara program menarik lain yang disusun sepanjang penganjuran ekspo tersebut ialah bijak sifir, kuiz matematik dan celoteh sains.

"Beberapa saintis seperti penerima Anugerah Merdeka 2009, Prof. Dr. Halimaton Hamdan bakal menyampaikan ceramah," katanya.


Jamal Abdillah derma beras satu treler

IPOH – Penyanyi terkenal, Jamal Abdillah menyumbang satu treler beras kepada golongan fakir miskin, anak yatim dan ibu tunggal seluruh Perak semalam.

Jamal atau nama sebenarnya, Jamal Ubaidillah Ali, 52, berkata, sumbangan 1,520 kampit beras bernilai RM20,000 itu bertujuan untuk membantu golongan terbabit menyambut Aidilfitri yang bakal tiba beberapa hari lagi.

“Saya bersyukur menerima rahmat dan hidayah oleh Allah untuk menghadapi kehidupan yang penuh pancaroba ini dan diberi anugerah (menyanyi) untuk memperoleh rezeki.

“Saya pulangkan semula sebahagian daripada rezeki itu kepada golongan memerlukan. Saya niat untuk sedekah pahalanya kepada roh arwah ayah dan ibu saya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan beras tersebut kepada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini semalam.

Sumbangan beras itu kemudiannya diagih-agihkan kepada golongan sasaran termasuk lapan pertubuhan amal dan kebajikan seluruh Perak.

Antara pertubuhan terbabit yang menerima sumbangan beras tersebut ialah Badan Khidmat Islam Perak (Bakip), Yayaan Anak Yatim Darussakinah, Teluk Intan dan Per satuan Ibu Tunggal Cekal Perak.

Raja Pop itu berkata, beliau mengambil iktibar daripada amalan arwah bapanya, Ali Hussein yang semasa hayatnya sering menghulurkan derma pada golongan memerlukan terutamanya pada bulan Ramadan.

"Arwah ayah yang meninggal tiga tahun lalu sering berpesan jangan lupa untuk membantu orang lain sekiranya dikurniakan rezeki lebih.

"Alhamdulillah ini sumbangan saya pada tahun ini dan saya berazam untuk meneruskan tradisi ini pada tahun-tahun mendatang sekiranya berkemampuan," katanya.

Saturday, August 20, 2011

Dua lanun Indonesia dijel, sebat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Dua lanun warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini setelah mengaku salah menyamun sebuah bot nelayan tempatan di perairan Pulau Jarak, Manjung dekat sini pada 7 Ogos lalu semalam.

Hakim Julie Lack Abdullah dalam penghakimannya berkata, alasan Mohammad Ali, 27, dan Aman Hassan, 30, yang mendakwa terpaksa menjadi lanun kerana dipaksa pemiutang tidak dapat diterima.

“Alasan kedua-dua tertuduh tidak dapat diterima mahkamah memandangkan jenayah yang dilakukan amat serius dan mengancam keselamatan Malaysia,” katanya ketika membacakan keputusan penghakimannya di sini semalam.

Terdahulu Mohammad dan Aman yang tidak diwakili peguam ketika prosiding merayu minta diringankan hukuman kerana terpaksa menjadi lanun bagi melunaskan hutang.

“Saya perlu wang kerana isteri saya melahirkan anak kedua melalui pembedahan dan anak saya itu kini sakit. Saya pinjam wang dan terpaksa buat kerja ini (lanun) untuk langsai hutang,” kata Aman kepada mahkamah.

Mohammad juga menjelaskan dia juga terpaksa menjadi anggota kepada sekumpulan lanun diketuai seorang lelaki bernama Chang Kui bagi menjelaskan hutang.

“Semua ini gara-gara hutang. Saya menyesal dan mahu membahagiakan orang tua saya kerana sebelum ini saya tidak pernah membahagiakan mereka,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, sekumpulan lima lanun termasuk kedua-dua tertuduh telah menceroboh sebuah bot nelayan tempatan yang sedang berlabuh di perairan Pulau Jarak pada pukul 2.30 pagi 7 Ogos lalu.

Sebaik menyerbu bot nelayan terbabit dengan bersenjatakan dua senapang jenis AK-47 dan sepucuk pistol, kumpulan lanun diketuai Chang Kui itu telah menawan semua anak kapal nelayan tanpa pengetahuan tekong bot yang berada di rumah jurumudi.

Tekong bot nelayan terbabit kemudiannya diserang Mohammad dan Aman di dalam rumah jurumudi selain kepalanya diacu pistol sebelum sistem navigasi dan radio bot nelayan tersebut dirampas.

Tiga lanun lain termasuk Chang Kui meninggalkan bot nelayan itu di bawah kawalan kedua-dua tertuduh yang kemudiannya mengemudi bot itu menuju ke Indonesia sebelum dipintas sepasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) pada kira-kira pukul 3.30 pagi.

Ekoran dikepung, Mohammad dan Aman bertindak melarikan diri dengan terjun ke dalam laut bersama senapang masing-masing sebelum berjaya diberkas kira-kira 40 batu nautika dari barat Pulau Jarak pada pukul 8.05 pagi.

Siasatan di atas bot nelayan terbabit menjumpai sebuah beg yang mengandungi barangan milik kedua-dua tertuduh seperti 191 butir peluru pelbagai jenis dan dua kelopak peluru.

Mohammad dan Aman yang berasal dari Perlak, Acheh, Indonesia didakwa di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 akta sama.

Tiga lagi lanun termasuk ketuanya, Chang Kui berjaya melepaskan diri dan masih diburu walaupun telah dikepung kapal diraja Laksamana Hang Nadim milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada malam kejadian.

Bayi masih bertali pusat ditinggalkan di R&R

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SUNGAI SIPUT – Seorang bayi lelaki dijumpai ditinggalkan di dalam sebuah kotak di dalam surau wanita kawasan Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Salak Baru di sini semalam.

Bayi yang masih bertali pusat itu dijumpai seorang pekerja Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) pada pukul 7.15 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, pekerja MPKK terbabit yang sedang membersihkan surau di hentian berkenaan curiga dengan kandungan sebuah kotak di kawasan tersebut.

“Sebaik kotak itu dihampiri, dia mendengar bunyi tangisan bayi dari dalam kotak tersebut. Pekerja MPKK itu kemudiannya memaklumkan penemuan bayi tersebut kepada pihak polis,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Dzuraidi berkata, bayi lelaki berkenaan yang dibalut dengan kain batik itu masih dalam keadaan sihat dan dihantar ke Hospital Sungai Siput di sini untuk pemeriksaan.

Menurut beliau, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui bersama bayi berkenaan yang dipercayai ditinggalkan ibunya.

“Polis sedang mengesan ibu bayi berkenaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis Sungai Siput di talian 05-5981222 untuk membantu siasatan,” katanya.

Impian pesakit barah cakap dengan PM tertunai

Oleh MOHD.AZLI ADLAN

TAIPING - Impian pesakit barah tulang tahap akhir, Nurul Atikah Bazilah Samsudin, 14, untuk berbual dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tertunai semalam.

Biarpun hanya lima minit, Nurul Atikah Bazilah jelas gembira dapat berbual dengan idolanya itu menerusi telefon bimbit atas inisiatif Persatuan Impian Kanak-kanak Malaysia (PIKM).

"Walaupun impian saya untuk bertemu dan berjabat tangan dengan Perdana Menteri tidak tercapai namun peluang berbual secara peribadi pun sudah memadai.

"Saya terharu dengan pesanan beliau yang menasihatkan saya makan banyak-banyak, semoga saya cepat sembuh dan boleh berjalan serta pergi ke sekolah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Mewah di sini semalam.

Terdahulu, dia dan keluarga menerima kunjungan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang mewakili Perdana Menteri dan Naib Presiden PIKM, Teoh Teik Hoong.

Nurul Atikah Bazilah yang mula dikesan menghidap barah tulang pada 2009, berkomunikasi dengan Najib menerusi telefon bimbit Setiausaha Akhbar kepada Zambry, Nizamuddin Mat Isa selain menerima sebuah Ipad sumbangan PIKM.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, dia puas dapat mengucapkan Selamat Hari Raya kepada pemimpin nombor satu negara itu sebelum mengakhiri perbualan.

Sementara itu, ibunya, Che Tom Osman, 45, terharu dengan kesudian Najib meluangkan masa berbual dengan anaknya.

"Ia bagaikan hasrat terakhir Nurul Atikah. Saya tengok dia agak lemah sebelum ini tetapi terangsang dan bagaikan mendapat tenaga baharu selepas mendengar suara Perdana Menteri.

"Menyedari hayatnya mungkin tidak panjang, saya dan suami sedaya upaya menunaikan semua hajat dan kehendaknya," kata isteri seorang anggota polis itu.

Che Tom yang merupakan seorang penyelia kilang memberitahu, antara hasrat anaknya yang masih belum terlaksana adalah membina sebuah rumah idaman tetapi tidak kesampaian ekoran kesempitan wang.

Friday, August 19, 2011

Zambry bawa 104 anak angkat beli baju raya

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli membawa 104 anak angkat mereka membeli pakaian raya di sebuah pusat membeli-belah di sini semalam.

Menurut Zambry , kesemua kanak-kanak berkenaan merupakan murid sekolah rendah yang terpilih menyertai Program Anak Angkat Menteri Besar Perak dikendali Yayasan Bina Upaya (YBU).

"Anak-anak angkat saya ini datang daripada latar belakang keluarga miskin dan miskin tegar dari seluruh Perak.

"Diharap pembelian baju raya ini dapat menggembirakan mereka sempena sambutan Aidilfitri tiba tidak lama lagi.

"Mereka diberi peluang memilih pakaian mengikut kehendak sendiri" katanya kepada pemberita semalam.

Zambry berkata, objektif Program Anak Angkat Menteri Besar Perak adalah untuk membantu murid terbabit cemerlang dalam pelajaran.Menurut beliau, anak - anak angkatnya yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi diberi kelas tuisyen percuma.

"Selain itu semangat mereka dipertingkat menerusi program-program motivasi di samping keputusan peperiksaan mereka sentiasa dipantau.

"Saya harap biarpun mempunyai latar belakang keluarga kurang berkemampuan, suatu hari nanti anak - anak ini akan menjadi manusia berjaya yang menjadi kebanggaan Perak," katanya.

Wednesday, August 17, 2011

Pengawal dituduh bunuh Dr. Rohani

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Kes pembunuhan Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, Dr. Rohani Kasim pada 3 Ogos lalu semakin menemui nokhtahnya apabila seorang pengawal keselamatan yang juga jiran wanita itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas dakwaan itu semalam.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Syahmie Hassan , 20, ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Akmal Mustafa Kamal.

Mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu, Syahmie didakwa melakukan pembunuhan bermotifkan samun itu di rumah mangsa di Apartmen Permai Lakeview, Tambun dekat sini antara pukul 6 petang dan 7.30 malam. Sabit kesalahan dia boleh dihukum mati mandatori.

Sementara itu di mahkamah yang sama, rakan serumah Syahmie , Nuurhisyam Shukor, 22, didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana melupuskan barang kemas milik Rohani. Sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara tujuh tahun dan denda.

Mengikut pertuduhan, Nuurhisyam yang juga anggota tentera yang lari daripada tugas dituduh menjual seutas gelang dan rantai milik Rohani bernilai RM6,000 di sebuah kedai jam di Jalan Besar, Tanjung Malim di antara pukul 3 dan 6 petang pada 4 Ogos lalu.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Nor Abdurrahman.

Nurul Akmal membenarkan Nuurhisyam dijamin sebanyak RM6,000 manakala Syahmie tidak ditawarkan ikat jamin dan menetapkan 17 Oktober untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, kakak Rohani, Ruzaina, 41, memberitahu, tindakan mendakwa tertuduh memberi sedikit kelegaan kepada keluarganya yang sebelum ini agak tertekan dengan kejadian tersebut.

Selain itu, Ruzaina turut bersyukur kerana keadilan untuk adiknya telah bermula.

"Alhamdulillah, kami yakin sistem kehakiman negara mampu mengadili sama ada mereka bersalah ataupun tidak.

"Sehingga kini, ibu, Sharifah Razali, 72, dan ayah, Kasim Idris, 75, masih bersedih serta terkejut dengan kejadian itu biarpun ia telah tiga minggu berlaku," ceritanya.

Kosmo! 6 Ogos lalu melaporkan Rohani yang masih bujang mati dibunuh dengan mayatnya ditemui dibalut dengan selimut tebal di atas tangga di tingkat dua Blok F apartmen tersebut oleh seorang pengawal keselamatan dan beberapa penghuni di situ.

Ekoran itu, polis menahan empat lelaki berusia di antara 20 dan 26 tahun bagi membantu siasatan sebelum dua daripada mereka dibebaskan.

Tuesday, August 16, 2011

Kebab biri-biri BBQ sajian berbuka

SELERA ARAB. Jika berkunjung ke Bazar Ramadan Bercham Raya, Ulu Kinta, Ipoh, carilah gerai Zaiton Sudin yang menjadi tumpuan penggemar kebab kambing biri-biri BBQ yang diadaptasi dari Timur Tengah.

Menurut Zaiton, setiap daging kambing biri-biri terbabit diperap dengan ramuan istimewa semalaman sebelum dipanggang selama 25 minit.

Katanya, setiap sudut cucuk kebab mengandungi lima ketul daging biri-biri bersaiz sederhana bersama lada benggala dijual dengan harga RM4.

“Kebab kambing biri-biri BBQ ini enak dimakan bersama nasi atau diratah begitu sahaja sewaktu berbuka puasa,” katanya kepada Kosmo!nya yang mampu menjual hampir 500 cucuk kebab itu sehari.

Sunday, August 14, 2011

Tiket raya ETS masih ada

Oleh MOHD.AZLI ADLAN

Friday, August 12, 2011

6 negeri umum bonus

KUALA LUMPUR - Kerajaan Terengganu, Pahang, Kelantan, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan merupakan enam kerajaan negeri yang setakat ini mengumumkan keputusan untuk mengikut langkah kerajaan pusat membayar bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam pada bulan ini.

“Kalau kerajaan pusat beri bonus, kita pun akan bagi sebagaimana jumlah yang dibayar kepada penjawat awam,” kata Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said.

Katanya, ia melibatkan 20,000 penjawat awam termasuk pekerja badan berkanun.

Ahmad berkata, bayaran itu melibatkan peruntukan RM10 juta.

Di Kuantan pula Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, pembayaran bonus di melibatkan 12,570 penjawat awam di negeri itu.

Adnan menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya pemberian bonus itu satu pembaziran sebaliknya ia bagi menghargai sumbangan dan dedikasi penjawat awam dalam membangunkan negara.

Sementara itu, di Kota Bharu, kerajaan negeri Kelantan akan turut membayar bonus setengah bulan gaji kepada 6,000 penjawat awamnya serta bayaran khas RM500 untuk para pesara.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewa ngan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata, kerajaan Kelantan akan menanggung kos RM5 juta bagi membiayai pembayaran itu.

Menurutnya, langkah itu diharapkan dapat meringankan beban kakitangan kerajaan negeri bagi membuat persediaan menyambut hari raya Aidilfitri tahun ini.

Di Shah Alam, kerajaan negeri Selangor mengikut jejak langkah kerajaan Pusat apabila mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji kepada semua kakitangannya sempena hari raya Aidilfitri.

Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, bonus tersebut diberikan supaya tidak ada diskriminasi terhadap kakitangan kerajaan negeri dan kewangan Selangor mengizinkan pemberian tersebut.

Di Ipoh, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kerajaan negeri menyambut baik pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin lepas.

Beliau berkata, bayaran itu melibatkan peruntukan RM6.5 juta.

Di Seremban, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan pemberian bonus setengah bulan kepada 4,800 pegawai dan kakitangan yang berkhidmat dengan kerajaan negeri Negeri Sembilan.

Katanya, pemberian bonus itu menyebabkan kerajaan negeri mengeluarkan belanja sebanyak RM4.8 juta.

Wednesday, August 10, 2011

Sukar terima kematian dua insan tersayang serentak

IPOH - Serry Priary a/p Saari yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Tanah Rata, Cameron Highlands dekat sini Ahad lalu tidak dapat menerima hakikat bahawa dia kehilangan dua insan tersayang serentak.

Serry Priary (gambar), 15, yang mula sedar pada lewat petang kelmarin enggan mempercayai kematian kedua-dua insan tersayang tersebut iaitu ibunya, Sara a/p Gunung, 37, dan neneknya, Normadiah Lasik, 69, biarpun dimaklumkan sendiri oleh bapanya, Saari Balad, 39.

"Tidak percaya...," rintihnya dengan berlinangan air mata sambil menggelengkan kepala ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini semalam.

Pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata, Cameron Highlands itu juga bertekad tidak mahu menjejakkan kaki ke kawasan itu lagi kerana trauma.

Dia yang patah bahu dan kaki kanan, terkehel tangan kiri serta cedera di muka memberitahu, sebelum kejadian dia baru selesai mandi selepas pulang dalam aktiviti gotong-royong di sekolahnya.

Menurutnya, ibunya yang baru pulang bekerja dari sebuah hotel di Brinchang, Cameron Highlands sedang menonton televisyen sementara neneknya tidur.

"Ibu sempat menasihatkan saya agar belajar bersungguh-sungguh dan menjaga adik-adik tetapi saya buat tidak endah dan terus mandi.

"Selepas memakai pakaian, dalam sekelip mata rumah kami ranap dihempap tanah runtuh hingga menyebabkan saya terpelanting dan tidak sedarkan diri hingga petang semalam (kelmarin)," cerita anak kedua daripada empat beradik itu.

Semalam Kosmo! melaporkan tujuh maut termasuk enam sekeluarga iaitu Jaafar Balad, 48; isterinya, Normah Gunung, 51; anaknya, Mohd. Ikbal, 15; menantu, Yusniza Yusof, 22; adik ipar, Sara a/p Gunung, 37; dan ibu mentua, Normadiah Lasik, 69.

Turut terkorban di perkampungan yang telah diduduki lebih 40 tahun lalu ialah jiran mereka, Mat Ali a/l Ah San, 50.

Selain Serry Priary , Bah Anjang Besar a/l Alang, 39, turut parah dalam kejadian itu.

Sementara itu, sepupu Serry Priary , Faridah a/p Anjang Bah Besar, 18, memberitahu, bapanya, Bah Anjang Besar semakin stabil dan boleh menjamah makanan tanpa bantuan.

Tuesday, August 9, 2011

'Saya korek tanah selepas ditimbus'

IPOH - "Saya mengerahkan semua kudrat untuk mengorek tanah dengan tangan walaupun tulang bahu saya patah bagi menyelamatkan diri daripada menemui ajal akibat tertimbus tanah runtuh."

Tindakan nekad itu dilakukan oleh Bah Anjang Besar a/l Alang, 39, yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Brinchang, Cameron Highlands kelmarin.

Katanya, dia tertimbus selama 10 minit sebelum diselamatkan orang kampung yang menyertai operasi mencari dan menyelamat.

"Sebelum kejadian saya sedang menonton televisyen di ruang tamu, tiba-tiba datang timbunan tanah dan lumpur dari arah belakang menyebabkan saya terpelanting ke luar rumah.

"Sedar-sedar saya sudah berada di dalam timbunan tanah dengan hanya mata kiri boleh dibuka kerana mata kanan sudah dimasuki tanah," ceritanya ketika ditemui semalam.

Tambahnya, sebaik tertimbus, dia menggunakan tangan kiri untuk mengorek tanah berikutan tulang bahu tangan kanan telah patah.

Menurut Bah Anjang , dia kemudian menjerit meminta tolong sebelum diselamatkan penduduk.

"Selain patah tulang bahu kanan, tulang pinggul saya turut patah dan mengalami kecederaan di muka serta beberapa bahagian badan," katanya lagi.

Turut parah dalam kejadian pukul 5.45 petang itu ialah Serry Priary a/p Saari, 15.

Tujuh korban tanah runtuh


Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan MOHD. AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

CAMERON HIGHLANDS - Enam sekeluarga disahkan antara tujuh mangsa yang maut dalam kejadian tanah runtuh di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Tanah Rata di sini kelmarin.
Enam sekeluarga itu ialah Jaafar Balad, 48; isterinya, Normah Gunung, 51; anaknya, Mohd. Ikbal, 15; menantu, Yusniza Yusof, 22; adik ipar, Sara a/p Gunung, 37; dan ibu mentua, Normadiah Lasik, 69.
Turut terkorban dalam tragedi pukul 5.45 petang di perkampungan yang telah diduduki lebih 40 tahun lalu ialah jiran mereka, Mat Ali a/l Ah San, 50.
Dua lagi penduduk lain, Bah Anjang Besar a/l Alang, 39, dan Serry Priary a/p Saari, 15, pula cedera parah. Mereka kini dirawat di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di Tanah Rata di sini.
Seorang penduduk Aida Uda, 29, memberitahu, kejadian tersebut begitu menakutkan kerana dalam sekelip mata, tiga buah rumah jirannya ranap dihempap tanah yang turut membawa pusaran air dan pokok.
Katanya, dia melihat Bah Anjang Besar terpelanting keluar dari rumahnya sebelum diselamatkan manakala yang lain hilang 'ditelan' tanah.
"Ketika kejadian saya dan dua anak sedang tidur sebelum hujan turun disusuli bunyi guruh seperti letupan hingga menggegarkan rumah saya di lereng atas.
"Tanpa berlengah saya membawa dua anak untuk lari dan sebaik membuka tingkap, saya lihat air deras bergulung-gulung yang turut membawa pokok dan tanah menghempap rumah yang berada di bawah," ceritanya.
Ibu Jaafar, Munjut a/p Kelet, 70, berkata, dia terpaksa menggunakan tangannya untuk menggali tanah bagi menyelamatkan ahli keluarganya tetapi gagal.
Katanya, ketika kejadian dia berada di rumah lain berdekatan rumah Jaafar.
"Ketika lari, saya sempat tinjau rumah Jaafar dan terperanjat kerana ia telah lenyap. Saya kemudian menggali tanah dengan tangan untuk menyelamatkan mereka yang tertimbus namun gagal," ceritanya.
Tambahnya, dua cucunya, Sukarnain, 18 dan Norfifah, 20, terselamat kerana tidak berada di rumah ketika kejadian.
Menurut Munjut, semasa kejadian, Jaafar, Normah dan Mohd. Ikbal yang baru setahun memeluk Islam sedang menyiapkan juadah berbuka puasa di dapur.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Supritendan Wan Zahari Wan Busu berkata, seramai 100 anggota keselamatan dikerah dalam operasi mencari dan menyelamat. Mayat pertama yang ditemui ialah Normadiah pada pukul 6.15 petang.
"Seterusnya kita menemui mayat Mat Ali pada pukul 10.32 malam dan mayat Jaafar dua jam kemudian. Tidak lama kemudian, kita menemui mayat Mohd. Ikbal, Sara, Normah dan Yusniza," katanya yang memberitahu dua mangsa yang terselamat ditemui oleh penduduk pada awal kejadian.
Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil terletak dua kilometer dari Jalan Brinchang-Tanah Rata dan didiami 1,300 penduduk.

Monday, August 8, 2011

Peniaga mati ditikam gunting

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

IPOH - Dalam tempoh empat hari, negeri ini digemparkan dengan tiga kes di mana penjenayah bertindak membunuh pemilik rumah yang diceroboh mereka.

Kejadian terbaharu melibatkan seorang warga emas, Looi Kim Loong, 67, apabila dia ditemui mati dibunuh selepas dua penjenayah yang memecah masuk rumahnya menikam lehernya dengan sebilah gunting dalam kejadian di Taman Buntong Ria, Menglembu dekat sini semalam.

Difahamkan, sebelum kejadian pukul 2.10 pagi itu, peniaga tersebut sedang tidur di dalam bilik.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati suspek memecah masuk melalui pintu depan.

"Dua lelaki kemudian masuk ke dalam bilik mangsa sebelum isteri dan anak Kim Loong yang tidur di bilik berasingan terjaga.

"Sebaik masuk, mereka dapati mangsa telah rebah dengan kesan tikaman di leher manakala dua lelaki itu telah melarikan diri. Kita sedang menyiasat barang yang disamun," katanya.

Tambahnya, polis sedang mencari dua lelaki itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kejadian itu merupakan yang ketiga dalam tempoh kurang empat hari membabitkan kes pecah rumah yang berakhir dengan kematian di Perak.

Khamis lalu Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, Dr. Rohani Kasim, 38, dibunuh oleh empat lelaki yang memecah masuk rumahnya di Tambun dekat sini.

Dua hari kemudian, Teoh Ah Nya @ Teoh Kooi Lan, 73, yang juga ibu saudara Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Sai turut dibunuh penjenayah dalam kejadian serupa di Bagan Selatan, Tanjung Piandang dekat sini.

Sunday, August 7, 2011

Posmen, tentera antara yang direman

IPOH - Dalam tempoh kurang 24 jam, polis negeri ini berjaya menyelesaikan kes pembunuhan Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, Dr. Rohani Kasim di Apartmen Lakeview, Tambun dekat sini dengan tertangkapnya empat lelaki yang merupakan jiran mangsa semalam.

Suspek-suspek berusia di antara 20 hingga 26 tahun kini direman masing-masing selama empat dan tujuh hari iaitu sehingga Isnin dan 11 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Difahamkan, salah seorang suspek merupakan posmen, seorang anggota tentera yang lari daripada tugas manakala dua lagi pengganggur.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, siasatan awal pihaknya mendapati samun merupakan motif utama kejadian.

"Dua suspek pertama masing-masing berusia 26 tahun ditahan di sekitar tempat kejadian malam semalam (kelmarin) manakala dua lagi ditahan di Tanjung Malim dan Slim River dekat sini. Mereka yang berusia 20 dan 22 tahun itu ditahan pada pukul 4.30 petang dan 10.25 malam.

"Polis turut menemui barang kemas dan telefon bimbit milik mangsa bersama salah seorang suspek. Salah seorang suspek dicari polis kerana terlibat dengan kes rogol di Slim River pada awal tahun ini," katanya pada sidang akhbarr di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan tiga lelaki yang berhasrat untuk melupuskan mayat Rohani selepas membunuhnya terbantut apabila mereka terserempak dengan beberapa penghuni pada pukul 3 pagi.

Mayat wanita yang masih bujang itu ditemui dibalut dengan selimut tebal dan ditinggalkan di atas tangga di tingkat dua, Blok F, Apartmen Permai Lakeview, Tambun.

Menurut Zakaria, pihaknya percaya salah seorang suspek yang ditahan terlibat memecah masuk rumah mangsa pada 14 Julai lalu yang mengakibatkan mangsa kerugian RM15,000. Mereka juga disyaki berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian.

Adili segera untuk terima balasan


Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - "Kami harap pembunuh adik saya dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin untuk menerima balasan atas perbuatan kejam mereka.

"Ekoran kejadian itu, bapa saya (Kasim Idris, 75) yang terlantar di hospital sejak enam bulan lalu kerana penyakit usus telah pengsan beberapa kali kerana terkejut manakala ibu, Sharifah Razali, 72, dilanda kesedihan yang teruk."

Demikian rintih Ruzaina, 41, kakak Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, Dr. Rohani Kasim, 38, yang mati akibat dicekik perompak dalam kejadian di tingkat dua, Blok F, Apartmen Permai Lakeview, Tambun, dekat sini kelmarin.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejayaan polis memberkas empat lelaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan itu semalam.

Menurut Ruzaina, mereka sekeluarga bersyukur dan berterima kasih dengan kecekapan polis menyelesaikan kes pembunuhan tersebut dalam tempoh yang singkat.

"Adik yang periang dan menjadi harapan keluarga tiba-tiba menemui ajal akibat perbuatan kejam dan ganas mereka yang tidak berhati perut itu. Pembunuh itu tidak berperikemanusiaan kerana ketika saya lihat jenazah arwah sewaktu dimandikan, mukanya cedera teruk.

"Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya tetapi masih sukar untuk menerima cara kematiannya yang begitu kejam," ceritanya ketika dihubungi semalam.

Semalam Kosmo! melaporkan Rohani yang belum berkahwin menemui ajal akbat dicekik perompak. Mayatnya kemudiannya dibalut lalu diseret sebelum ditinggalkan di atas tangga selepas pembunuhnya terserempak dengan beberapa penghuni.

"Ambil sahajalah barang berharga, kenapa perlu membunuh?" katanya sayu.

Friday, August 5, 2011

Cekik, balut, seret mayat wanita


Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Kebimbangan seorang Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak mengenai rumahnya yang dipecah masuk hingga mengakibatkannya kerugian RM15,000 sampai ke kemuncaknya apabila dia ditemui mati dicekik semalam.

Mayat Dr. Rohani Kasim, 38, yang masih bujang ditemui dibalut dengan selimut tebal dan ditinggalkan oleh tiga lelaki dipercayai jirannya di atas tangga di tingkat dua Blok F, Apartmen Permai Lakeview, Tambun dekat sini.

Difahamkan, tiga penjenayah terbabit bertindak meninggalkan mayat anak ketujuh daripada 10 beradik itu di situ pada pukul 3 pagi selepas terserempak dengan beberapa penghuni ketika mereka disyaki hendak mengangkat mayat tersebut untuk dilupuskan.

Mangsa sebelum ini menjawat jawatan Pendaftar Kolej Pertanian Malaysia, Sintok, Kedah. Dia kemudian dinaikkan pangkat ke jawatan sekarang dan berpindah ke situ bulan lalu.

Kakak mangsa, Ruzaina, 41, memberitahu, sebelum kejadian, adiknya ada mengadu yang dia bimbang mengenai keselamatan dirinya yang tinggal bersendirian di rumah baharu tersebut berikutan premis itu telah dipecah masuk kira-kira seminggu sebelum Ramadan.

"Ketika kami bertemu di kampung di Parit Haji Ali, Bagan Serai Isnin lalu, dia mengadu kerugian RM15,000 apabila barang kemasnya telah dilarikan penjenayah.

"Selain itu, dia juga tertekan berikutan pejabatnya diserbu ramai penternak lembu yang tidak berpuas hati dengan keputusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak mengharamkan penyembelihan lembu betina baru-baru ini," ceritanya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, tukang kebun apartmen tersebut, Mohd. Faisal Mat Ghani, 28, berkata, dia bergegas ke blok tersebut sebaik terjaga dari tidur selepas terdengar bunyi riuh-rendah.\

"Pengawal keselamatan dan beberapa penghuni memberitahu yang mereka ada melihat tiga lelaki sedang menyeret mayat mangsa yang digulung dalam selimut tebal sebelum ditinggalkan di atas tangga sebaik terserempak.

"Berderau darah saya apabila melihat kaki mangsa terjuntai di atas tangga sebaik sampai dengan tubuh wanita itu diikat dan digulung dengan selimut tersebut," ceritanya lagi.

Dalam pada itu, rakan sekerja mangsa, Roslizan Nekmat, 45, berkata, pada petang kejadian, Rohani yang mengadu migrain ada memintanya membeli ikan bakar untuk berbuka puasa pada pukul 4.15 petang.

Bagaimanapun katanya, selepas membeli menu tersebut, dia gagal menghubungi Rohani sebelum pergi ke rumahnya pada pukul 7.15 malam.

"Saya menggantung ikan itu di tombol pintu selepas salam saya tidak dijawab sebelum beredar. Saya naik semula ke rumahnya selepas ternampak kereta Volvo S60 milik mangsa di tempat letak kereta tetapi masih gagal menemuinya," katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim dalam satu kenyataan memberitahu, polis telah menahan dua lelaki masing-masing berusia 26 tahun berdekatan apartmen tersebut bagi membantu siasatan kes tersebut.

"Kita masih menyiasat motif pembunuhan dan tidak menolak kemungkinan suspek juga terlibat memecah masuk rumah mangsa baru-baru ini. Bagaimanapun, kejadian pagi tadi (semalam) tiada kesan umpil pada pintu rumah mangsa," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Asisten Supritendan A. Nirmala di talian 05-2531500 untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Jenazah Rohani dikebumikan di Tanah Perkuburan Parit Haji Ali, Bagan Serai selepas solat Asar semalam.