Oleh MOHD AZLI ADLAN
KEMAMAN – Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman bakal menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Barisan Nasional (BN) dan Pas.
Pas diwakili Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Naib Presiden Pas.
BN pula menampilkan bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Percalonanan kedua-dua mereka diumum Pegawai Pengurus Pilihan Raya Bahagian Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab pada pukul 10.20 pagi.
Terdahulu Ahmad Samsuri tiba di pusat penamaan calon (PPC) Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) di sini pada pukul 9.04 pagi
Raja Mohamed Affandi pula tiba bersama kira-kira 3,000 penyokongnya di PPC pada pukul 9.08 pagi.
Suasana hari penamaan calon PRK Parlimen Kemaman berlangsung dalam keadaan hujan renyai.
Kosmo! 27 September lalu melaporkan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid di kerusi Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ekoran wujud unsur sogokan dilakukan parti itu sewaktu tempoh berkempen.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari penamaan calon PRK Kemaman pada hari ini sebelum pengundian pada 2 Disember ini.
Pada PRU15, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi dengan menewaskan tiga calon lain iaitu Datuk Seri Ahmad Said (BN), Hasuni Sudin (Pakatan Harapan) dan Rosli Ab. Ghani (Parti Pejuang Tanah Air).
Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK berkenaan termasuk 387 anggota polis, tentera (sembilan) dan pengundi tidak hadir luar negara (12). – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment