Translate

Friday, May 31, 2019

Selangor kalah sebab salah sendiri

SELANGOR perlu menyalahkan diri sendiri bermain di bawah kemampuan sebenar menjadi punca tewas 0-1 kepada skuad ‘bermasalah’, Terengganu FC I (TFC I) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.

Pengendali Selangor, B. Sathianathan berkata, kemenangan itu bukan disebabkan nasib tetapi skuad Penyu memang berhak kerana telah mempamerkan lebih kesungguhan untuk mencapai kemenangan pada aksi tersebut.

“Saya tidak boleh hendak salahkan padang lagi hari ini (kelmarin) agak basah kerana hujan, sebaliknya pemain (Selangor) yang asyik kehilangan bola terutama pada 20 minit terakhir perlawanan.

“TFC I lebih bersungguh berlari di atas padang untuk mencari gol sedangkan pemain kita bagaikan berjalan kaki.

“Pemain pertahanan saya macam hendak muntah terima serangan bertali arus daripada tuan rumah,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Pada aksi terbabit, TFC I mencapai kemenangan dramatik 1-0 menerusi kesilapan kapten Gergasi Merah, Sarkunan yang tertampan hantaran Adib Aizuddin Ab. Latif ke gawang sendiri pada minit ke-90.

Sathianathan berkata, beliau juga kesal skuad kendaliannya terlalu mengharapkan pemain import baharu, Ifedayo Olusegun Omosuyi untuk menghasilkan serangan.

Ujar jurulatih berpengalaman itu, sepanjang aksi tersebut, hanya Ifedayo yang berani memasuki kubu skuad Penyu untuk mencari peluang menjaringkan gol tanpa dibantu oleh rakan-rakan sepasukan lain termasuk pemain-pemain kebangsaan.

“Apa pun, inilah bola sepak, kita tidak boleh menang semua perlawanan, ada masa kita kalah.

Saya tahu penyokong (Selangor) marah dengan kekalahan ini tetapi kita masih di kedudukan empat terbaik liga.

“Biarlah apa mereka (penyokong Selangor) hendak cakap, saya tidak baca (komen di laman) Facebook,” katanya.

Nafuzi lega TFC I menang

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PENGENDALI sementara Terengganu FC I (TFC I),  Mohd. Nafuzi Zain boleh mengukir senyuman selepas skuad kendaliannya berjaya menewaskan Selangor pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.

Beliau berkata, kejayaan menewaskan Gergasi Merah yang kini berada di tangga keempat Liga Super telah memberi kemenangan moral kepada TFC I yang terjejas akibat peletakan jawatan ketua jurulatih, Irfam Bakti Abu Salim pada minggu lalu.

“Tidak kisahlah menang 1-0 dengan gol sendiri pun, yang penting kita memperoleh tiga mata berharga.

“Pemain-pemain (TFC I) juga telah menunjukkan kesungguhan dan disiplin tinggi untuk memburu kemenangan pada aksi malam ini (kelmarin),” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Mohd. Nafuzi berkata, skuad Penyu sebenarnya agak pincang turun menentang Selangor tanpa dua tonggak import, Igor Zonjic dan Thierry Chantha Bin yang masing-masing mengalami kecederaan mata dan lutut.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan, beberapa perubahan dalam kesebelasan utama pasukan telah diambil termasuk memasukkan beberapa pemain baharu yang jarang diturunkan sebelum ini seperti Muhamad Sharin Sapien dan Muhammad Khairu Azrin Khazali.

“Selain mengisi kekosongan pemain yang cedera, saya perlu memberi kesegaran kepada skuad yang agak tertekan sebelum ini akibat rentetan kekalahan dan peletakan jawatan ketua jurulatih (Irfan Bakti).

“Taktikal pasukan juga diubah sedikit bagi mengatasi kelemahan sebelum ini dan kita berjaya (menang). Apa pun, perjalanan masih panjang dan masih banyak yang perlu dilakukan selepas ini untuk mengembalikan TFC I kepada prestasi sebenar,” katanya.

Thursday, May 30, 2019

Ajal dua pasangan suami isteri

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Perjalanan pulang seorang wanita yang hamil lima bulan bersama suaminya dari kampung halaman berakhir dengan tragedi apabila kedua-duanya maut dalam kemalangan di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Tapak Perlupusan Sampah Kampung Sungai Ikan di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 9.20 pagi itu, Siti Nur Shahila Asla, 26, dan suaminya, Hafiiz Mohd. Ibrahim, 29, yang menaiki kereta Proton Wira Aeroback meninggal dunia di lokasi kejadian. Pasangan itu cedera  parah pada anggota badan.

Kemalangan tersebut turut menyebabkan  satu lagi pasangan iaitu Anuar­ Said, 59, dan isteri­nya, Che Khasliza Che Hussin, 53, yang menaiki kereta jenis Peu­geot turut meninggal dunia.

Siti Nur Shahila dan Hafiiz yang menetap di Kampung Padang Nenas di sini bekerja sebagai kerani dan meka­nik manakala Anuar pula penjual kende­raan dan isterinya ialah guru tadika.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Abd. Razak Hassan berkata, anak Anuar dan Che Khasliza iaitu Nurul Nadirah, 13, parah.

“Semasa kejadian, Siti Nur Shahila dan suaminya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bercuti di Felda Chiku 5, Gua Musang, Kelantan.

“Keluarga Anuar pula dalam perjalanan dari Dungun untuk menziarah jenazah sepupunya yang meninggal dunia di Jerteh, Besut,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Abd. Razak berkata, nahas dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu Hafiiz dan Anuar dari arah bertenta­ngan hilang kawalan sebelum bertembung menyebabkan kedua-dua kenderaan itu berpusing beberapa kali.

Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu mengambil masa 30 minit untuk mengeluarkan empat mangsa yang tersepit.

Mayat empat mangsa itu dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk dibedah siasat.

Mang­sa yang cedera dibawa ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan.

Jenazah Siti Nur Shahila dan Hafiiz dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Awang Lib di sini manakala jenazah Anuar dan Che Khasliza pula dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sura Tengah, Dungun.

Nasi dagang, sira tapai permintaan akhir Bella

KUALA TERENGGANU – Nasi dagang dan sira tapai merupakan permintaan terak­hir Siti Nur Shahila Asla, 26, kepada ibunya sebelum dia maut dalam kemala­ngan di Kuala Nerus dekat sini semalam.

Ibu mangsa, Saripah Mohd., 53, berkata, Siti Nur Shahila atau mesra dipanggil Bella memberitahu dia mengidam menu itu dan memintanya menyediakan untuk juadah berbuka puasa semasa pulang bercuti di Felda Chiku 5, Gua Musang, Kelantan.

“Saya sempat memasak nasi dagang dan sira tapai untuk Bella sepanjang dia bersama suaminya bercuti tiga hari sejak Khamis lalu di rumah saya.

“Dia nampak berselera makan juadah air tangan saya. Bella juga bawa saya, suami dan adik bongsunya membeli  pakaian dan selipar baharu untuk raya,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini semalam.

Selain Bella, nahas itu turut mengorbankan suaminya, Hafiiz Mohd. Ibrahim, 29.

Menurut Saripah, dia sempat membelikan kerongsang untuk Bella untuk dipakai bersama baju kurung pada Aidilfitri nanti.

Katanya, pasangan itu bertolak dari Gua Musang pada pukul 6.30 pagi dan mengetahui kejadian tersebut selepas kemalangan yang menimpa anak dan menantunya tular dalam media sosial.

Wednesday, May 29, 2019

Prestasi kewangan TDM positif

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kumpulan TDM Bhd. (TDM), anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, optimis terhadap prestasi kewangan pada tahun ini meskipun terkesan dengan impak kemerosotan harga minyak kelapa sawit mentah (CPO) di pasaran global.

Pengerusinya, Raja Datuk Idris Raja Kamarudin (gambar) berkata, ini kerana sektor kesihatan yang diceburi kumpulan terus pesat berkembang.
“Buat pertama kalinya sektor kesihatan menyumbang kepada perolehan lebih besar daripada perladangan kelapa sawit pada tahun kewangan tahun ini.

“Ia dapat dilihat daripada pembukaan bangunan hospital baharu iaitu Hospital Pakar Kuala Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan TDM kali ke-54 di sini baru-baru ini.

Difahamkan sumbangan sektor kesihatan kepada perolehan TDM pada tahun ini ialah kira-kira 50 peratus.

Perolehan TDM bagi tahun kewangan 2018 ialah RM404.7 juta berbanding RM448.8 juta tahun sebelumnya.

Ini disebabkan kemerosotan harga CPO global, konflik perdagangan antara China dan Amerika Syarikat serta ketentuan ekonomi global serta domestik.

Raja Idris menjelaskan, bagi mengimbangi permasalahan tersebut, syarikat kini berhasrat untuk memberi tumpuan kepada sektor hiliran.

“TDM akan memberi tumpuan terhadap usaha meningkatkan perolehan industri hiliran daripada aset sedia ada seperti operasi kilang penapisan minyak kelapa sawit mini dan pengeluaran baja kompos bagi mengurangkan kebergantungan kepada CPO,” katanya.

Pelajar UMT terima kursus kemahiran jangka pendek

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengambil inisiatif meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran pelajarnya dengan menganjurkan program Youth Skills @ Kolej Siswa.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Dr. Che Mohd. Ruzaidi Ghazali berkata, program yang mendapat kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu itu membolehkan pelajar-pelajarnya menyertai pelbagai kursus kemahiran jangka pendek.

"Antara kursus kemahiran jangka pendek yang telah ditawarkan ialah dandanan rambut, kulinari dan pastri, solekan serta pembuatan kuih raya.

"Ia bertujuan untuk memberi nilai tambah kepada pelajar UMT bagi mempelajari kemahiran baharu sekali gus sebagai persediaan bagi menghadapi persaingan peluang pekerjaan yang semakin kompetitif setelah menamatkan pengajian kelak," katanya di Pusat Islam Sultan Mahmud, UMT di sini hari ini.

Terdahulu, beliau ditemui selepas menghadiri majlis penyampaian sijil kemahiran kursus jangka pendek berkenaan yang disempurnakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.


Che Mohd. Ruzaidi berkata, penganjuran kursus kemahiran jangka pendek itu juga memberi peluang kepada pelajar UMT untuk mengasah bakat baharu yang berpotensi menjadi punca pendapatan masing-masing suatu hari nanti. - K! ONLINE

Beli baju raya kenangan terakhir

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan EZZUAN AHMAD

DUNGUN – “Mereka begitu ceria dan bersungguh-sungguh membelikan kami baju raya.”

Itu antara kenangan manis yang sempat dirasai tiga beradik sebelum kedua-dua ibu bapa mereka, Anuar Said, 57, dan Che Khasliza CHe Hussin, 53, maut dalam kemalangan yang meragut empat nyawa di Kuala Nerus pada Sabtu lalu.

Anak kedua pasangan itu, Muhammad Adib (gambar kecil), 18, berkata, dia tidak menyangka keceriaan membeli baju raya di Wakaf Che Yeh, Kelantan itu menjadi kenangan terakhir bersama mereka bersama ibu dan bapa.

Katanya, kedua-dua arwah begitu bersungguh-sungguh mengajak mereka tiga beradik termasuk Nurul Amirah, 19, dan Nurul Nadirah, 13, ke Wakaf Che Yeh semata-mata untuk membeli persiapan raya.
“Ayah dan mak gembira membelikan pakaian raya buat kami tiga beradik pada Rabu lalu. Pagi tadi (kelmarin) ibu juga sempat memasakkan lauk paprik ayam untuk kami bersahur bersama walaupun agak terkejar-kejar untuk mengikut ayah menzia­rahi jenazah sepupu mereka di Jerteh, Besut.

“Nurul Nadirah ikut serta ke Jerteh manakala saya dan kakak, Nurul Amirah pula tinggal menjaga rumah,” kata­nya ketika ditemui selepas pengebumian ibu bapanya di Ta­nah Perkuburan Islam Kampung Sura Tengah di sini kelmarin.

Muhammad Adib berkata, dia hanya mengetahui tragedi yang meragut nyawa ibu bapanya itu menerusi aplikasi WhatsApp pada pukul 11 pagi kelmarin dan hanya mampu meraung apabila melihat gambar kereta dan salinan Mykad milik bapanya tular di media sosial.

Sementara itu, suasana pengebumian satu lagi pasangan suami isteri yang turut terkorban dalam kemalangan ngeri di Jalan Kuala Terengganu - Kota Bahru berhampiran Tapak Pelupusan Sampah Sungai Ikan, Kuala Nerus turut diselubungi pilu apabila ibu Siti Nur Shahila Asla, 26, tiba-tiba rebah sewaktu talkin sedang dibacakan.

Saripah Mohd., 53, yang gagal mengawal sebak apabila kehila­ngan anak ketiganya yang sedang hamil lima bulan terpaksa dipapah ahli keluarga untuk menyiram air mawar ke pusara Siti Nur Shahila dan menantunya, Hafiiz Mohd. Ibrahim, 29, di Tanah Perkuburan Kampung Gong Awang Lib, Kuala Nerus.

Kosmo! Ahad semalam melaporkan kereta Proton Wira Aeroback dan Peugeot yang masing-masing dipandu Hafiiz dan Anuar bertembung dalam kejadian pada pukul 9.20 pagi itu.

Kejadian berlaku ketika Hafiiz dan isteri dalam perjalanan ke Kampung Padang Nenas, Kuala Nerus dari Felda Chiku 5, Gua Musang manakala Anuar dan isteri serta anaknya dalam perjalanan dari arah Dungun ke Jerteh untuk menziarahi jenazah sepupu.

Buruh binaan didakwa dalang mahu serang Kuil Sri Maha Mariamman

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seorang buruh binaan didakwa anggota kumpulan pengganas Daesh yang menjadi dalang utama rancangan menyerang rumah ibadat di negara ini dan membunuh empat individu berprofil tinggi pada awal Ramadan lalu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Mahadi Mamat, 34, yang didakwa mahu melakukan demikian dengan motif mahu membalas dendam atas kematian Muhammad Adib Mohd. Kassim, anggota bomba yang maut dalam rusuhan di kuil USJ 25, Subang Jaya, Selangor pada akhir tahun lalu menghadapi lapan pertuduhan menganjurkan aktiviti keganasan.

Tiada pengakuan direkodkan dan dia sekadar mengangguk faham sewaktu pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Azimah Yaacob.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, Mahadi didakwa mencari sokongan terhadap perbuatan pengganas dengan membuat ancaman serangan terhadap Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya,  Selangor dan membunuh empat individu menerusi aplikasi Whatsapp kumpulan 'Sejati Sejiwa'.

Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa telah memberikan latihan penggunaan senjata api kepada ahli kumpulan Whatsapp 'Sejati Sejiwa' terbabit.

Dia juga menghadapi pertuduhan keempat iaitu memberi arahan melakukan perbuatan pengganas kepada ahli kumpulan Whatsapp terbabit.

Bagi pertuduhan kelima dan keenam pula, Mahadi didakwa telah mendapatkan enam butir pipe bom, sepucuk pistol semi automatik CZ 75 B dan 15 butir peluru jenis Luger 9 milimeter bagi melaksanakan perbuatan pengganas berkenaan.

Tertuduh turut menghadapi pertuduhan ketujuh iaitu merekrut individu lain untuk menyertai kumpulan Whatsapp 'Sehati Sejiwa' untuk melakukan perbuatan keganasan terbabit.

Terakhir, dia didakwa memiliki item-item yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh.


Mahadi didakwa melakukan kesemua perbuatan tersebut dengan menggunakan telefon bimbit jenama Alcatel di sebuah rumah di Kampung Teris, Kuala Berang, Hulu Terengganu antara pukul 9.48 malam, 7 Januari lalu hingga pukul 4.45 petang, 8 Mei lalu. - K! ONLINE

Ketengah taja pelajar Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak

KUALA NERUS - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menjalankan tanggungjawab sosial korporat sosial dengan menawarkan biasiswa berjumlah keseluruhan RM201,520 kepada lapan pelajar Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang sedang melanjutkan pelajaran di Kolej Ketengah, Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun.

Pengerusi Ketengah, Datuk Zulkifli Mohamad berkata, setiap pelajar terbabit layak menerima tajaan berjumlah RM25,190 meliputi yuran pengajian berjumlah RM16,790 dan wang saku RM300 sebulan.

"Kesemua pelajar terbabit daripada keluarga berpendapatan rendah yang menetap di sekitar Wilayah Ketengah. Pengajian selama dua tahun empat bulan di Kolej Ketengah itu bertujuan untuk mendedahkan mereka kemahiran dalam pendidikan awal kanak-kanak.

"Besar harapan kita mereka dapat menjadi dapat menempatkan diri atau membuka sendiri pusat asuhan kanak-kanak bagi mengubah nasib keluarga selepas tamat pengajian kelak," katanya pada majlis Infaq Ramadan Ketengah di sini semalam.

Turut hadir Pengurus Besar Ketengah, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa.

Pada majlis sama, Zulkifli berkata, pihaknya turut menyumbangkan kerusi roda kepada lima individu yang sedang dalam proses penyembuhan akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya di sekitar Wilayah Ketengah. - K! ONLINE

Kibas panggang di TH Terengganu

SEMPENA bulan Ramadan, Hotel TH Terengganu yang terletak di Kuala Nerus, Terengganu menampilkan lebih 50 juadah berbuka puasa yang bertemakan selera tradisional.

Pengurus Besar Hotel TH Terengganu, Engku Morris Engku Husin berkata, menu istimewa yang ditampilkan dalam Bufet Ramadan tersebut ialah kibas panggang.
“Berdasarkan maklum balas pelanggan pada tahun-tahun terdahulu, kibas panggang merupakan sajian yang mendapat permintaan tinggi kerana ia jarang dihidangkan di tempat-tempat lain di negeri ini.

“Kami memanggang seekor kibas yang diimport khas dari Asia Barat dengan menggunakan ramuan khas pada setiap hari sepanjang bulan Ramadan ini demi memenuhi permintaan pelanggan tersebut,” katanya.
Engku Morris berkata, kibas berbeza dengan kambing biri-biri yang biasa terdapat di negara ini kerana lemak badannya terkumpul di bahagian ekor.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, bufet Ramadan Hotel TH Terengganu turut menyajikan pelbagai juadah berbuka puasa lain seperti gulai kawah, ayam bakar, nasi kerabu, variasi sup dan bubur lambuk istimewa.

“Kita turut menyediakan 10 jenis minuman dan pelbagai kuih-muih tradisional Terengganu termasuk nekbat sebagai pencuci mulut.
“Kemudahan surau dan imam harian juga disediakan demi keselesaan pelanggan untuk menunaikan solat Maghrib, Isyak dan sunat Tarawih secara berjemaah. Jemaah juga boleh menikmati moreh selepas solat sunat Tarawih.

Beliau berkata, kadar caj yang dikenakan juga berpatutan iaitu RM69.90 untuk dewasa dan RM34.90 bagi kanak-kanak dan warga emas.

Bomoh cabul pesakit wanita kekal dipenjara tiga tahun

KUALA TERENGGANU – Mahkamah Tinggi di sini semalam menolak rayuan seorang pengamal perubatan tradisional untuk mengetepikan hukuman penjara tiga tahun yang dikenakan ke atasnya atas kesalahan mencabul seorang pesakit wanita pada tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed mengekalkan sabitan hukuman penjara tersebut ke atas tertuduh, Abdullah Muda, 62.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret di sini pada 7 Oktober tahun lalu menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas Abdullah yang didapati bersalah mencabul mangsa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mencabul wanita terbabit yang berusia 39 tahun di premis rumah kedai milik mangsa di Chabang Tiga di sini pada pukul 4 petang, 30 Oktober 2016.

Mengikut fakta kes, mangsa yang mendakwa mengalami gangguan makhluk halus telah mendapat rawatan daripada Abdullah.

Wanita terbabit mendakwa telah dicabul tertuduh sewaktu dimandikan menggunakan daun bidara yang kononnya bertujuan sebagai rawatan mengeluarkan gangguan makhluk halus terbabit.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full manakala tertuduh diwakili peguam Mazlan Mat Zin.

Tuesday, May 28, 2019

TDM tumpu sektor hiliran

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kumpulan TDM Berhad (TDM) iaitu anak syarikat kerajaan negeri Terengganu berhasrat untuk memberi tumpuan kepada sektor hiliran bagi mengimbangi kemerosotan harga minyak kelapa sawit mentah (CPO) di pasaran global pada masa kini.

Pengerusi TDM, Raja Datuk Idris Raja Kamarudin berkata, kemerosotan harga CPO global telah memberi kesan kepada perolehan syarikat tersebut yang hanya mencatatkan RM404.7 juta pada tahun kewangan tahun lalu berbanding RM448.8 juta pada tahun 2017.

"TDM seperti syarikat berteraskan perladangan kelapa sawit lain di rantau ini termasuk Indonesia dan Singapura terjejas disebabkan banyak faktor antaranya kemerosotan harga CPO, konflik perdagangan China - Amerika Syarikat dan ketentuan ekonomi global serta domestik.

"Sehubungan itu TDM akan memberi tumpuan meningkatkan perolehan industri hiliran daripada aset sedia ada seperti operasi kilang penapisan minyak kelapa sawit mini dan pengeluaran baja kompos bagi mengurangkan kebergantungan kepada CPO," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan TDM ke-54 di sini hari ini.

Raja Idris berkata, penerokaan terhadap industri hiliran terbabit tersebut disasar dapat membantu meningkatkan perolehan kumpulan dalam jangka pendek dan sederhana.


Jelas beliau, sebagai syarikat yang telah berkecimpung dalam sektor perladangan kelapa sawit sejak tahun 1965, TDM tetap optimis dengan masa depan industri berkenaan kerana berpengalaman luas menghadapi kenaikan dan kejatuhan harga CPO di pasaran global sejak sekian lama. - K! ONLINE

MBKT kuat kuasa kompaun RM50 kepada individu pengotor

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kecewa tahap kebersihan di bandar raya ini terutama di sekitar Pesisir Payang dan Taman Shahbandar di sini yang semakin tidak memuaskan, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengambil langkah drastik dengan menguatkuasakan kompaun serta-merta kepada individu yang membuang sampah merata-rata.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Shahidan Embok berkata, tindakan kompaun RM50 tersebut yang bertujuan memastikan kebersihan bandar raya ini terutama kawasan sekitar mercu tanda ikonik Terengganu, jambatan angkat berkenaan berkuatkuasa hari ini.

Beliau berkata, tindakan tegas itu bertujuan untuk mengikis sikap kurang bertanggungjawab segelintir individu tidak mementingkan kebersihan sehingga mencemarkan imej Kuala Terengganu yang pernah diiktiraf sebagai antara bandar raya terbersih di negara ini.

"Tumpuan akan diberikan kepada Pesisir Payang dan Taman Shahbandar yang kini menjadi tumpuan pengunjung beriadah kerana berdekatan drawbrige (jambatan angkat).

"Kami sudah tidak sabar lagi dengan sikap segelintir pengunjung kedua-dua taman rekreasi itu yang mengambil sikap sambil lewa meninggalkan sampah terutama bekas makanan dan minuman masing-masing terutama selepas berbuka puasa," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.


Shahidan berkata, seramai 50 anggota penguat kuasa MBKT yang berpakaian preman akan ditempatkan di Pesisir Payang dan Taman Shahbandar dari pukul 6.30 petang hingga 10 malam setiap hari bagi menguatkuasakan peraturan terbaharu terbabit. - K! ONLINE

MBKT kuat kuasa kompaun RM50 individu pengotor

KUALA TERENGGANU – Kecewa dengan tahap kebersihan di bandar raya ini terutama­nya di sekitar Pesisir Payang dan Taman Shahbandar, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengambil langkah drastik dengan menguatkuasakan kompaun serta-merta kepada individu yang membuang sampah merata-rata.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Shahidan Embok berkata, tindakan kompaun RM50 itu bertujuan memastikan bandar raya ini bersih terutamanya kawasan di sekitar mercu tanda ikonik Terengganu, jambatan angkat berkenaan berkuat kuasa semalam.

Beliau berkata, tindakan tegas itu bertujuan untuk mengikis sikap kurang bertanggungjawab segelintir individu tidak mementingkan kebersihan sehingga mencemarkan imej Kuala Terengganu.

“Tumpuan akan diberikan kepada Pesisir Payang dan Taman Shahbandar yang kini menjadi tumpuan pengunjung beriadah kerana berdekatan drawbrige (jambatan angkat).

“Kami sudah tidak sabar lagi dengan sikap segelintir pengunjung kedua-dua taman rekreasi itu yang mengambil sikap sambil lewa meninggalkan sampah terutamanya bekas makanan dan minuman masing-masing selepas berbuka puasa,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Shahidan berkata, seramai 50 anggota penguat kuasa MBKT yang berpakaian preman akan ditempatkan di Pesisir Payang dan Taman Shahbandar dari pukul 6.30 petang hingga 10 malam setiap hari.

Liga Super: Pengendali sementara TFC I tersenyum capai kemenangan sulung

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Pengendali sementara Terengganu Football Club I (TFC I),  Mohd. Nafuzi Zain boleh mengukir senyuman selepas skuad kendaliannya berjaya menewaskan Selangor pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini malam tadi.

Beliau berkata, kejayaan menewaskan Red Giants yang kini berada di tangga keempat Liga Super telah memberi kemenangan moral kepada TFC I yang terjejas akibat peletakan jawatan ketua jurulatih, Irfam Bakti Abu Salim pada minggu lalu.

"Tidak kisahlah menang 1-0 dengan gol sendiri pun, yang penting kita memperolehi tiga mata berharga.

"Pemain-pemain (TFC I) juga telah menunjukkan kesungguhan dan disiplin tinggi untuk memburu kemenangan pada aksi malam ini (kelmarin)," katanya ketika ditemui selepas perlawanan malam tadi.

Mohd. Nafuzi berkata, skuad Penyu sebenarnya agak pincang turun menentang Selangor tanpa dua tonggak import, Igor Zonjic dan Thierry Chantha Bin yang masing-masing mengalami kecederaan mata dan lutut.


Sehubungan itu, beliau menjelaskan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama pasukan telah diambil termasuk memasukkan beberapa pemain baru yang jarang diturunkan sebelum ini seperti Muhamad Sharin Sapien dan Muhammad Khairu Azrin Khazali. - K! ONLINE

Liga Super: Selangor kalah sebab salah sendiri

KUALA TERENGGANU - Selangor perlu menyalahkan diri sendiri bermain di bawah kemampuan sebenar menjadi punca tewas 0-1 kepada skuad 'bermasalah', Terengganu Football Club I (TFC I)  pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini malam tadi.

Pengendali Selangor, B. Satiananthan berkata, kemenangan itu bukan disebabkan nasib tetapi
skuad Penyu memang berhak kerana telah mempamerkan lebih kesungguhan untuk mencapai kemenangan pada aksi tersebut.

"Saya tidak boleh hendak salahkan padang lagi yang hari ini (kelmarin) agak basah kerana hujan sebaliknya pemain (Selangor) yang asyik kehilangan bola terutama pada 20 minit terakhir perlawanan.

"TFC I lebih bersungguh berlari di atas padang untuk mencari gol sedangkan pemain kita bagaikan berjalan kaki. Pemain pertahanan saya macam hendak muntah terima serangan bertali arus daripada tuan rumah," katanya ketika ditemui selepas perlawanan malam tadi.

Pada aksi terbabit, TFC I mencapai kemenangan dramatik 1-0 menerusi kesilapan kapten Red Giants, Sarkunan yang tertampan hantaran Adib Aizuddin Ab. Latif ke gawang sendiri pada minit ke-90.

Satiananthan berkata, beliau juga kesal skuad kendaliannya terlalu mengharapkan pemain import baharu, Ifedayo Olusegun Omosuyi untuk menghasilkan serangan tanpa bantuan rakan-rakan sepasukan lain termasuk pemain kebangsaan. - K! ONLINE

Liga Super : Selangor tewas di tangan TFC I

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Terengganu Football Club I (TFC I) kembali ke prestasi sebenar selepas menumbangkan Selangor 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini sebentar tadi.

Kemenangan dramatik skuad Penyu tersebut berpunca daripada jaringan sendiri kapten skuad Red Giants, K. Sarkunan yang tertampan gol ke gawang sendiri pada minit ke-90.

Terdahulu, penyerang sensasi Selangor, Ifedayo Olusegun Omosuyi hampir mencemaskan tuan rumah namun dua percubaannya di luar kotak penalti pada minit ke-13 dan 36 berjaya ditangkap kemas penjaga gol TFC I, Muhamad Ilham Amirullah Razali.

Skuad Penyu pula mempunyai kesempatan terbaik untuk mendahului menerusi rembatan deras kapten pasukan, Lee Andrew Tuck yang melepasi palang gawang skuad Red Giants pada minit ke-41.

Ayam tambatan TFC I, Tchetche Kipre kemudiannya terus mengugat kubu pelawat namun dua percubaannya terkena palang pada minit ke-46 dan 85.

Kipre sekali lagi hampa apabila sentuhannya terus tidak membuahkan hasil selepas rembatan pada minit ke-88 pula melepasi palang.

Selangor pula membalas serangan menerusi pemain sayap, Mohd. Syazwan Zainon namun percubaan dari penjuru kanan dihalang palang tuan rumah pada minit ke-56.

Red Giants sekali lagi hampa apabila jaringan Ifedayo dibatalkan pengadil, Khirulazuan Kidam kerana berada dalam kedudukan offside pada minit ke-69.


Sepakan percuma pemain import, Sandro Da Silva pula dinafikan oleh ketangkasan Muhamad Ilham Amirullah yang berjaya menampannya pada minit ke-75. - K! ONLINE

Monday, May 27, 2019

Ibu bapa Hafiiz hiba terima kunjungan Perkeso Terengganu

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Ibu bapa Allahyarham Hafiiz Mohd. Ibrahim berlinangan air mata menerima cek faedah pengurusan mayat berjumlah RM2,000 dan pencen penakat RM379 sebulan daripada Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu, Farihah Che Husin.

Esah Abas, 66, dan suami, Ibrahim Hashim, 66, sebak mengenangkan tragedi di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bahru berhampiran Tapak Pelupusan Sampah Sungai Ikan di sini Sabtu lalu yang meragut empat nyawa termasuk Hafiiz, 29, dan isteri, Siti Nur Shahila Asla, 26, yang sedang hamil lima bulan.

Esah berkata, Hafiiz yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik dan isteri, Siti Nur Shahila menjadi peneman dia dan suami menjalani kehidupan seharian di rumah sebagai pesara guru.

"Sebelum kejadian, Hafiiz yang merupakan seorang mekanik sempat membelikan jubah dan kemeja masing-masing kepada saya dan suami serta minta kami pakai pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

"Saya tidak tahu bagaimana untuk menyambut raya (Aidilfitri) tahun ini apatah lagi mengenangkan nasi dagang yang menjadi kegemarannya (Hafiiz) pada pagi Syawal, tapi kami reda," katanya ketika ditemui selepas diziarahi Skuad Prihatin Perkeso Terengganu di rumahnya di Taman Seri Kenanga, Padang Nenas di sini hari ini.

Esah memberitahu, dia juga tidak menyangka hasrat Hafiiz mengajak semua adik-beradiknya termasuk yang menetap di luar Terengganu pulang ke rumahnya berkumpul untuk berbuka puasa bersama pada hujung minggu ini merupakan permintaan terakhirnya.

"Ini pertama kali dia melakukannya di dalam kumpulan Whatsapp keluarga, selalunya idea ajakan untuk berbuka puasa bersama datang daripada anak-anak perempuan saya," katanya.


Sementara itu, Farihah memberitahu keluarga isteri Hafiiz, Siti Nur Shahila bekerja sebagai kerani juga layak menerima faedah pengurusan mayat dan pencen penakat yang akan diuruskan Skuad Prihatin Perkeso Kuala Krai, Kelantan. - K! ONLINE

Anak mangsa kemalangan maut jadi anak angkat Perkeso Terengganu

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kesedihan tiga beradik yang sekelip mata menjadi yatim piatu selepas ibu bapa mereka, Anuar Said, 57, dan Che Khasliza Che Hussin maut dalam kemalangan ngeri melibatkan empat nyawa di Kuala Nerus Sabtu lalu sedikit terubat apabila Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu menjadikan mereka sebagai anak angkat.

Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin berkata, pihaknya amat bersimpati dengan nasib menimpa Nurul Amirah, 19, dan dua adiknya Muhammad Adib, 18, dan Nurul Nadirah, 13, yang bakal menyambut Syawal dalam keadaan sebatang kara.

"Kami akan menjaga kebajikan tiga beradik ini terutama memastikan mereka mendapat pendidikan sempurna sehingga masing-masing menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda.

"Sebagai anak pencarum Perkeso iaitu ibunya, Che Khasliza yang merupakan guru tadika, Nurul Amirah dan adik-adiknya juga layak menerima pencen penakat sebanyak RM900 sebulan sepanjang tempoh tersebut," katanya ketika menziarahi Nurul Nadirah di Wad Wanita Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini.

Nurul Nadirah yang patah kedua-dua kaki dan hidung akibat kemalangan yang berlaku di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bahru berhampiran Tapak Pelupusan Sampah Sungai Ikan, Kuala Nerus tersebut dijaga kakaknya, Nurul Amirah.


Farihah berkata, tiga beradik berkenaan merupakan program anak angkat kedua diambil Perkeso Terengganu selepas Muhammad Khairul Haziq, 5, yang juga kehilangan ibu bapa dan adik perempuannya akibat kemalangan maut di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit, Kuala Nerus pada 9 Februari lalu. - K! ONLINE

Jenazah dua pasangan suami isteri maut kemalangan selamat dikebumikan

MOHD. AZLI ADLAN dan EZZUAN AHMAD

KUALA NERUS - Dua pasangan suami isteri yang maut selepas dua kenderaan yang dinaiki mereka bertembung di Jalan Kuala Terengganu - Kota Bahru berhampiran Tapak Pelupusan Sampah Sungai Ikan di sini selamat dikebumikan sebentar tadi.

Jenazah Hafiiz Mohd. Ibrahim, 29, dan isteri, Siti Nur Shahila Asla, 26, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Awang Lib di sini pada pukul 9.15 malam.

Terdahulu jenazah pasangan tersebut disembahyang di Masjid Kampung Padang Nenas di sini selepas solat Maghrib.

Suasana pilu menyelubungi upacara pengkebumian tersebut apabila ibu Siti Nur Shahila, Saripah Mohd., 53, tiba-tiba rebah sewaktu talkin sedang dibacakan.

Dia yang gagal menahan sebak kemudiannya terpaksa dipimpin ahli keluarga lain untuk menyiram air mawar di pusara Siti Nur Shahila dan menantu lelakinya, Hafiiz.

Sebelum ini, Saripah turut rebah sewaktu tiba di pekarangan Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk melakukan pengecaman mayat anak dan menantunya pada pukul 1.17 petang.
Sementara itu, jenazah Anuar Said, 59, dan isteri, Che Khasliza Che Hussin, 53, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sura Tengah, Dungun pada pukul 9 malam.


Keempat-empat mangsa termasuk Siti Nur Shahila yang sedang hamil anak sulung maut selepas kedua-dua kereta yang masing-masing dinaiki pasangan bertembung semasa sendiri pada pukul 9.20 pagi. - K! ONLINE

Nasi dagang, sira tapai permintaan terakhir Bella

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Nasi dagang dan sira tapai merupakan permintaan terakhir Siti Nur Shahila Asla, 26, yang hamil lima bulan terhadap ibunya sebelum dia maut bersama suami, Hafiiz Mohd. Ibrahim, 29, dalam kemalangan ngeri di Jalan Kuala Terengganu - Kota Bahru berhampiran Tapak Pelupusan Sampah Sungai Ikan di sini hari ini.

Ibu mangsa, Saripah Mohd., 53, berkata, Siti Nur Shahila yang lebih mesra dipanggil Bella memberitahu dia mengidam dua menu makanan Pantai Timur tersebut dan memintanya membuatnya sebagai juadah berbuka puasa sewaktu berada di rumah keluarganya di Felda Chiku 5, Gua Musang, Kelantan.

"Saya sempat menyiapkan nasi dagang dan sira tapai untuk Bella sepanjang dia bersama suaminya bercuti selama tiga hari sejak Khamis lalu di rumah keluarga kami dan dia begitu berselera makan air tangan saya.

"Bella juga membawa saya dan suami serta adik bongsunya, Mohd. Hafizuddin, 21, yang merupakan golongan orang kelainan upaya kategori lembam membeli persiapan raya seperti pakaian dan selipar baru," katanya ketika ditemui di pekarangan Rumah Mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini.

Bella yang sedang hamil lima bulan telah melangsungkan perkahwinan dengan Hafiiz pada bulan September tahun lalu.


Tambah mengharukan Saripah, dia sempat membelikan kerongsang untuk Bella yang juga anak ketiga daripada empat beradik yang dicadang mahu dipakai bersama baju kurung berwarna merah hati pada Hari Raya Aidilfitri kelak. - K! ONLINE

[KEMASKINI] Empat maut, dua kereta bertembung di Kuala Nerus

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Perjalanan pulang seorang wanita yang sedang hamil lima bulan bersama suaminya dari kampung halaman berakhir dengan tragedi selepas pasangan itu maut dalam kemalangan di Jalan Kuala Terengganu - Kota Bahru berhampiran Tapak Perlupusan Sampah Kampung Sungai Ikan di sini hari ini.

Siti Nur Shahila Asla, 26, dan suami, Hafiiz Mohd. Ibrahim, 29, yang menaiki kereta jenis Proton Wira Aeroback maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian badan pada kemalangan yang berlaku pada pukul 9.20 pagi itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd. Razak Hassan berkata, turut maut dalam kemalangan terbabit pasangan suami isteri, Anuar Said, 59, dan isterinya, Che Khasliza Che Hussin, 53, yang menaiki kereta jenis Peugeot akibat kecederaan di bahagian kepala dan badan.

Beliau berkata, anak Anuar dan Che Khasliza, Nurul Nadirah, 13, pula cedera di bahagian muka dan kaki dan telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk menerima rawatan.

"Sewaktu kejadian, Siti Nur Shahila dan Hafiiz dalam perjalanan pulang ke rumah selepas berbuka puasa bersama-sama keluarga pada cuti hujung minggu semalam di kampung di Felda Chiku 5, Gua Musang, Kelantan.

"Keluarga Anuar pula dalam perjalanan pulang ke Besut selepas menziarahi jenazah sepupunya yang meninggal dunia di Dungun," katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini. - K! ONLINE


Empat maut, seorang cedera kemalangan di Kuala Nerus

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Empat maut manakala seorang lagi cedera dalam satu kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Kampung Sungai Ikan, di sini pagi tadi.

Pegawai Operasi Bomba Kanan ll Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu Hasmadi Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu daripada orang awam pada pukul 9.30 pagi tadi.

Beliau berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah kereta Proton Wira dan sebuah kereta Peugeot, dimana pemandu kedua-dua kenderaan itu meninggal dunia dalam kejadian.

"Pemandu dan seorang penumpang yang berada di dalam kereta Peugeot disahkan meninggal di tempat kejadian manakala seorang lagi penumpang yang cedera telah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

"Dalam kereta Wira Aeroback pula, pemandu dan seorang penumpangnya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Setakat ini kesemua identiti mangsa masih belum dapat disahkan dan sedang dikenalpasti. - K! ONLINE

Sunday, May 26, 2019

Pemain pertahanan Melaka United cedera kemalangan di LPT2

KEMAMAN - Pemain pertahanan Melaka United, Mohd. Faizal Muhamad, 30, cedera selepas kenderaan pelbagai guna, Toyota Vellfire dipandunya hilang kawalan sebelum merempuh kenderaan utiliti sukan, Honda HRV di Kilometer 250.2 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur masuk Plaza Tol Jabor dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 9.30 pagi, penumpang Honda HRV, Sabariah Seman, 60, cedera parah di bahagian dada akibat pelanggaran terbabit manakala anaknya, Nur Alya Zulaikha Mohd. Suhaimi, 24, pula terselamat tanpa sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superitendan Mohd. Said Ibrahim berkata, sewaktu kejadian, Mohd. Faizal dalam perjalanan pulang bercuti ke kampung halamannya di Kampung Sentul Patah, Marang manakala Sabariah yang merupakan pesara guru dan anaknya dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Bee, Beserah, Kuantan, Pahang.

Beliau berkata, sebelum kejadian, pemain simpanan Melaka United itu baru selesai mewakili Melaka United pada perlawanan Liga Super menentang Perak di Stadium Perak, Ipoh pada malam kelmarin.

"Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kenderaan Toyota Vellfire yang dinaiki Mohd. Faizal dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh bahagian belakang kenderaan Honda HRV yang dinaiki Sabariah dan anaknya di hadapannya.

"Rempuhan itu menyebabkan kenderaan Honda HRV terbabit berpusing beberapa kali sebelum terbalik manakala kenderaan Toyota Vellfire yang dipandu Mohd. Faizal merempuh penghalang jalan di kiri lebuh raya," katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini. - K! ONLINE

UniSZA lantik empat pelajar jadi Ahli Senat Universiti

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melakar sejarah tersendiri apabila muncul menjadi institusi pengajian tinggi awam tempatan (IPTA) pertama di negara ini yang melantik pelajar sebagai Ahli Senat Universiti.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, pelantikan empat pelajar merangkumi dua sebagai Ahli Senat manakala dua lagi sebagai pemerhati itu bertujuan meningkatkan penglibatan golongan tersebut dalam pentadbiran dan pengurusan universiti selaras dengan seruan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

"Dua pelajar yang dilantik sebagai Ahli Senat ialah Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniSZA, Harun Osman dan Timbalan Presiden II MPP UniSZA, Ahmad Kamil Makhtar.

"Ketua Perhubungan MPP UniSZA, Ahmad Suffian Mohd. Dalizan dan Bendahari II MPP UniSZA, Ain Syazana Zolkepli pula berstatus pemerhati dalam dewan senat universiti ini," katanya ketika ditemui selepas mempengerusi Mesyuarat Senat Bulanan UniSZA di sini hari ini.

Dewan Senat merupakan badan berkuasa akademik tertinggi yang bertanggungjawab mengawal arahan am berhubung pengajaran, penyelidikan, peperiksaan, penetapan dan pengurniaan ijazah, diploma, sijil dan kepujian lain bagi sesebuah universiti.


Sebelum ini, seramai 45 orang menganggotai Dewan Senat UniSZA dan seperti IPTA lain di negara ini ia terdiri daripada pengurusan kanan, ketua-ketua fakulti pengajian dan sebahagian pensyarah kanan berpangkat Profesor. - K! ONLINE

Jambatan angkat Kuala Terengganu dibuka 2 Jun depan

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Orang ramai berpeluang untuk merasai keindahan panorama indah muara Sungai Terengganu menerusi jambatan angkat Kuala Terengganu atau drawbrigde yang akan dibuka untuk sesi ujian selama 13 hari mulai 2 Jun depan.

Setiuasaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk A. Rahman Yahya berkata, pembukaan jambatan angkat sepanjang 638 meter itu sehingga 17 Jun depan juga bertujuan untuk melancarkan aliran trafik di bandar raya ini sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

"Ia akan dibuka untuk sesi ujian bagi kegunaan orang ramai dari 2 Jun hingga 17 Jun depan sebelum akan ditutup semula bagi memperkemaskan lagi operasinya terutama pemasangan papan tanda.

"Kita menjangkakan drawbrigde (jambatan angkat) ini akan beroperasi sepenuhnya pada akhir bulan Jun depan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Mesyuarat kedua MTN Terengganu tersebut dipengerusikan Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd. Redzuan Md. Yusof.


A. Rahman berkata, jambatan angkat yang menghubungkan daerah ini dan Kuala Nerus di muara Sungai Terengganu tersebut merupakan mercu tanda baharu Terengganu dan ia telah menarik perhatian bukan masyarakat tempatan malah seluruh negara. - K! ONLINE

Saturday, May 25, 2019

Program UMT Mengaji Tanpa Henti 123 jam diiktiraf MBOR

MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA NERUS - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencipta kelainan menyambut Nuzul Quran hari ini menerusi penganjuran program Mengaji Tanpa Henti selama 123 jam.

Program selama lima hari bermula pada Jumaat lalu itu diiktiraf sebagai oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai program mengaji al-Quran tanpa henti terpanjang di negara ini.

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, seramai 500 peserta terdiri daripada pelajar, kakitangan dan masyarakat setempat terlibat dalam tadarus al-Quran terbabit yang diadakan di dalam Pusat Islam Sultan Mahmud, UMT.

"Sepanjang tempoh lima hari berkenaan, kesemua peserta yang mengaji al-Quran secara bergilir-gilir terbabit berjaya khatam sebanyak lima kali.

"Peserta turut melibatkan komuniti setempat termasuk golongan orang kelainan upaya penglihatan, warga emas dan kanak-kanak," katanya selepas menghadiri majlis penutup program UMT Mengaji Tanpa Henti di Pusat Islam Sultan Mahmud, UMT di sini hari ini.


Pada majlis penutup yang disempurnakan Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu, Yahya Ali, Nor Aieni menerima sijil pengiktirafan daripada wakil MBOR, Mohamad Nazrul Hafizi Ahmad Fauzi. - K! ONLINE

Friday, May 24, 2019

TFC I janji bangkit demi peminat setia skuad Penyu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

TERENGGANU FC I (TFC I) berjanji akan mempamerkan persembahan bertenaga pada aksi Liga Super menentang Selangor di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.
Pemain tengah TFC I, Ahmad Syamim Yahya (gambar) berkata, dia dan rakan-rakan sepasukan berikrar untuk tidak mengulangi prestasi memalukan pada aksi terakhir di laman sendiri minggu lalu yang me­nyaksikan skuad Penyu tumbang 3-5 kepada muka baharu Liga Super, Petaling Jaya City FC.

“Kekalahan itu memberi kesan besar kepada TFC I yang menyaksikan ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim mengambil keputusan drastik meletak jawatan serta-merta.

“Kami berjanji untuk lupakan episod duka itu demi kembalikan kepercayaan penyokong yang tidak putus-putus berada di belakang kami selama ini,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Sehubungan itu, Ahmad Syamim merayu peminat tegar TFC I agar tetap memenuhkan stadium pada aksi malam ini demi menyemarakkan semangat mereka untuk membuat kebangkitan.

Mengulas pemergian Irfan Bakti, ujarnya, walaupun amat berhutang budi dan menganggap jurulatih berpengalaman tersebut sebagai mentor sejak bersama kelab Felda United lagi, dia dan rakan-rakan sepasukan amat menaruh kepercayaan penuh terhadap kewibawaan pengendali sementara, Mohd. Nafuzi Zain.

“Kami (Mohd. Nafuzi dan skuad TFC I) telah lama bersama dan sudah membentuk keserasian. Insya-Allah skuad ini akan bangkit semula.
“Saya akui Selangor berada pada prestasi terbaik apabila menduduki tangga keempat Liga Super tetapi kami telah membuktikan sebelum ini mampu menewaskan mereka,” katanya.

‘Kerusi panas’ TFC I jadi rebutan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEKOSONGAN jawatan pengendali Terengganu FC I (TFC I) berikutan tindakan mengejut Irfan Bakti Abu Salim meninggalkan skuad Penyu pada minggu lalu, telah menarik perhatian ramai jurulatih tempatan dan luar negara untuk mengisi ‘kerusi panas’ tersebut.

Meskipun Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa enggan tergesa-gesa mencari pengganti Irfan Bakti, namun ia tidak menghalang ratusan permohonan dari dalam dan luar negara untuk mendapatkan jawatan tersebut.
Lebih menghangatkan, antara nama yang disebut-sebut turut berminat mengisi ‘kerusi panas’ terbabit ialah bekas ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Ulisses Morais dan bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar.

Presiden PBSNT, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengakui menerima banyak permohonan untuk mengisi jawatan sebagai ketua jurulatih TFC I termasuk daripada Morais dan Azlan.

Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Besar Terengganu menjelaskan, pemilihan ketua jurulatih baharu TFC I masih belum dapat dimuktamadkan dalam tempoh terdekat ini.
“Betul lah itu (permohonan), ramai yang minta dan kita pun mencari tetapi belum ada keputusan lagi memandangkan beberapa pertimbangan sedang dilakukan.

“Apa yang penting, calon ketua jurulatih TFC I itu mesti mempunyai perancangan jitu untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Terengganu,” katanya.

Sebagai rekod, Morais yang berasal dari Portugal mempunyai reputasi mengemudi JDT menjulang gelaran berganda, Liga Super dan Piala Malaysia pada musim 2017, namun membuat keputusan mengejut meninggalkan JDT disebabkan faktor kesihatan keluarga pada Februari, 2018.

Pengalaman Morais pada saingan Liga Malaysia dan keupayaannya meraih kejuaraan berganda bersama JDT dikatakan faktor menarik PBSNT untuk meletakkan beliau sebagai antara calon pilihan pengendali baharu TFC I.
Selain Morais, Azlan yang juga bekas pemain kebangsaan pada 1980-an turut berminat untuk menjadi ketua jurulatih skuad Penyu dan beliau bukan asing buat bola sepak Terengganu kerana pernah menjadi pembantu jurulatih T-Team (kini TFC II) pada tahun 2013.

Malaysia fokus menjadi negara keusahawanan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Persekutuan akan memberi lebih fokus kepada sektor keusahawanan untuk mencapai matlamat menjadi negara berpendapatan tinggi.

Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, formula untuk menjadi negara keusahawanan tersebut dirangka dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri.

“Kita tidak mahu rakyat terlalu bergantung dengan bantuan kewangan secara langsung daripada kerajaan.

“Dalam mesyuarat tadi nampaknya kerajaan negeri (Terengganu) telah memberi maklum balas (positif) yang lebih untuk memberi kail daripada ikan (kepada rakyat),”  katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini semalam.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk A. Rahman Yahya.

Mohd. Redzuan yang juga Pengerusi MTN Terengganu berkata,  antara sektor ke­usahawanan yang diberi tumpuan bagi meningkatkan pendapatan rakyat berkenaan ialah pertanian fertigasi.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, kerajaan Persekutuan merancang untuk mewujudkan sebuah dana spesifik untuk pembangunan insfrastruktur pertanian.

“Jika sebelum ini kita ba­nyak membina infrastruktur berbentuk liabiliti seperti jalan raya yang memerlukan kos penyelenggaraan, kini fokus akan diberikan kepada infrastruktur pertanian yang bakal memberi pulangan.

“Kita akan labur dalam pertanian berteknologi tinggi untuk manfaat orang yang mahu berusaha,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Redzuan memberitahu, MTN Terengganu telah bersetuju untuk memohon peruntukan RM250 juta bagi pelaksanaan projek sistem fertigasi di negeri ini pada Rolling Plan 4 (RP4), Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11).

Thursday, May 23, 2019

Penjawat awam Terengganu terima bonus raya RM400

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu mengumumkan pemberian insentif sebanyak RM400 sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri kepada penjawat awam negeri ini.

Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri berkata, ia melibatkan 12,700 penjawat awam negeri itu termasuk berstatus kontrak dan adhoc dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM5.1 juta.

"Pembayaran bonus raya tersebut melibatkan semua kakitangan kerajaan negeri Terengganu bergred 54 ke bawah dan akan dilunaskan bersama gaji hujung bulan ini.

"Ia bertujuan meringankan beban mereka untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba," katanya selepas merasmikan program Beyond The Moon sempena ulang tahun ke-50 pendaratan manusia ke bulan di Pusat Sains Dan Kreativiti Terengganu di sini hari ini.

Ahmad Samsuri menjelaskan kerajaan negeri Terengganu terpaksa mengambil langkah penjimatan menyebabkan kadar pemberian insentif raya di negeri ini lebih rendah berbanding peringkat persekutuan dan negeri-negeri lain.

Ujar beliau, ia disebabkan hasil kerajaan negeri semakin berkurangan ekoran pembayaran royalti petroleum pada tahun ini telah dipotong sebanyak 25 peratus oleh kerajaan Persekutuan.


"Begitupun pengurangan bonus raya pada tahun ini tidaklah sampai 25 peratus dan ia sebagai tanda penghargaan kepada sumbangan penjawat awam negeri ini," katanya. - K! ONLINE

Wednesday, May 22, 2019

Semakan semula percepat kes tuntutan nafkah anak

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKST) berhasrat untuk menyemak semula prosedur kes tuntutan nafkah anak di mahkamah syariah yang kini dilihat terlalu memakan masa lama.

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd. Zakri Wan Mohd. berkata, prosedur terbabit perlu dilonggarkan kerana dilihat antara punca kelewatan pembayaran nafkah oleh bapa kerana menunggu keputusan mahkamah sekali gus dikhuatiri boleh menjejaskan kebajikan anak-anak di bawah jagaan bekas isteri.

Beliau berkata, tuntutan nafkah hadanah (penjagaan anak-anak) buat masa ini mempunyai 13 prosedur dalam tatacara pengendalian kes yang perlu dipatuhi setiap hakim syarie terlibat.

"Setiap tatacara itu perlu dipatuhi sebelum setiap keputusan kes tuntutan nafkah anak dapat diputuskan. Misalnya bagi kes rayuan jumlah pembayaran nafkah yang difailkan bekas suami, ia memakan masa hampir enam bulan untuk diselesaikan.

"Sepanjang tempoh rayuan itu, anak-anak tidak mendapat lagi nafkah dan bekas isteri perlu berusaha mencari cara lain untuk membesarkan keluarga, ini belum masuk kes bekas suami culas lagi,"  katanya selepas menghadiri majlis penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Seksyen Bahagian Sokongan Keluarga JKST di sini malam tadi.


Bantuan kepada 35 ibu tunggal yang perlu menyara anak tanpa nafkah daripada bekas suami itu disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md. Noor. - K! ONLINE