Translate

Saturday, February 28, 2015

Maritim Malaysia dapat KM Perwira

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) semalam menerima secara rasmi kapal jenis 'Bay Class' terpakai sumbangan kerajaan Australia.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Amdan Kurish berkata, kapal yang dinamakan Kapal Maritim (KM) Perwira itu bakal memantapkan lagi kerja-kerja pemantauan dan pencegahan aktiviti jenayah maritim agensi tersebut di sekitar Selat Melaka.

"KM Perwira akan ditempatkan Markas Maritim Daerah Tiga di Lumut, Perak dan berperanan memantau kawasan utara Selat Melaka dari perairan Langkawi hingga Kuala Selangor.

"Penggunaan sulung kapal ini pada Ops. Redback 3 iaitu operasi pemantauan sempadan melibatkan kerjasama Maritim Malaysia dan Perkhidmatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Australia (ACBPS) pada 13 hingga 16 Mac ini sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA)," katanya.

Terdahulu beliau menyaksikan penyerahan KM Perwira daripada Menteri Imigresen dan Perlindungan Sempadan Australia, Petter Dutton kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim di Pusat Hidrografi Nasional, Pulau Indah di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif ACBPS, Roman Quaedvlieg.

Amdan berkata, Maritim Malaysia turut bakal menerima sebuah lagi kapal jenis Bay Class terpakai sumbangan kerajaan Australia pada Mei depan.

Menurut beliau, kapal terbabit pula bakal ditempatkan di Markas Maritim Daerah Ketiga di Johor Bahru dan kawasan liputannya dari perairan Kuala Selangor hingga Johor Baru.

PDRM menang bergaya

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

POLIS DIRAJA MALAYSIA (PDRM) melangkah mudah ke pusingan ketiga selepas membelasah Sabah 3-0 pada perlawanan pusingan kedua Piala FA di Stadium Shah Alam, Selangor malam tadi.
Gandingan duo penyerang import, Dramane Traore dan Ali Ashfaq sekali lagi membuktikan sentuhan berbisa mereka dengan menjaringkan ketiga-tiga gol yang begitu berharga buat skuad kendalian Azman Adnan berkenaan.
Ashfaq yang merupakan pemain kelahiran Maldives membuka jaringan menerusi tendangan leret yang menerjah pintu gol Sabah selepas menerima umpanan dari rakan sepasukan Traore pada minit ke-27.
Bagaikan membalas budi, Ashfaq pula membuka ruang kepada Traore untuk gol kedua PDRM pada minit ke-40.
Tersentak ketinggalan 0-2, Sabah menukar strategi mengeluarkan penyerang, Mohd. Ezaidy Khadat bagi memasukkan ketua pasukan, El Hadji Diouf kira-kira tiga minit kemudian bagi menajamkan serangan skuad Badak yang agak tumpul.
Bagaimanapun, belum sempat Diouf yang juga bekas penyerang Liverpool ‘panas’ di atas padang, Traore kembali menunjukkan taringnya dengan menjaringkan gol kedua peribadi perlawanan pada lewat separuh masa pertama.
Tandukan penyerang kelahiran Mali itu menerjah masuk ke penjuru kiri pintu gol Sabah, sekali gus menewaskan Mohd. Fazli Paat buat kali ketiga pada minit ke-45.
Barisan serangan skuad Badak agak kemas pada separuh masa kedua dengan melancarkan beberapa percubaan berbahaya, namun ia masih belum memadai untuk menyaingi keampuhan PDRM.
Mereka terpaksa pulang hampa selepas serangan demi serangan yang direncana Diouf gagal membuahkan hasil.
Peluang terbaik Sabah untuk menjaringkan gol tiba pada minit ke-88, namun tandukan tajam penyerang import, Eamon Zayed berjaya ditepis keluar penjaga gol The Cops, Badrulzaman.


Lelaki Indonesia parah ditetak ketika bergaduh di karaoke

KLANG - Seorang lelaki warga Indonesia cedera parah ditetak dengan parang oleh sekumpulan lelaki senegaranya setelah berbalah di pusat karaoke yang terletak di sebuah pusat membeli-belah di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 7.35 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Mat Sukono, 31, yang mengalami kecederaan di bahagian muka dan belakang kepala berada keadaan tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, sebelum kejadian, mangsa dan empat rakannya telah bertengkar dengan sekumpulan lima lelaki yang juga warga Indonesia di sebuah pusat karaoke yang terletak di tingkat lima, pusat membeli-belah berkenaan.

"Pertengkaran mulut tersebut berlarutan sehingga kelima-lima suspek bertindak menyerang mangsa dan kawan-kawan dengan bersenjatakan parang.

"Empat rakan mangsa berjaya melepaskan diri namun mangsa yang melarikan diri ke tingkat empat pasar raya dengan menggunakan tangga eskalator telah ditetak berkali-kali dengan parang di bahagian muka dan belakang kepala," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Kejadian pergaduhan bersenjata itu telah dirakam oleh kamera litar tertutup pusat membeli-belah berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Friday, February 27, 2015

Air kolam bekas lombong selamat diguna

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor memberi jaminan sumber air mentah yang dipam dari kolam bekas lombong di Bestari Jaya, Kuala Selangor selamat dan mematuhi piawaian ditetapkan Kementerian Kesihatan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, analisa pensampelan oleh Jabatan Kesihatan negeri secara berkala mendapati kualiti air di sumber kolam alternatif itu mematuhi parameter disyorkan Garis Panduan Kualiti Air Minum Kebangsaan.

"Tiga peringkat pemantauan kualiti air telah dilakukan iaitu di kolam alternatif, sungai dan muka sauk dan Loji Rawatan Air (LRA) dan pensampelan terakhir dilakukan pada 18 Februari lalu.

"Keputusan-keputusan analisa pensampelan air tersebut juga telah dimuatnaik pada portal Lembaga Urus Air Selangor (LUAS)," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, sebanyak 700 juta liter sehari (JHL) telah dipam dari kolam alternatif tersebut oleh LUAS sejak 2 Februari lalu sebagai persiapan menghadapi musim kemarau yang dijangka tiba tidak lama lagi.

"Pada masa sama, pelepasan air di Empangan Sungai Selangor dilakukan hanya tiga kali sehari bagi mengoptimakan alir sungai sedia ada dan sumber air dari kolam alternatif tersebut.

Kempen harga barang diteruskan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM – Kementerian Perdaga­ngan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi jaminan harga barangan basah, makanan dan tin yang akan turun antara 10 hingga 20 peratus secara besar-besaran bermula 1 Mac ini akan diteruskan walaupun berlaku kenaikan harga minyak.
Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, persiapan kempen menurunkan harga barang yang melibatkan beberapa pasar raya besar itu sudah berada di pe­ringkat akhir dan ia bakal dilancarkan secara besar-besaran di seluruh negara bermula Ahad ini.
“Saya tidak tahu (harga minyak bulan depan naik atau turun), sampai masa kita akan umumkan. Bagaimanapun, kita ada strategi tersendiri untuk menurunkan harga barang.

"Pengguna perlu diyakinkan harga barang tidak akan naik semata-mata kerana harga petrol naik. Tidak, petrol bukanlah faktor utama kenaikan harga barang tetapi ia ditentukan oleh pasaran, faktor permintaan dan penawaran dan lain-lain," katanya.

Terdahulu beliau merasmikan Kempen Kunci Harga anjuran GCH Retail (M) Sdn. Bhd. (GCH Retail) di pasar raya besar Giant Shah Alam di Seksyen 13 di sini semalam.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad dan Pengarah Kewangan GCH Retail, Vincent Jegou.

Kempen Kunci Harga itu berlangsung sehingga 27 Mei depan melibatkan 126 pasar raya Giant di seluruh negara yang akan menurunkan harga 1,000 barang seperti barangan keperluan asas seperti susu tepung kanak-kanak, lampin pakai buang dan peralatan elektrik antara 10 hingga 15 peratus untuk manfaat hampir 2.3 juta pengguna seminggu.

Hasan berharap para peniaga lain agar mencontohi langkah tersebut bagi meringankan beban pengguna.

Thursday, February 26, 2015

Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia meriah

MUAFAKAT. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup merasmikan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia peringkat kebangsaan di kawasan tempat letak kereta Jalan Dato Hamzah, Klang, Selangor baru-baru ini.

Joseph berkata, program tersebut bertujuan untuk menyemarakkan keharmonian penganut pelbagai agama dan memantapkan lagi perpaduan di antara kaum di negara ini.

Beliau berkata, pelbagai aktiviti melibatkan generasi muda diadakan sepanjang minggu tersebut termasuk bergotong-royong membersihkan rumah ibadat pelbagai agama yang terdapat di sekitar bandar Klang seperti Masjid India Muslim Tengku Kelana, Gereja Our Lady of Lourdes, Gudwara Sahib Klang dan Kuil Sri Nagara Thendayuthapani.

Monday, February 23, 2015

Jabatan Perikanan Selangor rampas bot, sita hasil tangkapan nelayan tamak

KUALA SELANGOR - Kedegilan 11 nelayan mematuhi peraturan semata-mata untuk mengaut keuntungan berlipat-ganda membawa padah apabila bot dan sampan mereka dirampas penguat kuasa Jabatan Perikanan dalam Ops. Pukat Tunda yang diadakan di perairan Selangor selama empat hari berakhir semalam.

Sebanyak dua tan hasil tangkapan ikan nelayan terbabit yang bakal dilelong selain penahanan 35 awak-awak termasuk 32 warga asing yang disyaki pendatang asing warga asing (PATI) berjaya ditahan.

Pengarah Perikanan Selangor, Azlisha Abdul Aziz berkata, kesalahan yang dilakukan nelayan terbabit ialah menceroboh zon larangan iaitu dua kes, menggaji PATI (11 kes) dan menggunakan mata keroncong pukat tunda yang tidak menetapi saiz dibenarkan (tujuh kes).

"Selain membanteras aktiviti yang melanggar Akta Perikanan 1985 termasuk memastikan bot nelayan memasang Sistem Pemantauan Automatik (AIS), Ops. Pukat Tunda melibatkan Zon Tengah Pantai Barat ini juga bertujuan menyelesaikan konflik antara nelayan.

"Sebelum ini, kita sering terima aduan daripada nelayan zon A di persiaran Selangor dari Pelabuhan Klang hingga Sabak Bernam yang mendakwa kawasan tangkapan mereka sering diceroboh nelayan pukat tunda zon B dan zon C," katanya ketika ditemui di Depoh Tahanan Vesel, Jabatan Perikanan di sini semalam.

Ketika ini, nelayan zon A dibenarkan menangkap ikan dari pesisir pantai sehingga lapan batu nautika manakala bot pukat tunda zon B pula bermula pada jarak lapan batu nautika.

Kawasan bot pukat tunda zon C dikhususkan untuk nelayan menangkap hasil laut melebihi 15 batu nautika dari pesisir pantai.

KPDNKK keluar 105 kompaun ke atas pemborong, peruncit

KLANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengeluarkan sebanyak 105 kompaun telah dikeluarkan kepada peruncit dan pemborong di seluruh negara sejak Skim Kawalan Harga sempena Tahun Baru Cina dikuatkuasakan pada 14 Februari lalu.

Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Mohd. Roslan Mahayudin berkata, penguatkuasaan tersebut turut merampas barangan jualan bernilai RM5,487 milik peniaga dan pemborong terbabit.

"Sebanyak 88 kesalahan yang dikesan berhubung kegagalan meletakkan tanda harga khas musim perayaan, tidak meletakkan tanda harga (lapan kes) dan menjual melebihi harga siling dibenarkan (lima kes).

"Ia melibatkan 103 peniaga manakala bakinya dua pemborong di seluruh negara," katanya selepas mengadakan pemeriksaan harga barang di Pasar Besar Klang di sini semalam.

Mohd. Roslan berkata, kesalahan menjual barangan melebihi harga kawalan yang diperkenalkan sempena musim perayaan Tahun Baru Cina telah dikesan di negeri Perak iaitu sebanyak dua kes manakala satu kes masing-masing di Selangor, Johor dan Kedah.

Menurut beliau, kesemua kesalahan melanggar peraturan skim harga kawalan itu melibatkan jualan ayam dan telur ayam.

"Kebanyakan peniaga yang dikenakan kompaun memberi alasan kononnya tidak mengetahui tentang pelaksanaan skim sempena Tahun Baru Cina terbabit.

"Alasan itu tidak boleh diterima kerana skim kawalan harga musim perayaan bukanlah pertama kali diperkenalkan dan hebahan sudah dibuat melalui media dan risalah seminggu sebelum pelaksanaannya," katanya.

Mohd. Roslan menambah, pemeriksaan akan diteruskan sehingga 25 Februari ini dan pengguna yang mempunyai maklumat tentang peruncit dan pemborong yang menjual barangan kawalan melebihi harga siling ditetapkan boleh membuat laporan di pejabat KPDNKK berhampiran.


Sunday, February 22, 2015

Kemarau kemenangan Selangor berterusan

SELANGOR terus kempunan untuk mengakhiri kemarau kemenangan apabila dipaksa seri 1-1 oleh Juara Liga Super musim lalu, Johor Darul Takzim (Johor DT) pada perlawanan ketiga Liga Super di Stadium Shah Alam malam tadi.
Gergasi Merah garang mendahului 1-0 hasil sepakan padu pemain tengah kelahiran Indonesia, Andik Vermanshah di luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Johor DT, Mohd. Farizal Marlias seawal 37 saat wisel sepak mula ditiupkan.
Tersentak dengan gol awal tersebut, barisan serangan Johor DT yang diketuai Luciano Figueroa telah melipatkan ganda usaha mengasak bertali arus kubu Selangor yang dikawal ketat penjaga gol, Norazlan Razali.
Peluang awal pasukan pelawat untuk menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-26 menerusi sepakan deras penyerang import, Jorge Pereyra Diaz yang hampir menerjah gol, namun berjaya dikuis keluar Norazlan.
Begitupun keampuhan benteng pertahanan Selangor yang dikemudi kapten pasukan, Mohd. Shahrom Abd. Kalam akhirnya terlerai pada minit ke-61.
Figueroa mengambil kesempatan daripada situasi kelam-kabut di hadapan pintu gol pasukan lawan untuk menolak masuk bola sekali gus menewaskan Norazlan.
Jaringan penyamaan Johor DT itu membuatkan kedua-dua pasukan yang beraksi di hadapan 25,000 penyokong tegar semakin bersemangat dengan berbalas-balas serangan, namun terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata.
Seperti dijangka, perlawanan berlangsung hangat dengan aksi agresif pemain kedua-dua pasukan.
Pengadil, Samsudin Ibrahim terpaksa mengeluarkan empat kad kuning kepada pemain Selangor iaitu Mohd. Shahrom, Md. Azrif Nasrulhaq, Robert Cornthwaite dan Leandro Dos Santos manakala tiga pemain Johor DT turut menerima kad kuning iaitu Haris Harun, Safiq Rahim dan Marcos Antonio.

Monday, February 16, 2015

Lima lelaki didakwa culik budak

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KLANG - Lima lelaki termasuk dua remaja di bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan menculik seorang budak berusia lima tahun pada bulan lalu.

Mohammad Norhafizie Abdullah, 18, Mohammad Faiderus Suhaini, 32, Nashamizie Shahidan, 19, dan dua lagi pesalah juvana dituduh melarikan mangsa dari rumahnya di Taman Maznah di sini pukul 1.52 pagi pada 22 Januari lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa telah mengurung kanak-kanak lelaki itu dengan niat untuk mendapatkan wang tebusan sebanyak RM845,532 merangkumi mata wang dolar Amerika Syarikat, AS$100,000 (RM363,155), dolar Australia AUD100,000 (RM282,135) dan RM200,000.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penculikan 1961 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan dan kelima-lima tertuduh sekadar menganggukkan kepala tanda memahami sebaik kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Asma Ahmad.

Norhafizie Abdullah yang menetap di Pangsapuri Angsana, USJ 1, Subang Jaya dan dua pesalah juvana berumur 17 tahun diwakili peguam bela Nur Aida Md. Zainuddin.

Manakala Nashamizie Shahidan yang merupakan seorang jurujual diwakil peguam bela Shah Rizal Abdul Manan sementara Mohammad Faiderus yang bekerja sebagai mekanik pemasangan tangki gas asli (NGV) kenderaan tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Rozana Husin.

Nor Asma tidak menawarkan sebarang jaminan kepada kesemua tertuduh memandangkan kes penculikan tersebut memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Beliau juga menetapkan sebutan semula kes pada 27 Mac depan.

Kosmo! Ahad 1 Februari lalu melaporkan polis berjaya membebaskan seorang budak lelaki berusia lima tahun yang diculik dan dikurung selama 10 hari dengan menyerbu sebuah apartmen servis di Port Dickson, Negeri Sembilan pada pukul 12.05 pagi, 31 Januari lalu.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd. Adnan Abdullah, semasa ditemui, mangsa yang merupakan anak seorang ahli perniagaan dari Klang berada dalam keadaan khayal dan dipercayai telah diberi sejenis dadah supaya mudah dikawal.

Saturday, February 14, 2015

Bazaare sasar langganan daripada 22,500 usahawan

SHAH ALAM - Persada Terbilang Sdn. Bhd. bakal melancarkan portal e-dagang, Bazaare yang menawarkan ruang pemasaran kepada usahawan dalam talian pada April depan.

Pengasas Bersama Bazaare, Muhd. Sharuzzamal Bakri berkata, portal tersebut direka bentuk secara interaktif bagi menarik pelanggan membeli-belah pelbagai produk dan perkhidmatan termasuk kraftangan, inap desa, pakaian, aksesori dan makanan secara maya.

Beliau berkata, antara ciri-ciri menarik dalam Bazaare ialah penyediaanaplikasi yang membolehkan usahawan memilih sendiri modul promosi perniagaan yang hendak dijalankan seperti jualan segera, pemberian baucer diskaun dan pembelian dengan pembelian.

"Portal itu juga mengandungi artikel secara berkala yang memperkenalkan produk dan perkhidmatan terbaru dan terlaris. Aktiviti berasaskan permainan juga disediakan bagi mengekalkan kesetiaan pelanggan.

"Kami menyasarkan penyertaan lebih 22,500 peniaga dalam talian melanggan portal Bazaare menjelang akhir tahun ini dan yuran penyertaan dikenakan serendah RM49.90," katanya.

Beliau berkata demikian pada pra pelancaran Bazaare di sini semalam.

Turut hadir Naib Presiden Kanan Pemasaran dan Produk Altel Communications Sdn. Bhd., Mahadzer Arshad sebagai rakan penaja Karnival Borong-Borong Bazaare.

Muhd. Sharuzzamal menerangkan, bagi memperkenalkan portal tersebut, pihaknya akan menganjurkan Karnival Borong-Borong Bazaare yang akan diadakan di 17 bandar-bandar utama di seluruh negara selama 10 minggu bermula 3 April depan.

Menurut beliau, lokasi yang akan dijelajahi ialah Georgetown, Ipoh, Taiping, Sungai Petani, Alor Setar, Kota Bahru, Kuala Terengganu, Kerteh, Kuantan, Batu Pahat, Johor Bahru, Muar, Ayer Keroh, Port Dickson, Seremban, Bangi dan Shah Alam.

"Karnival tersebut yang melibatkan 300 usahawan dalam talian bagi setiap lokasi menerapkan konsep unik iaitu mereka akan berniaga di dalam kabin yang dijadikan gerai pameran," ujarnya.

Status terakhir ‘Sabarlah Duhai Hati’

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


SHAH ALAM – Peguam bela, Muhammad Fadhli Sutris yang mewakili tertuduh dalam kes pembunuhan eksekutif pentadbiran stesen TV9, Nur Syaleza Jaffar semalam mengaitkan kemungkinan kemurungan menjadi pendorong wanita tersebut membunuh diri.
Muhammad Fadhli membangkitkan faktor kemurungan di Mahkamah Tinggi di sini semalam berikutan penemuan status terakhir, ‘Sabarlah Duhai Hati’ yang dimuat naik wanita itu dalam Blackberry Messenger (BBM).
Beliau berkata, anak guamnya, Norazman Bashah Ahmad Azam Bashah, 33, dalam rakaman keterangan kepada polis juga mendakwa isterinya berada dalam keadaan murung beberapa hari sebelum meninggal dunia, tetapi tidak pernah disiasat pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Shamzury Samad, 43.
Bagaimanapun ketika menjawab soalan Muhammad Fadli, Shamzury memberitahu, siasatannya terhadap khidmat pesanan ringkas (SMS), khidmat pesanan multimedia (MMS) dan panggilan masuk serta keluar kedua-dua telefon bimbit Nur Syaleza dan tertuduh tidak menjumpai sebarang status yang menunjukkan mangsa dalam keadaan kemurungan.
“Dalam rakaman keterangan, Norazman mendakwa menerima SMS daripada isterinya yang berbunyi ‘Kehidupan dengan Papa, kehidupan yang memenatkan’ pada hari kejadian.

Friday, February 13, 2015

Perginya pengulas sukan tersohor

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Pengulas sukan tersohor, Datuk Hasbullah Awang, 63, yang sinomim dengan ulasan sukan penuh dramatik dengan intonasi tersendiri menghembuskan nafas terakhir di  Unit Rawatan Koronari (CCU), Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur di sini pada pukul 12.20 tengah hari semalam.

Menurut anak bongsu allahyarham, Noniana, 33, Hasbullah, 63, telahdimasukkan ke IJN bagi mendapatkan rawatan jantung pada 4 Februari lalu.

"Sebelum itu, ayah yang mengadu sering sakit dada sejak pulang daripada ibadah umrah pada awal tahun ini telah dimasukkan ke Hospital Colombia Asia, Kota Kemuning di sini selama lima hari untuk mendapatkan rawatan pada akhir Januari.

"Ayah kemudiannya dirujuk ke IJN dan keadaannya semakin kritikal sebelum beliau disahkan meninggal dunia pada tengah hari tadi (semalam)," katanya ketika ditemui selesai solat jenazah Allahyarham di Masjid Himmatul Aliyah, Kampung Seri Gambut, Seksyen 32 di sini semalam.

Antara rakan pengulas sukan yang turut menunaikan solat jenazah untuk Allahyarham Hasbullah ialah Zainal Abidin Rawop, Pekan Ramli dan bekas pemain bola kebangsaan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian.

Noniana berkata, ayahnya sepatutnya menjalani pembedahan pintasan jantung tetapi dinasihati pakar perubatan IJN agar ia tidak dilakukan kerana berisiko tinggi berikutan Allahyarham menghidap diabetes.

Hasbullah yang menetap di Kampung Bukit Naga, Seksyen 32 di sini meninggalkan seorang balu, Datin Hazida Alang Ahmad, 58, dan empat anak perempuan iaitu, Jojiana, 38; Dodiana, 37; Loliana, 34 dan Noniana.

Jenazah beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kemuning, Seksyen 31 di sini pada pukul 6.30 petang.

Hasbullah yang dianggap antara pengulas sukan terbaik Malaysia kerana keunikan suara emasnya kini berkhidmat dengan Astro Arena sejak Januari tahun lalu.

Beliau memulakan kerjaya penyiaran pada 1974 sebagai Pembantu Siaran di RTM Kuantan, Pahang sebelum berpindah ke Angkasapuri Kuala Lumpur pada 1980.

Allahyarham yang berpengalaman luas mengulas pelbagai acara sukan tempatan dan antarabangsa termasuk tujuh Sukan Olimpik pernah memenangi anugerah Pengulas TV Terbaik Sri Angkasa pada tahun 1989, 1991 dan 2004 menerima Anugerah Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk pada tahun 2010.

Lima termasuk dua remaja dituduh culik budak lima tahun

KLANG - Lima lelaki termasuk dua remaja di bawah umur di dakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang budak berusia lima tahun pada bulan lalu.
Mohammad Norhafizie Abdullah, 18, Mohammad Faiderus Suhaini, 32, Nashamizie Shahidan, 19 dan dua lagi pesalah juvana dituduh melarikan mangsa dari rumahnya di Taman Maznah di sini pukul 1.52 pagi pada 22 Januari lalu.
Mereka didakwa telah mengurung kanak-kanak lelaki itu dengan niat untuk mendapat wang tebusan sebanyak RM845,532 merangkumi AS$100,000, AUD100,000 dan RM200,000.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan dan kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penculikan 1961.
Majistret Nur Asma Ahmad tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap kesemua tertuduh dan menetapkan sebutan semula kes pada 27 Mac depan. - KOSMO!

Wednesday, February 11, 2015

Polis jumpa pentunjuk baharu

KUALA SELANGOR - Kes dua mayat rentung terbakar di Ladang Tennamaram, Bestari Jaya di sini pada 29 Januari lalu mendapat petunjuk baharu dengan penemuan beberapa aksesori dipercayai milik mangsa di lokasi kejadian kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Mohd. Taib Ahmad berkata, pemeriksaan semula di lokasi kedua-dua mangsa dibakar pada pukul 12.30 tengah hari itu menjumpai seutas rantai, sebentuk cincin dan loket.

"Sebelum ini, polis telah menemui seutas rantai dipercayai milik salah seorang mangsa yang telah hangus terbakar tersebut pada hari kejadian. Pemeriksaan semula semalam (kelmarin) pula menjumpai sebentuk loket.

"Loket itu berbentuk hampir bulat dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama Buddha atau Hindu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor di sini semalam.

Mohd. Taib berkata, selain itu, seutas rantai yang berloketkan sebentuk cincin dipercayai milik mangsa kedua turut ditemui di kawasan tersebut.

Ujar beliau, penemuan tiga barangan barangan berharga itu diharap menjadi petunjuk kepada orang ramai yang kehilangan ahli keluarga baru-baru ini untuk tampil melakukan pengecaman mayat sekali gus membantu siasatan.

"Setakat ini, dua keluarga dari Kapar, Kelang dekat sini dan Kepong, Kuala Lumpur telah tampil memberi sampel darah untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan ujian kimia sedang dijalankan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta  menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuala Selangor, Asisten Superintendan Ramle Bakar di talian 012-5112034.

Kosmo! 5 Februari lalu melaporkan mayat dua mangsa tersebut rentung sepenuhnya dan hanya siasa tengkorak dan tulang sahaja ditemui di lokasi kejadian yang terletak di dalam sebuah ladang kelapa sawit.

Pemeriksaan oleh pakar forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dekat sini gagal mengenalpasti jantina, kaum dan punca kematian kedua-dua mangsa yang dibakar di bawah timbunan enam buah tayar terbabit.

Tuesday, February 10, 2015

Selangor semak kadar keperluan asas penerima zakat

SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan menyemak semula kadar keperluan asas atau haddul kifayah penerima zakat di negeri tersebut berikutan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bermula April depan.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa berkata, kajian tersebut bertujuan memastikan kadar bantuan yang diagihkan kepada golongan asnaf berkelayakan seiring dengan peningkatan taraf hidup semasa.

"Kita mahu lihat kesan pelaksanaan GST terhadap kos harga barang agar agihan bantuan mencukupi untuk asnaf terlibat atau tidak.

"Kajian kadar haddul kifayah itu bakal bermula sebaik sahaja sistem cukai baru itu dilaksanakan dan ia dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini," katanya selepas mengumumkan pencapaian kutipan dan agihan zakat 2014 di sini semalam.

Pada majlis tersebut, Mohamad Adzib turut melancarkan portal baharu agensi tersebut iaitu www.zakatselangor.com.my.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd. Ali.

Mohamad Adzib berkata, berdasarkan keadaan semasa, LZS menjangka peningkatan bagi bilangan asnaf fakir dan miskin di kalangan rakyat Selangor pada tahun ini berikutan tekanan kenaikan kos sara hidup.

Menurut beliau, perkara itu dapat dilihat beradasarkan bilangan asnaf fakir dan miskin di negeri tersebut pada tahun lalu masing-masing telah meningkat 33.74 peratus dan 44.66 peratus.

"Bilangan asnaf fakir yang menerima bantuan pada tahun lepas ialah 13,613 keluarga berbanding 10,179 keluarga pada tahun 2013.

"Manakala asnaf miskin seramai 30,048 keluarga telah dikenal pasti berbanding 20,771 pada tahun sebelumnya," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Adzib mengumumkan LZS telah mengutip RM582.1 juta zakat harta dan fitrah pada tahun lalu dan ia peningkatan 13 peratus berbanding tahun 2013.

Katanya, sebanyak RM595.1 juta kutipan zakat telah diagihkan sepanjang tahun 2014 dan kebanyakannya diagihkan kepada asnaf miskin, fisabilillah dan fakir.


Monday, February 9, 2015

LZS kutip zakat RM582.1 juta, agih RM595.1 juta

SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjaya mengutip zakat harta dan fitrah sebanyak RM582.1 juta pada tahun lalu.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Adzib Mohd. Isa berkata, ia melebihi RM64.8 juta daripada kutipan RM517.3 juta yang diperolehi pada tahun 2013.
"Pada masa sama, sebanyak RM595.1 juta zakat telah diagihkan kepada asnaf berkelayakan terutama miskin dan fisabilillah pada tahun 2014.
"Agihan itu meningkat 28 peratus berbanding RM463.5 juta pada tahun sebelumnya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. - KOSMO!

Friday, February 6, 2015

Tiga minit kedai emas rugi RM500,000

KUALA LANGAT - Tidak sampai tiga minit, sebuah kedai emas kerugian hampir RM500,00 apabila sebahagian besar barangan kemas yang dipamer di dalam premis itu dilarikan empat penjenayah dalam kejadian samun di sebuah pasar raya besar di Banting di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 11.47 pagi itu, empat pekerja kedai emas itu turut menghadapi detik emas apabila diacu pistol semi auto oleh salah seorang daripada kumpulan perompak terbabit yang turut bersenjatakan tukul besi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azman Abdul Razak berkata, sewaktu kejadian, pasar raya besar yang mempunyai 58 lot kedai termasuk kedai emas tersebut agak penuh dengan pelanggan.

"Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan bunyi dua das tembakan yang dilepaskan ke udara sementara empat lelaki yang memakai topeng muka, jaket lengan panjang dan bersarung tangan bertindak menyerbu kedai emas terbabit.

"Sambil mengacukan pistol, salah seorang daripada penyamun itu telah mengarahkan kesemua pekerja kedai emas itu supaya meninggalkan premis tersebut dalam bahasa Melayu," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Azman memberitahu, sebaik empat-empat pekerja kedai emas terbabit lari ketakutan, dua lagi anggota kumpulan perompak itu telah bertindak mengetuk cermin pameran barangan kemas dengan tukul besi hingga pecah.

Menurut beliau, keempat-empat suspek segera melarikan diri selepas mengaut antara 10 hingga 12 dulang berisi barangan kemas yang terdiri daripada cincin, rantai leher, gelang tangan dan anting-anting.

Azman berkata, kumpulan penyamun itu cuma mengambil barangan kemas yang diperbuat daripada emas 750 dan 916 sementara perhiasan emas putih ditinggalkan begitu sahaja.

Ujar beliau, setakat ini, polis telah menemui sebutir kelongsong peluru yang dipercayai dilepaskan kumpulan penjenayah terbabit di lokasi kejadian.

"Gerakan memburu suspek yang dipercayai warga tempatan dan kaum India sedang digiatkan serta kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api 1971," katanya.

Thursday, February 5, 2015

Mayat rentung timbul tanda tanya

KUALA SELANGOR - Penemuan dua mayat rentung terbakar yang ditemui di Ladang Tennamaram, Bestari Jaya, di sini pada 29 Januari lalu masih menjadi tanda tanya kerana tiada sebarang petunjuk ditemui sehingga kini.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Mohd. Taib Ahmad berkata, pemeriksaan oleh pakar forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang di sini juga gagal mengenalpasti jantina, kaum dan punca kematian kedua-dua mangsa tersebut.

"Mayat dua mangsa tersebut rentung sepenuhnya dan hanya sisa tengkorak dan tulang sahaja di temui di lokasi kejadian. Mereka dipercayai dibakar di bawah timbunan enam buah tayar pada malam sebelum dijumpai.

"Kawasan tersebut yang terletak kira-kira 10 kilometer dari jalan raya utama dan hanya boleh diakses oleh kenderaan berat dan pacuan empat roda sahaja,"katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor di sini semalam.

Mohd. Taib berkata, mayat kedua-dua mangsa ditemui oleh sekumpulan pemancing yang kebetulan melalui kawasan tersebut untuk ke sebuah lubuk ikan yang terletak tidak jauh dari situ.

Menurut beliau, berdasar struktur gigi, kedua-dua tengkorak yang ditemui itu milik individu dewasa dan salah seorang daripadanya memakai seutas rantai leher.

"Setakat ini, satu keluarga India dari Kapar, Klang dekat sini telah tampil memberi sampel darah untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan ujian kimia sedang dijalankan.

"Namun mereka memberitahu rantai yang ditemui pada hari kejadian tidak sepadan dengan rantai yang dipakai anak mereka yang hilang pada 23 Januari lalu," katanya.

Oleh itu,  Mohd. Taib menyeru orang ramai yang kehilangan ahli keluarga baru-baru ini agar tampil untuk melakukan pengecaman mayat dan membantu siasatan dengan menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuala Selangor, Asisten Superintendan Ramle Bakar di talian 012-5112034.

Wednesday, February 4, 2015

Penantian hampir setahun isteri pramugara MH370 berakhir

SHAH ALAM – Penantian hampir setahun Intan Maizura Othman, 35, untuk mengetahui nasib sebenar suaminya, Mohd. Hazrin Mohamed Hasnan yang merupakan salah seorang pramugara pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 telah berakhir.
Ini disebabkan kerajaan pada Khamis lalu mengisytiharkan MH370 sebagai kemalangan dan kesemua 239 penumpang serta kru pesawat malang itu dianggap telah terkorban.

"Saya sebenarnya menunggu pengumuman rasmi (mengenai nasib penumpang dan kru MH370). Sebelum ini, saya sudah lama dengar daripada ramai pihak termasuk pengurusan MAS yang memaklumkan kru dan penumpang MH370 sudah meninggal dunia.

"Memandangkan sudah ada pengumuman rasmi, maka saya mengadakan majlis tahlil ini," kata Intan Maizura yang juga seorang pramugari MAS ketika ditemui selepas mengadakan majlis tahlil untuk Allahyarham suaminya di Masjid Alam Impian di sini kelmarin.

Seramai 100 orang termasuk ahli keluarga, kenalan dan penduduk setempat menghadiri majlis tahlil tersebut yang bertujuan mendoakan kesejahteraan Mohd. Hazrin.

Pesawat Boieng 777 MH370 hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di3 Sepang pada 8 Mac tahun lalu.

Polis mohon bantuan siasatan kes dua mayat rentung

KUALA SELANGOR - Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga baru-baru ini diminta tampil untuk membantu siasatan berhubung penemuan dua mayat yang rentung terbakar di Ladang Kelapa Sawit Tennamaran, Bestari Jaya di sini pada 29 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Mohd. Taib Ahmad berkata, keadaan kedua-dua mangsa yang rentung sepenuhnya dengan hanya serpihan tengkorak dan tulang ditemui menyukarkan polis untuk melakukan siasatan.
"Pemeriksaan forensik oleh Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang juga gagal memastikan jantina, kaum dan punca kematian.
"Satu-satunya petunjuk ialah salah seorang mangsa memakai seutas rantai. Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Ramle Bakar di talian 012-5112034," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor di sini hari ini.
Mohd. Taib berkata, polis percaya kedua-dua mangsa dibunuh sebelum dibakar di kawasan kejadian. - KOSMO!

Monday, February 2, 2015

200 sukarelawan MBS serta misi pascabanjir

BERBAKTI. Seramai 200 sukarelawan Majlis Belia Selangor (MBS) berlepas untuk menyertai misi pascabanjir di Pantai Timur dari pusat beli-belah, Space U8, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Presidennya, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, sukarelawan yang terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi sekitar Selangor itu melakukan kerja-kerja kebajikan di Kuala Krau dan Temerloh di Pahang.
“Rombongan membawa barangan keperluan dan makanan berjumlah RM350,000 yang telah dikumpulkan sejak Disember lalu untuk diserahkan kepada mangsa bencana banjir terbabit.
“Selain itu, mereka juga memberi kaunseling kepada mangsa banjir dan membantu pegawai kerajaan melakukan kerja-kerja mengaudit kerosakan,” katanya.

Sunday, February 1, 2015

Kempen selamatkan dara dilancar


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


SHAH ALAM – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan melancarkan program khas yang memberi tumpuan khusus kepada remaja lelaki berusia 16 tahun ke atas bagi mengatasi gejala seks luar nikah dalam kalangan golongan muda di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, program yang akan dilaksanakan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu bakal bermula pada tahun depan.
“Program yang menyasarkan golongan remaja lelaki itu bertujuan untuk memberi kesedaran melibatkan aspek pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial peringkat awal bagi golongan remaja lelaki.
“Usaha ini penting kerana kita tidak boleh menjurus kepada remaja perempuan semata-mata bagi membendung amalan seks luar nikah dalam kalangan golongan muda. Sebaliknya, remaja lelaki juga perlu dilibatkan kerana mereka juga sebahagian daripada punca permasalahan tersebut,” katanya ketika merasmikan kempen Selamatkan Dara Anda di sini semalam.
Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah LPPKN, Datuk Dr. Siti Norlasiah Ismail.

Rohani berkata, kedua-dua pihak iaitu remaja lelaki dan perempuan sepatutnya mempunyai rasa tanggungjawab untuk memelihara diri dan maruah masing-masing.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, kaji selidik yang dilakukan LPPKN pada Julai 2011 menunjukkan 5.8 peratus daripada 5,088 responden remaja berusia 13 hingga 24 tahun mengaku terlibat dalam gelaja seks luar nikah.

"Kajian mengenai faktor risiko dan perlindungan terhadap reproduktif dan sosial remaja itu juga merumuskan enam perkara yang boleh memainkan peranan bagi membendung gejala seks luar nikah itu.

"Antaranya, peningkatan pengetahuan remaja mengenai kesihatan reproduktif sosial, komunikasi dan pengurusan keluarga yang baik, persekitaran kejiranan yang positif dan media massa," kataya.

Budak diculik berjaya diselamatkan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


SHAH ALAM – Kesengsaraan seorang budak lelaki berusia lima tahun yang diculik dari rumahnya di Klang, Selangor dan dikurung selama 10 hari berakhir apabila dia berjaya dibebaskan polis dalam serbuan di sebuah apartmen servis di Port Dickson, Negeri Sembilan semalam.
Dalam serbuan pada pukul 12.05 pagi itu, enam lelaki ber­usia dalam lingkungan 16 hingga 32 tahun yang dipercayai penculik kanak-kanak malang tersebut turut berjaya ditahan.
Semasa ditemui, mangsa yang merupakan anak kepada seorang ahli perniagaan berada dalam keadaan khayal dan dipercayai telah diberi sejenis dadah supaya mudah dikawal oleh penjenayah terbabit.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd. Adnan Abdullah (gambar kecil) berkata, dua daripada suspek itu telah meme­cah masuk rumah keluarga mangsa sebelum melarikan budak lelaki itu di Taman Maznah, Klang dekat sini pada pukul 1.50 pagi, 22 Januari lalu.
“Semasa dilarikan, mangsa sedang tidur bersama ibu dan adiknya yang berusia tiga tahun di bilik tidur utama rumah mereka,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini.
Mohd. Adnan berkata, kehi­langan anak sulung itu disedari ibunya yang terjaga daripada tidur. Dia kemudian telah meminta pertolongan seorang jiran­nya untuk menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian tersebut pada pukul 2.10 pagi.
Tambah beliau, semasa kejadian bapa mangsa tiada di rumah kerana sedang minum di sebuah restoran berhampiran.

"Tujuh hari kemudian, salah seorang daripada kumpulan penculik terbabit telah menggunakan telefon bimbit yang dicuri itu untuk menghubungi keluarga mangsa bagi meminta wang tebusan sebanyak RM845,532 merangkumi mata wang Dolar Amerika Syarikat USD100,000, Dolar Australia AUD100,000 dan RM200,000.

"Penjenayah itu telah mengarahkan keluarga mangsa agar menyerahkan wang tebusan itu secara tunai kepada mereka pada semalam (kelmarin) dan mengugut akan membunuh mangsa sekiranya permintaan tidak ditunaikan," katanya lagi.

Mohd. Adnan berkata, berbekalkan maklumat tersebut, sepasukan anggota polis telah menyerbu bilik apartmen servis berkenaan untuk menyelamat  dan menahan lima lelaki dipercayai penculik pada awal pago semalam di Port Dickson kira-kira 96 kilometer dari rumah kanak-kanak itu diculik.

Mohd. Adnan berkata, seorang lagi suspek yang dipercayai turut terlibat dalam kes penculikan terbabit juga berjaya di tahan di sebuah rumah di Taman Subang Permai, Subang Jaya pada pukul 2.15 pagi.

"Mangsa telah dihantar untuk menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban, Negeri Sembilan dan keadaannya kini dilaporkan stabil. Siasatan awal mendapati sebahagian suspek mengenali bapa kanak-kanak itu dan setakat ini kita percaya perculikan ini bermotifkan untuk mendapatkan wang tebusan.

"Salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau iaitu pecah rumah manakala apartmen servis yang menjadi lokasi mangsa dikurung telah disewa oleh kumpulan penjenayah itu sejak hari pertama kes penculikan," katanya.

Mohd. Adnan memberitahu, polis masih menyiasat motif kumpulan penculik iu meminta wang tebusan dalam bentuk mata wang asing.

Ujar beliau, kesemua suspek telah direman selama seminggu sehingga 6 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Culik 1961.

Jika sabit kesalahan, mereka akan dihukum mati atau penjara seumur hidup.