Translate

Tuesday, November 21, 2023

1,700 tan ikan hadapi tengkujuh – LKIM

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN – Sebanyak 1,700 tan metrik ikan pelagik akan menjadi stok penimbal sebagai persiapan menjelang musim tengkujuh yang dijangka bermula bulan depan. 

 Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, stok penimbal tersebut bagi menangani isu kekurangan bekalan ikan yang biasanya akan berlaku sepanjang Monsun Timur Laut. 

 Beliau berkata, kebanyakan nelayan tempatan tidak boleh turun ke laut bagi menangkap ikan pada musim tengkujuh ekoran cuaca buruk dan ombak bergelora. 

 “LKIM telah menubuhkan jawatankuasa kerja bagi memastikan bekalan ikan untuk pengguna tempatan terus mencukupi pada musim tengkujuh nanti. 

 “Ikan-ikan yang akan dijadikan sebagai stok penimbal terbabit sedang disimpan di dalam bilik sejuk beku milik LKIM dan pihak swasta di seluruh negara,” katanya pada Program Rahmah Mesra Madani bersama nelayan di Kuala Kemaman, di sini semalam. 

 Seramai 50 nelayan kawasan tersebut menerima peralatan penangkapan ikan sebagai bantuan LKIM mengikut program Peningkatan Pendapatan Nelayan B40. 

Muhammad Faiz berkata, ikan pelagik yang dijadikan stok penimbal terbabit telah disejuk beku dengan teknologi pembekuan pantas individu (IQF)bagi memastikan kesegarannya. 

 Sehubungan itu, beliau berharap pengguna tidak meragui kualiti ikan jenama Q’Fish yang dijadikan stok penimbal terbabit. 

 “Ikan sejuk beku Q’Fish bukan sahaja memastikan keberadaan bekalan kepada pengguna malah inisiatif kerajaan bagi memastikan harganya tetap terkawal sepanjang musim tengkujuh,” katanya.

No comments:

Post a Comment