Translate

Wednesday, September 30, 2020

Baucar pelancongan melalui e-Dompet mulai 1 Oktober ini

 KUALA TERENGGANU - Sebanyak 10,000 baucar subsidi pelancongan Selangor boleh didapati menerusi platform perkhidmatan e-Dompet terpilih mulai 1 Oktober ini.

Pengarah Besar Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad berkata, baucar yang bernilai RM200 setiap satu tersebut boleh ditebus untuk kegunaaan di hotel dan inap desa berlesen serta taman tema di seluruh Selangor.

"Pemberian baucar berkenaan yang bernilai keseluruhan RM2 juta itu diluluskan kerajaan negeri Selangor baru-baru ini untuk merancakkan semula industri pelancongan yang telah terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Ia boleh didapati di platform perkhidmatan e-Dompet terpilih selepas majlis perasmian Kempen 'Pusing Selangor Dulu' pada 1 Oktober depan," katanya ketika ditemui pada program Jelajah Persona Selangor ke Terengganu di sini semalam.

Azrul Shah berkata, Tourism Selangor berharap baucar subsidi tersebut dapat membantu sasaran kedatangan enam juta pelancong ke negeri tersebut pada tahun ini.

Menurut beliau, setakat ini 70 peratus atau 4.2 juta daripada sasaran kedatangan tersebut telah dicapai.

"Tourism Selangor kini giat mempromosikan segmen pelancongan-eko seperti Sky Mirror (Cermin Langit) di Kuala Selangor dan aktiviti rekreasi alam semulajadi yang ditawarkan di daerah Hulu Selangor, Ampang Jaya, Kuala Selangor dan Sepang.

"Selain itu, segmen pelancongan urban yang sudah sedia kukuh seperti taman  tema, Sunway Lagoon dan pusat membeli-belah, Sunway Pyramid tetap ditonjolkan," katanya.

Ujarnya, selepas berkunjung ke Terengganu sebagai lokasi sulung, program Jelajah Persona Selangor akan berkunjung ke Pulau Pinang untuk mempromosi lokasi-lokasi pelancongan menarik di negeri berkenaan.

"Tourism Selangor juga telah memasang papan tanda di lima kawasan strategik di seluruh negara sebagai inisiatif menarik  minat lebih ramai pelancong domestik datang ke negeri itu," katanya.


Bot nelayan Vietnam karam sewaktu dikejar kapal peronda APMM

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sebuah bot nelayan Vietnam yang dipercayai sarat dengan hasil ikan karam selepas mengalami kebocoran serius ketika dikejar kapal peronda Maritim Malaysia (APMM) di perairan Kuala Terengganu pada kelmarin.

Terdahulu, Kapal Maritim (KM) Langkawi yang melakukan rondaan telah terserempal dengan bot nelayan Vietnam itu sedang leka menangkap ikan menggunakan pukat gading bersama sebuah bot lain dari negara sama pada kedudukan kira-kira 94 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu pada pukul 9 pagi.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, kedua-dua bot nelayan itu bertindak memotong pukat gading sebelum cuba melepaskan diri.

“Hanya sebuah berjaya melepaskan diri sebelum mengalami kebocoran serius lalu karam kira-kira 15 minit selepas dikejar KM Langkawi.

“Anggota penguat kuasa APMM berkenaan berjaya menyelamatkan 14 nelayan Vietnam terlibat sebelum bertindak menahan mereka,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Maritim Terengganu di sini hari ini.

Muhammad Sufi berkata, pemeriksaan mendapati kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 21 hingga 52 tahun tidak memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.

Menurut beliau, sebuah bot kecil yang hanya membawa bekalan diesel sebanyak 1,000 liter dianggarkan bernilai RM3 juta telah ditunda ke Jeti Pejabat Maritim Terengganu di sini untuk disita.

“Kesemua suspek nelayan Vietnam terlibat ditahan untuk membantu siasatan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1963.

“Setakat ini Ops. Kuda Laut yang dilancarkan sejak 27 Jun lalu berjaya menahan 558 nelayan Vietnam dan 49 bot melibatkan rampasan hampir RM100 juta,” katanya. – K! ONLINE

Langgar kedai abang ipar kerana dendam

 MARANG - Gara-gara dendam lama, seorang lelaki nekad melanggar kedai makan abang iparnya hingga ranap di Kampung Binjai Rendah, Bukit Payong di sini pada Isnin lalu.

Kejadian yang berlaku pada pukul 10.55 malam itu hampir meragut nyawa beberapa pelanggan yang masih berada di lokasi kejadian.

Sumber berkata, sewaktu kejadian, abang ipar suspek yang berusia 46 tahun sedang berkemas untuk menutup operasi kedai makannya.

"Pemilik kedai makan itu tiba-tiba mendengar bunyi dentuman kuat sebelum beberapa pelanggannya yang masih berada di dalam premis itu  bertempiaran lari.

"Dia (mangsa) melihat sebuah lori dipandu adik iparnya sebelum turut sama lari untuk menyelamatkan diri," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut sumber itu, mangsa percaya perbuatan suspek disengajakan kerana lelaki itu pernah dua kali cuba melakukan perbuatan sama sebelum ini.

Hasil soal siasat, pengusaha kedai itu mengaku dia dan adik iparnya telah lama berselisih faham.

Mangsa kemudiannya membuat laporan berhubung kejadian itu di balai polis berhampiran.

"Susulan kejadian itu, polis memberkas suspek bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Deris mengesahkan kejadian itu.

Menurut beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Terengganu FC kembali lakar kemenangan

PENGENDALI Terengganu FC, Mohd. Nafuzi Zain lega skuad kendaliannya kembali melakar kemenangan setelah tewas tiga aksi berturut-turut sebelum ini.

Beliau berkata, kemenangan 4-0 terhadap PDRM FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu kelmarin telah meningkatkan semula motivasi anak buahnya.

"Motivasi pemain-pemain saya diakui sedikit merundum selepas kami kalah dalam tiga aksi sebelum ini.

"Barisan serangan kami juga dilihat agak tumpul dan memerlukan pemain berpengalaman. Oleh itu, saya memanggil Bruno Junichi Suzuki (penyerang TFC II) untuk bergandingan dengan Lee Tuck dan Muhammad Faris Ramli," katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Pada aksi itu, skuad Penyu bangkit membelasah PDRM FC 4-0 menerusi dua jaringan Muhammad Faris serta dua lagi gol oleh kapten pasukan, Lee Tuck.

Mohd. Nafuzi berkata, kemenangan tersebut juga telah menguatkan keazaman anak buahnya untuk mengharungi dua baki perlawanan menentang Felda United dan Pahang.

Dalam pada itu, beliau menegaskan skuad Terengganu FC  dibarisi pemain muda dalam proses pembinaan untuk menjadi skuad yang lebih mantap dan meminta penyokong dan pengkritik agar lebih bersabar.

Bekas Penolong Pengarah SME Corp Terengganu didakwa salah guna kuasa

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Bekas Penolong Penolong Pengarah SME Corp Terengganu dihadapkan ke Mahkamah Sesyuen di sini hari ini atas empat pertuduhan menyalahguna kuasa untuk mendapatkan suapan pada dua tahun lalu.

Tertuduh, Halimah Musa Brahim, 42, yang kini berkhidmat sebagai penolong pegawai hal ehwal ekonomi agensi sama di Kuala Lumpur mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Berdasarkan kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan menyokong pengesahan kerja-kerja pembersihan pejabat SME Corp Terengganu oleh NDZ Creative Resources yang mempunyai kepentingan dengan dirinya.

Ia melibatkan nilai kontrak berjumlah RM29,700 bermula dari September 2015 hingga Julai 2018.

Halimah didakwa melakukan perbuatan tersebut di Pejabat SME Corp Terengganu di sini dari 1 Oktober 2015 hingga 12 Ogos 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Fadly Yaacob. – K! ONLINE

Penipuan online naik 80 peratus

 

KUALA TERENGGANU - Aduan melibatkan penipuan transaksi online di Terengganu meningkat lebih 80 peratus sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, 

pihaknya menerima 185 aduan berhubung penipuan transaksi online sepanjang tempoh PKP berkenaan.

"Ia 80.09 peratus daripada keseluruhan 231 aduan berhubung kes sama yang diterima KPDNHEP Terengganu sejak 1 Januari lalu.

"Antara aduan tertinggi yang diterima ialah pengguna tidak menerima barangan atau perkhidmatan ditawarkan penjual dalam talian berkenaaan," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mohd. Saharudin berkata, pihaknya turut menerima aduan pengguna merungut produk atau perkhidmatan diterima secara online tidak sama seperti yang diiklankan.

Sehubungan itu, beliau menasihat pengguna agar lebih berhati-hati dengan hanya berurusan di platform e-dagang yang dipercayai.

"Sebolehnya kita hanya berurusan dengan peniaga online yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan memiliki logo Biztrust.

"Elak daripada melakukan urus niaga termasuk transaksi bayaran di luar saluran disediakan penyedia platform e-dagang berkenaan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Saharudin menggalakkan pengguna melakukan semakan awal terhadap nombor akaun dan telefon peniaga meragukan di laman web, http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi 'Semak Mule CCID' di Google Play Store.

Tambah beliau, peniaga online yang melanggari Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012 boleh di denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun bagi pesalah individu jika sabit kesalahan.

"Bagi kesalahan melibatkan syarikat pula, denda sehingga RM100,000 jika sabit kesalahan.

"KPDNHEP Terengganu telah melakukan 519 tindakan penguatkuasaan melibatkan rampasan bernilai lebih RM294,000 selain mengeluarkan kompaun berjumlah RM134,650 atas pelbagai kesalahan kepenggunaan sejak awal tahun ini," katanya.


Jangan sentuh, tangkap ikan nemo

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Orang ramai khususnya pelancong di pulau-pulau peranginan di Terengganu diingatkan agar tidak mengganggu, menangkap dan menyentuh ikan badut atau lebih dikenali sebagai ikan nemo yang terdapat di perairan negeri ini.

Pensyarah Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Liew Hon Jung berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut bukan sahaja menganggu ekosistem semulajadi malah boleh mengancam spesis ikan nemo terutama daripada spesies False clownfish yang banyak terdapat di perairan Terengganu.

"Ikan Nemo tidak boleh dipisahkan dengan perumahnya iaitu buran iaitu anemon laut atau buran kerana kedua-dua spesies ini secara simbiosis hidup saling memberi manfaat antara satu sama lain.

"Ikan nemo dan ahli keluarganya hidup bersama-sama anemon laut sepanjang hayatnya. Haiwan itu hanya melakukan aktiviti harian tidak jauh daripada perumahnya, anemone laut.

"Anemon laut melindungi ikan nemo daripada diserang dengan mengeluarkan neurotoksin yang mampu melumpuhkan pemangsa termasuk manusia apabila disengat," katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai sekeping gambar yang tular di media sosial menunjukkan seekor ikan nemo ditangkap sebelum dimasukkan ke dalam botol dipercayai dilakukan oleh seorang pelancong di Pulau Redang.

Hon Jung berkata, ikan nemo yang diganggu dan dipindahkan ke lokasi lain akan kehilangan arah kerana terpisah dengan perumahnya.

Jelas beliau, ikan nemo itu akan mencari semula perumahnya anemon laut dan sepanjang pencarian di kawasan terumbu karang terbuka tersebut, haiwan tersebut berisiko tinggi diserang pemangsa .

"Jika berjaya menemui anemon laut baharu pun, dia pun dihalau sekiranya sudah ada kumpulan ikan nemo lain yang telah menjadikannya sebagai perumah seterusnya mati.

"Anak ikan nemo yang gagal mencari perumah  dalam tempoh sebelum 21 hari selepas menetas juga akan mati," katanya.

Hon Jung berkata, kegagalan mendapatkan anemon laut sebagai perumah menjadi penyebab ikan nemo yang semakin berkurangan di perairan semula jadi.


Tuesday, September 29, 2020

Baucer pelancongan Selangor di perkhidmatan e-Dompet

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

 KUALA TERENGGANU – Sebanyak 10,000 baucar subsidi pelancongan Selangor boleh didapati menerusi platform perkhidmatan e-Dompet terpilih mulai 1 Oktober ini.

Pengarah Besar Lembaga Penggalakkan Pelancongan Selangor (Tourism Selangor), Azrul Shah Mohamad berkata, baucar yang bernilai RM200 setiap satu tersebut boleh ditebus untuk kegunaaan di hotel dan inap desa berlesen serta taman tema di seluruh Selangor.

“Pemberian baucar berkenaan yang bernilai keseluruhan RM2 juta itu diluluskan kerajaan negeri Selangor baru-baru ini untuk merancakkan semula industri pelancongan yang telah terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Ia boleh didapati di platform perkhidmatan e-Dompet terpilih selepas majlis perasmian Kempen ‘Pusing Selangor Dulu’ pada 1 Oktober depan,” katanya ketika ditemui pada program Jelajah Persona Selangor ke Terengganu di sini hari ini.

Azrul Shah berkata, Tourism Selangor berharap baucar subsidi tersebut dapat membantu sasaran kedatangan enam juta pelancong ke negeri tersebut pada tahun ini.

Menurut beliau, setakat ini 70 peratus atau 4.2 juta daripada sasaran kedatangan tersebut telah dicapai.

“Tourism Selangor kini giat mempromosikan segmen pelancongan-eko seperti Sky Mirror (Cermin Langit) di Kuala Selangor dan aktiviti rekreasi alam semulajadi yang ditawarkan di daerah Hulu Selangor, Ampang Jaya, Kuala Selangor dan Sepang. – K! ONLINE

Aduan penipuan transaksi dalam talian meningkat di Terengganu sejak PKP

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Aduan melibatkan penipuan transaksi dalam talian di Terengganu meningkat lebih 80 peratus sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata,
pihaknya menerima 185 aduan berhubung penipuan transaksi dalam talian sepanjang tempoh PKP berkenaan.

“Ia 80.09 peratus daripada keseluruhan 231 aduan berhubung kes sama yang diterima KPDNHEP Terengganu sejak 1 Januari lalu.

“Antara aduan tertinggi yang diterima ialah pengguna tidak menerima barangan atau perkhidmatan ditawarkan penjual dalam talian berkenaaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Saharudin berkata, pihaknya turut menerima aduan pengguna merungut produk atau perkhidmatan diterima secara dalam talian tidak sama seperti yang diiklankan.

Sehubungan itu, beliau menasihat pengguna agar lebih berhati-hati dengan hanya berurusan di platform e-dagang yang dipercayai.

“Sebolehnya kita hanya berurusan dengan peniaga dalam talian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan memiliki logo Biztrust. – K! ONLINE

LTAWNT terima bayaran perkongsian keuntungan RM1.05 juta daripada TDM

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

 KUALA TERENGGANU – Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) menerima pembayaran pengkongsian keuntungan sebanyak kira-kira RM1.05 juta daripada Kumpulan TDM Berhad.

Pengerusi TDM, Raja Datuk Idris Raja Kamarudin berkata, pembayaran tersebut merupakan hasil keuntungan pada tahun lalu ke atas 1,336 hektar ladang kelapa sawit milik LTAWNT yang dibangunkan syarikatnya .

Beliau berkata, ladang kelapa sawit berkenaan telah diusahakan secara bersama oleh TDM dan LTAWNT sejak tahun 1996.

“Pembayaran keuntungan tersebut membuktikan komitmen TDM untuk memberikan sumbangan berterusan kepada pemilik tanah, hasil dan tanah yang diuruskan termasuk LTAWNT,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu cek pembayaran perkongsian keuntungan itu disampaikan Pengarah TDM, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun kepada Setiausaha LTAWNT, Abd. Razak Abd. Rahman.

Dalam perkembangan sama, Raja Idris menjelaskan pendapatan perniagaan bahagian perladangan TDM pada tahun lalu agak mendatar pada RM188.4 juta.

Tambah beliau, harga jualan purata minyak sawit mentah (CPO) dan isirong sawit (PK) juga lebih rendah masing-masing lapan peratus dan 32 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Begitupun, pengeluaran CPO dan PK keluaran TDM meningkat masing-masing 15 peratus dan 13 peratus pada tahun 2019,” katanya. – K! ONLINE

Bekas Penolong Pengarah SME Corp dituduh rasuah

KUALA TERENGGANU - Bekas Penolong Penolong Pengarah SME Corp Terengganu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam

atas empat pertuduhan menyalahguna kuasa untuk mendapatkan suapan pada dua tahun lalu. 

Tertuduh, Halimah Musa Brahim, 42, yang kini berkhidmat sebagai  penolong pegawai hal ehwal ekonomi agensi sama di Kuala Lumpur mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Berdasarkan kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan menyokong pengesahan kerja-kerja pembersihan pejabat SME Corp Terengganu oleh NDZ Creative Resources yang mempunyai kepentingan dengan dirinya. 

Ia melibatkan nilai kontrak berjumlah RM29,700 bermula dari September 2015 hingga Julai 2018. 

Halimah didakwa melakukan perbuatan tersebut di Pejabat SME Corp Terengganu di sini dari  1 Oktober 2015 hingga 12 Ogos 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Jamaludin membenarkan Hamidah dibebaskan dengan wang jaminan RM10,000  dan seorang penjamin.

Tertuduh yang merupakan ibu kepada tiga anak dan diwakili peguam, Mohd. Fadly Yaacob membayar jaminan tersebut.

Beliau juga memerintahkan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhampiran pada setiap 1 hari bulan selain menetapkan sebutan semula kes pada 1 November depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali.

Terengganu FC mahu kembali bangkit

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PEMAIN Terengganu FC diseru agar bangkit untuk kembali meraih kemenangan pada aksi Liga Super menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu malam esok.

Pengurus pasukan Terengganu FC, Ahmad Shahrizal Yahya berkata, kekecewaan tewas tiga aksi berturut-turut sebelum ini harus dilupakan segera.

“Kita tidak boleh lagi keciciran mata dalam tiga baki perlawanan terakhir Liga Super musim ini untuk menjamin kedudukan terbaik dalam liga.

“Sehubungan itu, aksi menentang PDRM di gelanggang sendiri malam esok (ini) wajib dimenangi untuk tiga mata penting,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu hari ini.

Ahmad Syahrizal menegaskan, pemain Terengganu FC sebenarnya tidak bermain teruk ketika menentang Melaka United, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan UiTM FC sebelum ini walaupun tewas dalam ketiga-tiga pertemuan itu.

Katanya, selain faktor nasib, beliau tidak menolak kemungkinan strategi dan taktikal Terengganu pada setiap perlawanan itu sudah dibaca pasukan lawan.

“Apa pun, saya pasti ketua jurulatih Terengganu FC, Mohd. Nafuzi Zain sudah merencana taktikal lebih ampuh untuk memburu tiga mata penting pada aksi nanti,” katanya. – K! ONLINE

Ahmad Samsuri jalani kuarantin wajib 14 hari

 KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menjalani kuarantin wajib selama 14 hari mulai hari ini.

Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid berkata, Ahmad Samsuri diarah Jabatan Kesihatan negeri untuk menjalani kuarantin wajib berkenaan selepas Naib Presiden Pas itu mempunyai dua kontak dengan dua individu yang disahkan positif Covid-19 beberapa hari lalu.

“Beliau telah ujian pengesanan Covid-19 oleh Jabatan Kesihatan Terengganu dan disahkan negatif.

“Ujian pengesanan Covid-19 semula dilakukan semula beliau pada hari ke-13 kuarantin wajib,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Muhyidin berkata, sehubungan itu, semua program rasmi Menteri Besat Terengganu sepanjang tempoh 14 hari ini ditangguhkan.

Beliau, begitupun, Ahmad Samsuri tetap akan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu pada 30 September ini secara video atas talian. – K! ONLINE

Bil elektrik RM40 tak mampu bayar

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN - Rumah uzur berusia hampir 80 tahun dengan sebahagian besar atap bocor dan lantai kayunya pula reput.

Itulah tempat Nor Azura Samsuddin, 32, yang merupakan ibu tunggal bersama anak lelakinya, Muhammad Saiful Azim Rezuan, 8, menumpang teduh sejak berpisah dengan bekas suami lebih tiga tahun lalu.

Ibu muda itu berkata, dia dan anak lelakinya tunggalnya terpaksa menetap di rumah pusaka peninggalan arwah datuknya tersebut setelah mereka ditinggal tanpa nafkah oleh bekas suaminya.

"Saya tidak mampu membaiki kerosakan atap dan lantai kerana hanya menerima gaji mingguan antara RM120 hingga RM150 sebagai pembantu gerai nasi bajet.

"Sebahagian besar atap sudah bocor kecuali ruang tamu menyebabkan rumah kami kerap dilimpahi air hujan hingga menyebabkan banyak peralatan elektrik rosak dan lantai kayu mereput,"  katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Bukit Anak Dara, Kijal di sini kelmarin.

Nor Azura berkata, pendawaian elektrik terutama di bahagian dapur juga telah rosak akibat sering terkena air hujan.

Tambahnya, ekoran itu, dia dan anak lelakinya perlu memasak dan mandi pada waktu Subuh dan malam dengan bertemankan cahaya lilin.

"Kaki saya juga pernah terseliuh akibat terjerlus ke dalam lantai kayu yang berlubang pada awal bulan Mac lalu.

"Sejujurnya saya bimbang keselamatan kami tetapi tidak pilihan lain termasuk menyewa rumah lain kerana memang tidak mampu. Bil air dan elektrik yang kurang RM40 sebulan pun selalu tertunggak," katanya.

Nur Azura berkata, setakat ini, permohonannya untuk mendapat bantuan membaiki rumah kepadanya agensi kerajaan negeri dan Persekutuan masih tidak menerima sebarang respon positif.

"Harap rumah pusaka tempat kami berteduh ini dapat diperbaiki segera, itu sahaja rayuan saya," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan di akaun Bank Simpanan Nasional Nur Azura 1111329824313049 atau menghubunginya di talian 01117997650.


Monday, September 28, 2020

Tasik Kenyir berpotensi tinggi digazet tapak warisan negara

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sembilan kawasan dan premis bersejarah di Terengganu kini dalam pertimbangan untuk digazetkan sebagai tapak warisan mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Mesran Mohd. Yusop berkata, kawasan tersebut ialah Tasik Kenyir dan Gua Bewah di Hulu Terengganu dan tujuh premis bersejarah yang terdapat di Bukit Besi, Dungun.

“Antara premis di Bukit Besi yang telah dkenal pasti berpotensi besar untuk digazetkan sebagai tapak warisan baharu ialah Rumah No. 1, Rumah Merah, kolam renang dan tempat simpanan bahan letupan.

“Selain mendapat bantuan sepenuhnya daripada Jabatan Warisan Negara berhubung kerja-kerja pemuliharaan, status sesuatu kawasan dan premis sebagai tapak warisan dapat meningkatkan minat pelancong untuk melawatnya,” katanya ketika ditemui melawat tapak warisan di sekitar bandar raya ini hari ini.

Antara tapak warisan yang dilawati ialah Rumah Tele dan Rumah Bujang di Perkampungan Budaya Terengganu, Istana Maziah, Masjid Abidin serta Makam Sultan Zainal Abidin I.

Mesran berkata, setakat ini 14 lokasi di Terengganu telah digazetkan sebagai tapak warisan termasuk tiga daripadanya bertaraf tapak warisan kebangsaan.

Jelas beliau, Masjid Hiliran, Masjid Abidin dan Istana Maziah diiktiraf sebagai tapak warisan kebangsaan. – K! ONLINE

Dua doktor mengaku salah berkhawat

 KUALA TERENGGANU - Mahkamah Rendah Syariah Kemaman menjatuhkan hukuman penjara seminggu dan denda RM2,700 ke atas pasangan doktor kerana kesalahan berkhalwat.

Hakim Syarie Mohd. Fakhruddin Yusof memerintahkan demikian selepas kedua-dua doktor muda berusia 27 dan 26 tahun tersebut membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Berdasarkan pertuduhan,  pasangan tersebut didakwa berkhalwat di sebuah rumah di Mak Chili, Kemaman pada pukul 12.30 tengah hari, 16 Mei lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, sewaktu membacakan penghakimannya,  Mohd. Fakhruddin mengingatkan pasangan kekasih berkenaan perbuatan mereka menghampiri zina amat terkutuk dan menyalahi etika mereka sebagai pegawai perubatan.

"Kamu berdua bekerja dalam bidang perubatan. Macam mana hendak mengubati orang sakit, soal hidup dan mati orang, kalau pegawai perubatan sendiri tak tahu dosa pahala, tak ada kredibiliti dan integriti?

"Kalau tidak boleh tahan nafsu, kahwin. Kalau wali tidak izinkan, mohon wali hakim di  mahkamah bukan memilih cara berzina," katanya di sini semalam.

Mohd. Fakhruddin juga berharap hukuman tersebut dapat memberi pengajaran kepada dua doktor berkenaan dan orang awam kerana perbuatan zina dipandang serius oleh Islam.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Terengganu, Mustafar Hamzah.


Sunday, September 27, 2020

JDT semakin hampiri kejuaraan ketujuh Liga Super

 

JUARA bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) semakin hampir untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut selepas menewaskan Terengganu FC I (TFC I) 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu kelmarin.

Pengendali JDT, Luciano Gabriel Figueroa berkata, dia gembira anak buahnya berjaya meraih tiga mata berharga walaupun telah diberi tentangan sengit oleh skuad Penyu pada aksi tersebut.

"Saya gembira kita pulang dengan tiga mata dan tidak bolos sebarang gol. Aksi ini agak sukar kerana TFC I memberi tekanan hebat kepada kami dengan bermain dengan tempo pantas dan berintensiti tinggi.

"Begitupun pemain-pemain saya berjaya mengawalnya dan mengekalkan formasi pasukan sepanjang perlawanan bagi mempertahankan kelebihan satu gol sekali gus memenangi aksi ini," katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Aksi sengit antara JDT dan TFC I itu dipisahkan dengan jaringan tunggal pemain sensasi kebangsaan, Muhammad Safawi Rasid yang bijak memanfaatkan kesilapan benteng pertahanan lawan pada minit ke-5.

Figueroa berkata, tiga mata yang dibawa pulang itu sangat penting bagi membolehkan JDT membolehkan terus gagah mengemudi takhta Liga Super dengan kelebihan lapan mata di hadapan Perak yang kini berada di tangga kedua liga.

Sementara itu, pengendali TFC I, Mohd. Nafuzi Zain mengakui pasukannya terpaksa berputih mata akibat dihukum oleh kesilapan kecil yang dilakukan pemainnya pada minit-minit awal perlawanan.

Saturday, September 26, 2020

Safawi dedikasi untuk peminat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PENYERANG Johor Darul Ta'zim (JDT), Muhammad Safawi Rasid mendedikasi Anugerah Gol Terbaik Sedekad Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang dimenanginya kelmarin kepada peminatnya di seluruh negara khususnya Johor.

Beliau berkata, pemilihan gol yang dijaringkan ketika menentang kelab China, Shandong Luneng pada aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim lalu itu telah merangsang motivasinya untuk meningkatkan lagi mutu permainan.

"Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang bantu saya menang (Anugerah Gol Terbaik Sedekad AFC). Saya hargai sangat kerana bukan senang hendak mendapat anugerah gol terbaik.

"Ia memberi semangat baru kepada saya. Begitupun saya masih anggap bukan pemain yang bagus dan perlu bekerja keras berlatih untuk mencapainya," katanya ketika ditemui selepas aksi Liga Super JDT menentang Terengganu FC I di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu kelmarin.

Pada aksi itu, Muhammad Safawi yang berasal dari Dungun, Terengganu terus mempamerkan bisanya dengan meledak gol tunggal perlawanan bagi membolehkan JDT membawa pulang tiga mata berharga dengan kemenangan 1-0.

Terdahulu, laman web rasmi AFC kelmarin mengumumkan Muhammad Safawi, 23, memenangi Anugerah Gol Terbaik Sedekad AFC setelah menerima undian tertinggi iaitu 34 peratus daripada peminat bola sepak dari seluruh Asia.

Undian bagi meraikan jaringan terbaik dalam saingan ACL sejak 10 tahun lalu tersebut telah dibuka untuk peminat bola sepak Asia sejak tiga minggu lalu di laman web rasmi AFC berkenaan.

Sebelum ini jaringan sama menerusi sepakan lencong yang dilakukan Muhammad Safawi ketika menewaskan penjaga gol Shandong Luneng, Wu Xinghan pada aksi itu turut diundi sebagai gol lencongan terbaik ACL 2019 pada Mei lalu.

Dalam pada itu, Muhammad Safawi berkata, dia tidak terlalu memikirkan desas-desus beraksi untuk Liga Premier Portugal, Portimonense SC pada musim depan sebaliknya fokus untuk membantu JDT meraih kejuaraan Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut.


Friday, September 25, 2020

Panorama indah bagaikan filem Avatar

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SETIU - Pulau Lang Tengah dekat sini yang terkenal dengan aktiviti selam skuba dan snorkel menampilkan tarikan terbaharu iaitu aktiviti pendakian ke Bukit Batu Bulan.

Pendakian Bukit Batu Bulan yang  setinggi 85 meter dari aras laut bukan sahaja mencabar malah menyajikan keindahan flora dan fauna yang memukau.

Pengurus Besar Summer Bay Resort, John Chong Tze Seng berkata, dua laluan pendakian telah disediakan iaitu 730 meter untuk laluan santai dan 1.5 kilometer bagi laluan mencabar.

"Pengunjung perlu mendaki dan menuruni bukit pada kedudukan 45 darjah sebelum tiba ke kawasan teluk berbatu yang ideal  untuk aktiviti bergambar.

"Sepanjang pendakian, kita akan menjumpai pelbagai spesies pokok hutan termasuk pokok pandan laut yang bersaiz gergasi," katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad semalam.

Tze Seng berkata, deretan pokok pandan laut yang rata-ratanya setinggi hampir tujuh meter di sepanjang 10 meter terakhir laluan mendaki itu menawarkan pendaki panorama  seolah-olah di lokasi penggambaran filem Avatar.

Beliau berkata, kedua-dua laluan pendakian santai dan mencabar memakan masa kira-kira 45 minit hingga sejam.

"Pakej pendakian Bukit Batu Bulan ini mula diperkenalkan pada 10 Jun lalu dan sambutan yang diterima setakat ini sangat menggalakkan," katanya.

Sementara itu, seorang pelancong, Aimi Nadia Mohd. Anwa, 37, dari Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur berkata, pendakian ke Bukit Batu Bulan memberi kepuasan kepadanya.

"Penat mendaki tidak terasa apabila berpeluang melihat keindahan alam di puncak bukit terutama pokok pandan laut gergasi dan teluk berbatu," katanya.

Pulau Lang Tengah terletak di antara Pulau Redang dan Pulau Perhentian dan boleh diakses menerusi Jeti Merang di sini.


Thursday, September 24, 2020

Duit RM20,000 hasil bisnes hangus

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Malang buat seorang peniaga apabila bukan sahaja rumahnya hangus malah duit RM20,000 yang disimpan hasil perniagaan kedai kopi terbakasr dalam kejadaian di Kampung Losong Haji Awang di sini semalam.

Kebakaran membabitkan tiga buah rumah pada pukul 7.20 pagi itu berlaku ketika Shafie Sulung, 74, sedang berniaga sebelum dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh anak bongsunya, Muhammad Zaki, 28.

Jarak antara rumah dengan kedai kopi itu kira-kira 100 meter.

Turut hangus rumah milik sepupunya, Sulong Abu Bakar, 68, dan sebuah lagi rumah yang tidak berpenghuni.

Lebih mencemaskan, ketiak kejadian, Sulong yang berada di dalam rumah nyaris terperangkap sebelum diselamatkan anak saudaranya, Nur Athirah Rabi, 22.

Menceritakan kejadian itu, Shafie berkata, dia terkejut apabila Muhammad Zaki berlari ke kedai kopinya untuk memaklumkan mengenai kebakaran itu.

"Saya keluar rumah untuk membuka kedai kopi pada pukul 7.15 pagi. Pada waktu itu, rumah di tinggal dengan baik manakala Muhammad Zaki sedang tidur di dalam bilik.

"Sedar-sedar 15 minit kemudian, dia berlari memaklumkan rumah sedang terbakar. Semua barangan berharga dan peribadi gagal diselamatkan termasuk dua motosikal Honda EX5 dan wang tunai RM20,000 yang dikumpul sejak 10 tahun berniaga," katanya ketika ditemui Kosmo! du sini semalam.

Sementara itu, Nur Athirah menceritakan, dia terus berlari menyelamatkan ibu saudaranya sebaik melihat kepulan asap di rumah Shafie.

"Saya risau perkara tidak baik terjadi kepada ibu saudara saya yang sedikit uzur lagi pun dia tinggal berseorangan setelah anak dan keluarganya pergi bercuti ke Cameron Highlands, Pahang malam tadi (kelmarin).

"Tidak sampai lima minit selepas saya memimpin ibu saudara saya itu keluar dari rumah, kebakaran semakin marak dan memusnahkan bahagian atas rumahnya," katanya.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Muhammad Basri Kamarazaman berkata, empat jentera bomba tiba di lokasi kejadian pada pukul 7.49 pagi.

Beliau berkata, kebakaran dipercayai bermula dari rumah Shafie yang musnah 100  peratus sebelum merebak ke dua rumah berhampiran lain di sebelah kanannya.

"Dua rumah lain mengalami kerosakan 20 peratus (rumah Sulong) dan 10 peratus. Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 7.58 pagi. 

"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat," katanya.

Wednesday, September 23, 2020

Belum boleh pakai tanjak dalam MyKad

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) masih belum bersedia untuk membenarkan pemakaian tanjak untuk gambar dalam Mykad yang merupakan dokumen rasmi warga negara.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Roslin Jusoh berkata, kajian terperinci perlu diadakan sebelum kebenaran memakai tanjak diputuskan.

"Pemakaian songkok dan kopiah sudah lama dibenarkan tetapi tanjak, kita tengok dulu sama ada boleh atau tidak boleh.

"Buat masa ini, kita tidak bercadang untuk mengubah (prosedur operasi standard pemakaian untuk gambar dalam Mykad)," katanya selepas melancarkan kemudahan pembayaran secara elektronik (e-Bayaran) di JPN Kuala Terengganu  di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas saranan Persatuan Aktivis Busana Melayu (ABM) baru-baru ini agar pemakaian tanjak dibenarkan untuk gambar dalam MyKad.

Presiden ABM, Shahrul Fadzly Mohd. Zainal dipetik sebagai berkata, tanjak juga boleh disifatkan sebagai sebahagian pakaian tradisional yang setaraf dengan songkok dan kopiah.

Ruslin berkata, JPN memerlukan masa untuk memutuskan kewajaran membenarkan pemakaian tanjak berkenaan.

Dalam perkembangan lain, beliau menyasar semua 225 pejabat cawangan JPN  di seluruh negara akan mengaplikasi perkhidmatan pembayaran tanpa tunai menjelang akhir tahun hadapan.

"Setakat ini, semua pejabat JPN di ibu negeri dan Pusat Transformasi Bandar telah melaksanakan perkhidmatan e-Bayaran termasuk terbaharu JPN Kuala Terengganu.

"Pejabat-pejabat cawangan JPN di daerah juga akan peringkat persediaan dan saya jangka sistem e-Bayaran ini boleh dilaksanakan sepenuhnya selewat-lewatnya akhir tahun 2021," katanya.

Ruslin berkata, pembayaran tanpa tunai bukan sahaja mengawal isu ketirisan, rasuah dan kehilangan hasil negara malah bersesuaian dengan normal baharu mengekang pandemik Covid-19.


Tiga peniaga didenda RM19,500

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Sesyen di sini semalam menjatuhkan hukuman denda keseluruhan RM19,500 kepada tiga peniaga yang menjual pakaian tiruan berjenama di Dungun pada Ahad lalu.

Hakim Nooriah Osman memutuskan demikian selepas ketiga-tiga tertuduh iaitu Sa’ari Ahmad, 35, Mohd. Nursalam Nordin, 26, dan Mohd. Syahlan Mohd. Shafie, 30, membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan yang dihadapkan kepada mereka.

Nooriah memerintahkan Sa'ari dan Mohd. Nursalam membayar denda RM8,000 manakala Mohd. Syahlan pula dikenakan denda RM3,500.

Ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam membayar denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, Sa'ari didakwa memiliki dengan tujuan menjual 400 helai seluar trek dan 46 helai baju T pelbagai saiz jenama Adidas tiruan, 90 helai seluar trek dan 30 helai baju T pelbagai saiz jenama Puma tiruan.

Mohd. Nursalam pula didakwa memiliki 312 seluar sukan jenama Adidas tiruan dan 239 helai seluar sukan jenama Puma tiruan.

Mohd. Syahlan didakwa memiliki 56 helai seluar sukan jenama Puma tiruan pelbagai saiz, 25 helai seluar sukan jenama Adidas tiruan pelbagai saiz dan 26 helai seluar jeans jenama Levis tiruan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di tiga premis berasingan di Jalan Bukit Besi, Kampung Che Lijah, Dungun antara pukul 9.15 pagi hingga 9.20 pagi, 6 September lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019  yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM 10,000 bagi setiap barangan dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Hishamuddin Rosnan.

Tuesday, September 22, 2020

Ibu tunggal kudung kaki kiri rayu bantuan

KUALA NERUS - Ibu tunggal yang kudung kaki kiri terpaksa mencatu makanan setiap hari untuk berjimat cermat bagi membolehkan semua ahli keluarganya dapat makan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Maimon Yunus, 61, bersama tiga orang anak termasuk dua ibu tunggal yang tidak bekerja dan 10 cucu tinggal bersamanya kini hidup ibarat 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'.

"Selalunya, telur ayam dan budu menjadi hidangan harian kami untuk mengalas perut," katanya.

Dia ditemui di rumahnya di Kampung Batu Kubur Timah, Batu Rakit dekat sini semalam.

Kehidupan ibu malang itu berubah sekelip mata sejak kematian suaminya, Mohd. Abdul Ghani Idris akibat barah paru-paru pada Ogos tahun lalu.

Lebih memeritkan keadaan, Maimon terpaksa menjalani pembedahan memotong kaki kiri sehingga ke paras lutut kerana komplikasi diabetes di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu ketika arwah suaminya sedang bertarung nyawa di hospital yang sama.

"Sejak hari itu, kami hilang punca pendapatan yang mana sebelum ini, kami berniaga menjual sata dan otak-otak di Batu Enam di sini," jelasnya.

Maimon berkata, kehidupan mereka sekeluarga kini bergantung kepada pendapatan bulanan anak bongsu, Mohd. Azmir, 18, sebanyak RM800 sebulan sebagai tukang sapu selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM200 sebulan.

Tambah dia, tahap kesihatannya kini semakin merosot sehingga memaksa dia memakai lampin pakai buang bagi menguruskan diri.

Dia berharap agar dua anak perempuannya, Azizah, 42, dan Azlina, 41, dapat kembali berniaga bagi membantu menambah pendapatan bulanan keluarga.

Orang ramai boleh menyumbang ke akaun Bank Simpanan Nasional milik Maimon iaitu 1110229000172136 atau menghubunginya di talian 0139818105.

'Susah nak cari orang tolong kami berdua'

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SETIU – Pasangan suami isteri yang kedua-duanya golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) kategori lumpuh merayu bantuan kerusi roda elektrik bagi memudahkan mereka berdikari menguruskan kehidupan seharian.

Che Abdul Halim Mohamad, 42, berkata, dia dan isterinya, Safinah Hasanuddin, 42, yang dikahwininya sejak dua tahun lalu bergantung kepada kerusi roda manual sumbangan Hospital Setiu.

Dia berkata, walau pun bersyukur menerima bantuan kerusi roda manual tersebut namun dia dan isterinya yang belum dikurniakan cahaya mata masih mendambakan kerusi roda elektrik memandangkan mereka kedua-duanya lumpuh.

"Kadang-kala kederat kami untuk menggerakkan sendiri kerusi roda manual masing-masing sudah berkurangan atas faktor usia apatah lagi saya kurang sihat sejak akhir-akhir ini. Sukar juga mencari orang untuk membantu menolak kerusi roda kami.

"Kalau ada satu pun kerusi roda elektrik sudah memadai untuk dikongsi kami bersama-sama bagi menguruskan kehidupan seharian dan mencari rezeki," katanya ketika ditemui di Kampung Buluh Hilir di sini semalam.

Che Abdul Halim berkata, dia dan isteri menampung kehidupan dengan menjual makanan ringan dengan purata  pendapatan RM10 sehari selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan.

Berikutan itu katanya, dia tidak mampu membeli sendiri kerusi roda yang dianggarkan berharga RM3,500 sebuah.

Che Abdul Halim tidak mampu berjalan sendiri sejak 13 tahun lalu akibat kecederaan saraf tulang belakang selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya ada tahun 1997 manaka Safinah pula lumpuh akibat penyakit saraf sejak kecil.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghubungi Che Abdul Halim di talian 0197892612 atau menghulur bantuan menerusi akaun bank CIMB miliknya yang bernombor 7049958889.

Syukur lega tiada lagi kerbau mati akibat hawar berdarah

 

KUALA TERENGGANU - Hati Muhammad Syukur Khamis, 15, yang dikenali sebagai 'Mogwli Malaysia' semakin lega selepas tiada lagi kerbau peliharaan bapanya disebabkan penyakit Heamoragic Septicaemia atau hawar berdarah sejak Sabtu lalu.

Dia berkata, setakat ini, sebanyak 56 kerbau ternakan bapanya, Khamis Jusoh, 64, termasuk dua kesayangannya iaitu Semek dan Tokol mati bergelimpangan di dalam kandang berpunca daripada wabak berkenaan.

"Suntikan antibiotik yang dilakukan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu pada Khamis lalu telah meningkatkan daya tahan tubuh kebanyakan kerbau ayah yang masih tinggal.

"Kehilangan banyak 'rakan baik' (kerbau) pengalaman paling perit tetapi tidak sesekali  membuatkan saya putus asa untuk menjadi penternak yang berjaya suatu nanti nanti," katanya kepada Kosmo! di Kampung Kubang Bujuk di sini semalam.

Terdahulu dia ditemui selepas menyaksikan baki kerbau bapanya yang masih tinggal dimandikan dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Ahmad Khairi Mamat berkata, pihaknya melakukan khidmat khas memandikan kerbau-kerbau Khamis tersebut dengan menggunakan 3,600 liter air dari tangki jentera bomba.

Beliau berkata, semburan air menggunakan pili bomba itu bertujuan untuk menyejukkan badan kerbau bagi menyihatkan badan haiwan berkenaan yang baru menerima vaksin daripada JPV Terengganu.

"Kita mengambil masa setengah jam bermula pukul 9.30 pagi untuk melakukan khidmat khas ini," katanya.

Dalam pada itu, abang Muhammad Syukur, Muhamad Alias, 30, berkata,  sejak terpaksa dikuarantin di dalam kandang pada minggu lalu, kami ambil inisiatif memandikan setiap kerbau itu dengan mengangkut air menggunakan lori. 

Kosmo! 15 September lalu melaporkan hati Muhammad Syukur luluh menyaksikan 56 kerbau peliharaan bapanya mati bergelimpangan di dalam kandang disebabkan wabak hawar berdarah.

62 premis kotor dikompaun

 BESUT - Tiga premis makanan di daerah ini dan Setiu yang beroperasi dalam keadaan kotor diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan Terengganu semalam.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Azimi Yunos berkata, kesemua premis makanan berkenaan dikenakan tindakan menutup operasi sehingga 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana gagal mencapai tahap minimum piawaian kebersihan ditetapkan.

Beliau berkata, seramai 64 anggota penguat kuasa pelbagai agensi telah memeriksa 54 premis makanan meliputi 34 restoran dan 20 gerai yang terdapat di kedua-dua daerah itu.

"Sebanyak 62 notis kompaun bernilai keseluruhan RM 16,350 turut dikeluarkan pada operasi bersepadu yang dijalankan di premis-premis makanan di kedua-dua daerah itu.

"Antara kesalahan yang dikenakan notis kompaun itu ialah membabitkan pakaian pengendali makanan, tiada suntikan pelalian anti-tifoid dan memakai perhiasan diri sewaktu bekerja," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Azimi berkata, selain itu notis kompaun juga dikeluarkan terhadap mereka yang tidak menjalani latihan pengendali makanan dan gagal memastikan premis bersih.

Katanya, notis kompaun dikeluarkan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

"Pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Daerah Besut dan Majlis Daerah Setiu yang turut menyertai operasi turut mengeluarkan 16 kompaun berjumlah keseluruhan RM10,000 atas kesalahan gagal mematuhi syarat pelesenan," jelasnya.


Monday, September 21, 2020

JPN belum sedia benar pemakaian tanjak untuk gambar MyKad

 

KUALA TERENGGANU – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) masih belum bersedia untuk membenarkan pemakaian tanjak untuk gambar dalam Mykad yang merupakan dokumen rasmi warga negara.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Ruslin Jusoh berkata, kajian terperinci perlu diadakan sebelum kebenaran memakai tanjak diputuskan.

“Pemakaian songkok dan kopiah sudah lama dibenarkan tetapi tanjak, kita tengok dulu sama ada boleh atau tidak boleh.

“Buat masa ini, kita tidak bercadang untuk mengubah (prosedur operasi standard pemakaian untuk gambar dalam Mykad),” katanya selepas melancarkan kemudahan pembayaran secara elektronik (e-Bayaran) di JPN Kuala Terengganu di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas saranan Persatuan Aktivis Busana Melayu (ABM) baru-baru ini agar pemakaian tanjak dibenarkan untuk gambar dalam MyKad.

Presiden ABM, Shahrul Fadzly Mohd. Zainal dipetik sebagai berkata, tanjak juga boleh disifatkan sebagai sebahagian pakaian tradisional yang setaraf dengan songkok dan kopiah.

Ruslin berkata, JPN memerlukan masa untuk memutuskan kewajaran membenarkan pemakaian tanjak berkenaan. – K! ONLINE

Hanya tinggal 20 pengayuh beca

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu akan mengambil langkah bagi merancakkan semula aktiviti pengayuh beca tradisional di bandar raya ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya sedar perkhidmatan beca tradisional di bandar raya ini semakin suram tidak seiring dengan kehadiran pelancong yang sangat tinggi pada masa ini.

Beliau berkata, pengayuh beca di bandar raya ini yang masih aktif juga dianggarkan tidak sampai 20 orang dengan kesemuanya sudah berusia 60 tahun ke atas.

"Beca tradisional di Terengganu sangat unik dan sepatutnya menjadi tarikan pelancongan yang utama.

"Langkah perlu diambil untuk merancakkan kembali aktiviti berbeca dan menarik golongan muda menyertainya. Jika tidak, kita bimbang ia akan pupus tidak lama lagi," katanya ketika ditemui selepas sumbangan pakaian seragam kepada pengayuh beca berkenaan di Pasar Kedai Payang di sini semalam.

Pakaian seragam tajaan pengusaha-pengusaha hotel di sekitar bandar raya ini hasil inisiatif Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) itu bertujuan untuk meningkatkan motivasi pengayuh beca tradisional berkenaan.

Ariffin berkata, antara langkah yang akan diambil ialah menyediakan laluan khas bagi pengayuh beca berkenaan untuk menarik lebih ramai pelanggan dalam kalangan  pelancong. 

Jelas beliau, antara lokasi yang dicadangkan ialah mengelilingi Taman Tamadun Islam dan pakej untuk ke hotel-hotel yang terletak berhampiran dengan Pasar Kedai Payang di sini.

"Kita juga bercadang untuk memperkenalkan beca elektrik bagi menarik penyertaan pengayuh beca dalam kalangan golongan muda.

"Dulu kita pernah cuba untuk menampilkan penggunaan beca elektrik dalam kalangan pengayuh beca sedia ada tetapi mereka yang sudah berusia tidak memberi sambutan baik dengan alasan tidak mahir dan terbiasa dengan beca  tradisional," katanya.

Sunday, September 20, 2020

Tumpu kurangkan kes lemas

 BESUT - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memperkemaskan lagi operasi penyelamatan mangsa kemalangan air bagi persediaan musim tengkujuh yang bakal tiba tidak lama lagi.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata,  Latihan Pengurusan Bencana (D-Mex) membabitkan pelbagai agensi seperti Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahahan Awam Malaysis (APM) dan Kementerian Kesihatan itu juga bertujuan mengurangkan kadar kematian mangsa lemas.

"D-Mex dapat memperkemas koordinasi dan penyelarasan peranan antara agensi penyelamat dan kecemasan berkenaan sewaktu sesuatu insiden kemalangan air berlaku.

"Ia turut dapat mempertingkatkan strategi kes penyelamatan khususnya di laut agar lebih efisien," katanya selepas merasmikan D-Mex dan Keselamatan Kebakaran di Pulau Perhentian, Kuala Besut dekat sini kelmarin.

Mohammad Hamdan berkata, kes kelemasan di pantai dan sungai di negara ini agak tinggi iaitu 161 kes dengan 129 kematian direkodkan sehingga Julai lalu.

Beliau berkata, tiga negeri iaitu Sabah, Sarawak dan Selangor mencatatkan kes lemas tertinggi setakat ini iaitu 103 kes melibatkan 84 kematian.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohammad Hamdan berkata, JBPM telah mengenal pasti lebih 30 kawasan berisiko sering ditenggelami air di seluruh negara termasuk kejadian banjir luar jangka di luar musim tengkujuh.

Beliau berkata, 176 kes banjir luar jangka telah direkodkan di Selangor, Sabah, Kedah dan Sarawak sejak tiga bulan lalu.

"Lebih 1,000 aset termasuk bot, lori dan ambulans dengan 12,510 pegawai dan anggota bomba telah bersiap sedia digerakkan pada bila-bila masa.

"Aset dan bantuan sumber manusia dari negeri yang tidak berlaku banjir juga akan digerakkan bagi membantu tugas-tugas memindahkan dan menyelamat di negeri-negeri memerlukan pada musim tengkujuh nanti," katanya.



Minggu berduka 'Mowgli Malaysia'

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Minggu ini menjadi waktu yang paling sukar buat Muhammad Syukur Khamis yang dikenali sebagai 'Mogwli Malaysia' apabila satu per satu kerbau kesayangannya mati akibat penyakit 

hawar berdarah.

Terbaharu, kerbau bergelar Tokol yang bergambar dengannya dalam foto yang memenangi Imej Asia 2020 bagi bulan Ogos bagi kategori Orang/Jalanan oleh Asian Geographic baru-baru ini mati akibat wabak Heamoragic Septicaemia atau hawar berdarah kelmarin.

Kerbau jantan berusia enam tahun itu mati di depan mata Muhammad Syukur pada pukul 5 petang.

Lebih menyedihkan, Tokol 'pergi' 10 jam selepas seekor lagi kerbau betina kesayangan remaja itu iaitu Semek mati akibat penyakit sama pada pukul 7 pagi.

Pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin berkenaan memberitahu, Tokol menggelupur sebelum mati ketika dia sedang memandikan haiwan kesayangannya tersebut.

"Tokol mula Menunjukkan tanda-tanda dijangkiti hawar berdarah dengan hidungnya berair sejak tengah hari semalam (kelmarin).

"Saya cuba menenangkannya dengan membasahkan badannya dengan air selain menyuapkannya dengan makanan namun dia 'pergi' juga," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Muhammad Syukur berkata, kelmarin merupakan hari yang paling menyedihkan dalam hidupnya selepas kehilangan dua kesayangan iaitu Semek dan Tokol sekali gus.

Dia berkata, gambarnya bersandar di belakang Tokol yang diambil jurufoto bebas, Yusuf Madi baru sahaja terpilih memenangi Imej Asia 2020 bagi bulan Ogos bagi kategori Orang/Jalanan oleh Asian Geographic.

"Saya suka Tokol  sebab ia antara kerbau peliharaan bapa saya yang mudah diuruskan untuk sesi fotografi.

"Gambar itu sudah pasti menjadi pengubat rindu terhadap kenangan terhadap Tokol," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu, Dr. Mohd. Termizi Ghazali berkata, pihaknya telah menyuntik antibiotik ke atas semua baki kerbau milik bapa Muhammad Syukur, Khamis Jusoh, 64.

"Ini usaha terakhir untuk menyelamatkan ternakan kerbau tersebut," katanya. 

Selasa lalu, Kosmo! melaporkan hati Muhammad Syukur luluh menyaksikan 50 kerbau peliharaan bapanya mati bergelimpangan di dalam kandang disebabkan wabak hawar berdarah.

Dia sudah menganggap haiwan ternakan yang dibelanya sejak berumur enam tahun berkenaan sebagai sahabat.


Syukur berduka, Semek pergi jua

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Air mata Muhammad Syukur Khamis, 15,  yang dikenali sebagai 'Mowgli Malaysia' terus tumpah apabila sembilan lagi kerbau peliharaan keluarganyanya mati akibat wabak hawar berdarah semalam.

Lebih memeritkan, antara haiwan ternakan bapanya, Khamis Jusoh, 64 yang mati itu adalah antara kerbau kesayangannya, Semek. 

"Kebimbangan saya sejak seminggu lalu akhirnya menjadi kenyataan.

"Kini hanya tinggal (kerbau kesayangan) Along dan Tokol," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Semek yang bunting tujuh bulan pernah digunakan dalam penggambaran telemovie Budok Kuba baru-baru ini.

Menurut remaja berusia 15 tahun itu, sebanyak 50 ekor kerbau milik bapanya, Khamis Jusoh, 64, mati akibat wabak berkenaan setakat semalam.

Katanya, ayahnya terut bersedih dengan kehilangan ternakan tersebut termasuk dua induk yang baru melahirkan anak.

Pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin itu berkata, sebahagian kerbau peliharaan bapanya yang masih hidup turut menunjukkan simptom wabak hawar berdarah seperti kemurungan dan hidung berair.

Sementara itu, abang Muhammad Syukur, Muhammad Alias, 30, berkata, dia telah meminta bapanya, Khamis yang mengalami kepenatan fizikal dan mental supaya berehat di rumah sahaja mulai semalam.

"Ayah (Khamis) tidak cukup tidur menghabiskan masa seharian di kandang kerbau kami sejak 9 September lalu.

"Hari ini (semalam) saya minta dia berehat di rumah sahaja, biar kami lapan beradik pula yang menguruskan urusan penanaman kerbau sudah mati," katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar menasihatkan orang ramai supaya tidak panik kerana hawar berdarah tidak menjangkiti manusia.

Kebiasaannya penyakit itu menyerang lembu atau kerbau dan boleh menyebabkan kematian dalam jangka masa lapan hingga 24 jam selepas dijangkiti.

"Penyakit itu merupakan penyakit akut pasteurellosis yang disebabkan oleh bakteria Pasteurella Multocida (p. multocida) Carter's Type B. Ia kerap menyerang ternakan pada musim hujan," katanya.

Kosmo! kelmarin melaporkan hati Muhammad Syukur luluh menyaksikan 36 kerbau peliharaan bapanya mati bergelimpangan di dalam kandang disebabkan wabak hawar berdarah.

Muhammad Syukur mula terkenal sejak awal tahun lalu  apabila gambar selepas gambarnya bermesra dengan sekumpulan kerbau sering memenangi anugerah fotografi antarabangsa termasuk yang terbaharu Imej Asia 2020 bagi kategori Orang/Jalanan oleh Asian Geographic pada bulan lalu.


Syukur sayu lima lagi kerbau mati

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Hati Muhammad Syukur Khamis, 15, yang dikenali sebagai Mowgli Malaysia terus sayu apabila lima lagi kerbau peliharaan keluarganya mati akibat wabak Heamoragic Septicaemia atau hawar berdarah semalam.

Pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin tersebut berkata, setakat ini 41 kerbau peliharaan bapanya, Khamis Jusoh, 64, telah menjadi korban akibat wabak itu sejak 9 September lalu.

"Saya juga perhatikan sekurang-kurangnya lima ekor lagi kerbau yang terdapat di kandang ini mempunyai simptom dijangkiti hawar berdarah.

"Saya amat risau penyakit itu akan menjangkiti tiga kerbau kesayangan saya iaitu Semek, Along dan Tokol," katanya ketika ditemui di kandang kerbau keluarganya di Kampung Kubang Bujuk di sini semalam.

Sehubungan itu, Muhammad Syukur memberitahu, dia telah mengasingkan Semek, Along dan Tokol di lokasi lain kira-kira 30 meter dari kandang asal.

Ujarnya, setakat ini ketiga-tiga ekor kerbau kesayangannya itu masih terselamat daripada terkena wabak hawar berdarah berkenaan.

Sementara itu, Khamis berkata, air matanya tumpah apabila salah seekor daripada lima haiwan peliharaannya mati semalam merupakan kerbau betina yang baru melahirkan anak kira-kira sebulan lalu.

"Menitis air mata saya melihat anaknya yang masih menyusu terpinga-pinga melihat induknya sudah tidak bernyawa lagi pagi ini (semalam).

"Saya amat harap Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dapat membantu menyelamatkan baki kerbau yang masih tinggal," katanya.

Dalam pada itu, JPV Terengganu bertindak menuutp kandang kerbau milik Khamis dengan memasang pita keselamatan berkuat kuasa semalam.

Pengarah JPV negeri, Dr. Mohd. Termizi Ghazali berkata, penutupan itu bagi mengehadkan pergerakan haiwan ternakan itu selain kemasukan orang awam ke kandang berkenaan selaras dengan Akta Binatang 1953 (Semakan 2006).

"Kita tidak mahu bakteria haeomorrhagic septicaemia (hawar berdarah) yang terdapat di kandang kerbau berkenaan menular ke kawasan lain pula," katanya.

Kosmo! semalam melaporkan hati Muhammad Syukur luluh menyaksikan 36 kerbau peliharaan bapanya mati bergelimpangan di dalam kandang disebabkan wabak hawar berdarah.

Dia sudah menganggap haiwan ternakan yang dibelanya sejak berumur enam tahun berkenaan sebagai sahabat.

Muhammad Syukur mula terkenal sejak awal tahun lalu  apabila gambar selepas gambarnya bermesra dengan sekumpulan kerbau sering memenangi anugerah fotografi antarabangsa termasuk yang terbaharu Imej Asia 2020 bagi bulan Ogos bagi kategori Orang/Jalanan oleh Asian Geographic.


Remaja hiperaktif bakar rumah nenek

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Bakar kertas sebelum campak ke timbunan kain.

Itu antara tindakan dilakukan seorang remaja orang kelainan upaya (OKU) yang mengaku membakar rumah neneknya selepas mendakwa menerima arahan daripada arwah ibu dalam kejadian di Kampung Gong Tok Nasek di sini kelmarin.

Kejadian kira-kira pukul 8 malam itu berlaku ketika remaja lelaki berusia 14 tahun yang mengalami masalah hiperaktif tinggal bersendirian di rumah manakala bapa dan neneknya keluar ke rumah saudara.

Nenek saudaranya, Juriah Salleh, 64, yang tinggal berhampiran berkata, remaja itu berjaya menyelamatkan diri dengan keluar dan berdiri di depan rumah sambil menangis.

"Dia mengaku membakar rumah tersebut setelah menerima arahan daripada arwah ibunya yang sudah meninggal dunia pada  dua tahun lalu.

"Remaja itu juga ada menceritakan bagaimana dia menghidupkan api sehingga mencetuskan kebakaran di rumah tersebut," katanya di sini semalam.

Menurut beliau, cucu saudaranya itu telah menghidupkan api dengan sebatang mancis sebelum menyalakan lilin dan membakar sehelai kertas.

"Dia kemudiannya mencampakkan kertas yang terbakar itu pada timbunan kain menyebabkan api merebak ke seluruh rumah," katanya.

Tambah beliau, remaja itu mengalami masalah kemurungan sejak kehilangan ibu yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru.

"Sehingga kini, dia masih menerima rawatan daripada hospital. Dia memang agresif sejak kecil dan pernah cuba membakar rumah sama ketika berusia 10 tahun tetapi berjaya dipadamkan ahli keluarga," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, pasukannya yang tiba di lokasi kejadian mendaopati rumah kayu berkenaan telah musnah terbakar 100 peratus.

"Seorang penghuni rumah berkenaan yang merupakan remaja lelaki berusia 14 tahun berjaya menyelamatkan diri.

"Anggota bomba mengambil masa hampir 25 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah lain. Jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Saturday, September 19, 2020

Terengganu FC fokus benam UiTM FC

 PENGENDALI Terengganu FC I, Mohd. Nafuzi Zain menggesa anak buahnya agar kembali fokus untuk menewaskan Universiti Teknologi Mara (UiTM) FC di Stadium UiTM, Shah Alam malam esok.

Beliau berkata, skuad kendalinya perlu melupakan kekecewaan tewas dua kali berturut-turut dalam aksi dengan Melaka United dan Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum ini.

"Saya mengingatkan pemain-pemain saya agar tidak mengulangi kesilapan mudah yang berlaku pada dua aksi sebelum ini.

"Kita tidak boleh keciciran mata lagi dalam baki empat perlawanan ini," katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Bagaimanapun, Mohd. Nafuzi mengingatkan anak buahnya agar tidak memandang mudah  kemampuan skuad UiTM FC. 

Tambah  apatah lagi, UiTM FC dan TFC I kini berkongsi 10 mata setelah mengharungi tujuh aksi Liga Super.

"Semua pasukan akan bermain bersungguh-sungguh untuk meraih mata bagi memperolehi kedudukan terbaik dalam liga dalam empat perlawanan terakhir ini," katanya.


Hidung kerbau berair, najis berdarah


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – “Kerbau-kerbau itu kelihatan lemah, hidung berair dan najis berdarah sebelum ditemui mati bergelimpangan keesokan paginya.”

Demikian cerita Muhammad Syukur Khamis, 15, yang dikenali sebagai ‘Mowgli Malaysia’ dalam keadaan sugul mengenai 36 kerbau peliharaan bapanya yang mati mengejut akibat penyakit Hemorrhagic Septicemia atau hawar berdarah di Kampung Kubang Bujuk di sini.

Pelajar tingkatan tiga itu berkata, hatinya luluh apabila kerbau-kerbau peliharaan bapanya, Khamis Jusoh, 64, yang berusia antara dua hingga lima tahun itu mati sejak Rabu lalu.

“Pada mulanya empat ekor mati diikuti kerbau-kerbau lain termasuk 11 ekor pada hari ini (semalam).

“Saya reda tetapi dalam hati amat sedih sebab menganggap kerbau-kerbau ini seperti sahabat sendiri kerana sudah menjaganya sejak saya berusia enam tahun lagi,” katanya ketika ditemui di kandang kerbau bapanya di Kampung Kubang Bujuk di sini semalam.

Muhammad Syukur berkata, dia juga tidak pergi ke sekolah sejak Rabu lalu kerana fikirannya runsing memikirkan nasib me­nimpa kerbau-kerbau itu.

Dia berharap agar penyakit tersebut tidak akan menjangkiti tiga kerbau kesayangannya iaitu Semek, Tokol dan Along yang kesemuanya berusia kira-kira dua tahun.

“Saya hanya mampu berdoa ­tiada lagi kerbau peliharaan kami mati selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Khamis berkata, ini kali pertama dia mengalami kejadian sebegini sejak lebih 50 tahun mengembala kerbau.

“Kerugian yang saya alami setakat ini dianggarkan hampir RM200,000. Walaupun perit, saya anggap ini ujian buat kami sekeluarga dan sebagai asam garam sebagai penternak kerbau.

“Saya difahamkan sampel darah haiwan yang mati itu telah dibawa pegawai Jabatan Perkhid­matan Veterinar untuk dianalisa,” katanya.

Sementara itu, berita musibah menimpa keluarga Muhammad Syukur mendapat perhatian sebahagian peminatnya yang menziarahinya di kandang kerbaunya untuk melahirkan rasa sedih.

Salah seorang daripada mereka, Hazeera Razali, 29, dari Bacang, Melaka berkata, dia dan keluarganya terus ke kandang kerbau Khamis sebaik me­ngetahui berita sedih tersebut menerusi media sosial.

“Kami yang melancong di Terengganu sejak Sabtu lalu singgah sebentar ke kandang kerbau Muhammad Syukur kerana bersimpati dengannya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu, Dr. Mohd. Termizi Ghazali berkata, penyakit hawar berdarah telah menyerang haiwan ternakan seperti kerbau dan lembu di sekitar daerah ini dan Marang sejak Ogos lalu.

“Setakat ini, 22 kerbau dan 15 lembu telah disahkan mati akibat penyakit itu sehingga 28 Ogos lalu sebelum dapat dikawal sementara pada hujung bulan lalu,” katanya.

Menurutnya, setakat ini, pihaknya telah memberi suntikan vaksin terhadap 675 lembu dan 58 kerbau milik 106 penternak di 12 kampung di kedua-dua daerah terbabit.

“Haiwan ternakan itu juga tidak dibenarkan dipindahkan ke lokasi lain bagi mengurangkan risiko penularan wabak hawar berdarah itu,” katanya.

Syukur mula terkenal sejak awal tahun lalu selepas gambarnya bermesra dengan sekumpulan kerbau sering memenangi anugerah fotografi antara bangsa termasuk yang terbaharu Imej Asia 2020 bagi bulan Ogos bagi kategori Orang/Jalanan oleh Asian Geographic.