Translate

Friday, January 29, 2016

Saman vape: Kementerian Kesihatan diarah fail penyataan balas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini semalam memerintahkan Kementerian Kesihatan dan empat defendan lain untuk memfailkan penyataan balas terhadap saman yang telah difailkan Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas).

Ia berhubung rampasan rokok elektronik atau vape milik anggota pertubuhan itu di Johor pada hujung tahun lalu.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Siti Nur Shafrida Hashim mengarahkan penyataan tersebut dikemukakan dalam tempoh 14 hari sehingga 11 Februari depan.

Beliau juga menetapkan sebutan semula kes yang akan didengar di hadapan Hakim Datuk John Louis O’Hara pada 17 Februari depan.

Selain Kementerian Kesihatan, Ikhlas turut menamakan Ketua Pengarah Kesihatan, Ketua Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Ketua Polis Negara sebagai defendan dalam tuntutan saman yang telah difailkan pada 28 Disember lalu.

Pertubuhan tersebut diwakili peguam, Zulhasmi Zakaria. Turut hadir beberapa ahli Ikhlas termasuk Presidennya, Mohd. Ridzuan Abdullah.

Kosmo! 29 Disember lalu melaporkan saman itu dibuat susulan operasi bersepadu pihak berkuasa berkenaan yang menyerbu dan merampas vape milik beberapa ahli Ikhlas di premis perniagaan mereka yang terletak bawah pentadbiran MBJB hingga menyebabkan kerugian kira-kira RM400,000 pada 15 Disember tahun lalu.

Ikhlas dalam penyataan tuntutannya telah memohon deklarasi mahkamah bahawa tindakan kesemua defendan terbabit yang menyerbu dan merampas vape terdiri daripada peranti, mod dan cecair perisa milik anggota pertubuhan itu adalah tidak sah, salah dan terbatal.

Mereka juga memohon deklarasi mahkamah supaya pengharaman vape melalui penguatkuasaan peringkat negeri terutama melalui pihak berkuasa tempatan adalah ultra vires (aktiviti yang terkeluar daripada skop aktiviti yang dibenarkan oleh perlembagaan organisasi terlibat) dan bertentangan dengan undang-undang.

Plaintif turut membuat permohonan agar mahkamah mengeluarkan deklarasi yang menetapkan defendan-defendan dilarang menyerbu, merampas dan mengkompaun ahli pertubuhan itu berkaitan perniagaan atau kelengkapan vape serta diarahkan memulangkan barang yang dirampas dalam masa tujuh hari dari tarikh perintah dibuat.

Tuntutan terbabit juga membabitkan pampasan ganti rugi am dan ganti rugi khas, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk sebanyak RM1 juta serta faedah dan relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pengusaha taska cuba sokong IS dipenjara dua tahun

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap seorang pengusaha taska atas kesalahan cuba memberi sokongan kepada kumpulan militan, Islamic States (IS) pada dua tahun lalu.
Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahim memerintahkan hukuman demikian selepas Nazhatulshima Sahak, 44, membuat pengakuan bersalah di atas pertuduhan tersebut.
Berdasarkan pertuduhan, ibu kepada empat anak itu didakwa cuba memberi sokongan kepada kumpulan pengganas, IS dengan cara membeli tiket penerbangan pesawat Emirates dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Istanbul, Turki untuk ke Syria.
Nazhatulshima dituduh melakukan perbuatan berkenaan di sebuah restoran di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor pada pukul 10.50 malam, 13 Oktober 2014. - K! ONLINE

Thursday, January 28, 2016

Yazid, Hilmi dipenjara 7 tahun

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR – Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA), Yazid Sufaat yang merupakan pemilik kafeteria dan pekerjanya, Muhammad Hilmi Hasim dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam atas kesalahan menyembunyikan maklumat berhubung kegiatan keganasan pada empat tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Husin memerintahkan demikian selepas Yazid, 52, dan Muhammad Hilmi, 36, membuat pe­ngakuan bersalah atas pertuduhan pindaan yang telah dikemukakan pihak pendakwaan.

“Mengambil kira kepentingan awam dan keseriusan kegiatan ke­ganasan di dalam negara dan dunia yang berlaku pada masa ini, mahkamah menjatuhkan hukuman berat iaitu penjara maksimum tujuh tahun.

“Hukuman tersebut berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 7 Februari 2013,” katanya ketika membacakan penghakiman di sini semalam.

Mengikut pertuduhan, Yazid dan Muhammad Hilmi didakwa dengan sengaja tidak memberi apa-apa maklumat ber­kenaan perbuatan keganasan di rumah tertuduh pertama di DL11, Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya, Ampang, Selangor pada antara bulan Mei dan Oktober 2012.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, Yazid dan Muhammad Hilmi mengetahui perancangan Razif Mohd. Ariff dan Muhammad Razin Sharhan Mustaffa Kamal untuk ke Syria untuk mengangkat senjata bagi menentang kerajaan Presiden Bashar Al-Assad.

Mereka mengenali kedua- dua lelaki itu yang menyertai kelas usrah dikendali Yazid di Hotel de Palma, Ampang dan rumahnya antara tahun 2011 dan 2012.

Razif dan Muhammad Razin Sharhan kemudiannya telah ditahan pihak berkuasa Lebanon dan menerima hukuman penjara selama empat tahun oleh Mahkamah Tentera negara itu ketika dalam perjalanan ke Sy­ria pada 18 Oktober 2012.

Sebelum ini, Yazid menghadapi pertuduhan menggalakkan keganasan bagi mewujudkan ideologi dengan niat mengugut orang awam di Syria di antara pukul 8.30 pagi hingga 10.30 pagi pada 20 Oktober 2012.

Dia juga didakwa menjadi ahli kumpulan Tanzim Al-Qaeda Malaysia antara 1 Ogos 2012 hingga 7 Februari 2013.

Muhammad Hilmi pula dituduh turut menjadi anggota Tanzim Al-Qaeda dan bersuhabat dengan tertuduh pertama untuk menggalakkan keganasan.

Namun kesemua pertuduhan asal yang mempunyai hukuman yang lebih berat terbabit telah digugurkan kelmarin selepas Jabatan Peguam Negara bersetuju dengan representasi yang dihantar pihak pembelaan diwakili Amer Hamzah Arshad pada Jumaat lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria memohon hukuman maksimum dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh bagi memberi mesej tegas kepada masyarakat tentang kepen­tingan tidak menyembunyikan informasi kegiatan keganasan kepada pihak berkuasa.

Rafizi kena denda RM1,800 kerana aibkan ahli UMNO

PETALING JAYA – Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Rafizi Ramli didenda RM1,800 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas didapati bersalah mengaib dan membangkitkan kemarahan ahli UMNO, dua tahun lalu.
Hakim Azwarnida Affandi memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mohd. Rafizi, 39, yang merupakan Ahli Parlimen Pandan.

Beliau turut memerintahkan hukuman penjara selama 10 bulan ke atas Rafizi sekiranya denda gagal dibayar. Rafizi membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Rafizi didakwa mengaib dan membangkitkan kemarahan kepada ahli UMNO melalui kenyataannya dalam artikel bertajuk Will Rafizi quit if Selangor is not toppled? yang boleh memecahkan keamanan awam.

Artikel itu diterbitkan oleh The Edge Financial Daily pada Februari 2014.

Perbuatan itu dilakukannya di Pejabat The Edge Malaysia Communication Sdn. Bhd., Menara KLK, Jalan PJU7/6, Mutiara Damansara di sini pada pukul 11.40 pagi, 4 Februari 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Wednesday, January 27, 2016

Dituduh menyamar polis trafik

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA LUMPUR – Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan menyamar sebagai anggota polis dan menjalankan tugas me­ngiringi kenderaan awal bulan ini.
Pengawal peribadi, Rahiman Ghazali, 39, dan peniaga pasar malam, Zainul Rizal Zaini, 39, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasi­ngan di hadapan Majistret Mohd. Rehan Mohd. Aris.
Berdasarkan pertuduhan, Rahiman dan Zainul Rizal didakwa menyamar sebagai anggota polis de­ngan berpakaian dan menggunakan motosikal jenis Honda CBX750 menyerupai anggota polis trafik serta menjalankan tugas mengiring di Jalan Raja Chulan menghala ke Jalan Tun Razak di sini pada pukul 7 petang, 5 Januari lepas.
Kedua-duanya dituduh mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai anggota polis yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Farith Muhamad Faizal manakala Rahiman serta Zainul Rizal masing-masing diwakili peguam Md. Redzwan Othman dan Yusman Che Amran.

Mohd. Rehan membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan RM2,500 dan seorang penjamin serta menetapkan sebutan kes pada 29 Februari depan.

Rahiman dan Zainul Rizal membayar jaminan tersebut.

Akhbar sebelum ini me­laporkan dua lelaki ditahan kerana disyaki me­nyamar sebagai anggota polis trafik bagi menjalankan kegiatan mengiringi ken­deraan de­ngan me­ngenakan bayaran tertentu.

Mereka ditahan oleh anggota polis ketika sedang mengiringi tiga buah kenderaan mewah dipercayai milik orang kenamaan di Jalan Raja Chulan berhampiran Bukit Bintang di sini.


Yazid dan Muhammad Hilmi dipenjara 7 tahun

KUALA LUMPUR - Seorang bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA), Yazid Sufaat, 52, dan pekerja kafeteria, Muhammad Hilmi Hasim, 36, dijatuhi hukuman maksimum penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah pertuduhan pindaan, menyembunyikan maklumat kegiatan keganasan pada empat tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd. Azman Husin memutuskan demikian selepas mengambil kira kepentingan awam dan keseriusan perbuatan keganasan di dalam negara dan antarabangsa yang berlaku pada masa ini.
Berdasarkan pertuduhan, Yazid dan Muhammad Hilmi didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di DL11, Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya, Ampang, Selangor antara bulan Mei dan Oktober 2012.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan. - K! ONLINE

Tuesday, January 26, 2016

Latar Belakang Datuk Ku Chin Wah

1979 – Menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kini berpangkat Senior Asisten Komisioner

1994 - 1999 –Juruiring kepada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor

2006 - 2007 – Menyandang jawatan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Sabah

2007 - 2014 – Dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur

2014 hingga kini – Dipindahkan ke Bahagian Urusetia  Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman



Kes-kes berprofil tinggi dikendali Chin Wah

 September 2010 – Pembunuhan tragis jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain di Banting, Selangor

April 2011 – Penemuan mayat Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed di bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Kuala Lumpur

April 2013 – Kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Shaharuddin Ibrahim yang ditembak di Putrajaya

Julai 2013 – Pembunuhan Pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysian, Hussain Ahmad Najadi di Lorong Ceylon, Dang Wangi, Kuala Lumpur

Pengawal peribadi, peniaga pasar malam didakwa menyamar anggota polis trafik

KUALA LUMPUR - Dua rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyamar sebagai anggota polis trafik pada awal bulan ini.
Rahiman Ghazali, 39, yang merupakan seorang pengawal peribadi dan peniaga pasar malam, Zainul Rizal Zaini, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Rehan Mohd. Aris.
Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa menjalankan tugas mengiringi kenderaan dengan berpakaian seperti anggota polis trafik, menunggang sebuah motosikal Honda CBX750 di Jalan Raja Chulan menghala ke Jalan Tun Razak di sini pada pukul 7 malam, 5 Januari lalu. - K! ONLINE

Saturday, January 23, 2016

Bekas Ketua JSJ Kuala Lumpur dituduh tidak isytihar wang komisen hampir sejuta

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan tidak mengisytiharkan komisen berjumlah RM961,500 yang diteri­manya dua tahun lalu.
Pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kini bertugas di Bahagian Urusetia JSJ Bukit Aman dengan pangkat Senior Asisten Komisioner bagaimanapun membuat pe­ngakuan tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Nasir Nordin.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi dan Budiman Lutfi Mohamed manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent.

Kronologi kes Shana Avril

23 April 2015 - Satu rakaman video berdurasi satu minit 53 saat menjadi viral yang memaparkan seorang wanita menanggalkan baju dan mendedahkan payudara di sebuah restoran di Jalan Petaling, Kuala Lumpur.

25 April 2015 - Wanita yang berperangai pelik dalam video terbabit berjaya ditahan polis dan disahkan sebagai Shana Avril yang merupakan seorang pelakon dan model warga negara Malaysia yang berasal dari Sabah.

28 April 2015 - Shana Avril mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan melakukan perbuatan lucah di tempat awam.

29 Mei 2015 - Majistret Nur A’minatul Mardiah Md. Nor memerintahkan Shana Avril menjalani penilaian mental selama sebulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak.

2 Julai 2015 - Tempoh penilaian mental Shana Avril dilanjutkan selama sebulan lagi oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi melengkapkan laporan tahap kesihatan mental tertuduh.

10 Ogos 2015 - Laporan penilaian mental Shana Avril oleh Hospital Bahagia Ulu Kinta menunjukkan bahawa dia adalah waras dan layak dibicarakan di mahkamah.

20 Januari 2015 - Shana Avril menukar pengakuan kepada bersalah dan dia dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM4,000.

Friday, January 22, 2016

Juruteknik didakwa ajak pelajar lakukan seks

KUALA LUMPUR – Seorang juruteknik sebuah syarikat berkaitan kerajaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan mengganggu kesantunan seorang pelajar perempuan tingkatan dua dengan mengajak gadis itu melakukan hubungan seks pada Isnin lalu.

Nur Mohd. Solehin Rusli, 29, dari Batu 6 3/4 Gombak, Selangor membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Rehan Mohd. Aris.

Berdasarkan pertuduhan, Nur Mohd. Solehin didakwa mengajak mangsa yang berusia 14 tahun untuk melakukan hubungan seks dengan cuba memberikan wang RM100 kepada gadis tersebut.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di hadapan Pusat Karaoke Just K Brem Mall, Jalan Kepong di sini pada pukul 5 petang, 18 Januari lalu.

Nur Mohd. Solehin yang baru dikurniakan anak sulung berusia tiga bulan didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit ke­salahan.

Mohd. Rehan membenarkan tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan RM2,000 dan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 1 Mac depan.

Chin Wah didakwa gagal isytihar harta RM961,500

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mengisytiharkan harta pada dua tahun lalu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.
Berdasarkan pertuduhan, beliau yang kini bertugas di bahagian Urusetia JSJ Bukit Aman didakwa tidak mematuhi terma notis Pendakwa Raya dengan gagal mengisytiharkan perolehan daripada 'komisen' berjumlah RM961,500 di dalam Surat Akuan Bersumpah bertarikh 8 Januari 2014.
Perbuatan itu dituduh dilakukan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Putrajaya antara 23 Disember 2013 hingga 21 Disember 2014.
Chin Wah didakwa mengikut Seksyen 49 (3) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Thursday, January 21, 2016

Juruteknik dituduh ajak pelajar melakukan seks

KUALA LUMPUR - Seorang juruteknik sebuah syarikat berkaitan kerajaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengganggu kesantunan dengan mengajak seorang pelajar tingkatan dua melakukan hubungan seks pada Isnin lalu.
Nur Mohd. Solehin Rusli, 29, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Rehan Mohd. Aris.
Berdasarkan pertuduhan, Nur Mohd. Solehin didakwa mengajak mangsa untuk melakukan hubungan seks dengan memberikan wang RM100 di hadapan Pusat Karaoke Just K Brem Mall, Jalan Kepong di sini pada pukul 3 petang, 18 Januari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Shana mengaku tunjuk payudara

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan AMIRUL AKMAL REDZWAN


KUALA LUMPUR – Pelakon dan model kontroversi, Persana Avril Sollunda, 33, boleh menghela nafas lega selepas hanya dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun de­ngan cagaran RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Persana Avril dijatuhi hukuman itu selepas disabitkan kesalahan melakukan perbuatan lucah dengan menunjukkan payudaranya di tempat awam pada April tahun lalu.
Majistret Nur A’minatul Mardiah Md. Nor memutuskan demikian selepas tertuduh yang menggunakan nama pentas Shana Avril menukar pengakuan kepada bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula dalam bahasa Inggeris.
Beliau turut mengenakan syarat tambahan agar Shana melaporkan diri di balai polis berhampiran bagi menjalani ujian urin untuk alkohol dan dadah pada setiap bulan sepanjang tempoh dua tahun berkenaan.
“Saya mengguna pakai peruntukan Seksyen 173A(2)(b) Kanun Prosuder Jenayah untuk melepaskan kamu menerusi bon berkelakuan baik dengan cagaran RM4,000 selama dua tahun. Jika gagal mematuhi syarat tambahan, kamu boleh dikenakan hukuman penjara seperti pertuduhan asal,” katanya ketika membacakan penghakimannya di sini semalam.
Berdasarkan pertuduhan, Shana didakwa melakukan perbuatan lucah di tempat awam di Jalan Petaling di sini pada pukul 2.07 petang 23 April 2015.
Dia didakwa mengikut Seksyen Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Shana yang berpakaian ala baju celoreng ala tentera dan jaket berwarna perak di mahkamah semalam memberitahu, dia berada dalam keadaan tidak waras dan tidak sedar sewaktu melakukan perbuatan terbabit.

“Saya mengaku bersalah melakukan kesalahan itu, tetapi saya tidak mengambil atau membeli apa-apa makanan di kedai nasi ayam berkenaan,” katanya yang kelihatan tenang di kandang pesalah.
Terdahulu, peguam Kelvin Tan yang mewakili Shana dalam rayuannya memohon hukuman ringan. 

Menurutnya, Shana yang merupakan seorang ibu tunggal melakukan perbuatan lucah dengan menanggalkan co­linya dalam keadaan tidak waras berikutan masalah tekanan perasaan yang dialaminya sejak beberapa tahun lalu.

“Perbuatan yang dilakukan Shana tidak boleh disamakan dengan kes Gunung Kinabalu (kes empat pelancong dihukum penjara tiga hari dan RM5,000 atas kesalahan berbogel pada Jun 2015).
“Dia telah mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Sungai Buloh, Selangor dari tahun 2009 hingga 2015. 

“Masalah kesihatan mentalnya juga telah disahkan oleh Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan ketika diarahkan menjalani pemeriksaan oleh mahkamah sebelum ini,” jelas Kelvin kepada mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Ahmad Po’ad pula memohon hukuman setimpal yang memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Kosmo! pada 25 April 2015 melaporkan seorang wanita berperangai pelik apabila dia bertindak menanggalkan baju hingga mendedahkan payudara sebelum mengajak seorang pekerja restoran bertumbuk selepas enggan membayar harga makanan di sebuah premis menjual nasi ayam di Jalan Petaling.


Restoran didenda tidak kutip GST


Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA LUMPUR – Pengendali sebuah restoran char kuetiau terkenal di ibu kota, Mali’s Corner Sdn. Bhd. (Mali’s Corner) didenda RM9,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam kerana tidak mengutip Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) daripada pelanggan walaupun telah mendaftar de­ngan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).
Hakim Shamsudin Abdullah memerintahkan demikian selepas Pengarah Mali’s Corner, Jamali Saat (gambar kecil) mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di cawangan restoran tersebut di 9-11, Blok C, Jalan Langkawi, Platinum Walk, Danau Kota, Setapak di sini pada pukul 12.54 tengah hari 7 Oktober 2015.
Restoran itu turut diarahkan untuk membayar amaun 95 sen sebagai GST kepada KDRM kerana tidak mengutip cukai tersebut dalam satu resit bernilai RM15.80 daripada seorang pelanggan pada hari berke­naan.
Berdasarkan pertuduhan, Mali’s Corner didakwa tidak mengeluarkan invois bercukai walaupun telah mendaftar di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2004.

Pengendali restoran itu didakwa mengikut Seksyen 33(2)(a) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM30,000, penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa KDRM, Norhaslelly Hai­mid manakala pembelaan diwakili peguam, Zambri Mohd. Isa.

Zambri dalam rayuannya berkata, perbuatan tidak mengutip GST daripada pelanggan itu tidak disengajakan kerana pe­ngendali Mali’s Corners kurang arif dengan pelaksanaan cukai yang diperkenalkan pada 1 April tahun lalu.

Jamali membayar denda tersebut.

Remaja jalani khidmat masyarakat 240 jam, pukul, ugut keluarga

KUALA LUMPUR - Seorang anak bekas anggota polis dijatuhi hukuman khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh setahun atas kesalahan memukul kakak sulungnya dan mengugut ibu serta abang lelaki kandung dengan sebilah pedang samurai dua bulan lalu.
Majistret Nur A'minatul Mardiah Md. Nor turut mengenakan syarat tambahan agar Nizam Aqmal Rusli, 19, melaporkan diri dan menjalani ujian urin di balai polis berhampiran pada setiap bulan sepanjang tempoh hukuman berkenaan.
Nizam Aqmal yang merupakan seorang pesalah muda juga diarahkan untuk menjalani sesi kaunseling bersama keluarga dan tidak dibenarkan untuk keluar dari kediaman antara pukul 12 tengah malam dan 6 pagi.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa membaling topi keledar dan memukul kepala serta muka kakaknya, Nurul Atiqah, 27, dengan tangan hingga menyebabkan luka dan lembam di rumah mereka di Blok G2, Tingkat 1A, Balai Polis Kepong di sini pada pukul 11.30 pagi, 11 November tahun lalu.
Nizam Aqmal juga dituduh melakukan ugutan terhadap ibunya, Rubiah Samin, 45, dan abangnya, Noor Aliff, 25, dengan menggunakan sebilah pedang samurai milik Allahyarham bapanya di lokasi dan masa sama. - K! ONLINE

Wednesday, January 20, 2016

Model sambilan kena bon berkelakuan baik dua tahun

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan AMIRUL AKMAL REDZWAN

KUALA LUMPUR - Pekerja spa dan model sambilan, Persana Avril Sollunda, 33, dilepaskan dengan bon berkelakuan baik bercagar RM4,000 selama dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan perbuatan lucah di tempat awam pada April tahun lalu.
Majistret Nur A'minatul Mardiah Md. Nor memutuskan demikian selepas Persana Avril atau nama pentasnya Shana Avril mengubah pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula hari ini.
Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan agar melaporkan diri di balai polis berhampiran bagi menjalani ujian urin, alkohol dan dadah pada setiap bulan sepanjang tempoh terbabit.
Berdasarkan pertuduhan, Shana Avril didakwa melakukan perbuatan lucah di tempat awam di Jalan Petaling di sini pada pukul 2.07 petang, 23 April 2015. - K! ONLINE

Tuesday, January 19, 2016

Cubaan curi lori punca nahas korbankan 2 pelajar

KAJANG – Polis mengesahkan kejadian kemala­ngan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Damai Perdana, Cheras dekat sini kelmarin hingga menyebabkan kematian dua pelajar sekolah itu berpunca daripada satu percubaan mencuri lori tersebut.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Willey Richard berkata, siasatan menunjukkan, pemandu lori tersebut yang merupakan seorang warga Indonesia telah meletakkan lori yang dipandunya di sebelah kiri kira-kira satu kilometer daripada lokasi kejadian untuk singgah makan tengah hari.

“Selepas beberapa minit pemandu lori itu meninggalkan kendera­annya, lori itu telah dicuri oleh seorang lelaki tidak dikenali.

“Lelaki itu disyaki memandu lori berkenaan sejauh kira-kira satu kilometer untuk keluar daripada sebuah kawasan pembinaan berhampiran, namun dia gagal mengawal kenderaan itu menyebabkan lori terbabas dan melanggar sebanyak 40 kendera­an hingga menyebabkan dua pelajar maut,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurutnya, polis telah menahan reman seorang warga Indonesia berusia 39 tahun yang merupakan pemandu asal lori terbabit selama seminggu bagi membantu siasatan.

Kosmo! semalam melaporkan, dua pelajar perempuan yang sedang menunggu untuk memasuki sesi petang persekolahan maut tersepit di bawah van yang dilanggar sebuah lori hantu di hadapan SMK Bandar Damai Perdana.

Mali's Corner didenda RM9,000 tidak kutip GST

KUALA LUMPUR - Sebuah restoran char kue teow terkenal di ibu kota, Mali's Corner Sdn. Bhd. didenda RM9,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan tidak mengutip Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada Oktober tahun lalu.
Pengarah Mali's Corner, Jamali Saat mengaku bersalah apabila pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Shamsudin Abdullah.
Shamsudin turut memerintahkan pengendali restoran itu membayar 95 sen sebagai GST kepada Kastam Diraja Malaysia kerana tidak mengutip cukai tersebut dalam satu resit daripada pelanggan pada pukul 12.54 tengah hari, 7 Oktober 2015.
Berdasarkan pertuduhan, Mali's Corner didakwa tidak mengeluarkan invois bercukai walaupun mendaftar di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2004 di 9-11, Blok C, Jalan Lagkawi, Platinum Walk, Danau Kota, Setapak di sini. - K! ONLINE

Saturday, January 16, 2016

Pertemuan semula bekas pelajar Madrasah Darul Falah

UKHWAH. Seramai 47 bekas pelajar Madrasah Darul Falah Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, Melaka menghadiri majlis perjumpaan di Pusat Pengajian Darul Taalim, Batu 11, Sungai Udang, Melaka baru-baru ini.
Ahli Jawatankuasa program, Redhuan Ibrahim berkata, majlis pertemuan semula yang julung-julung kali diadakan itu merupakan inisiatif pelajar yang pernah menimba ilmu di sekolah agama berkonsepkan pendidikan pondok terbabit antara tahun 1984 hingga 1995.
Beliau berkata, mereka turut beramah mesra dengan ustaz Abdul Rahman Hassan yang merupakan anak bekas pengasas madrasah berkenaan bagi tujuan mengeratkan hubungan silaturahim.

Marissa kini bergelar janda

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SHAH ALAM – Pelakon drama bersiri Memori Cinta Suraya, Marissa Yasmin kini bergelar janda selepas dia sah bercerai talak satu dengan suaminya, Muhzir Mohd. Zainuddin, 50, di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.

Muhzir yang merupakan seorang pengurus jualan teknologi maklumat sebuah syarikat swasta melafazkan talak satu terhadap Marissa atau nama sebenarnya Mariam Yaacob, 38, di hadapan Hakim Syarie, Muhamad Hisyam Zakaria.

Terdahulu, Marissa yang tinggal berasingan dengan Muhzir sejak lebih enam bulan lalu memberitahu, dia bersetuju untuk berpisah seperti dikehendaki oleh suaminya.

Begitupun, pelakon drama bersiri yang masih bersiaran di saluran Astro Prima itu memberitahu, dia membantah salah satu alasan penceraian dikemukakan Muhzir dalam surat akuan permohonan cerai iaitu dia telah berlaku curang.

Marissa yang diwakili peguam syarie, Musa Awang mencadangkan agar alasan itu diganti dengan tiada persefahaman.

Peguam syarie mewakili Muhzir, Jamal Mohd. Lokman berkata, anak guamnya bersetuju untuk menggugurkan alasan tersebut bagi memudahkan proses penceraian.

“Alasan utama plaintif (Muhzir) untuk bercerai dengan defendan (Marissa) sebab berlakunya curang dan mempunyai bukti (mengesahkan perbuatan itu). Namun anak guam saya bersetuju (menggugurkan alasan itu) kerana beliau sememangnya mahu berpisah,” jelas beliau kepada Muhamad Hisyam di sini semalam.

Kosmo! pada 3 Disember 2015 melaporkan, Muhzir memfailkan penceraian tanpa kehadiran Marissa di Mahkamah Rendah Syariah setelah pelakon tersebut menghilangkan diri dengan meninggalkan rumah kelamin mereka di Subang Jaya dekat sini sejak 12 Jun tahun lalu.

Pasangan tersebut bernikah di Majlis Agama Islam Songkhla, Thailand pada 19 Januari 2011 dan mereka tidak dikurniakan anak.

Friday, January 15, 2016

Pelakon Zahnita fail cerai buat kali kedua

SHAH ALAM – Model dan pelakon, Zahnita Wilson memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, Abd. Zackery Ghouse Abd. Ghafoor (gambar kecil), 38, di Mahkamah Rendah Sya­riah di sini semalam.

Permohonan mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu tuntutan perceraian de­ngan talak atau dengan pe­rintah mahkamah itu merupakan kali kedua dikemukakan pelakon yang pernah membintangi filem Gila-Gila Pengantin Popular dan Kuliah Cinta tersebut.

Sebelum ini, Zahnita atau nama sebenarnya, Zahnita Do­rothy Hussein Wilson, 31, pernah memfailkan permohonan cerai secara fasakh di mahkamah syariah sama pada 18 November 2013 namun, bertindak menarik balik pada awal tahun lalu.

Dia yang diwakili peguam syarie, Suariany Awaludin memberitahu Hakim Syarie, Muhamad Hisyam Zakaria, tuntutan penceraian itu dilakukan selepas mendapati tiada persefahaman lagi antara dia dan suaminya.

Abd. Zackery yang diwakili peguam syarie, Yusfa Hanis Yussoff membantah permohonan cerai tersebut dan percaya rumah tangga mereka yang telah dibina selama 10 tahun masih boleh diselamatkan lagi.

Muhamad Hisyam menetapkan sebutan semula pada 4 Februari depan bagi pelantikan Jawatankuasa Pendamai yang berfungsi untuk mencari jalan bagi memulihkan rumah tangga pasangan tersebut untuk mengelakkan perceraian.

Sementara itu, Zahnita ketika ditemui di luar mahkamah berkata, dia yang tinggal ber­asingan dengan suaminya sejak 13 November tahun lalu percaya rumah tangga mereka sudah tidak dapat dipertahankan lagi.

“Saya juga telah mengemukakan permohonan penjagaan anak interim (sementara) yang turut akan memulakan prosi­ding pada 4 Februari depan,” katanya.

Pasangan tersebut yang telah mendirikan rumah tangga pada 3 Jun 2005 dikurniakan dua anak perempuan iaitu Zahrafeena, sembilan dan Zasharayna, tiga tahun

Suspek kes lori hantu sebabkan kematian dua pelajar direman tujuh hari

KAJANG - Seorang buruh binaan warga Indonesia ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes sebuah lori hantu melanggar beberapa kenderaan lain termasuk sebuah van yang menyebabkan dua pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Damai, Cheras dekat sini maut semalam.
Perintah reman itu terhadap lelaki tersebut dibenarkan Pendaftar Mahkamah Majistret Kajang, Sharifah Fazilah Zilkifli pada pukul 12.30 tengah hari ini.
Suspek yang berusia 39 tahun disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian kerana kecuaian. - K! ONLINE

Thursday, January 14, 2016

Zahnita fail semula permohonan cerai

SHAH ALAM - Pelakon dan model, Zahnita Wilson memfailkan permohonan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.
Dia yang diwakili peguam syarie, Suariany Awaldin membuat permohonan tersebut di hadapan Hakim Syarie, Muhamad Hisyam Zakaria.
Suami Zahnita, Abd. Zackery Ghouse Abd. Ghafoor, 38, yang turut hadir pada prosiding tersebut tidak bersetuju dengan permintaan tersebut dengan alasan masih berusaha untuk menyelamatkan rumah tangga mereka.
Muhamad Hisyam menetapkan sebutan semula kes pada 4 Februari depan bagi perlantikan Jawatankuasa Pendamai.
Zahnita atau nama sebenarnya, Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 31, pernah memfailkan permohonan penceraian buat pertama kali pada 18 November 2013 tetapi telah menarik baliknya pada tahun lalu. - K! ONLINE

Marissa sah bercerai talak satu

Syarikat jual produk berjenama tiruan didenda RM318,000

SHAH ALAM – Mahkamah Sesyen di sini semalam menjatuhkan hukuman de­n­da RM318,000 kepada sebuah syarikat pembekal barangan aksesori lelaki dan wanita atas tujuh kesalahan menjual produk tiruan serta satu pertuduhan mengadakan promosi jualan murah tanpa kebenaran.

  Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid menjatuhkan hukuman berkenaan selepas Melwani 2 International Sdn. Bhd. (Melwani 2 International) yang beribu pejabat di 9, Jalan 51A/227C, Petaling Jaya di sini me­ngaku salah menjual produk tiruan menggunakan label jenama ter­kenal seperti Prada, Chanel, Montblanc, Lacoste, Gucci, Louis Vuitton dan Burberry antara 22 Julai 2012 hingga 25 Julai 2015.

Pegawai Sumber Manusia Melwani 2 International, G. Tiranthini yang mewakili syarikat tersebut turut me­ngaku bersalah satu pertuduhan mengadakan promosi jualan murah tanpa mengemukakan notis kepada Pegawai Perihal Daga­ngan pada 25 Disember 2014.

Ahmad Azhari membenarkan Melwani 2 International melunaskan denda RM318,000 secara ansuran selama enam kali sehingga Jun depan iaitu RM53,000 bagi setiap pembayaran bermula semalam.

Wednesday, January 13, 2016

Rumah Awie pukul Rozana dirakam

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan NADIA SHAIFUL BAHARI

AMPANG – Saksi ketujuh pendakwaan kes penyanyi rock terkenal, Awie yang mendatangkan kece­deraan parah terhadap bekas isterinya, Rozana Misbun, 38, memberitahu Mahkamah Majistret di sini semalam bahawa dia telah diarahkan untuk mengambil gambar rumah kelamin pasangan tersebut pada 26 Jun 2014 iaitu kira-kira tiga minggu selepas insiden berkenaan berlaku.

Koperal Mohd. Syukri Yunus yang ketika itu berkhidmat di Unit Jurufoto Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya berkata, dia tiba di rumah tersebut di No. 9 Jalan UB 5B, Taman Ukay Bistari, Hulu Kelang di sini pada pukul 12 tengah malam.

“Saya telah mengambil sembilan keping gambar seperti bahagian hadapan rumah, pintu rumah, papan tanda nombor rumah, bahagian dalam rumah, ruang tamu, laluan ke bilik tidur, laluan ke dapur, pintu bilik tidur dan bahagian dalam bilik tidur.

“Kesemua gambar tersebut telah dipindahkan ke dalam cakera padat sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman di sini semalam.

Sementara itu, saksi kelapan, Lans. Koperal, Mohamad Khiri Mohd. Yatim yang merupakan penolong juruanalisis makmal forensik Bukit Aman memberitahu, dia menerima tiga barang bukti yang terdiri daripada sebuah pemacu keras dan dua buah telefon bimbit jenama Samsung berwarna kelabu serta hitam.

Mengikut pertuduhan, Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 48, didakwa de­ngan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Rozana, 36, di No. 9 Jalan UB 5B, Taman Ukay Bistari pada pukul 1.30 petang, 2 Jun 2014.

Vokalis kumpulan Wings tersebut dituduh  mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika didapati bersalah.

Awie yang juga merupakan pelakon utama filem Sembilu, Sembilu 2, Zombie Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah  mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pendakwaan dilakukan buat kali pertama pada 4 Julai 2014.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene manakala Awie diwakili peguam Hazman Harun dan Amizaizul Am

Kena empat bulan penjara curi pembesar suara

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan mencuri dua set pembesar suara milik tuan rumah sewanya pada dua tahun lalu.
Majistret Mohd. Rehan Mohd. Aris memerintahkan demikian selepas V. Sivakumar, 45, mengaku bersalah mencuri barangan tersebut berjenama Mission bernilai RM5,000 bersama seorang lagi yang masih bebas pada pukul 11.45 pagi, 3 Mac 2014.
Sivakumar dituduh melakukan perbuatan itu di C-10-3, Kondominium Tiara Faber, Taman Desa Brickfields di sini pada pukul 11.45 pagi, 3 Mac 2014.
Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE

Monday, January 11, 2016

Syarikat pemborong didenda RM318,000 bekal barang tiruan

SHAH ALAM - Sebuah syarikat pemborong aksesori pakaian lelaki dan wanita didenda RM318,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membekalkan barangan tiruan dan satu pertuduhan menganjurkan promosi jualan murah tanpa permit pada empat tahun lalu.
Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid memerintahkan demikian selepas Melwani 2 International Sdn. Bhd. (Melwani 2 International) yang diwakili Pegawai Sumber Manusianya, G. Tiranthini mengaku bersalah kesemua pertuduhan tersebut yang dilakukan antara 22 Julai 2012 dan 25 Disember 2014.
Berdasarkan pertuduhan, Melwani 2 International yang beribu pejabat di Seksyen 51A, Petaling Jaya dekat sini didapati membekalkan 3,130 barangan tiruan seperti beg tangan, dompet, sarung telefon bimbit, cermin mata, seluar panjang, kasut dan tali leher kononnya berjenama terkenal antaranya Channel, Prada, Gucci, Louis Vuitton dan Mont Blanc.
Syarikat tersebut didakwa mengikut Seksyen 8 (2) b Akta Perihal Dagangan 2011 dan Seksyen 8 (2) c akta sama serta Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) 1997. - K! ONLINE

Saturday, January 2, 2016

Jurujual telefon bimbit tipu pelanggan didenda RM6,000

KUALA LUMPUR – Seorang jurujual memperdaya seorang pelanggan yang bisu dan pekak dalam urusan jual beli telefon bimbit di Kompleks Kota Raya, Jalan Tun Tan Cheng Lock di sini pada tiga minggu lalu didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Majistret Muhamad Faizal Ismail memerintahkan hukuman demikian selepas Liew Wai Chung, 21, mengaku bersalah memperdaya Shamsol Esham Hashim, 41, yang merupakan seorang pekerja hotel pada pukul 3 petang, 10 Disember lalu.
Berdasarkan pertuduhan, Wai Chung didakwa dengan curang menipu Shamsol Esham dalam urusan jualan sebuah telefon bimbit jenama Samsung Galaxy sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM400 di kedai Team Spirit Enterprise yang terletak di Kompleks Kota Raya.
Mengikut fakta kes, Shamsol Esham yang mengunjungi premis terbabit telah ditawarkan sebuah telefon bimbit berkenaan pada harga RM399 oleh tertuduh sebelum menyerahkan wang tunai RM400 sebagai pembayaran.
Selepas dia menandatangani resit, tertuduh telah meminta bayaran tambahan RM450 yang menyebabkan mangsa cuba membatalkan pembelian dan meminta semula wang yang telah dibayarnya.
Namun Wai Chung bukan sahaja enggan memulangkan deposit berkenaan malah bertindak menghalau mangsa dari premisnya dan memberi tempoh tiga bulan kepada Shamsol Esham untuk melunaskan baki tambahan pembelian telefon bimbit terbabit.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Muhamad Faizal mengarahkan hukuman penjara empat bulan dikenakan terhadap Wai Chung sekiranya tertuduh gagal membayar denda. Wai Chung yang diwakili peguam, Norman Mohd. Nasir membayar denda tersebut.

 Kes tersebut tidak berkaitan dengan kejadian beberapa orang lelaki bergaduh dengan jurujual di sebuah kedai telefon bimbit yang menjadi viral di laman sosial pada 20 Disember lalu.

Difahamkan, Shamsol Esham bertindak membuat laporan polis tentang penipuan yang dihadapinya di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini baru-baru ini berikutan penyebaran klip video berdurasi dua minit dan 30 saat itu.

Kosmo! 28 Disember lalu melaporkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengambil keputusan menempatkan anggota penguat kuasa di kesemua kompleks jualan gajet popular di ibu negara termasuk Kompleks Kota Raya ekoran beberapa insiden pergaduhan dipercayai akibat penipuan dilakukan peniaga.