Translate

Thursday, June 25, 2009

Tanah kurnia terbiar ditarik balik

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Kecewa dengan lambakan tanah terbiar di rancangan penempatan tersusun (RPT) di bandar raya ini, Majlis Bandaraya Ipoh mencadangkan kerajaan negeri Perak supaya menarik balik statusnya.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berkata, pihaknya mendapati terdapat ribuan tanah kurnia terbiar dan bersemak-samun di seluruh bandar raya ini termasuk kira-kira 200 lot di Kampung Tersusun Sengat, Simpang Pulai di sini.

"Sepatutnya tanah kurnia terbabit didirikan rumah seperti pemberian tanah RPT tetapi banyak yang ditinggalkan tanpa selenggara selama bertahun-tahun, malah ada yang sampai 10 tahun.

"MBI banyak dapat aduan tanah yang tidak terurus dan bersemak-samun itu memberi masalah kepada penduduk setempat. Selain merosakkan pemandangan, ia menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes dan haiwan berbisa seperti ular, kala jengking dan lipan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat dengan penduduk Kampung Tersusun Sengat yang turut dihadiri Ketua Kampungnya, Buyung Silin, 72, di sini semalam.

Roshidi berkata, sikap lepas tangan pemilik tanah terbiar juga menyebabkan MBI kerap kali terpaksa menanggung beban mengambil tanggungjawab membersihkan kawasan terbabit.

Beliau berkata, langkah tersebut sebenarnya merugikan kerana peruntukan mengupah kontraktor membersihkan tanah tersebut merupakan hasil cukai taksiran orang awam.

"Nak dapat balik kos selenggara tanah terbiar itu dari pemilik memang susah. Ia tidak adil untuk penduduk Ipoh lain, MBI boleh keluarkan kompaun RM250 tapi ia kurang berkesan.

"Sehubungan itu saya cadangkan kerajaan negeri tarik balik status tanah terbabit dan beri kepada individu yang lebih memerlukan serta bertanggungjawab," katanya.

Thursday, June 18, 2009

Stadium Manjoi kini jadi gelanggang futsal

IPOH - Stadium Mini Manjoi di sini yang telah siap kira-kira tiga tahun lalu tidak dapat digunakan gara-gara saiznya tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), lapor MOHD. AZLI ADLAN.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berkata, padang bola sepak di Stadium Mini yang dirasmikan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2007 itu didapati tidak mengikut ukuran sebenar ditetapkan.

"Berikutan masalah itu, stadium mini ini tidak boleh digunakan kerana perlawanan bola sepak formal dan kompetitif tidak dibenarkan diadakan di sini.

"Sebagai jalan penyelesaiannya, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membuat keputusan untuk membina dua gelanggang futsal dengan peruntukan kira-kira RM300,000 di tapak padang bola terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat membincangkan masalah berbangkit di Gugusan Manjoi yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Nadzri Ismail di sini semalam.

Roshidi berharap pembinaan gelanggang futsal tersebut dalam masa terdekat dapat ‘menghidupkan’ semula Stadium Mini Manjoi seluas 0.81 hektar itu daripada terus menjadi projek gajah putih.

Wednesday, June 17, 2009

Projek Seri Iskandar wujud - Saksi

IPOH - Mahkamah Sesyen di sini diberitahu projek pembangunan tanah seluas 36.45 hektar di Seri Iskandar wujud dan pernah dibincangkan pada Mesyuarat Penuh Bulanan Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT).

Saksi ketiga pendakwa, Setiausaha MDPT, Borhan Abdul Halim berkata, dua tertuduh iaitu Usaili Alias dan Zul Hassan yang merupakan bekas ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) itu turut menghadiri mesyuarat penuh bulanan ketika cadangan projek itu dibincangkan pada 29 Julai 2008.

"Minit mesyuarat merekodkan Sino Land Development Sdn. Bhd. yang berminat membangunkan projek itu telah memberikan maklumat diperlukan.

"Namun pada ketika itu projek itu masih di peringkat cadangan dan sehingga kini ia belum diluluskan,"kata beliau.

Borhan berkata demikian dalam perbicaraan hari kedua berhubung kes rasuah berkaitan projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar membabitkan dua bekas Exco, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering dan ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi, Usaili, Zul dan dua yang lain.

Beliau yang berkhidmat sebagai Setiausaha MDPT sejak April 2008 memberitahu, pada ketika itu Usaili juga berperanan sebagai Ahli Jawatan Kuasa Projek Penswastaan dan Usahasama, Lembaga Tender dan Sebut Harga serta Lembaga Lantikan, Tata Tertib dan Kenaikan Pangkat PBT berkenaan.

Sementara itu Zul pula diberi amanah oleh MDPT sebagai Ahli Jawatan Kuasa Pelesenan, Kebersihan, Keindahan Bandar dan Infrastruktur, Lalu Lintas dan Pembangunan.

"Saya telah menyerahkan salinan pelan pembangunan tanah berkenaan kepada Usaili setelah diminta tertuduh," katanya yang turut memberitahu tidak mempunyai bukti menyokong keterangannya itu.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh menangguhkan perbicaraan pada 28 dan 29 September depan selepas Borhan selesai memberikan keterangannya.

Tuesday, June 16, 2009

Pembangunan tanah bawah MB

IPOH - Mahkamah Sesyen di sini semalam diberitahu pembangunan tanah di Perak adalah di bawah portfolio Menteri Besar dan bukan portfolio dua bekas Exco Perak iaitu Kapten (B) Mohd. Osman Mohd. Jailu yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering dan Jamaluddin Mohd. Radzi (ADUN Behrang).

Saksi pertama pendakwa, Setiausaha Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Perak, Abdullah Antong Sabri berkata, Mohd. Osman sebelum ini adalah Pengerusi Jawatan Kuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Badan Bukan Kerajaan manakala Jamaluddin Pengerusi Jawatan Kuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perdagangan.

Oleh itu, katanya semua fail pembangunan tanah mesti dilihat oleh Menteri Besar terlebih dahulu sebelum dibawa ke mesyuarat mingguan Exco untuk keputusan dan semua Exco terlibat untuk membuat keputusan bersama.

“Kertas mesyuarat mingguan pembangunan tanah seperti perumahan, industri dan projek berbentuk pembangunan tanah mesti dibawa dan diputuskan dalam mesyuarat itu oleh semua ahli Exco yang diwajibkan hadir dan terlibat secara bersama untuk membuat keputusan di dalam mesyuarat,” katanya.

Abdullah berkata demikian dalam perbicaraan hari pertama semalam berhubung kes rasuah berkaitan projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar membabitkan dua bekas ahli Exco berkenaan dan empat yang lain.

Abdullah yang juga Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berkata, semakan beliau menunjukkan tidak ada kertas kerja pembangunan tanah di Seri Iskandar telah dibawa ke mesyuarat Exco untuk keputusan pada tahun lepas.

Beliau bersetuju dengan saranan peguam Abdul Roni Rahman yang mewakili Mohd. Osman dan Jamaluddin bahawa oleh kerana tidak ada kertas cadangan bagi pembangunan di kawasan tersebut maka perkara itu tidak pernah dibincangkan di dalam mesyuarat mingguan Exco mahupun di peringkat pentadbir tanah dan pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak.

Sementara itu, saksi kedua pendakwa, Pengurus Sumber Manusia Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) Sabariah Abdul Manan ketika disoal Mohammad Jazamuddin berkata, tugas Juruteknik PKNP, Ruslan Sahat adalah memantau kerja-kerja di tapak pembinaan termasuk kerja-kerja infrastruktur, sistem pembetungan, kerja cerucuk dan konkrit, pemeriksaan bahan binaan dan mendokumentasi dokumen kontrak.

Sabariah yang disoal balas oleh Abdul Roni bersetuju bahawa sebagai Juruteknik PKNP, Ruslan tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan berhubung pembangunan tanah di Perak.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh menangguhkan perbicaraan ke hari ini selepas Sabariah selesai memberikan keterangannya.

Mohd. Osman, 58; Jamaluddin, 53; Ruslan, 47; dan dua orang lagi iaitu bekas ADUN Bota daripada PKR Usaili Alias, 57; dan bekas Ahli Majlis Daerah Perak Tengah, Zul Hassan, 46; didakwa melakukan kesalahan rasuah itu antara 14 hingga 19 Ogos tahun lepas.

Turut dituduh terlibat dalam kes rasuah itu ialah ahli perniagaan Fairul Azrim Ismail, 30.

DVD Terminator Salvation dirampas

IPOH - Sebanyak 10,367 keping cakera video digital (DVD) filem Terminator Salvation yang sedang hangat ditayangkan di pawagam seluruh negara dirampas dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Jalan Kuala Kangsar di sini semalam.

Dalam serbuan kira-kira 1 pagi itu, sepasukan penguat kuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Perak turut merampas DVD cetak rompak filem Night At The Museum 2 dan Anaconda 4.

Timbalan Pengarahnya, Mohd. Shahar Osman berkata, siasatan awal pihaknya mendapati premis berkenaan telah dijadikan pusat pengeluaran DVD cetak rompak bagi dipasarkan kepada peniaga pasar malam di sekitar bandar raya ini.

“Sebanyak enam unit penyalin DVD yang mempunyai 64 lapisan, seunit pemprosesan komputer, empat pencetak dan sebuah pengimbas bernilai kira-kira RM40,000 dirampas,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Friday, June 12, 2009

Perak gempur habis-habisan

Kafe siber ingkar peraturan, benar kanak-kanak 12 tahun masuk selepas 6 petang


MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Semua kafe siber di seluruh Perak yang melanggar peraturan dengan membenarkan kanak-kanak bawah 12 tahun memasuki premis itu selepas 6 petang akan digempur dalam satu operasi besar-besaran tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan operasi itu kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Walaupun kerajaan negeri menetapkan kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dibenarkan mengunjungi kafe siber selepas 6 petang sejak akhir tahun lalu, banyak pengusaha premis itu didapati ingkar.

"Ada juga yang membenarkan kanak-kanak melepak di kafe siber sehingga lewat malam. Tindakan itu amat dikesali kerana ia bakal menjadi pencetus kepada masalah sosial," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Hang Soon berkata, segelintir pengusaha kafe siber itu juga dikesan melanggar peraturan beroperasi sehingga 12 tengah malam dengan membuka premis sehingga 3 pagi.

Katanya, kes melanggar peraturan itu didapati agak ketara di Ipoh, Manjung dan Taiping.
"Kita tak mahu generasi muda menjadi leka dan membazir wang bermain permainan video serta melayari laman web tidak berfaedah di kafe siber," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hang Soon berkata, ahli majlis PBT di Perak yang gagal hadir mesyuarat bulanan sebanyak tiga kali tanpa alasan munasabah akan dipecat serta-merta.
Katanya, ketetapan itu bertujuan memastikan individu yang komited dan berminat untuk berbakti kepada rakyat sahaja akan diberi amanah memegang jawatan ahli majlis PBT.

"Semua ahli majlis PBT di negeri ini juga darahkan supaya lebih kerap turun padang dengan mematuhi jadual yang di tetapkan. Saya juga akan turut bersama-sama mereka," katanya.

Thursday, June 11, 2009

Manjung hab pengeluaran bijih besi

IPOH - Daerah Manjung akan menjadi hab pengeluar dan pengedaran produk bijih besi antara yang terbesar di Asia dalam masa terdekat ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kerajaan negeri kini dalam peringkat terakhir untuk memeterai perjanjian kerjasama menubuhkan pusat berkenaan dengan sebuah firma pengeluaran produk bijih besi yang berpengkalan di Brazil.

"Pusat berkenaan akan dibina di atas sebidang tanah seluas 526.5 hektar di Manjung dan ia melibatkan pelaburan kira-kira RM9 billion.

"Kerajaan negeri menjangkakan sekurang-sekurang 1,800 peluang pekerjaan ditawarkan selain mewujudkan beberapa industri hiliran berasaskan produk bijih besi di kawasan terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian selepas pertemuan dengan delegasi firma terbabit yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Invest Perak, Muhammad Hafni Othman di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.

Zambry berkata, pusat pengeluaran dan pengedaran produk bijih besi tersebut merupakan yang kedua terbesar milik firma multinasional itu selepas di negara asalnya.

Tambahnya, pusat terbabit mesra alam dan mempunyai kawasan zon menampan seluas kira-kira 175 hektar daripada penempatan awam.

Menurutnya, pelabur berkenaan berminat melabur di Manjung kerana kedudukan yang strategik.

Wednesday, June 10, 2009

Firefly terbang Ipoh-Singapura bermula 12 Julai

IPOH - Syarikat tambang murah tempatan, Firefly Sdn. Bhd. akan melancarkan perkhidmatan penerbangan dua hala Ipoh-Singapura bermula 12 Julai ini.

Pengarah Urusannya, Eddy Leong berkata, penerbangan pertama akan berlepas dari Terminal Tambang Murah Changi, Singapura kira-kira 2.50 petang dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini lebih kurang satu jam dua puluh minit kemudian pada hari tersebut.

"Bermula 12 Julai ini, Firefly akan memulakan penerbangan laluan Ipoh-Singapura sebanyak empat kali seminggu iaitu pada Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad menggunakan kapal terbang jenis ATR 72-500.

"Setiap penerbangan akan berlepas dari LTSAS pada kira-kira 4.45 petang sementara penerbangan dari Singapura pula akan tiba di lapangan terbang terbabit lebih kurang 4.10 petang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas memberi taklimat kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.

Eddy berkata, setiap penerbangan mampu membawa 72 penumpang tidak termasuk anak kapal dan sehingga 24 Oktober depan, penumpang boleh menikmati caj serendah RM88 sehala.

Beliau berkata, Firefly optimis perkhidmatan penerbangan tambang murah laluan tersebut akan mendapat sambutan menggalakkan berdasarkan komitmen kerajaan negeri Perak, kerjasama baik industri pelancongan tempatan dan maklum balas positif warga Singapura.

"Berdasarkan kaji selidik, ramai pelanggan Singapura tertunggu-tunggu perkhidmatan penerbangan ke Ipoh. Ia dapat memudahkan mereka melakukan urusan perniagaan dan berkunjung ke tempat pelancongan sekitar Perak.

"Antara lokasi tempatan yang menjadi kegemaran pelancong negara jiran itu ialah Pangkor Laut Resort di Pulau Pangkor, Bukit Merah Laketown Resort di Bagan Serai dan Cameron Highlands, Pahang," katanya.

Monday, June 8, 2009

Hasil tani Perak ke Bahrain

IPOH - Produk makanan dan pertanian Perak dijangka mendapat pasaran meluas di Asia Barat khususnya Bahrain tidak lama lagi.

Pengerusi Dewan Perniagaan dan Industri Bahrain (BCCI), Dr. Esam Fakhro berkata, rancangan itu mampu direalisasikan berdasarkan keyakinannya terhadap hasil tani keluaran tempatan setelah melakukan lawatan kerja selama dua hari di negeri ini yang berakhir semalam.

"Potensinya besar bukan sahaja di Bahrain tetapi kami juga bersedia menjadi hab pemasaran produk berkenaan untuk dipasarkan ke Asia Barat dan Afrika Utara yang merupakan pengimport makanan terbesar dunia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berhubung jalinan perniagaan dengan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Perak (PCCCI) yang diwakili Timbalan Presiden PCCCI, Liew Sew Yee di sini semalam.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Dalam lawatan tersebut, Fakhro bersama 11 delegasinya turut dibawa melawat Terminal Makanan Negara (Teman) di Gopeng dekat sini oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

Sementara itu, Zambry berkata, kerajaan negeri sedang dalam perbincangan dengan Kuwait Finance House (KFH) untuk bekerjasama menubuhkan hab kewangan di Perak yang menawarkan perkhidmatan dinar emas.

"Fokus baru kita ialah menjadikan Perak sebagai hab kepada penggunaan dinar emas tetapi kita masih berbincang dengan KFH. ini satu instrumen kewangan baru untuk dunia, iaitu perspektif baru dalam ekonomi dan sistem kewangan berteraskan emas," katanya.

Beliau menjelaskan, pelaburan usahawan dari Bahrain di Perak sehingga kini bernilai RM860 juta dan mereka bercadang menambah pelaburan sebanyak RM600 juta lagi pada tahun ini atau tahun depan.

"Usahawan Bahrain melabur di Perak dalam industri pembinaan dan penyelengaraan kapal, pengeluaran produk berasaskan petroleum, farmaseutikal dan ternakan haiwan untuk pasaran eksport," katanya.