Translate

Saturday, October 31, 2020

Budak lelaki 6 tahun maut jatuh dari tingkat 15


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang kanak-kanak berusia enam tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat 15, Flat Ladang Gemilang 1 di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, mangsa, Mohamad Aryan Defa Danish Mohd. Azizul meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Dia dipercayai terjatuh dari salah sebuah tingkap yang terdapat pada bahagian ruang tamu rumahnya.

Difahamkan sewaktu kejadian, kanak-kanak itu bersendirian di dalam rumah sementara ibunya keluar ke sebuah kedai berhampiran.

Seorang saksi, Siti Mafatehah Alias, 29, berkata, sewaktu kejadian, dia sedang berehat sebelum mendengar bunyi dentuman kuat.

“Pada mulanya saya sangka ada jiran dari tingkat atas membuang sampah sebelum suasana menjadi kecoh dan anak saya memberitahu seorang budak telah terjatuh.

“Saya mengecam kanak-kanak itu sebagai anak seorang jiran yang tinggal di tingkat 15 flat kami,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner
Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar berkata, mayat Mohamad Aryan Defa Danish telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk dibedah siasat. – K! ONLINE

Seorang maut, empat cedera parah kemalangan di Sungai Tong

 


Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Seorang lelaki maut manakala empat termasuk anak lelakinya cedera parah dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 38, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bahru berhampiran Sungai Tong di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 7.42 pagi itu, Abdullah Zulekipli Jusoh, 61, yang memandu kereta Honda City meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Anak lelakinya, Mohd. Hasiffuddin, 13, dan Sharifah Fauziah Zani, 40, suaminya, Mohd. Muslim Mohd. Yunus, 41, serta anak perempuan mereka, Nur Insyirah Husna, 6, yang menaiki kereta Honda Insight Hybrid pula cedera parah di beberapa anggota badan.

Seorang lagi mangsa, Mohd. Alghafa Shafiee, 31, dari Felda Chalok di sini yang memandu kereta Perodua Axia cedera ringan akibat kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, dua individu masih belum dikenalpasti yang menaiki sebuah lagi kereta jenis BMW M5 pula dipercayai telah melarikan diri sejurus kejadian.

“Kemalangan itu dikatakan berpunca selepas kereta BMW M5 yang memandu dari arah Besut cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya tetapi gagal sebelum merempuh kereta Honda City yang berada di laluan bertentangan.

“Dua kereta lain iaitu Honda Insight Hybrid dan Perodua Axia yang berada di belakang kereta Honda City dipandu Abdullah Zulekipli juga gagal mengelak lalu merempuh antara satu sama lain,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini. – K! ONLINE

Lebih 80 rumah rosak akibat ribut di Kuala Besut

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Lebih 80 rumah dan premis perniagaan di Kuala Besut dekat sini mengalami kerosakan akibat dipukul ribut pada semalam.

Kejadian pada pukul 6.50 petang itu melibatkan enam kampung di mukim berkenaan.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, Asbi Salleh berkata, antara kampung yang terjejas teruk ialah Kampung Tok Saboh, Kampung Alor Peroi, Kampung Lay Out Tok Saboh dan Kampung Kayu Kelat.

“Selain atap rumah dan premis perniagaan terbabit diterbangkan angin, ada juga yang mengalami kerosakan teruk akibat dihempap pokok tumbang.

“Begitupun, syukur tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian ribut tersebut,” katanya di sini hari ini.

Asbi berkata, kerosakan setiap rumah yang terjejas itu akan diperbaiki segera dengan menggunakan peruntukan kerajaan negeri Terengganu. – K! ONLINE

Berarak dalam bot sambil berselawat sempena Maulidur Rasul

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU –  Penduduk Kampung Pulau Manis, Serada di sini membuat kelainan dalam sambutan Maulidur Rasul hari ini dengan mengadakan perarakan bot sambil berselawat.

Penyelaras program, Mohd. Rafi Kori berkata, perarakan itu disertai 40 penduduk kampung yang menaiki lima buah bot dengan iringan paluan kompang.

“Idea perarakan bot sambil berselawat ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad ini timbul berikutan situasi semasa negara yang masih bergelut dengan pandemik Covid-19.

“Selalunya kami melakukan sambutan Maulidur Rasul di kawasan masjid tetapi tahun ini ia disesuaikan dengan prosedur operasi standard (SOP) norma baharu, yang penting tradisi lama kampung ini masih dikekalkan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Rafi berkata, perarakan bot sambil berselawat diadakan di sekitar Sungai Terengganu berhampiran pusat rekreasi air setempat, Kalang Warisan.

Ujar beliau, walaupun mendapat sambutan menggalakkan, perarakan itu hanya dihadkan kepada 40 orang sahaja bagi mematuhi SOP norma baharu.

“Baki kira-kira  60 penduduk kampung yang lengkap berbusana Melayu pula berselawat di kawasan Kalang Warisan yang terletak di tebing Sungai Terengganu.

“Harapnya pandemik Covid-19 cepat berlalu agar perarakan bot sempena sambutan Maulidur Rasul ini dapat dianjurkan lagi pada tahun hadapan dengan kehadiran pelancong,” katanya. – K! ONLINE

Tujuh lembu mati dipanah petir

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Seorang penternak lembu tergamam apabila tujuh daripada sembilan haiwan ternakan mati dipercayai dipanah petir dalam kejadian ribut di Kampung Gemuroh di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 5 petang, kesemua lembu berkenaan yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM20,000 ditemui mati bergelimpangan di bawah sebatang pokok gelang.

Ahmad Hussin, 82, berkata, dia hanya mengetahui tujuh lembu mati apabila dimaklumkan anaknya, pada pukul 6.30 petang.

“Sebelum itu kampung saya dan sekitarnya dilanda ribut. Pada mula saya tidak percaya dan bergegas ke padang ragut lembu-lembu itu.

“Luluh hati saya apabila melihat tujuh ekor lembu peliharaan mati bergelimpangan di bawah pokok,” katanya di sini hari ini.

Ahmad berkata, hanya dua ekor lembu peliharaannya yang terselamat daripada dipanah petir dalam kejadian ribut berkenaan.

Dia berkata, kejadian sebahagian besar lembu peliharaan mati dipanah petir amat mengguris hatinya dan pertama kali berlaku sepanjang tempoh 30 tahun menjadi penternak lembu. – K! ONLINE

Dituduh miliki, edar dadah

MARANG - Empat termasuk sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah jenis heroin, pil kuda dan syabu pada minggu lalu.

Mereka ialah Mohd. Al-Hafis Ab. Razak, 35, dan isterinya, Sharmilla Salbaan, 26, serta dua rakan mereka, Mohamad Iskandar Shah Zaim, 26, dan Ammarudin Zainuddin, 26,.

Keempat-empat mereka mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kesemua suspek yang tidak diwakili peguam.

Mengikut pertuduhan pertama, keempat-empat tertuduh didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 142.6 gram dan 

102.61 gram pil kuda dan syabu.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Kelulut di sini pada pukul 8.30 malam, 5 Oktober lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup.

Hukuman dibawah seksyen itu juga memperuntukkan hukuman sebat minimum 15 kali sekiranya tertuduh tidak dijatuhi hukuman mati.

Mohd. Al-Hafis turut mengadapi 10 pertuduhan lain memiliki mengedar dan memiliki dadah manakala tiga tertuduh lain termasuk Sharmilla pula masing-masing didakwa atas empat pertuduhan memiliki dadah.

Bagi setiap pertuduhan memiliki dadah setiap tertuduh didakwa mengikut Seksyen Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Engku Nurul Ain tidak membenarkan keempat-empat tertuduh diikat jamin.

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 24 Disember ini.


Friday, October 30, 2020

Cabaran musim bah ketika Covid-19


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

TIDAK lama lagi negara bakal dilanda monsun Timur Laut atau lebih dikenali sebagai musim tengkujuh yang membawa risiko banjir terutama di negeri-ne­geri di Pantai Timur termasuk Terengganu.

Berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia, permulaan monsun Timur Laut pada tahun ini akan membawa taburan air hujan yang lebih tinggi ekoran fenomena La Nina.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Terengganu seperti biasa telah melakukan persediaan awal bagi menghadapi kemungkinan banjir yang dijangka boleh berlaku seawal pertengahan bulan hadapan.

Begitupun, operasi menyelamat dan pemindahan mangsa banjir pada tahun ini sudah pasti berbeza dan mempunyai cabarannya tersendiri ekoran penularan pandemik Covid-19.

Setiausaha Sekteriat Pengurusan Bencana Terengganu, Che Adam Ab. Rahman berkata, beberapa penyesuaian terpaksa dibuat dalam gerak kerja operasi menyelamat dan pemindahan mangsa banjir pada tahun ini.

Beliau berkata, bilangan mang­sa banjir dari lokaliti terjejas yang perlu dipindahkan menggunakan lori mahu pun bot terpaksa dihadkan bagi mematuhi penjarakan fizikal.

“Ia memberi cabaran sama ada menerusi penambahan logistik mahu pun tempoh masa operasi yang terpaksa dipanjangkan.

“Keputusan pantas perlu dilakukan sekiranya berlaku situasi cemas yang mengancam nyawa,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Che Adam yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu berkata, pusat pemindahan sementara (PPS) juga harus disesuaikan dengan prosedur operasi stan­dard (SOP) baharu.

Ujar beliau, keluasan PPS perlu diambil kira bagi meme­nuhi kapasiti mangsa banjir namun pada masa sama mematuhi setiap SOP.

“Sekiranya bilik darjah digunakan, ia hanya boleh menempatkan maksimum dua keluarga berbanding sekurang-kurangnya empat sebelum ini.

“Bagi PPS di dewan komuniti yang bersaiz kecil, alternatif lain yang boleh digunakan ialah tadika atau rumah,” katanya.

Che Adam berkata, Sekreta­riat Pengurusan Bencana Negeri juga perlu menyediakan satu PPS khas di setiap daerah untuk mang­sa banjir yang disahkan mempunyai gejala Covid-19 atau sedang me­lakukan kuarantin kendiri.

Tambah beliau, kejujuran mangsa banjir sangat penting untuk mengasingkan mereka yang bergejala bagi mengelakkan risiko penularan.

“Selain perlu memakai pelitup muka, penyediaan makanan juga tidak boleh dilakukan secara gotong-royong seperti kebiasaan tetapi secara bungkus yang dimasak oleh pihak katering luar.

“Selain itu, kita juga menghadapi cabaran untuk menempatkan mangsa banjir di sekolah kerana perubahan takwim persekolahan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Zuhami Omar berkata, pihaknya telah mengenal pasti 568 PPS di seluruh ne­geri ini yang mampu memenuhi kapasiti 135,000 mangsa banjir pada satu-satu masa.

Beliau berkata, 151 PPS tersebut berada di daerah Besut, Hulu Terengganu, Kemaman, Dungun, Setiu, Marang, Kuala Terengganu serta Kuala Nerus.

“Kita mempunyai satu depoh simpanan barangan, 17 mini depoh serta 152 pangkalan hadapan. Setakat ini, 6.4 tan barang keperluan harian dan makanan telah dihantar ke lokasi sukar diakses seperti Pulau Redang dan Pulau Perhentian,” katanya.-K! ONLINE

Lima sahabat didakwa perkosa budak perempuan 12 tahun


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Lima sahabat termasuk dua remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan memperkosa seorang budak perempuan berusia 12 tahun pada akhir bulan lalu.

Kesemua tertuduh iaitu Tuan Muhammad Shafiq Tuan Ismail, 21; Muhammad Ghadafi Abdullah, 20; dan Ahmad Syah Herfudin Omar, 23, serta dua remaja berusia 16 dan 17 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama merogol mangsa secara berkumpulan di sebuh ladang kelapa sawit di Dungun.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara 9 malam hingga 11 malam, 29 September lalu.

Nooriah memerintahkan dua tertuduh remaja di bawah umur dihantar ke Asrama Rusila Marang sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM).

Beliau juga membenarkan Tuan Muhammad Shafiq, Muhammad Ghadafi dan Ahmad Syah Herfudin dibebaskan dengan wang jaminan RM18,000 dan seorang penjamin.

Ketiga-tiga tertuduh juga dilarang untuk menganggu mangsa dan keluarganya selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap 1 dan 15 hari bulan sehingga prosiding kes tamat.

Nooriah menetapkan sebutan semula kes pada 24 November depan.

Kosmo! 12 November lalu melaporkan seorang murid tahun enam ditahan sekumpulan lima lelaki ketika sedang menunggang motosikal sebelum dibawa ke sebuah ladang kelapa sawit lalu diperkosa.

Rahsia mangsa diperkosa terbongkar hampir dua minggu kemudian selepas ibu menyedari sikapnya yang sering murung sejak peristiwa hitam tersebut. – K! ONLINE

Thursday, October 29, 2020

Tiga ditahan SPRM bantu siasatan tuntutan palsu RM8.1 juta

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Tiga pengurus syarikat ditahan reman selama tujuh hari sehingga Khamis depan bagi membantu siasatan dakwaan mengemukakan tiga tuntutan palsu bernilai kira-kira RM8.1 juta kepada sebuah kementerian pada tahun lalu.

Perintah reman itu dibenarkan Penolong Pendaftar, Roszita Md. Saad di Pejabat Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret di sini hari ini.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 29 dan 57 tahun ditahan bagi membantu siasatan dakwaan mengemukakan dokumen permohonan yang mempunyai butiran palsu berjumlah keseluruhan RM8.1 juta.

Beliau berkata, dokumen permohonan tersebut disyaki dihantar ketiga-tiga suspek ke sebuah kementerian sewaktu menyertai proses tender pembekalan makanan di Terengganu untuk tahun 2019 dan 2020.

“Setiap tiga tender perolehan berkenaan berjumlah RM2.7 juta.

“Kesemua suspek ditahan selepas memberi keterangan di Pejabat SPRM Terengganu di sini antara pukul 4 petang dan 8 malam tadi,” katanya.

Sumber SPRM berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – K! ONLINE

Wednesday, October 28, 2020

Asah skil memancing di Tasik Kenyir

Oleh MOHD AZLI ADLAN

TASIK Kenyir yang terletak di sempadan daerah Hulu Terengganu dan Gua Musang, Kelantan tidak perlu diperkenalkan lagi kepada kaki pancing di negara ini.

Ia merupakan tasik buatan terbesar di negara ini dengan keluasan 209,199 hektar yang ‘terbina’ menerusi pembukaan Stesen Jana Kuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud pada tahun 1988.

Struktur geografinya yang membentuk 340 pulau dan 14 air terjun menjadi habitat kepada beberapa spesies ikan sungai berkelas tinggi seperti kelah, sebarau, lampan, baung, tengas dan toman.

Maka tidak hairanlah ia menggamit keghairahan kepada kaki pancing di seluruh negara untuk menguji dan mengasah skil masing-masing menjinakkan ikan air tawar di situ.

Kebanyakan pemancing memasuki Tasik Kenyir dengan menyewa perkhidmatan rumah bot yang kebanyakannya berpengkalan di Pengkalan Gawi.

Buat masa ini, terdapat kira-kira 90 pengusaha rumah bot, kebanyakannya terdiri daripada penduduk tempatan yang mengetahui selok-belok lubuk memancing di Tasik Kenyir.

Mereka bukan sahaja menawarkan kemudahan selesa sepanjang percutian santai di tasik tersebut, malah juga tidak lokek untuk berkongsi ilmu untuk menjinak ikan.

Ada juga menawarkan pakej tukang masak yang mahir menyediakan hidangan lazat daripada ikan-ikan yang berjaya ditangkap secara segar oleh pemancing.

Setiap rumah bot itu boleh disewa pada kadar antara RM1,300 hingga RM2,500 semalaman dengan kapasiti sehingga 25 orang.

Bagi seorang kaki pancing, Syaiful Mustafa, 35, berkata, dia gemar meluangkan masa bersama rakan-rakan yang turut mempunyai hobi memancing di Tasik Kenyir.

Penjawat awam yang berasal dari Batu Enam, Kuala Nerus itu berkata, antara lubuk ikan kegemarannya di tasik berkenaan adalah Sungai Kiang, Sungai Lawit, Sungai Terengganu dan muara Sungai Cacing.

“Kesemua lubuk itu boleh diakses dengan menggunakan rumah bot atau bot laju dalam tempoh sejam hingga empat jam dari Jeti Pengkalan Gawi.

“Permit daripada Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) diperlukan jika kita mahu memasuki lubuk ikan yang terdapat di kawasan yang diwartakan sebagai Taman Negara,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

Berkongsi pengalamannya, dia berkata, pelbagai teknik boleh dipraktikkan untuk menjinak ikan air tawar di Tasik Kenyir yang memberi pengalaman mengujakan buat kaki pancing.

Ujarnya, antara teknik memancing berkenaan ialah mengilat (casting), permukaan, bawah dan menunda bergantung dengan jenis ikan yang hendak diumpan dan lokasi lubuk tersebut.

“Kita biasanya menggunakan teknik memancing di permukaan untuk menjerat ikan lampam, manakala ikan belida, baung, toman dan kelah pula menerusi teknik bawah.

“Sebahagian lubuk sebarau dan toman pula agak terpencil dan kita memerlukan kemudahan bot laju yang disediakan pengusaha untuk menerokainya,” ujarnya.

Seorang lagi pemancing, Suhaimi Abd. Rahman, 55, berkata, pemancing yang ingin menjerat ikan sebarau digalakkan untuk berkunjung ke Tasik Kenyir pada musim tengkujuh dari bulan November hingga Februari setiap tahun.

Sebaliknya, dia memberitahu ikan kelah pula dikatakan lebih mudah ditangkap pada bulan Mac hingga September.

“Selain gewang sesudu, umpan kegemaran yang sering untuk menjinak ikan di Tasik Kenyir ialah sawit peram, roti, dedak, isi ikan, ikan hidup dan cengkerik,” katanya.


Tuesday, October 27, 2020

Lebih 80 rumah di Kuala Nerus rosak teruk dilanda ribut

KUALA NERUS - Lebih 80 rumah di daerah ini mengalami kerosakan akibat dipukul ribut melibatkan kerugian hampir RM200,000 kelmarin.

Kejadian ribut selama kira-kira 10 minit yang membawa bersama angin lintang pada pukul 9 malam tersebut melibatkan 11 kampung di dua mukim iaitu Buluh Gading dan Seberang Takir.

Seorang mangsa, Kamarudin Muda, 50, dari Kampung Banggol Donas di sini berkata, sewaktu kejadian, dia dan sebahagian penduduk kampung berlindung di sebuah warung kopi berhampiran rumahnya.

"Saya mengikut penduduk kampung lain bergotong-royong membersihkan pokok-pokok tumbang yang merentangi jalan raya di sekitar kawasan kampung.

"Sebaik tiba di rumah pada kira-kira pukul 12 tengah malam, saya baru sedar sebahagian besar bahagian dapur dan bilik air rumah saya telah ranap ditimpa tiga batang pokok iaitu getah, nangka dan kelapa," katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di rumahnya di sini semalam.

Seorang lagi mangsa, Intan Mashitah Amirudin, 39, dari Kampung Teluk Ketapang Paya di sini pula berkata, dia bersama dan suami dan dua anak mereka berlari menyelamatkan diri dari rumah sewaktu kejadian ribut itu.

"Angin lintang menerbangkan sebahagian besar bumbung di bahagian ruang tamu dan bilik tidur selain membawa batu-batu kecil memasuki rumah.

"Selain 14 atap rumah yang diterbangkan ribut, sebahagian perabot dan barangan elektrik di rumah saya turut rosak akibat ribut itu," katanya 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, tinjauan kerosakan sebahagian rumah penduduk terlibay telah dilakukan pihaknya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

"Kami akan menyalurkan bantuan segera untuk membaiki kerosakan terutamanya atap yang dijangka siap dalam tempoh seminggu," katanya.

Kampus UniSZA dibuka semula esok

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Kampus Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di buka semula mulai esok selepas ditutup selama dua minggu selepas salah seorang kakitangannya disahkan positif Covid-19 pada 4 Oktober lalu.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, ia melibatkan tiga kampus universiti awam itu iaitu di Gong Badak di sini; Tembila, Besut dan Perubatan, Kuala Terengganu.

“Ketiga-tiga kampus itu telah disahkan bebas daripada virus Covid-19 dan semua bangunan di dalamnya sudah dinyah cemar sepanjang dua minggu ini.

“Sehubungan itu saya minta kesemua staf UniSZA tidak perlu bimbang untuk kembali bekerja mulai esok,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan amanat kepada warga UniSZA secara dalam talian menerusi platform Webex.

Hassan Basri menasihatkan kakitangannya agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk memakai pelitup muka sewaktu bertugas.

Tambah beliau, staf UniSZA yang sebelum ini menjalani perintah kuarantin wajib dibenarkan untuk bekerja dari rumah dalam tempoh seminggu lagi.

“Begitu juga kakitangan yang tersekat di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) juga dibenarkan bekerja dari rumah.

“Mereka yang terlibat (bekerja dari rumah) perlu mengemaskini status masing-masing setiap hari,” katanya.

Hassan Basri berkata, kakitangan UniSZA yang tersekat di kawasan PKPB masih dibenarkan bekerja di rumah dan perlu mengemaskini status masing-masing setiap hari.

Kosmo! 5 Oktober lalu melaporkan UniSZA ditutup selepas seorang kakitangannya disahkan Covid-19 semalam. – K! ONLINE

Monday, October 26, 2020

Ibu tunggal diami rumah uzur tanpa bilik air

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Kemiskinan memaksa seorang ibu tunggal dan keluarganya menetap di dalam rumah pusaka yang uzur menanti rebah di Kampung Paya Lima Amas di sini.

Tambah menyedihkan, Rohani Mamat, 49, yang menetap bersama ibu, Zainab Ali, 81, dan empat anaknya terpaksa mandi di luar rumah selepas struktur bilik air yang turut tandas runtuh kira-kira dua tahun lalu.

Dia berkata, kehidupan mereka terus diuji apabila ibunya, Zainab yang semakin uzur terlantar setiap masa dan memerlukan perjagaan khas kerana sakit tua.

"Saya dan anak-anak terpaksa mandi luar rumah dan mencari alternatif lain sekiranya mahu membuang air kecil dan besar.

"Cabaran paling besar ialah menguruskan ibu yang uzur dengan ketiadaan bilik air dan tandas ini," katanya ketika diziarahi Setiausaha Politik Menteri Perusahaan, Peladangan dan Komoditi, Mohd. Kamal Nazmi Kamaruddin di sini semalam.

Rohani berkata, dia yang bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan mingguan sebanyak RM150 tidak mampu untuk membaiki bilik air rumah tersebut kerana kesempitan hidup.

Dia memberitahu, anak sulungnya, Mohd. Azizi Mohd. Jani, 31, yang merupakan golongan orang kelainan upaya (OKU) kurang pendengaran cuba membantu menambah pendapatan keluarga dengan mengambil upah memotong rumput. 

"Dia membuat perkhidmatan memotong rumput dengan caj RM30 selain menerima bantuan pekerja OKU sebanyak RM400 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 

"Kami perlu berjimat cermat untuk menampung kehidupan termasuk menyediakan RM200 sebulan untuk membeli lampin pakai buang untuk ibu," katanya.

Bantuan boleh dihulurkan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional milik Rohani bernombor 1100141100033050 atau menghubunginya di talian 01112977490.

Gadai nyawa selamat anak

KUALA TERENGGANU - Seorang ibu sanggup meredah masuk ke dalam rumah sewanya sedang marak terbakar demi menyelamatkan bayi perempuan yang sedang lena tidur di dalam buaian di Kampung Che Kundur, Batu Burok kelmarin.

Fatin Shuhada Azmi, 28, dan bayinya, Nur Ayra Miqayla Mohamad Shazriel Anuar, 16 bulan adalah antara 17 mangsa yang terjejas dalam kebakaran melibatkan dua buah rumah pada pukul 6 petang itu.

Fatin Shuhada berkata, ketika kejadian, dia sedang mengemas rumah sebelum dimaklumkan kebakaran tersebut oleh ibu mertuanya, Fazrida Jusof, 54, yang tinggalberhampiran.

"Mulanya saya tidak perasan rumah sudah terbakar dan sangkap asap yang dihidu itu disebabkan jiran yang membakar sampah.

"Api bermula dari dapur dan merebak ke bahagian hadapan. Saya nekad redah asap tebal untuk mengangkat anak yang sedang lena di dalam buaian dan menyelamatkan diri," katanya.

Fatin Shuhada berkata, dia sekeluarga tinggal sehelai sepinggang hanya membawa telefon bimbit sambil mengendong bayi perempuannya.

Menurutnya, ketika kejadian, suaminya masih belum balik dari tempat kerja manakala anak-anaknya yang lain sedang bermain di luar rumah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu,  Rozizah Abni Hajar berkata, sepasukan anggota bomba bersama empat jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan berhubung kebakaran itu pada pukul 6.04 petang.

"Kami mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengawal kebakaran yang memusnah 100 peratus rumah didiami Fatin," katanya.

5 sahabat didakwa perkosa budak perempuan 12 tahun

 KUALA TERENGGANU - Lima sahabat termasuk dua remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan memperkosa seorang budak perempuan berusia 12 tahun pada akhir bulan lalu.

Kesemua tertuduh iaitu Tuan Muhammad Shafiq Tuan Ismail, 21; Muhammad Ghadafi Abdullah, 20; dan Ahmad Syah Herfudin Omar, 23, serta dua remaja berusia 16 dan 17 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama merogol mangsa secara berkumpulan di sebuh ladang kelapa sawit di Dungun.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara 9 malam hingga 11 malam, 29 September lalu.

Nooriah memerintahkan dua tertuduh remaja di bawah umur dihantar ke Asrama Rusila Marang sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM).

Mahkamah membenarkan Tuan Muhammad Shafiq, Muhammad Ghadafi dan Ahmad Syah Herfudin dibebaskan dengan wang jaminan RM18,000 dan seorang penjamin.

Ketiga-tiga tertuduh juga dilarang untuk menganggu mangsa dan keluarganya selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap 1 dan 15 hari bulan sehingga prosiding kes tamat.

Kes disebut semula kes pada 24 November depan.

Kosmo! 12 November lalu melaporkan seorang murid tahun enam ditahan sekumpulan lima lelaki ketika sedang menunggang motosikal sebelum dibawa ke sebuah ladang kelapa sawit lalu diperkosa.

Rahsia mangsa diperkosa terbongkar hampir dua minggu kemudian selepas ibu menyedari sikapnya yang sering murung sejak peristiwa hitam tersebut.

90 peratus dadah seludup dari sempadan Thailand-Kelantan

BESUT - Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) berusaha keras untuk menyekat kemasukan dadah dari negara jiran menerusi Perbincangan Kota Bahru bagi mengatasi masalah penagihan dadah yang serius di Pantai Timur.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, berdasarkan statistik, ketiga-tiga negeri Pantai Timur iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang berada di kedudukan teratas bilangan penagih dadah di negara ini.

"Sebanyak 90 peratus bekalan dadah terutama pil kuda yang diperoleh di negeri-negeri Pantai Timur diseludup masuk dari negara jiran menerusi Kelantan.

"Kita cuba sekat kemasukan dadah bagi mengurangkan bekalannya di Pantai Timur menerusi pendekatan yang dipanggil Perbincangan Kota Bahru," katanya selepas menghadiri program Bicara Santai bersama warga Besut di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Besut dekat sini semalam.

Sebuah jawatankuasa khas melibatkan pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan AADK ditubuhkan menerusi Perbincangan Kota Bahru.

Jawatankuasa itu bertujuan bagi mengekang kemasukan bekalan dadah ke negeri-negeri Pantai Timur menerusi sempadan Thailand-Kelantan.

Menurut Zulkifli, inisiatif tersebut diketuai Ketua Polis Kelantan dan Terengganu.

"Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu juga melancarkan kempen Jihad Dadah bagi memerangi kes pengedaran dan penagihan dadah di negeri tersebut sejak Julai lalu," katanya.

Katanya, AADK juga telah menjalin kerjasama dengan masyarakat setempat dan badan bukan kerajaan bagi mengurangkan permintaan dadah.

"Pihak kami menyasar untuk memulihkan 155 kawasan berisiko penagihan dadah di seluruh negara termasuk 15 di Terengganu pada tahun hadapan.

Kosmo! 17 Oktober lalu melaporkan AADK mendedahkan Terengganu merupakan negeri tertinggi jumlah penagih dadah iaitu 916 orang daripada 100,000 penduduk berdasarkan rekod pada tahun lalu.

Nisbah kedua penagih dadah tertinggi dicatat di Kelantan (867 orang daripada 100,000 penduduk) dan diikuti Pahang (813 orang daripada 100,000 penduduk).

Lebih 80 rumah di Kuala Nerus rosak dilanda ribut

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Lebih 80 rumah di daerah ini mengalami kerosakan akibat dipukul ributmelibatkan kerugian hampir RM200,000 pada semalam.

Kejadian ribut selama kira-kira 10 minit yang membawa bersama angin lintang pada pukul 9 malam tersebut melibatkan 11 kampung di dua mukim iaitu Buluh Gading dan Seberang Takir.

Seorang mangsa, Kamarudin Muda, 50, dari Kampung Banggol Donas di sini berkata, sewaktu kejadian, dia dan sebahagian penduduk kampung berlindung di sebuah warung kopi berhampiran rumahnya.

“Saya kemudiannya mengikut penduduk kampung lain bergotong-royong membersihkan pokok-pokok tumbang yang merentangi jalan raya di sekitar kawasan kampung.

“Sebaik tiba di rumah pada kira-kira pukul 12 tengah malam, saya baru sedar sebahagian besar bahagian dapur dan bilik air rumah saya telah ranap ditimpa tiga batang pokok iaitu getah, nangka dan kelapa,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di sini hari ini..

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri
Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, tinjauan kerosakan sebahagian rumah penduduk terlibay telah dilakukan pihaknya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

“Kami akan menyalurkan bantuan segera untuk membaiki kerosakan terutamanya atap yang dijangka siap dalam tempoh seminggu,” katanya. – K! ONLINE

Sunday, October 25, 2020

217 penagih tegar Terengganu jalani hukuman jel lebih lama

 


KUALA TERENGGANU - Seramai 217 penagih dadah tegar Terengganu yang melakukan kesalahan berulang telah dikenakan hukuman penjara lebih berat sehingga 13 tahun oleh mahkamah sejak awal tahun ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata,  kesemua pesalah itu dijatuhi hukuman mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39C akta sama kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah lebih daripada sekali.

Beliau berkata, seksyen itu memperuntukkan pesalah yang melakukan kesalahan buat kali kedua boleh disabitkan hukuman penjara antara lima hingga tujuh tahun.

"Hukuman penjara tujuh hingga 13 tahun pula boleh dikenakan sekiranya dia ditangkap atas kesalahan menagih dadah buat kali ketiga dan seterusnya.

"Pendekatan untuk menuduh penagih tegar dengan hukuman lebih berat bagi memastikan mereka berada lebih lama di dalam penjara sekali gus tidak dapat mempengaruhi orang lain di luar," katanya.

Roslee berkata, strategi menghukum penagih tegar dengan lebih berat dirasakan lebih praktikal berbanding menghantar mereka ke pusat pemulihan penagihan narkotik (Puspen).

Jelas beliau, segelintir penagih tegar dikhuatiri akan mempengaruhi penagih baru dan muda ke kancah dadah sewaktu mereka menjalani rawatan pemulihan di Puspen.

Dalam perkembangan berkaitan, Roslee berkata, sebanyak 519 kes tangkapan atas kesalahan mengedar dadah dan 92 peratus daripadanyadituduh di mahkamah.

"Tiga dadah utama yang dirampas di Terengganu pula ialah pil Yaba (82,053 biji), syabu (5,610.47 gram) dan heroin (2,533.65 gram)," katanya.


3 pengurus direman

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Tiga pengurus syarikat ditahan reman selama tujuh hari sehingga Khamis depan bagi membantu siasatan dakwaan mengemukakan tiga tuntutan palsu bernilai keseluruhan RM8.1 juta kepada sebuah kementerian pada tahun lalu.

Permohonan reman ke atas tiga suspek berusia 29 hingga 57 tahun itu dibenarkan Penolong Pendaftar, Roszita Md. Saad di Pejabat Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret di sini semalam.

Satu sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, ketiga-tiga suspek dipercayai terlibat dalam mengemukakan dokumen permohonan yang mempunyai butiran palsu berjumlah keseluruhan RM8.1 juta.

Menurut beliau, dokumen permohonan tersebut dihantar tiga suspek di sebuah kementerian semasa menyertai proses tender pembekalan makanan di Terengganu untuk tahun 2019 dan 2020.

"Setiap tiga tender perolehan berkenaan  berjumlah RM2.7 juta. 

"Kesemua suspek ditahan selepas memberi keterangan di Pejabat SPRM Terengganu di sini antara pukul 4 petang dan 8 malam tadi (kelmarin)," katanya.

Tambah sumber itu, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai tuntutan palsu atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.

'Ingatkan kayu, rupanya buaya'

BESUT - Penduduk Kampung Pantai, Kuala Besut dekat sini gempar dengan penemuan seekor buaya sepanjang 2.13 meter dipercayai tersesat memasuki kawasan pantai berhampiran perkampungan itu kelmarin.

Buaya itu ditemui pada pukul 1.30 tengah hari oleh seorang penduduk ketika reptilia itu berenang berhampiran gigi air.

Penduduk berkenaan yang ingin dikenali sebagai Amir mendakwa, kelibat buaya tersebut dilihat bermain-main di sekitar pantai berkenaan sejak Isnin lalu.

"Saya ingatkan kayu mati tetapi selepas diamati, ia merupakan seekor buaya dan reptilia itu berjemur kurang dari lima minit di tepi pantai berdekatan belakang rumah saya sebelum berenang semula ke laut arah batu pemecah ombak.

"Saya terus rakam menggunakan telefon bimbit dari jauh sebelum jiran melaporkan penemuannya kepada pihak berkuasa," katanya di sini semalam.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Besut, Ramlan Ros Wahid berkata, pihaknya mengalami kesukaran untuk menangkap buaya itu kerana ombak besar.

Difahamkan buaya itu ditemui terdampar di Pantai Bisikan Bayu, Semerak, Pasir Puteh, Kelantan kira-kira enam kilometer dari Pantai Kuala Besut enam jam kemudian.

Covid-19 : Empat premis TM Terengganu ditutup


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Empat premis Telekom Malaysia Berhad (TM) di Terengganu diarah tutup sehingga Sabtu ini berikutan seorang kakitangannya disahkan positif Covid-19.

Pengarah Wilayah Timur TM, Mohd. Yazid Abd. Manaf berkata, penutupan itu melibatkan tiga premis TM di bandar raya ini dan sebuah di Marang.

Beliau berkata, premis itu ialah TM Point Kuala Terengganu, TM Jalan Air Jernih dan TM Jalan Pusara di sini serta TM Medan Jaya, Marang.

“Kita mengambil langkap menutup empat premis TM tersebut berikutan pengesahan satu kes positif Covid-19 dalam kalangan kakitangan TM Terengganu.

“Pengesanan kontak rapat secara terperinci sedang dilakukan Kementerian Kesihatan dengan bantuan Pasukan Tindak Balas Krisis Covid-19 TM,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Yazid berkata, sepanjang tempoh penutupan selama lima hari tersebut, kesemua keempat-empat premis TM terbabit akan menjalani proses sanitasi.

Jelas beliau, premis-premis TM lain di seluruh negeri yang tidak terjejas dengan penularan pandemik berkenaan masih beroperasi seperti biasa.

“Kakitangan TM Terengganu di unit bukan kritikal pula diarah untuk bekerja dari rumah sehingga 31 Oktober ini. – K! ONLINE

Sekat bekalan dadah ke Pantai Timur

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengambil pendekatan untuk menyekat kemasukan bekalan dadah dari negara jiran bagi mengatasi masalah penagihan dadah yang serius di Pantai Timur .

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, berdasarkan statistik, ketiga-tiga negeri Pantai Timur iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang menduduki kedudukan teratas bilangan penagih dadah di negara ini.

“Sebanyak 90 peratus bekalan dadah terutama pil kuda yang diperoleh di negeri-negeri Pantai Timur ini telah diseludup masuk dari negara jiran menerusi Kelantan.

“Kita cuba sekat kemasukan dadah bagi mengurangkan bekalannya di Pantai Timur menerusi pendekatan yang dipanggil Perbincangan Kota Bahru,” katanya selepas menghadiri program Bicara Santai bersama Komuniti Besut di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Besut dekat sini hari ini.

Zulkifli berkata, inisiatif agresif menyekat kemasukan bekalan dadah ke negeri-negeri Pantai Timur itu melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa yang diketuai Ketua Polis Kelantan dan Terengganu.

Tambah beliau, Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu juga melancarkan kempen Jihad Dadah bagi memerangi kes pengedaran dan penagihan dadah di negeri tersebut sejak bulan Julai lalu.

Kosmo! 18 Oktober lalu melaporkan AADK mendedahkan Terengganu mencatatkan bilangan penagih dadah paling tinggi di negara ini diikuti Kelantan dan Pahang. – K! ONLINE

Saturday, October 24, 2020

Masjid Wakaf Tembusu ditutup tiga hari

 


Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Masjid Wakaf Tembusu di sini diarah tutup selama tiga hari sehingga esok selepas beberapa jemaahnya disahkan positif Covid-19.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad berkata, penutupan itu bagi mengelakkan risiko penyebaran pandemik berkenaan.

Beliau berkata, ia selaras dengan Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Sepanjang tempoh penutupan tersebut, semua aktiviti termasuk solat berjemaah dan ceramah agama di masjid berkenaan telah dibatalkan.

“Begitupun laungan azan pada setiap waktu solat tetap diteruskan,” katanya di sini hari ini.

Mat Azmi berkata, Masjid Wakaf Tembusu juga akan menjalani proses nyahkuman oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu sepanjang tempoh penutupan tersebut.

Sebelum ini, tiga masjid dan surau, empat sekolah dan sebuah institusi pengajian tinggi awam di Terengganu telah ditutup sementara berikutan penularan pandemik Covid-19. – K! ONLINE

Friday, October 23, 2020

217 penagih tegar Terengganu jalani hukuman lebih berat

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seramai 217 penagih dadah tegar Terengganu yang melakukan kesalahan berulang telah dikenakan hukuman penjara lebih berat sehingga 13 tahun oleh mahkamah sejak awal tahun ini

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, kesemua pesalah itu dijatuhi hukuman mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39C akta sama kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah lebih daripada sekali.

Beliau berkata, seksyen itu memperuntukkan pesalah yang melakukan kesalahan buat kali kedua boleh disabitkan hukuman penjara antara lima hingga tujuh tahun.

“Hukuman penjara tujuh hingga 13 tahun pula boleh dikenakan sekiranya dia ditangkap atas kesalahan menagih dadah buat kali ketiga dan ke atas.

“Pendekatan mendakwa penagih tegar mengikut seksyen yang mengenakan hukuman lebih berat bagi memastikan mereka berada lebih lama di dalam penjara sekali gus tidak dapat mempengaruhi golongan remaja di luar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan barangan rampasan narkotik untuk pelupusan di Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di sini hari ini.

Ia meliputi dadah pelbagai jenis seperti pil kuda, syabu, heroin, ubat batuk, daun ketum, Erimin 5 dan ecstasy bernilai lebih RM1.59 juta yang telah dirampas di negeri ini sepanjang tahun 2018 dan 2019.

Roslee berkata, strategi menghukum penagih tegar dengan lebih berat dirasakan lebih praktikal berbanding menghantar mereka ke pusat pemulihan penagihan narkotik (Puspen) berulang kali.

Jelas beliau, segelintir penagih tegar itu dikhuatiri akan mempengaruhi penagih baru dan muda untuk terus terjebak dalam kancah dadah sewaktu mereka menjalani rawatan pemulihan di Puspen.

“Sebagai perbandingan, seramai 108 penagih tegar telah dihukum mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 sepanjang tahun lalu,” katanya. – K! ONLINE

Thursday, October 22, 2020

Perkasakan aktiviti perkhidmatan sokongan industri minyak, gas

 KUALA NERUS - Eastern Pasific Industrial Corporation (EPIC) Berhad berharap Bajet 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November depan turut memberi tumpuan terhadap aktiviti perkhidmatan sokongan terhadap industri minyak dan gas.

Ketua Pegawai Eksekutif EPIC, Saabi Wahab berkata, aktiviti perkhidmatan sokongan terhadap produk minyak dan gas perlu diperkasa bagi merangsang semula pertumbuhan ekonomi negara.

Menurutnya, syarikat berkaitan kerajaan negeri Terengganu telah menyenaraikan keperluan industri minyak dan gas.

"Salah satu permintaan ialah kelulusan pelaksanaan projek pembesaran Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) di Telok Kalong, Kemaman.

"Termasuk kerja-kerja pembesaran pelabuhan yang telah dirancang sebelum ini," katanya kepada pemberita di sini semalam.


Wednesday, October 21, 2020

Keluarga Maimon terus dibantu

KUALA NERUS -  Kesukaran hidup dihadapi Maimon Yunus, 61, yang kudung kaki kiri bersama 13 anak dan cucunya terus mendapat perhatian.

Keluarga Maimon menerima kunjungan Eastern Pasific Industrial Corporation (EPIC) Berhad yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif EPIC, Saabi Wahab berkata, pihaknya bersimpati dan mengambil tanggungjawab untuk membantu meringankan beban Maimon. 

"EPIC memang sentiasa prihatin untuk membantu rakyat negeri ini yang kesusahan.

"Ia sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial korporat menerusi program EPIC Cakna dan Prihatin yang dilancarkan sejak tahun tahun lalu," katanya ketika ditemui di rumah Maimon di Kampung Baru Kubur Timah, Batu Rakit dekat sini semalam.

Beliau menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan, lampin pakai buang, wang tunai dan makanan segera kepada keluarga wanita tersebut.

Sementara itu, Maimon berkata, dia bersyukur dan terharu menerima banyak bantuan daripada pelbagai pihak sejak kisahnya disiarkan Kosmo! pada akhir bulan lalu.

"Alhamdulillah bantuan yang diterima setakat ini saya rasa mencukupi untuk keperluan kami anak-beranak hingga hujung tahun.

"Saya juga dapat kembali membuka gerai menjual satar dan otak-otak sejak dua minggu lalu menggunakan sumbangan orang ramai," katanya.

Tuesday, October 20, 2020

Kedatangan pelancong ke Terengganu merosot 20 peratus ekoran PKPB


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kehadiran pelancong di Terengganu merosot hampir 20 peratus sejak gelombang ketiga penularan pandemik Covid-19 pada akhir September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, ramai juga pelancong dari Lembah Klang terpaksa membatal atau menangguhkan perjalanan mereka ke negeri ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kawasan itu sejak 14 Oktober lalu.

“PKPB di Lembah Klang memberi tempias apabila sebahagian hotel dan resort di Terengganu menerima pembatalan dan penangguhan tempahan sepanjang tempoh ini.

“Pengurangan pelancong pada masa ini turut dipengaruhi penutupan sebahagian hotel dan resort di pulau-pulau peranginan di sekitar negeri ini ekoran peralihan monsun Timur Laut,” katanya selepas mengikut rombongan menyelusuri Sungai Terengganu di sini hari ini.

Jabatan Pelancongan negeri dengan kerjasama Lembaga Muzium Terengganu sedang mengkaji pakej baharu menyelusuri tempat bersejarah seperti rumah Abdul Rahman Limbong dan makam Tokku Pulau Manis yang terdapat di sepanjang tebing Sungai Terengganu.

Ariffin berkata, pengurangan bilangan pelancong terbabit begitupun masih tidak menjejaskan kedudukan Terengganu sebagai antara destinasi pelancong paling dikunjungi pada masa ini.

Jelas beliau, berdasarkan data terbaharu Persatuan Hotel Malaysia, Terengganu berada di tangga ketiga kadar penginapan hotel dan inap desa tertinggi di negara ini selepas Pahang dan Perak. – K! ONLINE

Pakej baharu menelusuri Sungai Terengganu

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Jabatan Pelancongan Terengganu berhasrat memperkenalkan pakej baharu menelusuri Sungai Terengganu dari muara hingga ke Hulu Terengganu sejauh kira-kira 64.2 kilometer.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, sepanjang tebing Sungai Terengganu mempunyai banyak lokasi bersejarah dan menarik yang berpotensi tinggi untuk ditonjolkan.

“Antaranya rumah Haji Abdul Rahman Limbong di Beladau Kolam, Manir dan makan Tokku Pulau Manis, Sheikh Abdul Malik Abdullah di Serada dekat sini.

“Kedua-dua merupakan tokoh ulama yang berpengaruh dan terkenal di Terengganu,” katanya selepas mengikuti rombongan menelusuri Sungai Terengganu dengan bot persiaran dari Jeti Taman Tamadun Islam di sini hari ini.

Ariffin berkata, Jabatan Pelancongan juga bercadang untuk membaikpulih Pura Tanjung Sabtu menempatkan tujuh rumah tradisional Terengganu berusia hampir 200 tahun yang boleh diselusuri dari Sungai Nerus di Manir dekat sini.

Selain itu, beliau memberitahu, pelancong juga berpeluang untuk mengunjungi pusat-pusat rekreasi air yang terdapat di sepanjang tebing Sungai Terengganu seperti Dataran Banggol Cempedak dan Kalang Warisan, Serada di sini.

“Pengunjung juga boleh dibawa menikmati hidangan kari kepala ikan lazat di Pasir Tinggi, Hulu Terengganu menerusi pakej menelusuri Sungai Terengganu ini. – K! ONLINE

Suami isteri nyaris maut dihempap pokok tumbang

KUALA TERENGGANU - Sepasang suami isteri nyaris maut selepas kereta jenis Proton Waja dinaiki mereka ditimpa sebatang pokok rhu yang tumbang akibat ribut di Jalan Sultan Mahmud berhampiran Jambatan Kuala Ibai, Chendering di sini kelmarin.

Kejadian pada pukul 8.24 malam itu menyebabkan pemandu kereta berkenaan yang berusia 37 tahun dan isterinya berumur 39 tahun cedera di bahagian muka dan beberapa amggota badan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, sewaktu kejadian, kedua-dua mangsa dalam perjalanan ke pusat bandar raya ini dari Marang.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebatang pokok rhu tiba-tiba tumbang akibat ribut lalu menimpa kereta Proton Waja dinaiki kedua-dua mangsa yang sedang melalui laluan berkenaan.

"Mereka yang cedera di bahagian muka dan beberapa anggota badan telah dibantu beberapa pengguna jalan raya lain yang kebetulan menyaksikan kejadian itu," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Rozizah berkata, suami isteri berkenaan telah dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk menerima rawatan oleh orang awam sebelum ketibaan bomba.

Beliau berkata, sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat kejadian yang turut menyebabkan kesesakan lalu lintas pada pukul 8.34 malam.

"Kami mengambil masa hampir setengah jam untuk kerja-kerja pembersihan pokok yang tumbang berkenaan," katanya.


Monday, October 19, 2020

OKU pekak jadi usahawan tani

KUALA TERENGGANU - Sekumpulan 25 orang dari golongan orang kelainan upaya (OKU) kategori kurang pendengaran membukti kemampuan menjadi usahawan tani apabila berjaya mengusahakan tanaman Melon Manis Terengganu.

Presiden Persatuan Orang Pekak Terengganu, Tengku Arman Harris Tengku Ismail berkata, projek perintis tersebut mendapat tunjuk ajar dan bantuan modal daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

"Program yang disertai 25 peserta kesemuanya OKU kurang pendengaran termasuk lapan wanita berusia 30 hingga 66 tahun tersebut bertujuan mendedahkan ahli persatuan tersebut dengan pertanian bagi menjana pendapatan," katanya dalam bahasa isyarat ketika ditemui ketika menuai hasil Melon Manis Terengganu tersebut di Batu Burok di sini semalam.

Tengku Arman Harris berkata, mereka yang pertama kali bertani itu mendapat tunjuk ajar penanaman 200 pokok Melon Manis Terengganu secara fertigasi daripada sekumpulan pensyarah Fakulti Perikanan dan Sains Makanan UMT diketuai Dr. Wan Zaliha Wan Sembok.

Menurut beliau,  tanaman Melon Manis Terengganu tersebut sudah boleh dituai dalam tempoh 54 hari sahaja dengan pengeluaran hasil keseluruhan kira-kira 100  kilogram.

"Kami bercadang menjual buah ini dengan harga RM8 sekilogram. Selain itu, kami turut diajar mengusahakan sarang lebah kelulut bagi membantu proses pendebungaan tanaman selain menghasilkan madu.

"Persatuan bercadang untuk membesarkan lagi perusahaan tanaman Melon Manis Terengganu pada masa hadapan termasuk di tanah-tanah milik ahli persatuan," katanya.

Tengku Arman Harris berkata, pihaknya berharap usaha murni tersebut mendapat bantuan modal dan kepakaran daripada pihak berkenaan termasuk kerajaan negeri Terengganu.