Translate

Sunday, November 29, 2020

B40 Terengganu terima bantuan tunai RM200


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seramai 48,500 keluarga kurang berkemampuan yang dikategori sebagai B40 di Terengganu akan menerima bantuan tunai RM200.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bantuan tunai Cakna Rakyat Terengganu dengan peruntukan keseluruhan RM9.7 juta itu bertujuan meringankan beban golongan tersebut yang terjejas teruk dengan pandemik Covid-19.

“Bantuan tunai RM200 bagi setiap keluarga ini akan dilaksanakan secara sekali bayar.

“Kerajaan negeri juga bersetuju memberikan insentif RM800 kepada semua penjawat awam negeri,” katanya sewaktu membentangkan Belanjawan 2021 negeri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri Terengganu juga tidak melupakan kebajikan warga emas dengan melaksanakan program Pencen Rakyat.

Beliau berkata, warga emas yang berkelayakan bakal menerima pembayaran pencen sebanyak RM600 secara sekali pembayaran.

“Kerajaan negeri turut mengumumkan tidak akan mengutip lesen peniaga kecil dan penjaja bagi tahun 2021. – K! ONLINE

Terengganu kembali banjir, 4 PPS dibuka

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Hujan lebat berterusan sejak awal pagi semalam menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini, Kuala Terengganu, Dungun, Setiu dan Besut dilanda banjir mulai malam tadi.

Setakat pukul 7.30 pagi, empat pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu dua di Kuala Nerus dan masing-masing satu di Kuala Terengganu dan Dungun telah dibuka mulai pukul 1.10 pagi tadi.

Ketua Sekteriat Pengurusan Bencana Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, seramai 192 mangsa banjir daripada 57 keluarga termasuk seorang orang kelainan upaya (OKU), warga emas (10), bayi (enam) dan kanak-kanak (51) telah berpindah ke empat PPS berkenaan.

“Dua PPS telah dibuka di daerah ini iaitu SK Tok Jembal dan Balai Raya Alor Damat di sini manakala masing-masing sebuah di SK Cendering, Kuala Terengganu dan Dewan Sivik Seberang Pintasan, Dungun.

“PPS SK Tok Jembal di sini menempatkan paling ramai mangsa banjir iaitu 151 orang diikuti Dewan Sivik Seberang Pintasan (22), Sk Chedering (lima) dan Balai Raya Alor Damat (empat),” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Difahamkan beberapa PPS lagi akan dibuka di Setiu pada masa terdekat. – K! ONLINE

Suami strok, isteri uzur redah banjir

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Seorang wanita yang baru menjalani pembedahan katarak mata bersama suaminya yang uzur kerana strok terpaksa berpindah selepas rumahnya di Taman Murni Permai, Tok Jembal di sini dinaiki air banjir malam tadi.

Zaitun Sulong, 55, berkata, dia masih perlu memakai cermin mata gelap untuk melindungi matanya yang masih silau jika terdedah dengan cahaya matahari.

“Saya meminta bantuan jiran-jiran untuk memapah suami, Abdul Ghani Awang , 59, yang masih dalam proses pemulihan selepas terkena strok pada bulan April lalu.

“Air banjir naik dengan cepat dalam tempoh kurang dua jam selepas hujan lebat pada pukul 6 petang semalam,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tol Jembal di sini hari ini.

Zaitun berkata, pergerakan suaminya masih lemah dan perlu dipantau bagi mengelakkan perkara tidak diingini.

Sehubungan itu, dia dan suami mendapat ihsan sekteriat jawankuasa pengurusan bencana PPS SK Tok Jembal untuk ditempatkan di tingkat bawah.

“Kalau ikutkan rumah kami sudah biasa dilanda banjir hampir setiap tahun. Sepanjang 30 tahun ini sudah 28 kali saya sekeluarga terpaksa berpindah ke PPS,” katanya. – K! ONLINE

Bayi hampir lemas terjatuh dalam banjir

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Seorang ibu cemas selepas anak bongsunya berusia setahun empat bulan hampir lemas setelah terjatuh di ruang tamu yang telah ditenggelami banjir sedalam 1.5 meter di Kampung Petaling di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 1 tengah hari itu, Adeeb Arshad Abdul Halim terkapai-kapai di dalam air bah dalam tempoh kira-kira 30 saat sebelum sempat diselamatkan ibunya, Suriati Yusof, 44.

Suriati berkata, sewaktu kejadian, dia sekeluarga sedang menunggu bantuan bomba setelah terperangkap di dalam rumah mereka yang ditenggelami banjir sejak awal pagi.

“Adeeb Arshad didudukkan pada kerusi meja makan sementara saya dan lapan anak lain termasuk seorang daripada golongan orang kelainan upaya (OKU) sedang sibuk menyelamatkan dokumen penting.

“Saya hanya perasan dia hampir lemas apabila terdengar tangisan sambil tubuhnya tenggelam timbul di dalam air banjir sebelum saya segera menyelamatkannya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Guntong di sini hari ini.

Terdahulu Suriati dan 10 ahli keluarganya diselamatkan anggota bomba keluar dari rumahnya dengan menggunakan sampan.

Dia yang merupakan ibu kepada sembilan anak berkata, banjir tersebut yang bermula pada pukul 2 pagi itu telah menenggelamkan lapan rumah termasuk kediamannya di Kampung Petaling. – K! ONLINE

Saturday, November 28, 2020

Mangsa banjir Terengganu meningkat 690 orang

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 690 orang daripada 184 keluarga hari ini.

Ketua Sekteriat Pengurusan Bencana Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, bencana banjir gelombang kedua yang bermula semalam itu sudah merebak ke semua daerah di negeri ini kecuali Hulu Terengganu.

“Setakat pukul 8 pagi ini, daerah Kuala Nerus paling terjejas melibatkan 206 penduduk daripada 52 keluarga yang ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS).

“Seramai 131 penduduk daripada 34 keluarga pula terjejas di Dungun dengan pembukaan tujuh PPS,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Che Adam berkata, Setiu pula membuka enam PPS yang menempatkan 125 mangsa daripada 40 mangsa.

Tambah beliau, dua PPS telah dibuka di Kuala Terengganu dengan 101 mangsa daripada 27 keluarga ditempatkan.

“Marang pula mempunyai 90 mangsa banjir daripada 21 keluarga yang kini menetap sementara di tiga PPS.

“Kemaman dan Besut pula masing-masing hanya membuka satu PPS dengan 27 dan 10 mangsa ditempatkan,” katanya.

Che Adam berkata, hujan renyai dijangka berterusan hampir di seluruh Terengganu sepanjang hari ini. – K! ONLINE

Waris Pak Lah Cecupak terima faedah Perkeso

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Waris anggota kumpulan komedi, Pak Lah Cecupak yang meninggal dunia Sabtu lalu menerima faedah pencen penakat RM950 sebulan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin berkata, pihaknya turut menyampaikan faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000 kepada waris Pak Lah atau nama sebenarnya Noor Affendi Nurdin, 53.

Beliau berkata, balu Pak Lah, Rohamiza Ali, 52, layak menerima faedah pencen penakat tersebut sepanjang hayatnya sementara anak bongsu arwah, Muhammad Daniel, 18, pula sehingga dia menamatkan pengajian.

“Sebaik mengetahui berita kematian arwah (Pak Lah Cecupak) pada Sabtu lalu, Perkeso Terengganu telah mengambil inisiatif melakukan semakan.

“Kami segera meluluskan pemberian faedah pengurusan mayat dan pencen penakat menerusi Skuad Prihatin Perkeso demi kebajikan waris,” katanya ketika menziarahi Rohamiza dan keluarganya di Wakaf Tengah di sini semalam.

Pak Lah Cecupak turut meninggalkan dua anak lain iaitu Nor Amalina, 25, dan Muhammad Shahrul Nizam, 23.

Farihah berkata, Perkeso Terengganu sedia membantu Muhammad Daniel mendapat latihan kemahiran bersesuaian untuk membantu menyara keluarga selepas ketiadaan bapanya. – K! ONLINE

530 mangsa banjir di Terengganu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Mangsa banjir di Terengganu berkurangan sedikit kepada 530 orang daripada 131 keluarga.

Ketua Sekteriat Pengurusan Bencana Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, sebanyak 20 pusat pemindahan sementara banjir masih dibuka di enam daerah di negeri ini kecuali Hulu Terengganu dan Besut.

“Kuala Nerus kekal daerah paling terjejas melibatkan 233 mangsa daripada 56 keluarga yang ditempatkan di tujuh PPS.

“Seramai 132 mangsa daripada 33 keluarga pula telah dipindahkan di enam PPS di Dungun,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Che Adam berkata, sebanyak tiga PPS yang menempatkan 100 mangsa daripada 24 keluarga masih dibuka di Marang.

Tambah beliau, Kuala Terengganu pula hanya membuka satu PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol di sini dengan 38 mangsa daripada 11 keluarga.

“Kemaman pula hanya mempunyai 18 mangsa daripada empat keluarga yang masih ditempatkan di PPS SK Kemasik.

“Seramai sembilan mangsa daripada dua keluarga masih terjejas dengan banjir di Setiu,” katanya.

Che Adam berkata, banjir gelombang kedua di Terengganu dijangka hanya akan surut dalam tempoh dua hari lagi berikutan buat masa ini hujan renyai masih berterusan hampir di keseluruhan negeri ini sepanjang hari. – K! ONLINE

Mangsa banjir Terengganu meningkat 1,457 orang

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Mangsa banjir di Terengganu meningkat mendadak kepada 1,457 orang hari ini dengan sebahagian besarnya menetap di pendalaman Kemaman dan Dungun.

Ketua Sekteriat Pengurusan Bencana Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, seramai 1,419 orang atau 97.4 peratus mangsa banjir di negeri ini yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) merupakan penduduk kedua-dua kawasan berkenaan yang mula dilanda banjir pada semalam.

“Kemaman paling teruk terjejas dengan 1,075 mangsa banjir daripada 260 keluarga telah ditempatkan di lima PPS.

“Seramai 344 mangsa daripada 100 keluarga pula ditempatkan di tiga PPS di Dungun,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Che Adam berkata, tiga daerah lain iaitu Kuala Terengganu, Marang dan Kuala Nerus yang terjejas banjir sejak Isnin lalu sebaliknya menunjukkan trend pemulihan.

Beliau berkata, hanya 17 mangsa banjir daripada empat keluarga masih menetap di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol di sini.

“Marang dan Kuala Nerus juga masing-masing hanya mempunyai satu PPS iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Merchang dan Surau Kampung Mak Jintan.

“Seramai 14 penduduk Marang dan tujuh penduduk Kuala Nerus masih terjejas dengan banjir,” katanya. – K! ONLINE

361 mangsa banjir di Terengganu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Cuaca agak baik sejak petang semalam membolehkan banjir di Terengganu semakin pulih dengan hanya 361 mangsa masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, setakat pukul 8 pagi tadi, sebanyak 12 PPS masih dibuka di empat daerah iaitu Kuala Nerus, Dungun, Kuala Terengganu dan Marang.

“Kuala Nerus kekal daerah paling terjejas dengan 224 mangsa daripada 56 keluarga masih ditempatkan di enam PPS.

“Seramai 80 mangsa banjir daripada 19 keluarga pula masih ditempatkan di empat PPS di Dungun,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Che Adam berkata, hanya satu PPS masih beroperasi masing-masing di Kuala Terengganu dan Marang.

Jelas beliau, ia melibatkan 30 mangsa daripada lapan keluarga di Kuala Terengganu dan 26 mangsa daripada tujuh keluarga di Marang.

“Biarpun hujan sudah berhenti hampir di keseluruhan Terengganu pada pagi ini, kita masih dalam keadaan berjaga-jaga memandangkan amaran cuaca berbahaya yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Pemantauan juga mendapati beberapa batang sungai di Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman masih pada paras bahaya,” katanya. – K! ONLINE

Jalan ditenggelami banjir rezeki buat nelayan

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Musim tengkujuh bukan halangan buat seorang nelayan mencari rezeki menangkap ikan.

Musa Mamat, 60, yang tidak dapat turun ke laut ekoran ombak besar dan bergelora mengambil inisiatif menahan jaring di kawasan ditenggelami air banjir di kawasan rumah di Tok Jembal di sini.

“Saya akan menahan jaring untuk menangkap ikan sungai di sebatang jalan yang ditenggelami banjir berhampiran rumah. Itu rutin saya setiap musim tengkujuh sejak 20 tahun lalu. Jalan itu sebenarnya berhampiran kawasan paya.

“Banyak ikan akan terlepas berenang ke jalan berkenaan pada musim banjir yang membawa rezeki kepada saya. Tak dapat tangkap ikan di laut, di darat pun jadi,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Musa berkata, dia akan menahan jaring semalaman sebelum mendapatkan hasilnya pada hari berikutnya.

Antara ikan yang sering ditangkap ialah haruan, keli dan puyu.

“Ikan bersaiz besar akan dijual sebagai sumber pendapatan saya pada musim tengkujuh, manakala ikan-ikan kecil untuk dimakan sendiri selain diberi kepada jiran dan kenalan,” katanya. – K! ONLINE

Sunday, November 22, 2020

Suami bengkak kaki, isteri diabetes kronik perlu bantuan

SETIU - Bagai jatuh ditimpa tangga. 

Mohd. Paizal Muhmad, 38, yang menderita penyakit kaki membengkak sejak dua tahun lalu hilang punca pendapatan apabila diberhentikan kerja sebagai pemandu bot pelancong.

Tambah memeritkan kesihatan isterinya, Rozilah Abdullah, 41, pula semakin merosot kerana diabetes kronik.

Mohd. Paizal berkata, dia diberhentikan kerja sebagai pemandu bot pelancong di Pulau Langkawi dengan pendapatan bulanan kira-kira RM2,000 pada pertengahan bulan Jun lalu.

Dia terpaksa membawa isteri dan dua anaknya yang berusia 9 dan 14 tahun berpindah di rumah pusaka peninggalan keluarga mertuanya di Kampung Bukit Layat di sini selepas kehilangan punca pendapatan  tersebut.

"Kaki saya terutama di sebelah kiri membengkak sejak dua tahun. Pegawai perubatan di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi mengatakan ia bukan untut sebaliknya mengesyaki berpunca daripada jangkitan kuman.

"Kalau dulu sakit-sakit pun saya gagahkan diri juga bekerja sebagai pemandu bot pelancong tetapi sukar mendapat pekerjaan baharu. Kaki pula makin membengkak jika terlalu aktif," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Layat di sini semalam.

Mohd. Paizal berkata, dia juga tidak mampu untuk mendapatkan rawatan susulan penyakit kakinya di hospital lantaran kesempitan hidup sebaliknya hanya ke klinik kesihatan sahaja.

Tambahnya, keadaan penyakit diabetes Rozilah semakin berlarutan hingga isterinya itu kerap dimasukkan ke hospital sejak akhir-akhir ini.

"Kehidupan kami sekeluarga sekarang bergantung kepada bantuan Jabatan Kemajuan Masyarakat sebanyak RM350 sebulan yang baru diluluskan dua bulan lalu," katanya.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan bantuan di akaun Bank Simpanan Nasional milik Mohd. Paizal bernombor 1140041100029816 atau menghubunginya di talian 0147362839.

Bah di empat negeri

Oleh MOHD. AZLI ADLAN, EDDY HAMIDI dan MASTURAH SURADI

SEREMBAN - Hujan lebat selama lebih sejam sejak tengah malam semalam mengakibatkan beberapa lokasi di empat negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Terengganu dan Johor dinaiki air.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Sembilan, Fazlisyah Muslim berkata, di Seremban, lebih 400 buah rumah terjejas melibatkan kawasan Rasah, Ampangan dan Rantau disebabkan banjir kilat.

Menurut beliau, banjir kilat itu berlaku ekoran kapasiti hujan yang sangat ketara di hulu Sungai Lingi iaitu di bandar Seremban sekali gus menyebabkan kawasan yang berhampiran sungai mengalami banjir kilat.

"Berdasarkan laporan Jabatan Pengairan dan Saliran, hujan pada tengah malaam tadi (semalam) melebihi 150 mililiter pertiga jam iaitu bacaan yang sangat tinggi dan boleh menyebabkan bannir di kawasan rendah," katanya selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sega, Rantau semalam.

Antara kawasan terlibat ialah Kampung Datuk Mansor, Taman Happy, Taman Blossom di Rasah, Kampung Baru Blok C dan Taman Ampangan di Ampangan, Kampung Siliau, Kampung Kuala Sawah di Rantau dan Kampung Batu 3 di Mambau.

Fadlisyah memberitahu, sebuah PPS dibuka di SK Sega, Rantau yang menempatkan 16 buah keluarga setakat pukul 3 petang semalam.

"Jumlah itu dijangka meningkat namun kebiasaan penduduk kampung akan pulang untuk membersihkan rumah apabila air surut. Setakat ini mereka masih tidak dibenarkan pulang," katanya.

Selain daerah Serembanm, banjir kilat turut berlaku di Rembau, Tampin dan Jelebu.

"Kami juga terima maklumat berlaku banjir di Pasir Panjang, Port Dickson," katanya.

Sementara itu di Hulu Langat, kira-kira 60 rumah keluarga melibatkan 100 penghuni terpaksa dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Norazam Khamis memberitahu, seramai 30 anggota bersama empat buah bot penyelamat dikerah ke lokasi bagi membantu kerja-kerja pemindahan mangsa yang terkandas.

"Beberapa laluan utama terpaksa ditutup kepada semua kenderaan.

"Kami mendapati banjir berpunca daripada hujanb berterusan mengakibatkan air Sungai Langat melimpah ke kawasan sekitar Jalan Batu 16 hingga je Pekan Batu 28," katanya.

Di Kuala Terengganu, tujuh sekeluarga cemas selepas rumah mereka ditenggelami air setinggi 1.5 metrer dalam kejadaian banjir di Kampung Binjau, Chendering di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 7 malam itu, Mat Harun Awang, 62, dan keluarganya diselamatkan bomba dengan menggunakan sebuah bot.

Keluarga itu kemudiannya ditempatkan sementara di sebuah inap desa sementara banjir surut. Kejadian banjir itu turut menjejaskan sembilan rumah lain di kampung sama.

Dalam pada itu di Kota Tinggi, sebanyak enam buah rumah di Kampung Baru Pengerang dinaiki air selepas hujan lebat selama dua jam pagi semalam.

Siasatan awal mendapati banjir kilat itu berpunca daripada aliran parit yang tersumbat namun tiada pusat pemindahan banjir yang dibuka keana air surut pukul 10 pagi.


Hanya 7 jam ada air

MARANG - Kehidupan seorang warga emas yang uzur bertambah perit apabila terpaksa berhadapan masalah gangguan bekalan air di rumahnya di Kampung Bukit Cempedak di sini hampir setiap hari sejak dua tahun lalu.

Hasmah Jusoh, 63, yang menghidap penyakit diabetes, tekanan darah tinggi dan kolestrol tinggi berkata, masalah disebabkan tekanan air rendah itu menyebabkan dia mengalami kesukaran menguruskan diri yang tinggal bersendirian di rumah tersebut.

Dia yang merupakan ibu tunggal berkata, rumahnya hanya menerima bekalan air dari pukul 2 pagi hingga 9.30 pagi sahaja hampir setiap hari dan ia kerap terputus terus pada hujung minggu.

"Jangankan memasak dan membasuh baju, hendak mandi dan mengambil wuduk pun sukar.

"Saya bimbang kalau masalah ini berlarutan, hendak mandi jenazah saya kalau sudah tiada (meninggal dunia) nanti pun payah," katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Bukit Cempedak di sini semalam.

Hasmah berkata, mahu tidak mahu dia terpaksa menadah air yang beraliran perlahan pada awal pagi dengan bantuan

anak bongsunya, Muhd. Riduan Md. Zanggi, 31, dan cucu saudara, Suriati Mahadi, 22, yang kerap menjenguknya.

Dia yang terpaksa bergerak dengan alat bantuan berjalan kerana keuzuran berkata, masalah gangguan air itu turut melibatkan sebahagian jiran-jirannya.

"Ramai jiran saya membeli tangki air sebagai jalan penyelesaian tetapi saya pula tidak mampu.

"Saya hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM200 sebulan dengan sebahagian besarnya digunakan untuk membeli lampin pakai buang dan ubat-ubatan," katanya.

Suspek bunuh Siti Surya menangis

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

MARANG - Seoranm pelajar tingkatan enam ditahan reman selama seminggu bermula semalam bagi membantu siastan kes pembunuhan Siti Nur Surya Ismail, 19, pada Ahad lalu.

Perintah reman ke atas remaja perempuan itu dibenarkan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda di Mahkamah Majistret di sini semalam.

Permohonan reman ke atas suspek berusia 19 tahun itu dibuat bagi membiolehkan polis menjalankan siasatan terperinci di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu kelihatan ketakutan dan mengalirkan air mata semasa dibawa anggota polis ke kamar mahkamah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud memberitahu, suspek tidak berada di bawah pengaruh dadah semasa melakukan jenayah tersebut.

"Ujian urin ke atas remaja itu didapati negatif dadah. Suspek juga tidak mempunyai rekod jenayah. Setakat ini motif kejadian dipercayai akibat perselisihan faham.

"Berdasarkan bukti-bukti yang diperoleh, jenauah dilakukan oleh seorang individu sahaja," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan mayat Siti Nur Surya ditemui mati dalam keadaan berlumuran dadah oleh adik bongsunya di runag tamu ruamh mereka sebaik pulang dari sekolah pada Ahad lalu.

Mangsa dijumpai dalam keadaan ngeri dengan kesan tetakan di muka, leher dan dada selain pergelangan tangan kirinya terputus akibat dikelar.

Lebih menyedihkan perbuatan kejam itu disaksikan ibu Siti Nur Surya yang terlantar sakit akibat kanser otak.

Polis bagaimanapun berjaya menyelesaikan kes itu dalam masa 17 jam selepas menahan kawan baik mangsa yang mengaku melakukan perbuatan itu kerana berang diperli.

Tangkapan dibuat pada pukul 7.30 pagi selepas suspek tampil memberi keterangan di Balai Polis Telemong di sini.

Saturday, November 21, 2020

Keluarga masih terkejut gadis meninggal dunia akibat ditikam

KUALA TERENGGANU - Keluarga Siti Nur Surya, 19, seakain tidak percaya remaja perempuan itu dibunuh oleh rakan baiknya sendiri.

Bapa mangsa, Ismaul Muda, 58, berkata, hubungan arwah dan suspek yang duduk di kampung bersebelahan sangat baik sejak mereka di bangku sekolah lagi.

"Sebelum ini, suspek selalu datang ke rumah malah mereka juga membuat lesen memandu bersama-sama.

"Bagaimanapun, dia jarang ke ruamh sejak akhir-akhir ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Beladau Kepong di sini semalam.

Ismail berkata, dia keliru motif pembunuhan itu kerana setahunya, 

Siti Nur Surya yang merupakan anak kelima dari tujuh beradik tidak pernah bermusuh dengan sesiapa.

Semenatara itu, abang mangsa, Mohd. Zaid Asroi, 28, pula tidak percaya motif pembunuhan adiknya hanya kerana bertikam mulut tentang perkara yang remeh-temeh.

"Jika pembunuhan itu berlaku secara spontan, mengapa suspek boleh tergamak memotong pergelangan tangan kiri rakan baiknya sendiri dan boleh terfikir mengambil barang berharga.

"Apapun saya serahkan kepada polis untuk siasat," katanya.

Belia digesa terokai potensi ternak arnab pedaging

SETIU - Golongan muda diseru meneroka potensi besar dalam penternakan arnab pedaging.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, penternakan arnab pedaging tidak memerlukan kos tinggi dan kawasan besar dan lebih mudah daripada segi penjagaan.

Menurutnya, penternakan arnab pedaging juga memberi pulangan lebih cepat kerana haiwan itu sudah matang dan boleh dipasarkan pada usia seawal tiga bulan.

"Induknya pula produktif kerap membiak dengan menghasilkan antara enam hingga 11 ekor anak bagi setiap kelahiran.

"Harga daging arnab di pasaran juga kompetitif,"  katanya selepas merasmikan penutup Seminar Potensi Industri Arnab Pedaging dan Fertigasi Moden untuk Usahawan Muda di Peladang Setiu Agro Resort, Kampung Guntung di sini kelmarin.

Hadirsama Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu, Dr. Mohd. Termizi Ghazali dan Pengerusi Lembah Arnab Terengganu (TRV), Mohd. Shaharidam Mohamed Isa.

Che Abdullah berkata,daging arnab yang sangat berkhasiat kerana kurang lemak berpotensi besar untuk menjadi sumber protein alternatif selain ayam, lembu, kambing dan ikan.

Ujarnya, kerajaan akan memberi bantuan kewangan, teknikal dan perubatan kepada penternak menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

"Rumah sembelihan arnab yang mempunyai sijil pengesahan halal akan diperbanyakkan," katanya.

Lima tapak pembinaan diberi notis amaran

 KUALA TERENGGANU - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Terengganu telah mengeluarkan notis amaran kepada lima pemaju tapak pembinaan di negeri ini yang didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Pengarah JKKP negeri, Mohd. Zahari Hitam berkata, tindakan tersebut diambil selepas pemantauan mendapati berlaku pelanggaran dalam SOP norma baharu ditetapkan kerajaan.

"Lima tapak pembinaan yang dikenakan tindakan itu merupakan antara 20 yang telah diperiksa anggota penguat kuasa JKKP Terengganu di seluruh negeri ini sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

"Kita sentiasa mengadakan pemantauan berkala agar memastikan semua pihak terlibat di tapak pembinaan termasuk buruh binaan sentiasa mematui peraturan mencegah Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Dialog Penggalakan Pusat Pengajar Penyelaras Keselamatan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di sini semalam. 


47 penduduk Setiu terjejas banjir dipindah ke PPS

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


SETIU – Seramai 47 penduduk Felda Chalok Barat dan Kampung Bukit Nyior, Pelong di sini menjadi mangsa banjir pertama yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Setiu, Kapten Mohd. Nizu Husien berkata, dua PPS telah dibuka iaitu Surau Kampung Bukit Nyior dan Balai Raya Kampung Sungai Lerek, Pelong di sini.

“Kedua-dua PPS masing-masing mula dibuka pada 11 malam dan 11.30 malam tadi (semalam.)

“Kesemua 47 mangsa termasuk 14 kanak-kanak yang ditempatkan di dua PPS berkenaan terdiri daripada 11 keluarga ,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Nizu berkata, pihaknya menjangkakan lebih ramai penduduk bakal dipindahkan memandangkan daerah Setiu diramal akan dilanda hujan yang sangat lebat sepanjang hari ini.

Beliau berkata, beberapa jalan di Pengkalan Merbau dan Pelong di sini juga terpaksa ditutup untuk semua kenderaan kerana telah dinaiki air sedalam satu meter. – K!.ONLINE

Pasrah rumah dinaiki air setiap kali musim tengkujuh

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Lebih 30 buah rumah di Kampung Losong Haji Mohd. dan Losong Haji Su di sini sekali lagi dinaiki air berikutan fenomena air pasang awal pagi ini.

Limpahan Sungai Terengganu berhampiran menenggelamkan sebahagian rumah di dua perkampungan tersebut sehingga paras 1.5 meter bermula pukul 10.30 malam kelmarin sebelum surut secara beransur-ansur mulai pukul 3 pagi ini.

Seorang penduduk, Zah Muda, 61, mengakui dia sekeluarga tidak dapat tidur lena setiap kali musim tengkujuh tiba.

“Rumah saya hampir setiap tahun dinaiki banjir ekoran fenomena air pasang setiap kali musim tengkujuh.

“Pernah sekali kami sekeluarga terperangkap di dalam rumah sebelum diselamatkan anggota keselamatan sewaktu banjir besar pada tahun 2014,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Zah yang menetap di rumah pusaka peninggalan suaminya bersama anaknya, Mohammad Saiful Bahri, 43, dan cucunya, Wan Amira Natasha, 11, juga pernah terfikir untuk berpindah.

Begitupun, hasrat itu terpaksa dipendam kerana kurang kemampuan walaupun sudah tidak tahan rumahnya asyik dinaiki banjir setiap kali musim tengkujuh. – K! ONLINE

20,000 keluarga asnaf Terengganu terima tong gas memasak percuma

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seramai 20,000 keluarga dalam kalangan asnaf di negeri ini menerima tong gas memasak percuma daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, M. Rozi Bidin berkata, pemberian tong gas memasak berisipadu 14 kilogram tersebut bertujuan untuk meringankan beban golongan terbabit dalam musim banjir dan penularan pandemik Covid-19 ini.

“Maidam beri tong gas memasak yang setiap satunya berharga RM155 kepada setiap keluarga asnaf terlibat di negeri ini kerana ia merupakan barangan keperluan yang diperlukan di setiap rumah.

“Kita ambil inisiatif hantar sendiri tong gas memasak itu ke kediaman asnaf berkenaan kerana memahami pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini tidak digalakkan keluar rumah dengan kerap,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengetuai skuad Maidam menyerahkan tong gas memasak tersebut di rumah asnaf terpilih di Kampung Beladau Kolam dekat sini hari ini.

M. Rozi berkata, pemberian tong gas itu juga sebahagian daripada bantuan kecemasan yang diserahkan Maidam kepada golongan asnaf Terengganu yang terkesan oleh pandemik Covid-19.

Menurut beliau, secara keseluruhan Maidam telah membelanjakan RM3.1 juta menerusi peruntukan perbelanjaan am bagi menghulurkan bantuan kecemaaan berkenaan.

“Sebanyak 20,000 tong gas memasak itu akan diserahkan kepada keluarga asnaf berkelayakan secara berperingkat mulai semalam sehinggga awal tahun hadapan,” katanya. – K! ONLINE

Pesta kerang di Pantai Pandak

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pantai Pandak, Chendering di sini yang sebelum ini sunyi ekoran musim tengkujuh dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tiba-tiba diserbu ramai berikutan penemuan banyak kerang dan siput.

Dianggarkan ratusan kilogram (kg) kerang dan siput terdampar di pantai berkenaan berikutan fenomena air pasang sejak seminggu lalu.

Seorang penduduk, Mohd Zamri Alias, 40, berkata, banyak kerang akan naik ke Pantai Pandak dibawa air pasang pada setiap kali permulaan monsun Timur Laut saban tahun.

“Tahun ini kuantitinya lebih banyak lagi sampaikan ramai yang boleh bawa balik sehingga 10 kg setiap seorang,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Wan Mohd. Azamani Wan Hamzah menasihatkan orang ramai agar tidak terlalu ghairah mengutip kerang sehingga melupakan keselamatan diri masing-masing.

“Orang ramai harus berhati-hati dengan tidak masuk terlalu jauh ke dalam laut kerana ombak besar dan arus kuat pada waktu ini.

“Pantai Pandak ini juga pernah merekodkan banyak kes kematian akibat lemas sebelum ini,” katanya. – K! ONLINE

Friday, November 20, 2020

20 kenderaan tersadai lepas isi petrol bercampur air

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Seorang pengusaha stesen minyak di Kampung Anak Ikan, Jertih di sini kerugian hampir RM50,000 hari ini selepas tangki penyimpanan petrol RON95 di premisnya bercampur dengan air dipercayai berpunca hujan lebat.

Pencemaran petrol RON95 itu disedari selepas hampir 20 kenderaan tersadai selepas mengisi minyak di stesen minyaknya pada pukul 7 pagi.

Pengusaha stesen minyak itu, Mohamad Rozaki Awang Teh berkata, dia mengesyaki sesuatu tidak kena selepas banyak kereta bersadai di tepi jalan kira-kira 20 hingga 50 meter dari premisnya.

“Pemeriksaan mendapati tangki penyimpanan petrol RON95 di premis ini telah dimasuki air. Memang hujan lebat seharian di kawasan ini sejak semalam,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Mohamad Rozaki berkata, pemeriksaan lanjut mendapati dua tangki lain yang menyimpan petrol RON97 dan diesel tidak pula terjejas.

Tambahnya, beliau mengambil tindakan pantas menutup operasi stesen minyak serta-merta selain membantu dan membayar ganti rugi semua kenderaan pelanggan yang terjejas dengan insiden tersebut.

“Kami mengambil tanggungjawab dan insiden ini merupakan bencana alam, bukan disengajakan. Ini pertama kali berlaku sejak empat tahun stesen minyak ini beroperasi,” katanya. – K! ONLINE

Terengganu mohon tamatkan PKPB lebih awal

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu secara rasmi memohon pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri itu yang sepatutnya berakhir 6 Disember depan agar ditamatkan lebih awal.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, permohonan itu telah dibuat pada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) secara online yang berlangsung hari ini.

“Saya telah mengemukakan alasan permohonan tersebut kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada mesyuarat itu.

“Selain itu, saya juga telah membentangkan situasi semasa wabak Covid-19 di Terengganu,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, Muhyiddin berjanji untuk memajukan permohonan tersebut bagi pertimbangan dalam mesyuarat MKN peringkat Persekutuan di Putrajaya pada masa terdekat.

Tambah beliau, sebelum ini kerajaan negeri Terengganu telah mengemukakan data kawalan Covid-19 di negeri Pantai Timur tersebut kepada Muhyiddin pada Ahad lalu.

“Pelaksanaan PKPB memberi kesan besar kepada rakyat termasuk penduduk Terengganu.

“Sehubungan itu, sebaik PKPB dikuatkuasakan di kebanyakan negeri termasuk Terengganu pada 9 November lalu, pelbagai agensi di negeri ini telah bekerja keras untuk mengawal penularan Covid-19,” katanya. -K! ONLINE

 

Kampung Losong Haji Mohd. dilimpahi air Sungai Terengganu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kampung Losong Haji Mohd. di sini ditenggelami air setinggi sehingga 1.5 meter dari limpahan Sungai Terengganu berikutan fenomena air pasang malam tadi.

Kejadian pada pukul 8.15 malam itu telah menjejaskan lebih 30 rumah yang terdapat di perkampungan tersebut sebelum ia surut secara beransur-ansur mulai tengah malam semalam.

Seorang penduduk, Mohd. Hazizi Muhamad, 32, berkata, dia sekeluarga sedang menonton televisyen sebelum menyedari limpahan air sungai telah memenuhi persekitaran Kampung Losong Haji Mohd. termasuk rumahnya yang terletak kira-kira dua meter dari Sungai Terengganu.

“Kami segera memindahkan perabot dan barangan berharga ke tempat yang lebih tinggi.

“Sebenarnya limpahan sungai berikutan fenomena air pasang pada musim tengkujuh ini berlaku setiap tahun tetapi kali ini parasnya lebih tinggi hampir menyamai yang pernah berlaku sewaktu banjir besar pada tahun 2014,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini malam tadi.

Seorang lagi penduduk, Wan Muhammad Adlan Wan Ahmad, 28, berkata, air sungai mengalir dengan deras sehingga mengusarkan dia yang tinggal bersendirian.

“Saya bukan sahaja bimbang rumah akan dinaiki air lebih tinggi malah ancaman daripada haiwan berbisa seperti ular dan lipan,” katanya. – K! ONLINE

Kenderaan polis bawa mayat pekerja ladang terlibat kemalangan

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Sebuah kenderaan pacuan empat roda, Land Rover milik Polis Diraja Malaysia yang sedang membawa mayat seorang pekerja ladang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 52, Bari, Sungai Tong di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 1 tengah hari itu, kenderaan pacuan empat roda berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas ke bawah tebing sebuah ladang kelapa sawit.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, kemalangan itu menyebabkan pemandu kenderaan pacuan empat roda tersebut yang merupakan anggota polis Pondok Polis Chalok Barat di sini terseliuh bahu kiri.

“Seorang lelaki berusia 57 tahun merupakan waris jenazah tersebut yang turut berada di dalam kenderaan pacuan empat roda itu pula patah lengan kirinya,” katanya di sini hari ini.

Afandi berkata, kemalangan tersebut yang berlaku dalam hujan lebat itu berlaku dalam keadaan jalan licin.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang cedera telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Setiu di sini untuk menerima rawatan.

“Mayat pekerja ladang terbabit pula dihantar ke unit forensik hospital sama untuk dibedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan1987,” katanya. – K! ONLINE

Thursday, November 19, 2020

Covid-19 : Unit Kecemasan Klinik Kesihatan Marang ditutup

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Unit Kecemasan Klinik Kesihatan Marang ditutup sementara hari ini selepas dikunjungi seorang individu yang disahkan positif Covid-19.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, unit kecemasan klinik yang ditutup operasi pada pukul 1 tengah hari tadi akan beroperasi seperti biasa esok.

“Unit Kecemasan Klinik Kesihatan Marang telah dikunjungi individu yang menghidap penyakit diabetes terbabit untuk mendapatkan rawatan susulan semalam.

“Dia yang didapati bergejala telah diarahkan untuk melakukan ujian saringan dan keputusan hari ini mendapatinya positif Covid-19,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Nor Azimi berkata, individu itu telah dipanggil untuk dikuarantin bagi proses rawatan di Hospital Hulu Terengganu dan punca jangkitan terhadapnya masih dalam siasatan.

Menurut beliau, Unit Kecemasan Klinik Kesihatan Marang telah melakukan kerja-kerja sanitasi dan nyahkuman.

“Orang ramai yang mengunjungi klinik kesihatan tersebut pada masa terdekat tidak perlu bimbang kerana operasi telah dijalankan mengikut prosedur operasi standard ditetapkan dan tiada pendedahan antara individu terlibat dan pesakit lain.

“Buat masa ini proses pengasingan dan penyaringan kontak rapat individu positif Covid-19 terbabit sedang dilakukan,” katanya. – K! ONLINE

Elak kawasan pantai musim tengkujuh

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Orang ramai dinasihatkan agar menjauhi kawasan pantai terutama Pantai Timur termasuk Terengganu sepanjang musim tengkujuh ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Md. Hilman Abd. Rashid berkata, sebarang aktiviti air termasuk berenang tidak sesuai dilakukan di kawasan pantai di negeri ini ekoran cuaca tidak menentu dan fenomena ombak besar dan air pasang pada monsun Timur Laut.

Beliau berkata, perairan Terengganu pada masa ini juga agak bergelora pada waktu ini berikutan tempias bencana ribut taufan yang telah melanda Filipina dan Vietnam baru-baru ini.

“Banyak kematian disebabkan aktiviti air telah dicatatkan di negeri ini pada musim tengkujuh pada bulan November hingga Mac setiap tahun.

“Seramai 16 maut akibat lemas pada dua tahun lalu manakala tahun lalu, 12 orang telah dilaporkan terkorban. Kalau boleh pada tahun ini, jika tidak boleh sifar kematian, kita berharap statistiknya berkurangan,” katanya selepas melakukan pemantauan di Pantai Tanjung Gelam di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Md. Hilman berkata, JBPM telah melantik 12 nelayan untuk menganggotai Pasukan Penyelamat dan Keselamatan Air (SWART) bagi memantau beberapa kawasan pantai di negeri yang berisiko sepanjang musim tengkujuh ini.

Beliau berkata, anggota SWART yang bertaraf pegawai bomba bantuan tersebut akan melakukan rondaan dan memberi khidmat nasihat kepada pengunjung di kawasan pantai terlibat. – K! ONLINE

APMM usir lima bot nelayan Vietnam ceroboh perairan Terengganu

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Maritim Malaysia (APMM) mengusir lima bot nelayan Vietnam yang telah dikesan mencerobohi perairan Terengganu pada Sabtu lalu.

Kesemua bot nelayan Vietnam itu dijumpai pada tiga lokasi berbeza antara 137 hingga 144 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, kelima-lima bot nelayan Vietnam berkenaan dikesan oleh pesawat udara Bombardier CL415 milik APMM yang sedang melakukan rondaan pengawasan di perairan berkenaan.

“Maklumat itu telah disalurkan kepada Kapal Maritim (KM) Langkawi yang kemudiannya mengarahkan anggota penguat kuasa APMM bergegas ke lokasi tersebut dengan menggunakan bot peronda masing-masing.

“Walaupun kesemua bot nelayan Vietnam itu cuba melarikan diri menuju ke sempadan perairan antarabangsa namun gagal kerana berjaya dipintas bot peronda APMM,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Muhammad Suffi berkata, anggota penguat kuasa APMM telah melakukan pemeriksaan di setiap bot itu sebelum merampas pukat dan membuang bekalan air dan makanan milik nelayan Vietnam tersebut.

Jelas beliau, tindakan itu bertujuan untuk memastikan nelayan-nelayan asing tiada pilihan lain selain pulang ke negara asal mereka. – K! ONLINE

Covid 19 : Masjid Nasiruddin Shah ditutup tiga hari

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Masjid Nasiruddin Shah yang terletak di Kampung Raja, Besut diarah tutup selama tiga hari sehingga lusa setelah salah seorang jemaahnya disahkan positif Covid-19.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Mat Azmi Arshad berkata, jemaah tersebut yang disahkan positif Covid-19 pada semalam didapati telah menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan pada 13 November lalu.

Beliau berkata, penutupan masjid itu selaras dengan Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Masjid Nasiruddin Shah, Kampung Raja, Besut diarah tutup selama tiga hari sehingga Rabu ini bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 terhadap penduduk setempat.

“Sepanjang tempoh penutupan itu, kerja-kerja sanitasi akan dijalankan di masjid tersebut,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mat Azmi memberitahu masjid-masjid lain di seluruh Terengganu masih dibenarkan untuk mendirikan solat fardu lima waktu dan solat Jumaat mengikut kapasiti dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Begitupun solat Jumaat tidak dibenarkan di masjid dan surau yang berada di zon merah di negeri ini selain hanya tiga orang terdiri daripada pegawai masjid dan ahli jawatankuasa masjid secara bergilir-gilir dibenar untuk mendirikan solat fardu berjemaah. – K! ONLINE

Maidam salur bantuan kecemasan kepada asnaf

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mengambil inisiatif menyalurkan bantuan kecemasan kepada 638 keluarga asnaf di negeri ini yang terjejas berikutan penularan Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, M. Rozi Bidin berkata, setiap keluarga terbabit menerima bantuan wang tunai RM300 yang dibayar secara sekali pembayaran.

“Kita sedar golongan asnaf tersebut amat terkesan dengan penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada masa ini.

“Bantuan kecemasan menggunakan peruntukan sumber am itu tidak perlu dimohon tetapi diserahkan secara terus kepada penerima bantuan Maidam termasuk bantuan persekolahan sedia ada,” katanya selepas menyantuni pengayuh beca di Pasar Kedai Payang di sini hari ini.

Seramai 13 orang pengayuh beca yang aktif tersebut masing-masing menerima bantuan wang tunai sebanyak RM200 dan barangan keperluan.

M. Rozi berkata, Maidam turut menyalurkan 20,000 tong gas petronas cecair (LPG) berkapasiti 14 kilogram percuma kepada keluarga asnaf berkelayakan di negeri ini.

Beliau berkata, tong gas memasak itu akan dihantar sendiri oleh kakitangan Maidam ke setiap rumah asnaf terbabit secara berperingkat. – K! ONLINE

Rakan baik dituduh bunuh Siti Nur Surya

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

MARANG – Seorang pelajar tingkatan enam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh Siti Nur Surya yang ditemui dalam keadaan ngeri pada dua minggu lalu.

Tertuduh, Siti Nur Athirah Azmi, 19, yang merupakan rakan baik Siti Nur Surya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Berdasarkan pertuduhan, Siti Nur Athirah didakwa membunuh Siti Nur Surya, 19, di sebuah rumah di Kampung Lubuk Batu, Telemong, Hulu Terengganu pada pukul 9.30 pagi, 1 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Majistret Engku Nurul Ain tidak membenarkan Siti Nur Athirah diikat jamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 10 Januari 2021.

Kosmo! 2 November lalu melaporkan mayat Siti Nur Surya ditemui mati berlumuran darah oleh adik bongsunya, Norliyana Shuhada, 15, di ruang tamu sewaktu pulang dari sekolah.

Mangsa dijumpai dalam keadaan ngeri dengan kesan tetakan di bahagian muka, leher dan dada selain pergelangan tangan kirinya putus. – K! ONLINE

Wednesday, November 18, 2020

Suspek tunggal kes pembunuhan Surya tiba di mahkamah

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Suspek kes pembunuhan Siti Nur Surya Ismail tiba di Mahkamah Majistret di sini pada pukul 9.35 pagi.

Pelajar tingkatan enam sebuah sekolah di Hulu Terengganu itu dibawa dari lokap Balai Polis Kuala Berang, Hulu Terengganu dengan menaiki kereta peronda polis.

Dia yang berpakaian lokap berwarna ungu dihadapkan atas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pengamal media tidak dibenarkan memasuki galeri awam mahkamah atas faktor penjarakan fizikal ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Mahkamah hanya membenarkan tiga keluarga terdekat tertuduh termasuk ibunya berada di galeri awam sewaktu pendengaran kes – K! ONLINE