Translate

Sunday, January 31, 2010

Azizulhasni kini sudah sah bergelar suami

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

azli.adlan@kosmo.com.my

JAGUH lumba basikal trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang, 22, selamat diijabkabul dengan pasangannya, Athiah Ilyana Abd. Samat, 24, di kediaman pengantin perempuan di Meru Height, Ipoh semalam.

Pasangan itu dinikahkan oleh Imam Masjid Al-Muttaqin, Taman Meru, Zaini Bakri dengan disaksikan keluarga kedua-dua belah pihak pada kira-kira 11.30 pagi.

Terdahulu, majlis pertunangan dilangsungkan pada pukul 11 pagi tadi.

Azizulhasni sah bergelar suami selepas lafaz akad yang ketiga dengan membawa 11 dulang hantaran termasuk pingat emas yang dimenanginya pada Kejohanan Piala Dunia Klasik di Beijing, China minggu lepas manakala pengantin perempuan membalas dengan 13 dulang hantaran.

Athiah Ilyana turut menerima wang hantaran RM8,000 dan mas kahwin RM2,000 beserta seutas rantai emas.

“Pernikahan ini telah menyemarakkan lagi semangat saya untuk merangkul lebih banyak kejayaan termasuk kejohanan terdekat, Piala Dunia di Copenhagen, Denmark, Mac depan.

“Saya akan pulang semula ke Melbourne, Australia pada 7 Februari ini bagi menjalani persiapan akhir untuk menyertai kejohanan tersebut,” kata Azizulhasni.

Azizulhasni berkata, dia mengenali isterinya menerusi laman web rangkaian sosial, Friendster sebelum mereka menjalin hubungan serius selepas Sukan SEA di Korat, Thailand pada 2007.

Dia yang mendapat jolokan The Pocketrocket Man memberitahu semenjak itu, Athiah Ilyana telah menjadi sumber inspirasi baginya untuk meraih kejayaan di pentas antarabangsa.

Menurutnya, majlis resepsi mereka akan diadakan pada Disember depan, iaitu selepas temasya Sukan Komanwel di New Delhi, India.

Ketika ini, Azizulhasni melanjutkan pengajian ijazah pertama dalam jurusan Perdagangan di Universiti Deakin, Melbourne manakala Athiah Ilyana pula menyambung pengajian peringkat sarjana jurusan Arkitek di Universiti Deakin, Geelong, Australia.

Saturday, January 30, 2010

Mesyuarat penambahbaikan pengurusan

MESYUARAT. Seramai 27 pengarah Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) seluruh negara berkumpul di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) Taiping, Kamunting. Taiping baru-baru ini.

Mereka menghadiri mesyuarat menambah baik modul dan pengurusan ILJTM yang dipengerusikan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Maznah Mazlan.

Antara dibincangkan ialah strategi memantapkan jawatan kuasa Khidmat Sokongan Pekerjaan (CESS) yang bertujuan memastikan setiap lepasan institut berkenaan mendapat pe kerjaan bersesuai dengan kemahiran yang diperolehi sejurus menamatkan latihan.

Setakat ini, seramai 14,541 pelajar sedang menjalani latihan di 27 ILJTM di seluruh negara.

Shaila risau pandangan negatif

TANJUNG MALIM - Biarpun memperolehi undi tertinggi bagi kerusi Umum dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 2010 semalam, Shaila Sulaiman tidak dapat menyembunyikan perasaan risaunya mengenai pandangan negatif segelintir pelajar terhadap program anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Jesteru, beliau mahu semua calon yang terpilih bersatu untuk memikul amanah dengan mengetepikan sentimen dan ideologi masing-masing demi kepentingan pelajar secara keseluruhannya.

"Kebajikan mahasiswa UPSI perlu diutamakan. Saya perasan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, segelintir pelajar UPSI memandang negatif dan menjauhi program anjuran MPP," katanya di UPSI semalam.

Difahamkan walaupun semua calon yang bertanding dalam PRK UPSI adalah pro-aspirasi tetapi mereka membentuk beberapa kumpulan yang membawa manisfesto tersendiri.

Shaila, 23, pelajar tahun tiga dari Fakulti Sains Sosial memperolehi 5,051 undi atau 80.2 peratus undi popular.

Empat calon lain yang memenangi kerusi Umum ialah Nik Azrul Nik Kamaruddin (4,925), Mohd. Zahar Mohamed Bakri (4,671), Khalijah Mohd. Bakri (4,041) dan Muhd. Muzakkir Afiq Musa (3,698)

Thursday, January 28, 2010

Liana meninggal dunia akibat batuk kering

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Pelakon drama, Liana Sulaiman meninggal dunia akibat penyakit batuk kering di rumah keluarganya di Taman Pangkalan Barat Mewah, Pasir Puteh di sini semalam.

Liana, 34, yang juga adik kepada artis yang kini bergelar ahli perniagaan, Zarina Zainuddin meninggal dunia setelah terjatuh di dalam bilik air pada pukul 10 pagi.

Adik Liana, Hisham Lee, 30, berkata, Liana atau nama sebenarnya, Norliana Sulaiman yang menderita penyakit batuk kering setahun lalu pulang ke rumah keluarganya dua minggu lalu untuk mendapatkan rawatan susulan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

"Ketika berada di bilik air, Liana tiba-tiba menjerit meminta pertolongan.

"Saya dan ibu (Zahura Abd. Mutalib, 55), pergi ke bilik air dan mendapati Liana muntah darah dan dalam keadaan lemah," kata beliau ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, dia kemudian membantu Liana keluar dari bilik air dan menghubungi ambulans. Namun sebaik pegawai perubatan sampai, Liana telah meninggal dunia.

Liana, seorang ibu tunggal meninggalkan empat anak lelaki yang berusia antara sembilan hingga 15 tahun. Sebelum ini Liana menetap di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kam pung Pasir Puteh di sini selepas solat Asar semalam.

Pada 14 April 1998, Liana pernah dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpurkerana didapati bersalah terhadap dua tuduhan memberi keterangan palsu dalam per bicaraan di mahkamah.Dia didakwa melakukan perbuatan itu ketika menjadi saksi pendakwa dalam perbicaraan pengurus produksi sebuah sya rikat penerbitan filem, Haslinda Merican M. A. Merican dan perunding kewangan, Mohamed Amin Jamadi.

Haslinda dan Mohamed Amin dituduh menjadi perantara kepada empat artis wanita dalam kegiatan pelacuran.

Bagaimanapun, selepas rayuan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenepikan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan membebaskan Liana.

Wednesday, January 27, 2010

Tarikh sebat Kartika diketahui bulan depan

KUANTAN - Tarikh pelaksanaan hukuman sebat terhadap model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 33, yang menjadi persoalan ramai selama ini akan diketahui bulan depan.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, ada kewajaran tarikh hukuman itu disegerakan kerana ia sudah menjadi isu sensitif yang mencetuskan perdebatan pelbagai pihak.

"Saya akui isu ini begitu sensitif, jadi kita akan mencari jalan penyelesaian terbaik supaya ia tidak lagi berpanjangan.

"Saya beri tempoh sebulan lagi untuk selesaikan segala masalah dan mencari punca-punca yang menyebabkan ia tidak dapat dilaksanakan segera,''' titah baginda kepada pemberita selepas Majlis Pengurniaan Insentif Sukan Sea Laos 2009 di Hotel MS Garden di sini.

Baginda mengulas hukuman ke atas Kartika, 32, yang belum dilaksanakan selepas dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai tahun lepas setelah mengaku salah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai 2008.

Ketika ditanya mengenai permintaan Kartika untuk menemui Tengku Abdullah dan ayahanda baginda iaitu Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bagi menyelesaikan masalah itu, baginda menjelaskan pihaknya tiada ada masalah menemui wanita itu.

"Bagaimanapun, sehingga kini pihak saya tidak menerima sebarang permintaan daripada Kartika untuk berjumpa," jelas baginda.

Dalam reaksi segeranya, Kartika ketika dihubungi di Singapura semalam terharu dengan kesudian Tengku Mahkota Pahang itu untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapinya.

Kartika ingin menggunakan peluang tersebut untuk meluahkan tekanan perasaan yang dilalui selain mengetahui sebab kelewatan pelaksanaan hukuman itu.

"Saya akan bincang dengan peguam berhubung permohonan berkenaan selepas pulang dari Singapura hujung minggu ini," katanya.

Kartika yang bercerai dengan suaminya pada 20 Januari lalu kini berada di Singapura atas urusan peribadi.

Pelbagai kaum sertai Pesta Ponggal negeri Perak

RAI BERSAMA. Seramai 66 remaja menyertai Pesta Ponggal peringkat Perak di Padang Kampung Kacang Puteh, Buntong, Ipoh baru-baru ini.

Program anjuran Persatuan Penduduk Kampung Kacang Puteh dan Persatuan Kebudayaan India Universiti Tun Razak (Unitar) itu dirasmikan Timbalan Menteri Penerangan, Ko munikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Senator Heng Seai Kie.

Sambutan Ponggal kali ini turut disertai remaja Melayu, Cina dan pelajar asing dari Sekolah Antarabangsa Ipoh.

Menurut Seai Kie, penyertaan daripada semua kaum menggambarkan konsep 1 Malaysia yang dilaksanakan oleh kerajaan dan ia patut disokong oleh setiap lapisan masyarakat.

Monday, January 25, 2010

55 bidang SKM diktiraf diploma

TAIPING - Kementerian Sumber Manusia telah menyenarai pendek 55 bidang kemahiran peringkat Sijil Kemahiran Ma laysia Tahap Empat untuk diiktiraf setaraf diploma bagi tujuan penyelarasan perjawatan sektor awam.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Maznah Mazlan berkata, senarai terbabit akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk pertimbangan dalam masa terdekat.

“Setelah diluluskan JPA kelak, lepasan SKM Tahap Empat bakal menikmati peluang pekerjaan di sektor awam dengan tangga gaji dan gred setaraf pemegang diploma.

“Ia selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2010 lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyua rat dengan 28 pengarah Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia seluruh negara di Pusat Latihan Teknologi Tinggi Taiping, Kamunting dekat sini semalam.

Maznah berkata, antara bidang kemahiran yang telah di senarai pendek tersebut ialah teknologi kimpalan, teknologi elektronik, teknologi permesinan dan teknologi komputer.

Beliau berkata, kementeriannya berharap penyelarasan per jawatan sektor awam terbabit dapat diselesaikan JPA se lewat-lewatnya penghujung tahun ini.

Dalam pembentangan Bajet 2010 pada September lalu, Najib telah mengumumkan SKM Tahap Empat diiktiraf setaraf dengan Diploma yang ditawarkan institusi pengajian tinggi awam.

Ia bertujuan untuk membuka peluang lebih luas kepada lepasan institut latihan tersebut untuk mendapatkan pekerjaan di sektor awam mahupun swasta.

FAMA perkenal 'Jom Sarapan Pagi' di pasar tani

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak memberi imej baru kepada pasar tani di negeri ini dengan memperkenalkan konsep bersarapan sambil membeli.

Timbalan Pengarah FAMA Perak, Mukram Faizal Mustaza berkata, menerusi program ‘Jom Sarapan Pagi’, FAMA menyediakan sudut gerai makan yang tersusun dan menarik di setiap pasar tani terbabit.

“Selain memberi peluang kepada usahawan makanan berniaga di pasar tani, kita mahu menarik pengunjung bersarapan di kawasan tersebut sambil membeli barangan keperluan.

“Sebagai permulaan program ‘Jom Sarapan Pagi’ ini di mulakan di Pasar Tani Kampung Simee di sini mulai hari ini (semalam) dan akan disusuli dengan 19 pasar tani lain di seluruh Perak dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan 25 tahun penubuhan pasar tani di Pasar Tani Kampung Simee di sini semalam.

Dalam majlis sama, Mukram Faizal turut mengumumkan pasar tani terbabit sebagai Pasar Tani Terbaik Perak 2008.

Beliau berkata, sudut gerai makan terbabit menyediakan pelbagai sajian sarapan menarik dan bercirikan (masakan) tempatan seperti nasi goreng ikan rebus, nasi lemak jagung, air bandung kelapa dan mihun sup.

“Selain itu, sehingga 27 Februari depan, pengunjung juga boleh menikmati sarapan dengan harga istimewa iaitu diskaun antara 80 sen hingga RM1 bagi setiap sajian.

“FAMA Perak yakin pengenalan sudut gerai makanan dapat meningkatkan jualan pasar tani negeri ini kepada RM15 juta pada tahun ini berbanding RM13 juta pada tahun lalu,” katanya.

Dalam pada itu Mukram Faizal memberitahu lima pasar tani juga akan dibuka di Batu Gajah, Manjung, Parit, Kuala Kangsar dan daerah Kinta pada pertengahan tahun ini.

Lelaki lumpuh mati dibunuh

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Seorang warga emas yang lumpuh separuh badan ditemui mati dibunuh di sebuah tokong tinggal di Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan II, Jelapang di sini semalam.

S. Kanavathy, 53, yang merupakan seorang penganggur ditemui mati pukul 2 petang dengan beberapa kesan kecederaan di tengkuk, kepala dan tangan dipercayai ditetak dengan objek tajam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, ketika ditemui, mangsa berada dalam keadaan berlumuran darah dan terduduk di salah kerusi.

“Mangsa telah ditetak beberapa kali dengan objek tajam. Bagaimanapun tiada sebarang senjata ditemui.

“Mangsa mungkin telah dibunuh malam tadi (kelmarin) dan puncanta masih disiasat," katanya kepada pemberita semalam.

Azizman berkata, polis percaya Kanavathy menetap di tokong itu setelah penjaganya meninggal dunia beberapa bulan lalu.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk dibedah siasat.

Sementara itu, abang mangsa, S. Shannumugam, 60, mem beritahu adiknya yang lumpuh sebelah kiri badan setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya kira-kira 15 tahun lalu menetap di tokong tinggal berkenaan sejak sebulan setengah lalu.

Beliau berkata, sebelum itu, adiknya tinggal di rumahnya yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian.

"Dia kemudiannya telah keluar dari rumah saya dengan alasan mahu berdikari.

"Kali terakhir berjumpa dengannya pada minggu lepas, saya ada beri pinjam RM100 kepada dia untuk mendapatkan rawatan sakit belakang,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Tambahnya, adik ketiga daripada enam beradik itu berubah menjadi murung dan mula mengambil minuman keras secara berlebihan setelah berpisah dengan isteri dan lima anaknya sejak kemalangan itu.

“Bagaimanapun tabiat buruk itu sudah banyak berkurangan beberapa tahun ini,” katanya.

Suami mahu rujuk, Kartika belum terima

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KUALA KANGSAR - Biar pun secara rasmi bercerai dengan Kartika Sari Dewi Shukarnor semalam, Mohamed Afandi Amir rupa-rupanya masih menaruh harapan untuk kembali kembali bersama bekas isterinya itu.

Walaupun akur jodohnya dengan Kartika, 32, tidak panjang seperti diputuskan Mahkamah Rendah Syariah di sini, namun jauh di sudut hatinya, dia tidak rela kehilangan Kartika yang berkongsi dua anak bersamanya.

“Sebaik tuan hakim syarie mengesahkan lafaz cerai tersebut baru saya terfikir sama ada saya telah menjadi suami dan bapa yang baik kepada Kartika dan anak-anak selama ini?

“Saya akui sudah tersilap langkah. Saya masih berharap ada peluang untuk bersama Kartika lagi jika keadaan sudah jernih semula,” katanya ketika ditemui Kosmo! di luar Mahkamah Syariah Kuala Kangsar semalam.

Terdahulu Hakim Syarie Burhanuddin Ismi Adam mengesahkan lafaz cerai yang dibuat oleh Muhammed Afandi, 38, pada pertengahan Oktober 2008 terhadap Kartika Sari Dewi Shu karnor, bekas model sambilan yang kini menunggu hukuman sebat kerana kesalahan minum arak.

Mohamed Afandi yang berkemeja hijau sepanjang prosiding, mengaku lafaz cerai diucapkan dalam keadaan rumah tangga mereka tidak tenang kerana ketika itu Kartika sedang menghadapi tuduhan meminum arak di Mahkamah Syariah Kuantan, Pahang.

Sementara itu, Kartika yang kelihatan sebak dan tidak tenang sepanjang prosiding dijalankan memberitahu dia masih tidak bersedia untuk ‘bersama’ semula dengan Mohamed Afandi dalam masa terdekat.

“Buat masa ini saya tak fikir lagi (merujuk semula). Biarlah saya menenangkan fikiran. Saya hanya berharap dapat menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci (Mekah) secepat mungkin,” katanya.

Begitupun Kartika memberitahu dia dan bekas suami ber setuju kedua-dua anak mereka berada di bawah jagaannya yang kini menetap di Kampung Jawang, Karai dekat sini.

Berdasarkan hukum, Mohamed Afandi dan Kartika perlu melaksanakan akad nikah semula sekiranya ingin menjadi suami isteri semula kerana tempah edah tamat pada Disember 2008 lalu.

Wednesday, January 20, 2010

Pencuri kereta sasar kawasan hospital kerajaan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Malang buat seorang kakitangan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini kerana dua kenderaan miliknya hilang dalam kawasan hospital berkenaan dalam tempoh tidak sampai dua bulan.

Rosiskandar Zulkifli Abdul Rahman, 31, yang merupakan Penolong Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma, HRPB berkata, kedua-dua kenderaannya itu kereta Proton Waja dan sebuah motosikal hilang tidak jauh dari pondok pengawal keselamatan.

"Kereta saya hilang pada 16 November lalu yang diletakkan di tempat letak kereta berhampiran Pusat Rawatan Harian (PRH) hospital itu disedari pada kira-kira 2 petang.

"Kemudian saya terpaksa berulang-alik ke tempat kerja dari rumah di Tanjung Rambutan dekat sini dengan menunggang motosikal Honda EX5 tetapi juga dicuri enam hari lalu," katanya.

Beliau telah membuat laporan polis mengenai kehilangan dua kenderaannya itu di Balai Polis Sungai Senam, di sini pada 16 November dan 14 Januari lalu.

Difahamkan sejak empat tahun lalu, sekurang-kurangnya 25 kenderaan yang diletakkan di dalam kawasan HRPB yang berpagar hilang dipercayai dicuri termasuk tujuh milik ka kitangan hospital berkenaan dan kes kecurian tersebut semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.

Rosiskandar Zulkifli yang berkhidmat dengan HRPB sejak enam tahun lalu berkata, akibat kehilangan kereta dan mo tosikal tersebut, beliau sekeluarga mengalami kesulitan.

“Malah saya kini dalam kesempitan kerana terpaksa me nanggung hutang lebih RM7,000 dengan pihak bank bagi melunaskan pinjaman kenderaan kerana pampasan insurans yang saya terima tidak mencukupi,” katanya.

Rosiskandar yang masih trauma dengan kehilangan dua kenderaannya itu berkata, berikutan kejadian tersebut beliau juga telah membuat permohonan untuk bertukar di hospital lain.

Beliau mendakwa kejadian mencuri kenderaan yang semakin menjadi-jadi di HRPB berpunca daripada kegagalan pengurusan hospital tersebut menangani masalah tersebut biarpun per sekitarannya diawasi ramai pengawal keselamatan.

“Sejak empat tahun lalu, banyak aduan dan cadangan di utarakan kakitangan untuk selesaikan masalah kecurian kereta ini tetapi pengurusan hospital tak pernah ambil tindakan positif atasinya,” katanya.

Saturday, January 16, 2010

Paya Laut Matang yang mendamaikan

HUTAN Paya Laut Matang seluas kira-kira 101,877 hektar yang terletak di daerah Larut, Matang dan Selama berhampiran bandar Taiping telah diiktiraf sebagai hutan bakau yang terbaik di negara ini.

Kawasan hutan paya bakau semulajadi berkenaan mempunyai 198 hutan simpanan kekal dan salah satunya telah dijadikan Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Laut Matang.

Pusat eko pelajaran terbabit yang seluas hampir 40,711 hektar itu mempunyai pelbagai spesies flora dan fauna yang unik terutamanya pokok bakau.

Selain menjadi pusat penyelidikan dan pembelajaran kepentingan hutan paya laut bagi mengekalkan ekosistem persisiran pantai, Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Laut Matang juga sesuai untuk riadah.

Pengunjung boleh berjogging sambil menyusuri hutan paya bakau tersebut yang sememangnya kaya dengan udara segar menerusi trek kayu disediakan.

Pihak pengurusan pusat eko pelajaran tersebut turut menyediakan kemudahan chalet dan tapak khemah bagi pengunjung yang mahu bermalam di kawasan hutan paya laut yang mendamaikan itu.

Untuk maklumat lanjut Pejabat Hutan Daerah Larut, Matang dan Selama boleh dihubungi di talian 05-807 2762.

Penduduk setinggan Sungai Siput dapat saguhati

BAYARAN SAGUHATI. Seramai 43 penghuni setinggan sekitar Sungai Siput menerima saguhati berjumlah RM8,200 setiap keluarga daripada Kementerian Pengangkutan di Pusat Konvensyen Sungai Siput kelmarin.

Saguhati yang disampaikan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat itu berikutan pengambilan tapak tanah penduduk terbabit yang merupakan tanah rizab Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi melaksanakan projek landasan elektrik berkembar Ipoh-Padang Besar.

Kumpulan itu adalah terakhir daripada keseluruhan 490 penghuni setinggan yang menerima bayaran saguhati terbabit di Perak selaras dengan Akta Pengambilan Tanah 1960.

Semua penghuni setinggan berkenaan akan ditempatkans semula di Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) oleh kerajaan negeri Perak.

Thursday, January 14, 2010

Pembukaan cawangan EON Bank Teluk Intan

CAWANGAN TERBARU. EON Bank membuka cawangan baru dan ke-140 di Laman Intan, Bandar Baru Teluk Intan kelmarin.

Cawangan yang mempunyai 11 kakitangan diketuai Pengurus Cawangan, Lim Chai Peng itu dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EON Bank, Micheal Lor Chee Leng.

Beliau berkata, EON Bank cawangan Teluk Intan menerapkan konsep mesra pelanggan dan mempunyai pelbagai kemudahan perbankan layan diri seperti mesin ATM, mesin deposit tunai dan cek.

Sebagai menghargai pelanggan di cawangan terbaru itu, individu yang membuka akaun simpanan dan semasa sekurang-kurangnya RM1,000 sehingga 10 Februari depan akan menerima hadiah istimewa.

"Dalam tempoh sama, kadar faedah yang lebih tinggi kepada pendeposit akaun tetap dengan kadar faedah 2.2 peratus untuk tempoh tiga bulan dan 2.7 peratus untuk 12 bulan bagi akaun sama juga ditawarkan," katanya.

Tuesday, January 12, 2010

EON Bank tumpu pasaran setempat

TELUK INTAN - Kumpulan EON Bank Bhd. menyasar untuk membuka lebih banyak cawangan baru bagi meningkatkan perkhidmatan rangkaian sektor perbankannya di sebalik run dingan pengambilalihan dengan Hong Leong Bank Bhd. (HLB).

Ketua Rangkaian Pengedaran dan Pengurusannya, Looi Kok Soon berkata, EON Bank kini memberi tumpuan terhadap keperluan perbankan di bandar-bandar kecil seluruh negara bagi meningkatkan bilangan pelanggannya yang kini berjumlah 1.5 juta.

“EON Bank tidak mahu menjadi bank terbesar negara tetapi menjadi bank pilihan masyarakat setempat. Kami melihat potensi pelanggan baru di bandar-bandar kecil tetapi stra tegik.
“Selain cawangan Teluk Intan yang dilancarkan hari ini (semalam), sebuah cawangan baru akan dibuka di Kulim, Kedah pada pertengahan Februari depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri perasmian ca wangan terbaru Eon Bank yang disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Eon Bank, Micheal Lor Chee Leng di Bandar Baru Teluk Intan di sini semalam.

Cawangan yang mempunyai 11 kakitangan itu merupakan cawangan ke-140 EON Bank.

Jelas Kok Soon, pihaknya penyediaan lebih banyak ke mudahan perbankan layan diri seperti mesin pengeluaran tunai automatik, mesin deposit tunai dan cek di semua cawangannya sejak 2008.

Menurutnya, sebanyak 30 cawangan EON Bank menerima imej baru kumpulan itu manakala kerja pengubahsuaian semua cawangannya menelan kos hampir RM180 juta dan ia dijangka siap pada pertengahan 2011.

Sementara itu, Chee Leng berkata, penggabungan antara bank tersebut dengan Hong Leong Bank Bhd. (HLB) tidak akan berlaku dalam masa terdekat.

Katanya, proses rundingan mengambil alih aset, liabiliti dan ekuiti dalam EON Capital Bhd. dijangka memakan masa.

“Buat masa ini semua operasi dan perancangan EON Bank akan berjalan seperti biasa,” katanya.

Tiga penjahat ganas Indonesia ditembak mati

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Tiga daripada empat penjenayah warga Indonesia mati ditembak dalam kejadian berbalas tembakan di Taman Farmasi, Seri Iskandar dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 7.15 petang itu, tiga penjenayah yang bersenjatakan pistol dan parang mati di tempat kejadian manakala seorang lagi dapat menghilangkan diri.

Sebelum kejadian, pasukan polis yang membuat rondaan di sekitar Seri Iskandar terserempak dengan sebuah kereta Honda Civic yang dinaiki empat lelaki dalam keadaan mencurigakan.

"Apabila polis menahan kereta itu, kenderaan tersebut bukan sahaja tidak berhenti malah bertindak melanggar dua buah kereta peronda polis sehingga rosak teruk," kata Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah di sini semalam.

Kereta penjenayah itu pula terbabas menyebabkan keempat-empat lelaki itu keluar dari kereta dengan salah seorang melepaskan beberapa das tembakan ke arah anggota polis.

Dua lagi lelaki itu cuba menyerang polis masing-masing dengan menggunakan parang.

Zulkifli berkata, tindakan agresif kumpulan itu menyebabkan pihakterpaksa melepaskan tembakan balas yang mengenai tiga daripada empat penjenayah terbabit.

Ketiga-tiga lelaki Indonesia berusia lingkungan 20-an hingga 30-an itu mati di tempat kejadian sementara seorang lagi anggota kumpulan berkenaan berjaya melarikan diri ke dalam kawasan semak berhampiran.

Pemeriksaan polis ke ats kereta Honda Civic itu menjumpai sepucuk pistol, sebilah keris, beberapa bilah parang, wang tunai RM1,400, sebuah komputer riba, tiga pasport dipercayai milik suspek yang mati ditembak dan enam buah telefon bimbit.

Zulkifli berkata, siasatan percaya keris yang dijumpai di dalam kereta suspek adalah barangan bukti satu kejadian samun di Kuala Kangsar pada 7 Januari 2009.

“Dalam kes samun di Kuala Kangsar, mangsa cedera teruk hingga ter paksa menerima 20 jahitan.

"Polis percaya kumpulan penjenayah itu amat ganas dan tidak teragak-agak mencederakan mangsa dengan teruk jika mangsa melawan,” katanya.

Sunday, January 10, 2010

Empat bas hangus dibakar

IPOH - Dua buah syarikat bas melaporkan kerugian ratusan ribu ringgit apabila empat buah bas henti-henti milik mereka musnah dalam kebakaran yang dipercayai angkara khianat awal pagi semalam.

Kejadian pukul 3.30 pagi di Stesen Bas Medan Kidd di sini itu melibatkan tiga buah bas milik Reliance Omnibus Company Sdn. Bhd. (Reliance Omnibus) manakala sebuah lagi milik Kinta Omnibus Company Sdn. Bhd. (Kinta Omnibus).

Turut terbakar ialah kaunter tiket Reliance Omnibus dan sebahagian daripada tingkat dua stesen bas tersebut yang menempatkan pejabat syarikat bas terbabit.

Selain itu, sebuah gerai menjual kacang putih milik L. Puvanesvari, 46, yang baru tiga hari beroperasi turut terbakar.

Ketua Pengawal Keselamatan Medan Kidd, Yeo Sin Hock, 49, berkata, beliau yang bertugas bersama dua pengawal ke selamatan lain menyedari kebakaran itu setelah dimaklumkan dua individu yang melihat kepulan asap dari luar kawasan stesen.

“Sepanjang kami berkawal pada awal pagi tadi (semalam), memang tidak kelihatan sesiapa pun berada di sekitar stesen bas ini.

“Kami cuma nampak sebuah lori memasuki Medan Kidd untuk mengambil tayar celup dan keluar dari sini kira-kira 3 pagi,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di tempat kejadian.

Sementara itu, Pengarah Urusan Reliance Omnibus Company, Mohd. Syaiful Abdullah pula mendakwa ada kelibat manusia sempat dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) selain pintu depan dua buah bas miliknya didapati dalam keadaan terbuka.

“Kami tidak percaya ia berpunca daripada litar pintas kerana semua bas henti-henti laluan Ipoh-Kuala Kangsar itu telah menghentikan operasi pada kira-kira 7 malam sedangkan kejadian tersebut hanya bermula kira-kira lapan jam kemudian,” katanya.

Beliau turut membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Dalam pada itu Ketua Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Ahmad Roszani Hat berkata, dua jentera bomba telah bergegas ke tempat kejadian pada kira-kira 3.54 pagi setelah menerima maklumat mengenai kebakaran terbabit 10 minit sebelum itu.

Tindakan pantas pihak bomba berjaya mengelak lebih banyak bas yang diletakkan di stesen bas terbabit turut hangus dalam kejadian tersebut.

Saturday, January 9, 2010

Ibu tunggal bebas tuduhan bunuh bunuh


MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Seorang ibu tunggal dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri daripada tuduhan membunuh seorang lelaki dipercayai teman lelakinya kira-kira dua tahun lalu oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Pesuruhjaya Kehakiman Chong Siew Kim memerintahkan Wong Lai Leng, 53, dibebaskan daripada tuduhan membunuh Risham Abdullah, 63, setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Keputusan itu dibuat setelah beliau mendapati banyak kepincangan dan keraguan dalam kes pendakwaan yang gagal ditangani Timbalan Pendakwa Raya, Aiza Khairuddin.

Antara perkara yang mencacatkan adalah kegagalan pihak pendakwa mengemukakan salinan asal laporan kimia dan kad pengenalan mangsa kepada mahkamah.

Selain itu isu akses ke bilik yang merupakan lokasi mayat Risham ditemui juga gagal dijawab sepanjang perbicaraan biarpun penyewa bilik tersebut telah dipanggil sebagai saksi.

Berdasarkan fakta kes Risham ditemui mati dengan kesan ditetak di salah sebuah bilik di rumah Lai Leng pada 3 Disember 2008.

Dalam kejadian antara 2 petang hingga 6 petang itu, anggota polis yang membuat serbuan menemui tertuduh terbaring di atas katil di dalam bilik bersebelahan dalam keadaan trauma dan sebahagian pakaiannya mempunyai kesan darah.

Lai Leng didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Lai Leng yang ditemui selepas dibebaskan menyatakan kesyukuran dan berterima kasih kepada peguam belanya, Dr. Naran Singh.

“Walaupun sebelum ini saya agak gemuruh tetapi saya yakin dengan kebolehan peguam bela saya, Naran. Ia umpama hadiah tahun baru dan saya berhasrat untuk meluangkan masa ber sama keluarga selepas ini,” katanya.

Kosmo! 5 Disember 2008 melaporkan Risham ditemui mati setelah bertengkar dengan Lai Leng di rumah wanita itu di Taman Ipoh Selatan.

Menurut seorang jiran yang enggan dikenali mendengar bunyi hingar-bingar dan lelaki itu dan tertuduh saling memaki hamun antara satu sama lain setengah jam sebelum mangsa ditemui terbunuh.

Friday, January 8, 2010

Bekas MB Perak cedera kereta terbalik


Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

IPOH - Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin nyaris maut selepas kereta dipandunya terbabas sehingga keempat-empat tayarnya naik ke atas di Jalan Raja Dr. Nazrin Shah di sini semalam.

Semasa kejadian pada pukul 9.20 pagi itu, Mohammad Nizar dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya di Sungai Rokam ke sebuah klinik gigi di Jalan Sultan Idris Shah di sini.

Ketua Trafik negeri, Supritendan Wan Abdullah Ishak berkata, Ahli Parlimen Bukit Gantang itu cuba mengelak sebuah kereta Volvo berwarna emas yang keluar secara tiba-tiba dari Jalan Seruan.

Katanya, kereta Toyota Camry 2.0 berwarna kelabu yang dipandu Mohammad Nizar telah melanggar bahagian depan sebelah kanan kereta Volvo tersebut yang dipandu seorang doktor wanita dari sebuah pusat perubatan swasta di sini.

“Beliau cuba mengelak sebuah kereta sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan menyebabkan keretanya terbalik.

“Mohammad Nizar yang hanya cedera ringan di dahi dan tangan kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Mohammad Nizar ketika ditemui pemberita di Unit Kecemasan HRPB berkata, beliau sendiri tidak menyangka tindakannya mengelak daripada merempuh kereta Volvo itu mengakibatkan kenderaan dipandunya terbalik.

“Saya ada temu janji dengan doktor gigi dan sedang dalam perjalanan melalui jalan tersebut, sebuah kereta keluar secara tiba-tiba dan saya cuba mengelak daripada bertembung.

“Selepas terbalik, saya gagahkan diri dan berjaya keluar dengan merangkak keluar sebelum ada seorang pemandu prihatin dari arah bertentangan membawa saya ke hospital ini,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Pasir Pan jang itu menerima satu jahitan di sikunya dan luka kecil di dahinya setelah terkena serpihan cermin mata beliau yang pecah namun keadaannya dilaporkan stabil.

Mohammad Nizar yang masih terkejut dengan kejadian itu ditahan di Wad 8C HRPB untuk rawatan lanjut kerana me ngalami tekanan darah meningkat dan dijangka dibenarkan pulang hari ini.


Thursday, January 7, 2010

Bercham kini ada Klinik 1Malaysia

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@yahoo.com

IPOH - Warga bandar raya ini terutamanya sekitar Bercham kini sudah boleh mendapatkan perkhidmatan rawatan kesihatan di Klinik 1Malaysia yang mula beroperasi mulai semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, klinik yang terletak di Pusat Bandar Bercham Timur itu dibuka tujuh hari seminggu termasuk cuti am.

“Klinik yang beroperasi dari 10 pagi hingga 10 malam ini mampu memberi manfaat kepada sekurang-kurang 100,000 penduduk sekitar Bercham dan ia disasar kepada golongan kurang berkemampuan.

“Orang ramai boleh mendapatkan rawatan perubatan ringan seperti demam biasa, selesema dan luka kecil dengan caj RM1 sahaja. Kes kronik pula akan dirujuk ke klinik yang lebih besar atau hospital,” katanya ketika mengadakan lawatan ke klinik berkenaan semalam.

Klinik 1Malaysia cawangan Bercham merupakan satu satu daripada 50 klinik komuniti yang bina di seluruh negara bagi memperluaskan perkhidmatan kesihatan awam di kawasan bandar seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2010 pada September lalu.

Hang Soon berkata, bagaimanapun Klinik 1Malaysia ca wangan Bercham yang dikendali seorang penolong pegawai kesihatan dan sembilan jururawat tidak mengeluarkan surat cuti sakit.

Dalam perkembangan sama, tiga klinik 1Malaysia lain turut mula beroperasi di seluruh Perak serentak semalam iaitu di Teluk Intan, Taiping dan Parit.

15,000 orang berebut aiskrim percuma

PERCUMA. Seramai kira-kira 15,000 penduduk bandar raya tersebut menyerbu kilang Wonderful Creamery (M) Sdn. Bhd. di Je lapang sejak awal pagi untuk mendapatkan aiskrim percuma baru-baru ini.

Selain menyediakan lebih 900 liter aiskrim pelbagai perisa secara percuma, pihak pengurusan kilang tersebut turut me nawarkan diskaun menarik untuk pembelian produk aiskrim kepada orang ramai.

Pengurus Pengeluaran Wonderful Creamery, James Kew berkata, acara tersebut merupakan aktiviti tahunan syarikat terbabit sejak 1996 dengan agihan dibuat pada setiap 1 Januari, Hari Pekerja 1 Mei dan Hari Kemerdekaan 31 Ogos.

Beliau berkata, pada tahun ini, pelbagai acara selingan seperti pertandingan melukis, makan aiskrim dan sumo turut diadakan.

Wednesday, January 6, 2010

Firma bioteknologi India labur RM97 juta di Seri Iskandar

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Sebuah firma bioteknologi India, Saamya Biotech (India) Ltd. (Saamya Biotech) merancang membuka kilang pembuatan produk farmaseutikal di Taman Farmasi, Seri Iskandar dekat sini mulai tahun depan.

Pengarah Urusannya, Dr. Y. Manevardan Reddy berkata, kilang yang dianggarkan bernilai kira-kira RM97 juta itu adalah usaha sama dengan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), PerakBio Corporation Sdn. Bhd. (PerakBio).

Beliau berkata, kilang di atas plot seluas 5.12 hektar berkenaan akan menghasilkan produk farmaseutikal seperti Tacrolimus, Rapamycin, Daunomycin dan Asid Hyaluronic yang merupakan bahan digunakan dalam pembuatan ubat-ubatan dan kos metik.

“Oleh kerana ia berteknologi tinggi, kilang terbabit hanya akan menghasilkan kira-kira 750 kilogram (kg) produk tersebut dalam setahun.

“Semua produk berteraskan bioteknologi dengan aplikasi teknologi fermentasi tersebut akan dieksport ke luar negara dan ia dijangka bakal menjana pendapatan kira-kira RM375 juta setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani Perjanjian Usahasama dengan Pengerusi PerakBio, Datuk Hamdi Abu Bakar. Turut hadir ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di sini semalam.

Perak cari 100 jenama unggul

IPOH - Yayasan Bakti Khidmat Masyarakat Malaysia (YBKMM) mencari 100 produk untuk di gazetkan sebagai jenama unggul negeri Perak.

Penolong Pengarah YBKMM cawangan Perak, Simon Neoh berkata, Pertandingan Amal 100 Jenama Unggul Perak 2010 yang dianjurkan pihaknya bertujuan untuk mengenalpasti pencapaian dan kejayaan usa hawan negeri tersebut.

“Selain mempromosi produk tempatan, kita mahu menarik minat golongan belia agar tidak berhijrah keluar dari Perak untuk mencari rezeki sebaliknya menceburi bidang keusa hawanan.

“Seratus produk usahawan tempatan yang cemerlang akan dipilih untuk menjadi contoh positif kepada golongan ini,” katanya kepada pemberita semalam.

Simon berkata, selain itu pemilihan Jenama Unggul Perak dibuat berdasarkan sumbangan pengusahanya terhadap pem bangunan masyarakat dan ia diadili oleh juri yang bertaraf antarabangsa.

Pengiktirafan tersebut terbahagi kepada beberapa kategori seperti makanan dan minuman, hasil kilang, kebudayaan, kesenian, teknologi dan perkhidmatan.

“Usahawan yang terpilih akan menerima sijil penghargaan, kursus peningkatan jenama secara percuma dan pakej per cutian ke Guilin, China yang majlis yang akan diadakan pada 7 Februari depan.

Individu berminat boleh memperolehi maklumat lanjut mengenai pertan dingan tersebut, orang ramai boleh melayari laman web www.ybkmmperak.org.

Monday, January 4, 2010

Zambry saman Suara Keadilan

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akh bar Suara Keadilan yang menfitnah beliau kononnya disyaki pengganas oleh kerajaan Amerika Syarikat dalam keluaran terbaru surat khabar itu baru-baru ini.

Beliau berkata, walaupun sebelum ini beliau banyak bersabar dengan tohmahan dan penghinaan yang banyak dilemparkan media pembangkang terhadapnya namun tindakan akhbar milik Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut kali ini sudah melampaui batas.

“Kalau saya ditahan dan dihantar pulang, siapa yang di laporkan hari-hari dalam akhbar dan televisyen sepanjang lawatan terbabit?.

“Betapa rendah tahap dan hinanya akhbar ini kerana langsung tidak mematuhi prinsip moral dan etika kewartawanan dalam pemberitaan. Saya telah berbincang dengan panel pe guam saya untuk menyaman Suara Keadilan,” katanya.

Suara Keadilan dalam keluaran terbarunya melaporkan, Zambry kononnya ditahan di Lapangan Terbang San Francisco, Amerika Syarikat sebelum dihantar pulang ke negara kerana mendakwa nama Menteri Besar Perak itu tersenarai sebagai pengganas ketika mengetuai misi pelaburan kerajaan negeri Perak ke negara tersebut baru-baru ini.

Zambry memberitahu beliau kini dalam proses berbincang dengan barisan peguamnya untuk menfailkan saman terbabit dalam tempoh tidak ditentukan lagi.

Beliau berkata, sebelum ini ada pihak yang mencadangkan beliau menyaman Suara Keadilan sebanyak lima sen sahaja bagi menunjukkan betapa rendahnya nilai pemberitaan akhbar itu.

“Namun, oleh kerana pemimpin mereka (Datuk Seri Anwar Ibrahim) suka saman orang lain dengan RM100 juta, kenapa saya tidak boleh saman mereka dengan RM100 juta juga,” katanya.

MB Perak janji bantu setinggan

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Dulu kawasan hartawan kini penempatan setinggan.

Kewujudan sebuah penempatan setinggan, Kampung Chan Tai Lee yang serba daif di tengah-tengah bandar raya ini me meranjatkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Beliau berkata, biarpun begitu hampir pusat bandar yang sedang pesat membangun, kehidupan 73 keluarga di Silibin itu cukup menyedihkan.

“Saya tidak pernah tahu kewujudan Kampung Chan Tai Lee. Hati saya amat tersentuh melihat nasib penduduk ini yang kebanyakan daif dan menetap di tempat tinggal yang tidak sempurna.

“Mereka perlu ditolong, kerajaan negeri berjanji akan ce pat-cepat selesaikan masalah penduduk kampung ini,” ka tanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Kampung Chan Tai Lee yang seluas 32.4 hektar atas inisiatif Persatuan Kebajikan Masyarakat Buntong (PKMB) dan MIC Perak semalam.

Zambry berkata, oleh kerana penempatan setinggan yang kini sudah berusia kira-kira 100 tahun itu berada di tanah per sendirian, perbincangan dengan pemilik tanah tersebut untuk pembangunan semula kawasan terbabit perlu dilakukan bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Sehubungan itu, beliau memberitahu Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim telah diarahkan untuk berhubung de ngan pewaris Chan Tai Lee yang kini dipercayai menetap di Britain dengan kadar segera.

“Kalau ini tanah kerajaan, saya yakin masalah ini boleh selesai hari ini (semalam) tapi sebab ia dibina tanah persendirian beberapa prosedur perlu diambil.

“Apa pun penderitaan penduduk Kampung Chan Tai Lee akan diselesaikan segera. Saya seru penduduk bersabar dan bersatu,” katanya.

Kampung Chan Tai Lee yang wujud sejak 1910-an mempunyai 73 keluarga yang menghuni 50 buah rumah di atas tanah milik persendirian milik pewaris hartawan, Chan Tai Lee.

Selain masalah kemiskinan tegar, penempatan setinggan yang berada di bawah seliaan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) itu tidak mempunyai sistem perparitan teratur.

Ia juga tidak mempunyai sistem kutipan sampah terurus selain berhadapan dengan masalah banjir kilat dan ancaman haiwan berbisa kerana dikelilingi belukar tebal.

Penduduk mendakwa aduan mereka tidak pernah dipeduli Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, A. Sub ramaniam dari DAP yang tidak pernah turun padang ke kawasan terbabit sejak memenangi pilihan raya umum pada Mac 2008.

Saturday, January 2, 2010

Kem Jejak Kerjaya 2 dapat sambutan pelajar

PENDEDAHAN. Seramai 140 pelajar tingkatan empat aliran sains menyertai Kem Jejak Kerjaya 2 di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Seri Iskandar, Perak baru-baru ini.

Pada tahun ini, kem kerjaya anjuran Petrosains, UTP dan Kementerian Pelajaran itu menyasarkan pelajar yang menetap di tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan di sekitar Pahang, Terengganu, Kelantan, Johor dan Negeri Sembilan.

Pada program selama empat hari tiga malam itu, peserta didedahkan dengan teknik baru pembelajaran sains dan matematik dan kerjaya dalam bidang petroleum dan gas.

Majlis penutupan kem tersebut disempurnakan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran, Datuk Zulkifly Mohd. Wazir.

Kartika ingin bertemu sultan


Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan MOHD. AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

IPOH - Bekas model, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, yang masih menunggu hukuman sebat ke atasnya sejak lebih lima bulan lalu berharap dapat bertemu Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bagi menyelesaikan kemelut tersebut.

Menurutnya, jika diberi peluang, dia mahu meluahkan tekanan perasaan yang dilalui kepada baginda selain ingin mengetahui sebab kelewatan pelaksanaan hukuman itu.

"Saya sama sekali tidak mahu hasrat ini disalah erti sebagai mahu meraih simpati daripada baginda tetapi semata-mata ingin menyelesaikan masalah yang membelenggu saya dan keluarga dengan kadar segera," katanya ketika menghubungi pejabat Kosmo! di sini semalam.

Kartika dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai tahun lalu setelah mengaku bersalah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai 2008.

Bagaimanapun, hukuman itu ditangguhkan pada saat-saat akhir ketika dia sepatutnya dibawa ke Penjara Kajang, Selangor dari Ipoh, Perak pada 24 Ogos lalu. Penangguhan itu dibuat dengan alasan perintah tahanan terhadapnya tidak dapat dilaksanakan dan sebagai menghormati bulan Ramadan.

Dalam pada itu, Kartika mengakui dia kini semakin tertekan kerana sedang dalam proses perceraian dengan suaminya, Mohamad Afandi Amir, 38.

Dia mengesahkan suaminya telah melafazkan cerai di rumah mereka di Singapura pada pertengahan tahun lalu namun tidak mengingati tarikh kejadian berkenaan.

“Saya kini dalam proses untuk menfailkan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Syariah Kuala Kangsar dalam masa ter dekat tetapi tidak pasti sama ada Mohamad Afandi yang kini berada di Singapura dapat hadir.

“Saya benar-benar tertekan kerana dan mohon jasa baik semua pihak termasuk pihak berkuasa agama di Pahang lihat sendiri nasib yang menimpa diri saya ini,” katanya.

Friday, January 1, 2010

Ejen kerja mati ditetak tiga lelaki

IPOH - Seorang ejen pencari kerja warga asing terbunuh sementara seorang rakannya yang merupakan kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) cedera parah setelah diserang sekumpulan lelaki di rumahnya di Taman Mas, Falim di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 9.15 malam itu, B. Shangar, 36, mati setelah mengalami kecederaan parah di kepala akibat ditetak dengan parang manakala rakannya N. Chandran Mohan, 33, cedera parah akibat serangan sama.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, ketika kejadian Shangar sedang membantu Chandran Mohan yang baru berpindah ke rumah sewa baru di taman perumahan terbabit.

“Tiba-tiba mereka didatangi tiga lelaki bertopeng yang ber senjatakan parang, berlaku pertengkaran melibatkan Shangar dan Chandran Mohan dengan sekumpulan lelaki tersebut sebelum mereka diserang dengan parang.

“Selepas menyerang kedua-dua mangsa, ketiga-tiga suspek melarikan diri dengan menunggang dua motosikal,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Azisman berkata, Shangar yang cedera parah di kepala mati di tempat kejadian sementara Chandran Mohan yang juga cedera parah di bahagian kepala sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

Beliau berkata, siasatan awal polis mempercayai kejadian tersebut berpunca daripada masalah dendam dan tidak mem punyai sebarang unsur samun.

“Setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat namun kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Azisman meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes tersebut agar menghubungi Ibu Pe jabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2451500 bagi membantu siasatan.