Translate
Wednesday, December 31, 2008
Pencapaian PMR SMK Seri Putra dipuji
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Walaupun pencapaian keputusan Penilaian Menengah Rendah ( PMR ) Sekolah Menengah Kebangsaan ( SMK ) Seri Putra , Kepayang di sini agak sederhana tapi sekolah berkenaan tetap mendapat pujian.
Pujian itu diterima Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Perak atas kejayaan meningkatkan prestasi calon.
Pengarah JPN Perak, Mohd. Radzi Abd. Jabar (gambar) berkata, ini kerana tahap kelulusan calon PMR SMK Seri Putra naik sebanyak 19.67 peratus dan ia merupakan peningkatan tertinggi di antara 226 sekolah menengah di seluruh negeri ini.
"Peratusan kelulusan sekolah itu meningkat kepada 51.04 peratus berbanding cuma 31.37 peratus pada tahun lalu. Biarpun sederhana namun kejayaan melakukan lonjakan pencapaian PMR tahun ini harus dipuji," katanya pada sidang media pengumuman keputusan PMR peringkat Perak di sini semalam.
Dalam pada itu, Mohd. Radzi berkata, keputusan keseluruhan PMR Perak menunjukkan sedikit peningkatan dengan 2,591 calon dari Perak mencatat keputusan gred A dalam semua mata pelajaran.
Mohd. Radzi berkata, ia merupakan peningkatan 1.1 peratus daripada pencapaian tahun lalu dan 6.11 peratus daripada 41,676 calon yang menduduki peperiksaan berkenaan pada tahun ini.
Dalam pada itu beliau berkata, sebanyak 25,701 calon atau 61.67 peratus daripada keseluruhan calon yang menduduki peperiksaan PMR 2008 memperoleh pencapaian minimum D dalam semua mata pelajaran yang diambil.
"Lapan sekolah menengah di negeri ini juga telah mencatat keputusan cemerlang dengan mencapai keputusan kelulusan seratus peratus," ujarnya.
Kelapan-lapan sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah (Seratas); Sekolah Menengah Tuanku Abdul Rahman (Star); Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (Semesti).
Tiga lagi sekolah cemerlang ialah Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gopeng, Sekolah Menengah Kebangsaan ( SMK ) Taman Tasik, Taiping dan SMK Agama Sultan Azlan Shah, Seri Iskandar.
"Secara keseluruhannya keputusan PMR bagi negeri Perak bagi tahun ini mempamerkan prestasi yang memberangsangkan dengan terdapat peningkatan dari segi kualiti terutamanya dalam subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains," kata Mohd. Radzi.
Tiada persembahan pentas dan bunga api
Pegawai Perhubungan Awam MBI, Normala Latiff berkata, pihaknya memutuskan untuk mengeluarkan dua acara tersebut saat-saat akhir bagi menghormati kemangkatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Almarhum Tuanku Ja'afar, Sabtu lalu.
"Bagaimanapun sambutan Ambang 2009 tetap diteruskan di Stadium Indera Mulia di sini bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam.
"Biar pun tanpa acara hiburan, orang ramai tetap berpeluang untuk mengunjungi pameran jelajah agensi kerajaan dan jualan daripada industri kecil dan sederhana sempena sambutan tersebut," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Normala seterusnya memberitahu, antara agensi kerajaan yang mengambil bahagian ialah Jabatan Imigresen, Jabatan Tenaga Kerja, polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Beliau berkata, selain itu, orang ramai juga berpeluang membayar kompaun trafik pada kadar diskaun di gerai pameran MBI yang turut disediakan sepanjang program tersebut.
"Saya harap warga bandar raya ini dapat datang beramai-ramai bagimemeriahkan sambutan ambang 2009 ini," katanya.
Tuesday, December 30, 2008
Muhammad Rivai Tokoh Maal Hijrah
Beliau yang juga ahli jawatankuasa fatwa negeri itu dipilih menerima anugerah berkenaan berdasarkan sumbangan dan dedikasinya pada perkembangan Islam sejak 1973.
"Saya dengan rendah hati bersyukur dengan pengiktirafan ini. Bagi saya, kerja-kerja dakwah yang dilakukan selama ini masih terlalu kecil kerana ia hanya sebahagian daripada tanggungjawab saya sebagai seorang Muslim," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima anugerah tersebut yang disempurnakan Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.
Muhammad Rivai menerima hadiah wang tunai RM13,000, pakej menunaikan umrah, piala dan sijil penghargaan sumbangan Kerajaan Negeri Perak dan Majlis Agama Islam Perak.
Beliau yang juga Timbalan Rektor di Universiti Islam Sumatera Utara pulang ke Perak pada 1973 dan sejak itu tidak pernah berhenti menabur bakti dalam kerja-kerja dakwah terutama dalam bidang pendidikan.
Bapa kepada lapan cahaya mata itu juga aktif dalam bidang penulisan dan terjemahan dan antara karya-karyanya ialah Gejala Sosial, Pendekatan Islam ke Arah Penyelesaian Menyeluruh dan Kebahagiaan Rohani.
Dalam pada itu, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Nordin, 68, turut dipilih penerima anugerah khas sempena sambutan tersebut dan menerima hadiah RM5,000.
Sungai Siput banjir lagi
Kelima-limanya, Kampung Lasah, Kampung Trosor, Kampung Pulau Mentimum dan Kampung Lintang dan Kampung Tok Sirat dinaiki banjir sedalam kira-kira 1.5 meter sejak awal pagi semalam.
Seorang penduduk, Ahmad Faizul Zarizan, 31, dari Kampung Lasah berkata, seperti biasa, banjir berpunca daripada limpahan sungai berkenaan ekoran hujan lebat yang turun sebelum itu.
"Ekoran hujan lebat yang turun selama lapan jam semenjak pukul 8 malam semalam (kelmarin), air Sungai Pelus melimpah dan menenggelamkan sebahagian rumah penduduk termasuk rumah saya mulai pukul 7 pagi.
"Ia kali kelapan kampung kami dilanda banjir dan boleh dikatakan ia antara yang terburuk kerana kali ini, lebih 30 buah rumah telah separuh tenggelam," katanya kepada Kosmo! semalam.
Seorang lagi penduduk, Noor Mohamad, 32, berkata, mereka bukan sahaja kehilangan harta benda malah terputus hubungan ekoran sebahagian jalan raya ditenggelami banjir .
"Beberapa ladang kelapa sawit dan getah milik penduduk kampung juga dinaiki banjir . Kami rayu kerajaan negeri segera ambil tindakan agar masalah banjir ini segera diatasi," katanya.
Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Siput, Datuk Zulkifly Harun berkata, semua mangsa banjir terbabit dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Kampung Lasah di sini sementara menunggu banjir surut.
Beliau berkata, 100 rumah di kampung berkenaan dimasuki banjir namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
Kosmo! 19 Disember lalu melaporkan, penduduk kampung terbabit mendesak kerajaan negeri supaya segera mendalamkan Sungai Pelus kerana ia dikatakan punca banjir kilat kerap berlaku di situ.
Monday, December 29, 2008
MBI tetap anjur sambutan 2009
Datuk Bandar Ipoh, Roshidi Hashim berkata, pihaknya telah diarahkan kerajaan negeri untuk meneruskan sambutan tersebut.
"Sambutan Ambang Tahun Baru peringkat Perak yang juga akan dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Nizar Jamaluddin akan diadakan di Dataran MBI mulai 10.15 malam.
"Walaupun aturcara sambutan itu masih lagi disusun namun saya difahamkan ia akan disambut secara sederhana dan berhemah," katanya di sini semalam.
Saturday, December 27, 2008
Tiada pemilihan ketua kampung baru Cina - MB
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Berbeza dengan pengumuman sebelum ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, tiada pemilihan ketua kampung melibatkan 133 kampung baru Cina di negeri ini.
Menurutnya, kerajaan negeri Perak memutuskan ketua kampung baru dilakukan secara lantikan dan mengarahkan proses penamaan calon Ketua Kampung Baru Gunung Rapat yang sepatutnya diadakan hari ini dibatalkan.
"Ingin saya memperbetulkan pengumuman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Chan Ming Kai sebelum ini, kerajaan negeri menerusi mesyuarat Exco baru-baru ini membuat ketetapan tiada pemilihan ketua kampung baru, sebaliknya ia dipilih secara lantikan dua tahun.
"Sehubungan itu, mana-mana pihak termasuk parti dalam Pakatan Rakyat tidak dibenarkan mengadakan pemilihan tersebut," katanya di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.
Sebelum ini, Ming Kai mengumumkan proses penamaan calon Ketua Kampung Baru Gunung Rapat di sini akan diadakan hari ini dan terbuka kepada penduduk perkampungan itu yang berusia 21 hingga 75 tahun termasuk bekas banduan.
Dalam sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu lalu, beliau dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, sekiranya ada pertandingan, proses pengundian akan dilaksanakan pada 1 Januari ini.
Mohammad Nizar berkata, sekiranya berlaku pemilihan ketua kampung baru negeri ini pada masa depan, ia berdasarkan kriteria tertentu dan sudah pasti individu yang mempunyai rekod jenayah tidak akan dilantik.
Ujarnya, walaupun pemilihan ketua kampung tradisional negeri ini telah dilakukan beberapa bulan lalu namun ia tidak diterima pakai dalam pelantikan ketua kampung baru.
Razali dinobat Raja Toman
Beliau dari Gunung Semanggol di sini mengatasi lebih 200 peserta lain setelah berjaya menaikkan ikan toman seberat 3.21 kilogram (kg) dalam pertandingan memancing anjuran Jabatan Pertanian itu.
Selaku juara, Mohd. Razali merangkul hadiah wang tunai RM1,000 dan baucer penginapan dua hari satu malam di bilik Studio Suite, Kampung Air, BMLR yang bertaraf lima bintang.
Tambah bererti, ia adalah kemenangan pertama Mohd. Razali setelah menyertai banyak pertandingan memancing sebelum ini.
"Sebelum ini sebagai kaki pancing, saya telah sertai ber puluh-puluh pertandingan memancing namun tak pernah mun cul juara.
"Sebenarnya sebelum ini ketika memancing saya seboleh-bo lehnya mengelak dari mendapat ikan toman . Namun hari ini (kelmarin), saya cuba nasib sertai Cabaran Toman anjuran BMLR ini. Tak sangka muncul menang pula," katanya kepada Kosmo!.
Beliau ditemui selepas menerima hadiah kemenangan daripada Pengurus Besar dan Hal Ehwal Tanah, Kumpulan Emkay Berhad, Holil Dahalan di sini kelmarin.
Cabaran Toman yang julung kali dianjurkan pengurusan taman tema itu bermula dari 8 pagi hingga 1 tengah hari dan setiap peserta dikenakan yuran penyertaan sebanyak RM20.
Tempat kedua dan ketiga pula dimenangi oleh Idris Baharin dari Kamunting, Taiping dan Ahmad Sazali Ariffin dari Batu 11 di sini.
Thursday, December 25, 2008
Kekal status milik tanah
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Kerajaan Perak tetap dengan keputusannya memberi status hak milik tanah pegangan kekal kepada penduduk kampung baru dan kampung tersusun biar pun masih tidak mendapat kelulusan Majlis Tanah Negara (MTN).
Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Ngeh Koo Ham mendakwa, keputusan itu tidak bertentangan peruntukan undang-undang sedia ada.
"Berdasarkan Seksyen 76, Kanun Tanah Negara, kerajaan negeri boleh memberikan status hak milik tanah pegangan kekal atas tiga faktor termasuk kes-kes istimewa yang merupakan asas utama keputusan ini dibuat.
"MTN tidak mempunyai sebarang kuasa untuk campur tangan dan sehubungan itu, kerajaan negeri mengarahkan semua pejabat tanah dan galian di negeri ini untuk memproses permohonan tanah berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media yang turut disertai Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin di sini semalam.
Bagaimanapun, Koo Ham memberitahu tindakan kerajaan negeri tidak bertujuan untuk membelakangi MTN dan oleh itu satu laporan mengenai perkembangan proses pemberian status tanah itu akan diserahkan kepada agensi terbabit dalam masa terdekat.
Mohammad Nizar pula memberitahu setakat ini, kerajaan negeri menerima 91 permohonan daripada penduduk dan semua permohonan itu dijangka diluluskan dalam beberapa hari lagi.
Oleh itu, beliau berharap penduduk kampung baru dan kampung tersusun lain dapat menghantar permohonan terbabit kepada PTG dalam kadar segera tanpa menghiraukan keputusan MTN.
Kelmarin Pengerusi MTN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, cadangan kerajaan negeri tidak boleh dilaksanakan sehingga ia diputuskan MTN.
Tuesday, December 23, 2008
Perlu sertai kempen harga
azli.adlan@kosmo.com.my
TELUK INTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mahu lebih banyak pengusaha pasar raya di luar bandar menyertai Kempen Penurunan Harga.
Menterinya, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, penyertaan mereka dalam kempen itu diyakini dapat memberi kesan meluas kepada pengguna terutamanya yang berpendapatan rendah
"Dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu, kuasa pembeli dan pengguna terutamanya di bandar kecil dan luar bandar semakin lemah.
"Jika pengusaha pasar raya terbabit terus mengambil kesempatan menjual barangan pada harga tinggi, yang akan rugi nanti ialah peniaga sendiri kerana pengguna semakin tidak berkemampuan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kempen Penurunan Harga Barang di pasar raya TF Value-Mart di sini semalam.
Sepanjang kempen yang akan berlanjutan hingga Mei depan itu, sebanyak kira-kira 1,000 produk termasuk barangan makanan dan produk penjagaan diri di pasar raya tersebut mengalami penurunan hingga 40 peratus.
Shahrir berkata, sejak dilancarkan Oktober lalu, sebanyak 16 pengusaha pasar raya mengambil bahagian dan ia memberi kesan positif kepada pengguna.
Dalam pada itu, Shahrir memberitahu kementeriannya optimis lebih banyak penurunan harga barangan keperluan akan dirasai pengguna mulai awal tahun depan.
Katanya, ia berikutan rundingan kementeriannya bersama pengeluar dan pembekal barangan berkenaan yang diadakan baru-baru ini menunjukkan perkembangan positif.
"Rata-rata pengeluar terbabit memberi jaminan akan menurunkan harga produk masing-masing dalam masa terdekat setelah barang mentah semakin murah berikutan penurunan harga minyak.
"Kementerian akan susul sekali lagi dengan pihak terbabit dalam masa terdekat untuk pastikan penurunan harga barangan keperluan itu benar-benar dapat direalisasikan," katanya.
Monday, December 22, 2008
Masjid Klebang Restu siap Mac depan
Ahli Parlimen Tambun, Datuk Husni Hanadzlah berkata, Masjid Klebang Restu yang dianggar bernilai kira-kira RM2 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada Mac depan.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, masjid berkenaan merupakan terbesar di Parlimen Tambun dan boleh memuatkan kira-kira 1,500 jemaah pada satu-satu masa.
"Difahamkan sebelum ini, penduduk taman perumahan ini perlu ke masjid lain yang jauhnya kira-kira 10 kilometer untuk menunaikan solat Jumaat, solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha.
"Diharapkan setelah siapnya masjid ini yang didirikan di atas tanah seluas 0.81 hektar, keperluan ibadat penduduk setempat dan sekitar semakin mudah terutama golongan warga emas," katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau perkembangan projek pembinaan masjid berkenaan yang turut dihadiri wakil kontraktor binaan terbabit, Ekram Builders Sdn. Bhd. di sini semalam.
Pembinaan dimulakan sejak Mac lalu kini sudah siap 53 peratus siap dan dijangka memerlukan tiga bulan lagi untuk siap sepenuhnya.
Husni berkata, lokasi masjid berkenaan strategik iaitu terletak di tengah-tengah taman perumahan, juga dirancang sebagai pusat aktiviti sosial dan masyarakat penduduk terbabit yang kebanyakan beragama Islam.
Rakan dihanyut arus depan mata
"Sebaik dia terjun ke dalam longkang itu, dia terus terkapai- kapai sebelum hilang."
Demikian cerita S. Ganesh, 16, yang menyaksikan rakannya, G. Saravanan, 16, yang hilang selepas terjatuh ke dalam longkang besar di Taman Pertama di sini pukul 4.30 petang semalam.
Sebelum kejadian, katanya, dia bersama Saravanan serta beberapa rakan lain bermain bola sepak di sebuah padang bola tidak jauh dari longkang itu.
"Sedang bermain, bola tersebut terjatuh ke dalam longkang dan Saravanan berkeras mahu dapatkan semula bola tersebut," kata- nya yang mengharapkan rakannya akan ditemui selamat.
Ujarnya, bukan dia seorang yang menghalang Saravanan mengambil bola itu, malah rakan-rakan lain juga menasihati agar dia melupakan saja bola tersebut.
"Saravanan yang tidak peduli dengan nasihat kami terus terjun ke dalam longkang sebelum dia hilang," katanya.
Ekoran kejadian itu katanya, dia terus menghubungi keluarga Sara- vanan yang tinggal di Jalan Pasar, Buntong di sini sebelum memaklumkan pula kepada bomba.
Sementara itu, bapa mangsa, K. Govindasamy, 44, berkata, dia dan isteri- nya, R. Janagi terus ke longkang tersebut untuk melihat keadaan anaknya.
"Mulanya saya ingat Saravanan mungkin cedera saja selepas terjatuh ke dalam longkang, rupa-rupa dia hilang," katanya.
Menurutnya, hingga pukul 8 malam tadi, Saravanan belum ditemui.
Saturday, December 20, 2008
Ipoh cadang guna sistem saliran Fukuoka
Beliau yang juga Ketua Jurutera Bandar Raya Fukuoka , berkata berdasarkan tinjauannya sistem saliran bandar raya Ipoh di sini agak ketinggalan dan ia dikhuatiri tidak dapat menampung kapasiti air hujan yang semakin meningkat.
"Seperti juga Fukuoka , kebanyakan sistem saliran di bandar raya ini telah direka bentuk lebih puluhan tahun dulu dan hanya boleh menampung air hujan kira-kira 49 milimeter (mm) sehari.
"Sedangkan akibat fenomena pemanasan global, taburan hujan telah meningkat sehingga 52mm sehari.
"Sehubungan itu kajian tentang sistem pembentungan, kolam tada- han dan tebatan banjir di sini sedang dilakukan bagi menge- lakkan masalah berbangkit seperti banjir kilat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas diperke- nalkan bersama seorang lagi rakan sejawatnya, Inoue Fumito oleh Pemangku Setiausaha Majlis Bandar Raya Ipoh (MBI), Datuk Abdul Rahim Md. Ariff di sini semalam.
Mereka akan berada di bandar raya ini selama 18 hari sehingga 22 Disember ini bagi berkongsi kepakaran dalam pengurusan sistem air kumbahan, pembentungan, kolam tadahan dan tebatan banjir di bawah tajaan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA).
Osamu berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan jurutera dari MBI berhubung kemungkinan untuk menggunakan teknologi saliran yang diguna pakai di Fukuoka .
Beliau berkata, kajian mendalam diperlukan kerana pada dasarnya taburan hujan di bandar raya ini adalah tiga kali ganda lebih banyak berbanding bandar raya besar di Jepun.
"Di Ipoh, taburan hujan mencecah kira- kira 3,000mm setahun sedangkan Fukuoka cuma menerima 1,000mm dalam tempoh sama," katanya.
Restoran wajib pasang penapis minyak, sisa
Pemangku Setiausaha MBI , Datuk Abdul Rahim Md. Ariff berkata, langkah tersebut terpaksa dilaksanakan bagi mengatasi masalah pencemaran air di beberapa lembangan sungai seperti Sungai Kinta, Sungai Pinji dan Sungai Pari yang mengalir di bandar raya ini.
"Kajian MBI mendapati sekurang- kurangnya 75 peratus daripada sisa minyak dan kumbahan yang mencemarkan sungai-sungai terbabit dilepaskan oleh premis restoran.
"Sehubungan itu, mulai tahun depan semua pengusaha restoran diwajibkan memasang sistem penapis minyak dan sisa buangan sinki sebagai prasyarat utama kelulusan permohonan memperbaharui lesen perniagaan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian selepas memperkenalkan dua jurutera kanan dari Fukuoka, Jepun, Kannonji Osamu dan Inoue Fumito serta wakil Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA), Murakami Kaori di sini semalam.
Kedua-dua pakar pengurusan sali- ran Jepun itu berada di bandar raya ini sejak 5 Disember lalu untuk berkongsi kepakaran teknikal dalam pengurusan sistem air kumbahan, pembentungan, kolam tadahan dan teba- tan banjir.
Abdul Rahim memberitahu, program perkongsian kepakaran teknikal antara bandar raya ini dan Fukuoka dimulakan sejak tahun lalu dan ia di- biayai sepenuhnya oleh sebuah agensi kerajaan Jepun.
Thursday, December 18, 2008
Perak guna air bawah tanah
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Kerajaan negeri berhasrat untuk mengurangkan kebergantungan kepada air sungai sebagai sumber bekalan air bersih kepada penduduk, sebaliknya mahu memanfaatkan potensi air bawah tanah .
Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jalamuddin berkata, ia dapat direalisasikan apabila fasa pertama projek penggalian air bawah tanah di daerah Batang Padang yang dikendalikan Sime Darby Berhad selesai pada 2010.
"Berdasarkan beberapa kajian yang dilakukan sebelum ini, daerah Batang Padang sememangnya kaya dengan sumber air bawah tanah yang selamat diminum dan sesuai dikomersialkan.
"Difahamkan menjelang 2010, 500 juta meter padu sumber air itu dapat diproses setiap hari. Oleh itu, kerajaan negeri berhasrat untuk memanfaatkan sebahagian daripadanya untuk disalurkan kepada rakyat melalui Lembaga Air Perak (LAP)," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat perkembangan projek menggali air bawah tanah itu yang turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid di sini semalam.
Mohammad Nizar berkata, sehubungan itu, kerajaan negeri mensasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada bekalan air bersih di negeri ini menjelang 2011 diperoleh daripada sumber baru itu.
Bagaimanapun katanya, pada masa depan penggunaan sumber air alternatif itu sebagai sumber air bersih negeri ini disasarkan mampu mencecah 60 peratus.
Dalam pada itu, Ahmad Zubir berkata, setakat ini Sime Darby telah mengenalpasti sekurang-kurang 97 tapak di sekitar Sungkai dan Ulu Slim yang berpotensi tinggi untuk digerudi bagi mendapatkan bekalan air bawah tanah .
"Buat masa ini, 50 telaga dalam kawasan estet milik Sime Darby di daerah berkenaan telah dikenal pasti dan kerja-kerja penggerudian baki telaga terbabit dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2010," katanya.
Wednesday, December 17, 2008
JPN 'halau' wartawan ketika Operasi MyDaftar
IPOH - Program Operasi MyDaftar anjuran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak di Dewan Bandaran di sini semalam kecoh apabila pengamal media dihalang daripada membuat liputan.
Beberapa jurugambar yang sedang mengambil gambar perjalanan program yang bertujuan untuk membantu individu negeri ini yang mengalami masalah status warganegara, 'dihalau' oleh beberapa pegawai agensi itu termasuk Pengarahnya, Mohd. Sufian Omar.
Senario itu menyebabkan wakil media yang menerima undangan untuk membuat liputan program berkenaan terpinga-pinga menyebabkan Ketua Biro akhbar Tamil Nesan, S. Bala, 47, cuba memberi penjelasan.
Namun Mohd. Sufian enggan menerima penjelasan itu dan mendakwa keputusannya tidak membenarkan media membuat liputan program anjuran jabatannya kononnya kerana bimbang kenyataannya disalah tafsir.
Jawapan itu telah menyebabkan Bala yang juga Penolong Setiausaha Kelab Akhbar Perak naik angin dan 'bertegang leher' dengan Pengarah JPN itu.
"Kami (pengamal media) dijemput dan liputan hanya bertujuan memberi publisiti positif dan membuktikan JPN Perak 'buat kerja' membantu menyelesaikan isu melibatkan kepentingan ramai.
"Saya tak faham kenapa JPN Perak tidak benarkan liputan dibuat pada program awam yang juga diadakan di premis awam seperti ini," katanya.
Melihat reaksi Bala itu, Mohd. Sufian akhirnya membenarkan pengamal media menemuramah beberapa individu mempunyai masalah dokumen pengenalan diri yang terlibat dalam program itu.
Namun kebenaran untuk sesi temuramah itu hanya dibenarkan dibuat di luar Dewan Bandaran dan Mohd. Sufian enggan memberitahu apa-apa maklumat lain mengenai program berkenaan.
Sepatutnya Program Operasi MyDaftar itu dirasmikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar tetapi difahamkan beliau tidak dapat hadir pada saat-saat akhir dan perjalanan program itu dipantau Mohd. Sufian.
Pengendali pelaburan bukan 'Datuk'
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Raja Musa Raja Razak berkata, lelaki itu sebenarnya cuma orang biasa berusia 50-an yang berasal dari Kulim, Kedah.
Beliau berkata, siasatan juga mendapati lelaki berkenaan telah menjadikan Selama kira-kira 130 kilometer dari sini sebagai pusat operasi skim pelaburan 'alam bunian' itu yang kini sudah menjalar hingga ke Pulau Pinang dan Kedah.
"Pihak polis telah membuka kertas siasatan mengenai kes ini setelah menerima laporan yang dilakukan dua individu dari Selama mengenai kegiatan skim pelaburan meragukan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping minggu lalu," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Raja Musa berkata, berdasarkan laporan pengadu dan siaatan awal polis, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat elemen penipuan melibatkan berjuta-juta ringgit di sebalik skim pelaburan berkenaan.
Kosmo! sejak Ahad lalu membongkar kegiatan seorang lelaki yang mendakwa dirinya bergelar 'Datuk' telah memperdaya orang ramai untuk menyertai skim pelaburan 'alam bunian Puteri Jasnita' yang kononnya mampu memberi pulangan jutaan ringgit kepada pelaburnya.
Wartawan Kosmo! rugi cermin kereta dipecah
Dalam kejadian pukul 6.20 petang itu, cermin belakang sebelah kanan kenderaan berwarna hitam itu dipecah sebelum kotak menyimpan duit syiling yang mengandungi kira-kira RM20 dilarikan.
Kumara berkata, selain itu, sebuah beg yang mengandungi 40 cakera padat (CD) lagu-lagu Tamil turut hilang dipercayai dilarikan pencuri terbabit.
Katanya, kejadian itu disedari seorang kakitangan Jabatan Pemasaran Utusan Melayu yang kebetulan melalui kawasan itu dan terlihat serpihan kaca bertaburan di atas jalan di sisi keretanya.
"Selepas dimaklumkan kejadian itu, saya bergegas ke kereta dan mendapati satu cermin telah pecah dengan serpihannya bertaburan di atas tanah.
"Apabila diperiksa, saya dapati kotak menyimpan duit syiling dan beg menyimpan CD yang diletakkan di bahagian hadapan tempat duduk kereta telah hilang," katanya semalam.
Kumara kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Pekan Baru di sini yang terletak kira-kira 100 meter dari pejabat Kosmo!
Beliau memberitahu, telah menggantikan cermin kereta yang dipecahkan itu di sebuah bengkel membaiki kereta di Jalan Bendahara di sini semalam.
"Apa yang saya kesalkan, walaupun nilai kecurian duit syiling tak sampai RM20 tetapi saya rugi RM60 semata-mata menggantikan cermin kereta yang pecah," katanya.
Difahamkan kejadian memecah cermin kereta untuk mencuri barang berharga itu adalah kali kedua dalam tempoh tiga minggu di tempat letak kereta sama dan sebelum ini ia melibatkan kenderaan milik seorang kakitangan Utusan Media dan Sales (UMES) Ipoh.
20 tahun tiada Mykad
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Gara-gara ibu bapa tidak mendaftarkan perkahwinan, tiga beradik 'menderita' lebih 20 tahun kerana gagal memiliki taraf kewarganegaraan.
Kaliamma Yusof Ali, 27, Mariama, 23, dan Mani, 21, dari Chemor dekat sini menghadapi pelbagai masalah dalam kehidupan mereka setelah permohonan untuk mendapat kad pengenalan sering ditolak.
Kaliamma berkata, ketiadaan sijil perkahwinan menyebabkan sijil kelahiran beliau dan adik-beradiknya tidak lengkap sekali gus menyukarkan proses mendapatkan kad pengenalan.
Beliau berkata, sijil kelahiran yang tidak mencatatkan keturunan dan taraf warganegara menyebabkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sukar memproses permohonan kad pengenalan mereka.
"Kami umpama pendatang asing di negara sendiri. Masalah tiada kad pengenalan ini telah menyebabkan kami ditimpa banyak masalah termasuk tidak mendapat pendidikan sempurna dan sukar mendapat pekerjaan.
"Saya gembira JPN adakan program seperti ini yang dapat membantu kami dan harap masalah ini akan selesai dengan segera," katanya kepada Kosmo!
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Operasi MyDaftar bersama-sama Mariama dan Mani di Dewan Bandaran di sini semalam.
Program anjuran JPN Perak itu bertujuan untuk membantu individu negeri ini yang mengalami masalah status warganegara gara-gara lewat mendaftarkan kelahiran dan kad pengenalan masing-masing.
Pada program itu, sebelum permohonan kad pengenalan dan sijil kelahiran masing-masing diluluskan, individu terlibat perlu mengemukakan dokumen sokongan dan ditemuduga oleh pegawai JPN.
Dianggarkan lebih 100 penduduk dari seluruh Perak menyertai program itu.
Kaliamma berkata, selain sekadar bersekolah hingga darjah empat, ibu kepada dua anak ini memberitahu masih gagal mendaftarkan perkahwinannya yang sudah mencecah usia 10 tahun gara-gara tidak mempunyai kad pengenalan.
Sementara itu, Mani yang bekerja sebagai buruh binaan memberitahu pernah dua kali ditahan pihak berkuasa gara-gara disangka Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) namun dibebaskan kemudiannya setelah menunjukkan sijil kelahiran.
Tuesday, December 9, 2008
Awas anggota sindiket menyamar pegawai polis
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Orang ramai dinasihat supaya tidak terpedaya dengan kegiatan sindiket yang menyamar sebagai pegawai polis bagi melakukan penipuan melibatkan akaun bank yang kini dilaporkan sedang berleluasa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak , Asisten Supritendan Amarjit Singh berkata, biasanya anggota sindiket berkenaan akan membuat panggilan telefon kepada mangsa dengan memperkenalkan diri kononnya pegawai polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.
Beliau berkata, anggota sindiket berkenaan akan mendakwa berdasarkan siasatan, akaun bank yang didaftarkan dengan nama dan kad pengenalan mangsa didapati terlibat dalam kegiatan penipuan antarabangsa termasuk melibatkan cek palsu.
"Kemudiannya mangsa terbabit akan diarahkan untuk menghubungi pihak lain yang kononnya Polis Hong Kong menerusi talian mengandungi 13 hingga 15 angka yang bermula dengan nombor 00852.
"Setelah dihubungi, mangsa akan diberitahu akaun mangsa kononnya akan dibekukan bagi tujuan siasatan oleh Bank Negara. Oleh itu, mangsa telah diarahkan agar memindahkan semua wang dalam akaunnya ke dalam suatu akaun lain yang diberikan," katanya kepada Kosmo! semalam.
Amarjit berkata, setelah mangsa terbabit menuruti arahan sindiket berkenaan, semua duit dalam akaunnya akan lesap tanpa dapat dikesan.
Beliau berkata, sejak tahun lalu, Polis Perak telah menerima 16 kes seperti itu dan ia melibatkan kerugian kira-kira RM81,800.
"Modus operandinya hampir sama dan siasatan kami mendapati kebanyakan sasarannya ialah ahli pernia- gaan kaum Cina di hampir seluruh bandar di Perak terutamanya Ipoh, Taiping, Manjung dan Teluk Intan," katanya.
Sehubungan itu, Amarjit meminta orang ramai yang dihubungi oleh anggota sindiket berkenaan agar segera melaporkannya kepada pihak polis .
Monday, December 8, 2008
34 Kanak-Kanak Diarak Sebelum Berkhatan
Dalam majlis berkhatan beramai-ramai anjuran Rukun Tetangga Kampung Manjoi itu, lori yang membawa kanak-kanak berkenaan turut diiringi oleh kumpulan pemuzik tradisional.
Pengerusi Rukun Tetangga Kampung Manjoi , Jaafar Uthman, 48, berkata, kanak-kanak terbabit diarak mengelilingi kampung tersebut yang juga merupakan perkampungan Melayu terbesar di negara ini.
"Jika sebelum ini, kanak-kanak diarak dengan berjalan kaki atau didukung oleh bapa masing-masing, kali ini kami memilih untuk mengarak mereka dengan lori sebelum dikhatankan.
"Kanak-kanak tersebut dibawa mengelilingi seluruh Kampung Manjoi agar mereka akan sentiasa ingat peristiwa bersejarah ini dan tidak melupai kampung halaman mereka setelah dewasa kelak," katanya.
73 pelajar asing UTP rasai kehidupan tradisi Melayu
Mereka yang menyertai Program Misi Kesedaran (MAP) anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Unit Pelajar Antarabangsa, Jabatan Hal Ehwal Pelajar universiti tersebut turut menginap di rumah keluarga angkat masing-masing sepanjang program tersebut.
Salah seorang peserta, Batyr Emirhanov, 23, dari Turkmenistan berkata, penyertaannya dalam program berkenaan membolehkan beliau lebih memahami adat, budaya dan cara hidup masyarakat negara ini.
Beliau yang merupakan pelajar tahun tahun pertama Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia berkata, kesempatan bergaul dengan penduduk kampung terutamanya ahli keluarga angkat digunakan sebaiknya untuk menguasai bahasa Melayu.
"Sebenarnya saya akan mengambil subjek Bahasa Kebangsaan pada semester depan. Pada program ini, bolehlah saya buat serba sedikit persediaan dengan belajar beberapa perkataan bahasa Melayu mudah daripada penduduk setempat," katanya kepada Kosmo! semalam.
Seorang lagi peserta, Saidolim Saidankhrorov, 23, dari Uzbekistan pula tidak dapat melupakan pengalaman berharga belajar memasak lemang bersama-sama penduduk kampung.
"Saya belajar dari proses awal membersihkan buluh, memasukkan pucuk pisang dan beras pulut ke dalam buluh hingga ke proses membakar.
"Ternyata setelah dimasak, rasa makanan tradisional Melayu sungguh lazat," kata pelajar Sarjana Kejuruteraan Kimia berkenaan.
Sementara itu, pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Kimia, Nadia Riaz, 28, dari Pakistan berkata, beliau telah dibawa oleh keluarga angkatnya melawat beberapa tempat menarik di bandar Taiping seperti Hutan Paya Bakau Matang, Kolam Air Panas Perubatan Trong dan Kuala Sepetang dekat sini.
Beliau yang baru tiga bulan berada di negara ini bercadang untuk melawat tempat tersebut dan menziarahi keluarga angkatnya semula pada masa depan.
MBI intip dan saman
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Ekoran laporan Kosmo! baru-baru ini tentang kewujudan longgokan sampah haram dalam kuantiti besar di hentian bas Jalan Ekram di sini, Majlis Bandaraya Ipoh ( MBI ) mula bertindak bagi mengatasi masalah tersebut.
Pegawai Perhubungan Awam MBI , Normala Latiff berkata, beberapa pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) itu telah diarahkan untuk memantau masalah berkenaan.
Beliau berkata, sejak 3 Disember lalu, beberapa penguat kuasa MBI yang berpakaian biasa telah ditugaskan untuk mengintip sebarang kegiatan pembuangan sampah haram di situ.
"Berdasarkan intipan tersebut, dua lelaki termasuk seorang warga emas berusia 57 tahun yang menetap berhampiran hentian bas itu ditahan kerana membuang sampah di kawasan berkenaan pada 4 Disember lalu.
"Mereka masing-masing telah dikenakan kompaun serta-merta sebanyak RM250," kepada Kosmo! semalam.
Kosmo! 2 Disember lalu melaporkan perbuatan orang ramai termasuk peniaga melonggokkan sampah di depan hentian bas Jalan Ekram bukan sahaja memalukan imej bandar raya ini malah menyesakkan pandangan.
Tinjauan Kosmo! mendapati bukan sahaja sampah harian diletakkan di situ malahan beg-beg sampah hitam berisi botol minuman keras turut dilonggokkan di tepi hentian bas itu.
Sehubungan itu, Normala mengingatkan orang ramai agar tidak membuang sampah merata-rata.
Saturday, December 6, 2008
Tiga lelaki terlepas hukuman gantung
Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Tiga lelaki terlepas daripada tali gantung setelah Mahkamah Tinggi di sini semalam membebaskan mereka daripada tuduhan mengedar dadah pada 2005.
Hakim Muhamad Ideres Muhamad Rafee memerintahkan Tang Kan Wah, 52, Loi Keen Mun, 28, dan Chu Kwong Nee, 29, dilepaskan tanpa perlu membela diri setelah mahkamah mendapati banyak keraguan dalam kertas pendakwaan.
Katanya, kegagalan tiga anggota polis itu menandatangani borang serbuan, penemuan dan penyerahan barang bukti iaitu dadah kira-kira 61.63 gram menyebabkan mahkamah meragui kes tersebut.
"Bagaimana anggota polis boleh gagal tandatangani borang itu, takkan penat sangat sampai tak sempat (tandatangan).
"Ia menyebabkan mahkamah meragui dan tak boleh terima keterangan yang diberi anggota polis yang melakukan serbuan berkenaan," katanya.
Selain itu, Muhamad Ideres juga me- negur pihak pendakwaan yang boleh terlepas pandang kekhilafan alamat premis serbuan dilakukan sehingga tertangkapnya ketiga-tiga tertuduh dan membawa kepada penemuan dadah tersebut pada kertas pertuduhan.
Beliau memberitahu, dalam kertas pertuduhahan, alamat premis serbuan dicatat sebagai 1990, Regrouping Area, Menglembu sedangkan yang sebenarnya ialah 1190.
"Ini bukan soal pohon maaf, tetapi yang penting keperluan undang-undang perlu dipenuhi," katanya.
Berdasarkan fakta kes, Kan Wah dari Menglembu, Kee Mun dari Jalan Pasir Pinji dan Kwong Nee dari Taman Ipoh Jaya di sini ditahan dalam satu serbuan di sebuah premis di Regrouping Area, Menglembu kira-kira pukul 5 petang pada 15 Mei 2005.
Dalam serbuan itu, polis turut menemui dadah jenis methamphetamine seberat kira-kira 61.63 gram dan ketiga-tiga tertuduh didakwa di bawah Seksyen 39 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama Seksyen 39 (B) (2) akta sama dan boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan
Gesa LTSAS diaktifkan
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Kerajaan Negeri Perak menggesa Kerajaan Pusat agar segera membuka semula Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah ( LTSAS ) di sini yang tidak aktif sejak lebih dua tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Awam Perak, Nga Kor Ming mendakwa, keadaan LTSAS itu mengganggu pertumbuhan ekonomi negeri.
Beliau mendakwa, mendapat banyak laporan pelabur yang berminat untuk beroperasi di Perak menarik diri dan memilih untuk mencari peluang di tempat lain gara-gara masalah logistik tersebut.
"Usaha kerajaan negeri untuk mempromosikan perlancongan perubatan di bandar raya Ipoh terutamanya kepada penduduk Singapura juga kurang berjaya lantaran tiada perkhidmatan penerbangan ke negara jiran itu.
"Selain itu beberapa promosi ekonomi lain juga kurang mendapat sambutan gara-gara penutupan lapangan terbang terbabit," katanya dalam sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.
Sehubungan itu, Kor Ming memohon peruntukan RM170 juta bagi membangunkan semula LTSAS seperti yang dijanjikan pada tahun lalu dapat disalurkan oleh Kerajaan Pusat dengan kadar segera.
Friday, December 5, 2008
MB Perak terima SMS palsu tabur fitnah
SMS berkenaan yang kemudiannya dipanjangkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Sumber Manusia Perak , A. Sivanesan untuk disiasat bagaimanapun dikesan kandungannya palsu .
Sivanesan berkata, beliau yang menerima SMS berkenaan kira-kira 7.45 pagi segera merujuk dakwaan itu kepada pihak berkaitan termasuk pengurusan hospital terbabit bagi mendapatkan kepastian.
"Jelas sekali HSM tidak pernah menghadapi masalah keputusan bekalan elektrik seperti didakwa malah pengurusan hospital itu telah memberi jaminan penuh mereka telah bersedia sekiranya ia benar-benar terjadi.
"Saya kesal dengan SMS yang sengaja direka ini yang sedikit sebanyak cuba mencalar kredibiliti HSM.
"Selain itu saya bimbang berita palsu ini turut disebarkan secara meluas hingga menimbulkan rasa panik di kalangan rakyat," katanya pada sidang media di sini semalam.
Sivanesan berkata, antara kandungan SMS berkenaan ialah HSM kononnya telah mengalami masalah keputusan bekalan elektrik sejak dua hari lalu dan terpaksa menggunakan kemudahan generator untuk beroperasi.
Selain itu menurutnya, ekoran 'ketiadaan' bekalan elektrik itu telah menyebabkan kemudahan penghawa dingin tidak dapat dihidupkan hingga ada pesakit yang tidak mampu dirawat.
"Saya juga telah merujuk kepada Menteri Besar untuk mendapatkan nombor telefon pengirim SMS itu namun sejak pagi tadi, pengirim enggan menjawab walaupun saya menghubunginya lebih 50 kali," katanya.
Thursday, December 4, 2008
UiTM Shah Alam juara keseluruhan
Mereka menamatkan saingan dengan meraih 39 pingat emas, 21 perak dan 23 pingat gangsa.
Pengarah UiTM Perak, Prof. Dr. Abdullah Mohamad Said berkata antara acara sukan yang diungguli kontijen tersebut ialah bola jaring, bola tampar lelaki, sepak takraw berpasukan, hoki lelaki dan ragbi selain turut membolot tujuh pingat emas daripada acara silat olahraga.
Katanya tempat kedua keseluruhan menjadi milik UiTM Pulau Pinang dengan lapan emas, 10 perak dan lapan gangsa manakala UiTM Perlis pula merangkul tempat ketiga dengan pungutan lapan emas sembilan perak dan 14 gangsa.
" UiTM Perak selaku tuan rumah juga menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila berada di tempat kelima dengan lima emas sembilan perak dan 14 gangsa," katanya selepas merasmikan majlis penutup temasya tersebut semalam.
Temasya kali ini melibatkan 3,407 peserta terdiri daripada 2063 atlet lelaki dan 1344 atlet wanita dari 14 UiTM seluruh negara.
Pada temasya sukan khusus untuk pelajar UiTM itu, 26 acara sukan termasuk bola sepak, bola jaring, ragbi, hoki, bola keranjang, silat, futsal, golf, badminton, tenis, tenpin boling dan taekwondo telah dipertandingkan sejak 25 November lalu.
Abdullah menyifatkan penganjuran Karisma pada tahun ini berjaya mencapai objektifnya dan telah berjalan dengan penuh harmoni dan semangat kesukanan.
"Buktinya, buat pertama kalinya tiada sebarang pergaduhan dan bantahan rasmi dilaporkan sepanjang Karisma kali ini."
Kampus Pusat Pendidikan Antarabangsa UiTM (Intec) yang terletak di Seksyen 17, Shah Alam, Selangor akan menjadi tuan rumah karnival sukan ini tahun depan.
Terkejut wang jaminan tinggi
Pada mulanya, Nazratul yang tidak tahu kesilapannya, mengiyakan amaun wang jaminan itu selepas ditanya sekali lagi oleh Hakim Hashim Hamzah yang terkejut mendengar permohonan luar biasa tersebut.
Namun setelah tertuduh, K. Tanabalasingam, 30, membuat rayuan agar wang jaminan dikurangkan barulah Timbalan Pendakwa Raya itu tersedar kesilapannya dan memaklumkan jumlahnya hanya RM5,000.
Hashim yang tersenyum melihat telatah Nazratul membenarkan Tanabalasingam dibebaskan dengan wang jaminan RM5,000 dan seorang penjamin serta sebutan semula kes tersebut pada 20 Januari depan.
Dua lagi suspek bunuh 'Ustaz' direman
Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Supritendan Ibrahim Abu Bakar berkata, kedua-dua suspek yang berusia 30-an diberkas di dua lokasi berasingan.
Menurut beliau, suspek pertama ditahan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada malam kelmarin manakala suspek kedua pula diberkas di sebuah premis di Menglembu di sini pada tengah hari semalam.
"Suspek kedua ditahan selepas penahanan suspek pertama,'' kata beliau.
Ibrahim memberitahu, tiga lelaki berusia 19 hingga 40 tahun yang ditahan polis sebelum ini dibebaskan selepas mereka didapati tidak ada kaitan dengan jenayah itu.
Kosmo! pada 12 November lalu melaporkan Mohd . Khairudin yang baru dua minggu bekerja sambilan di sebuah stesen minyak di Jalan Kuala Kangsar untuk membiayai pengajiannya disamun dan dibunuh ketika mempertahan wang majikannya daripada disamun sekumpulan lelaki.
Dalam kejadian pukul 6.50 pagi, mangsa yang juga merupakan pelajar tahun pertama program Ijazah Sarjana Muda Syariah Usuluddin, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi sedang bersiap-siap untuk menamatkan syif lapan jamnya yang berakhir pukul 7 pagi.
Wednesday, December 3, 2008
Bersalah bunuh ah long
V. Hari Haran , 29, dan M. Kesavan, 27, masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan berniat bersama menyebabkan kematian S. Albert Raja, 29, dengan seorang tertuduh lain, M. Ananthan di sebuah lombong tinggal di Batu 4, Batu Gajah dekat sini pada 21 Januari 2004 lalu.
Kedua-dua tertuduh dihukum mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Kesek- saan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda.
Sebelum ini, tertuduh pertama, Ananthan juga telah dijatuhi hukuman penjara 13 tahun atas kesalahan serupa oleh mahkamah sama pada Februari lalu.
Berdasarkan fakta kes, Ananthan telah meminta Hari Haran dan Kesa- van mengikutnya untuk berjumpa dengan Albert Raja bagi membincangkan masalah hutangnya.
Setelah bertemu dengan mangsa di Jalan Kampar di sini pada kira-kira 7.10 petang, semua tertuduh terbabit telah bertindak menculik mangsa sebelum membawanya ke sebuah bekas lombong di Batu 4, Batu Gajah dekat sini dengan sebuah Proton Iswara Aeroback yang disewa.
Albert Raja kemudian dipukul dengan sebatang kayu oleh Ananthan sebelum dibawa pula ke sebuah rumah kosong berhampiran bekas lombong itu.
Semasa kejadian, Kesavan dan tertuduh pertama turut menendang mangsa hingga meninggal dunia sambil diperhatikan Hari Haran .
Monday, December 1, 2008
Beriani percuma untuk pelanggan BPA
IPOH – Mulai esok, orang ramai yang menemui Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah di pejabat Biro Pengaduan Awam (BPA) di Putrajaya pada hari bertemu pelanggan akan dijamu dengan nasi beriani.
Murugiah berkata, hidangan percuma itu merupakan sebahagian daripada tanda terima kasih dan menghargai respons orang ramai terhadap biro tersebut yang kini semakin positif menerima pelbagai maklum balas.
“Sejak kebelakangan ini, saya bangga kerana semakin banyak aduan yang diterima BPA daripada rakyat bukan sahaja berhubung agensi kerajaan malah pihak swasta.
“Ini menunjukkan biro ini semakin dipercayai dan diyakini fungsinya. Oleh itu, pada setiap Selasa, kami akan sediakan nasi beriani sebagai hidangan tengah hari kepada pelanggan yang mengunjungi kami” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Pemuda dan Wanita Parti Progresif Rakyat (PPP) yang turut dihadiri Pengerusi PPP Perak, Datuk Hey Ley di sini.
Sebelum itu, Murugiah mengumumkan hari bertemu pelanggan BPA yang akan dihadiri beliau sendiri ditukar daripada Jumaat kepada Selasa.
Katanya, ia bertujuan untuk menambahkan keberkesanan program tersebut kerana pada hari bertemu pelanggan sebelum ini, pegawai BPA beragama Islam tidak dapat melayani pelanggan pada waktu tengah hari kerana perlu menunaikan solat JumaatPelawat Kota Belanda resah
azli.adlan@kosmo.com.my
PULAU PANGKOR - Selain keindahan pantai dan hasil lautnya, Pulau Pangkor juga terkenal dengan khazanah sejarahnya termasuk Kota Belanda .
Kota tinggalan penjajah yang terletak di Kampung Teluk Gedung, selatan pulau peranginan itu merupakan antara destinasi yang sentiasa menjadi tumpuan pelancong baik tempatan dan asing.
Namun, keadaan sebahagian anak tangga kayu kota berusia 328 tahun itu yang semakin uzur dan mereput membimbangkan pengunjung.
Seorang pelancong, Rohani Othman, 52, dari Melaka berkata, untuk ke Kota Belanda , pengunjung perlu menaiki anak tangga yang sebahagiannya diperbuat daripada kayu.
Beliau berkata, keadaan anak tangga itu agak uzur dan dikhuatiri tidak kukuh bagi menampung kehadiran pelawat yang agak ramai terutama pada musim cuti persekolahan.
"Sebenarnya ini adalah kali kedua kami sekeluarga ke Kota Belanda ini setelah membuat kunjungan pertama kira-kira 10 tahun lalu.
"Tak sangka pula ia tak jauh berubah, anak tangga kayu sama masih digunakan cuma mungkin kerana faktor usia dan cuaca, ia semakin uzur dan sebahagiannya mula mereput," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Seorang lagi pelancong, Shamsiah Yaakob, 22, dari Putrajaya menggesa pihak berkenaan terutamanya Majlis Perbandaran Manjung mengambil tindakan segera sebelum kejadian tidak diingini terjadi.