Translate

Sunday, May 31, 2026

Tali bot tercabut: Tiga pekerja pelantar minyak maut

KUALA TERENGGANU – Tiga pekerja pelantar minyak maut, manakala seorang lagi cedera parah setelah bot yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan di perairan Terengganu hari ini.

Nahas pada pukul 12 tengah hari tersebut dikatakan berpunca daripada tali penyokong tercabut menyebabkan bot berkenaan terjatuh pada ketinggian tinggi.

Tiga mangsa yang disahkan meninggal dunia dikenali sebagai Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustaman, 28; Nik Muhammad Hafifi Asri Ab. Majid, 37; dan Ahmad Fikri Zakaria, 38.

Mangsa yang cedera pula dikenali sebagai Muhammad Taufik Mohd. Ruslan, 36.

Kesemua mangsa yang meninggal dunia telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Mangsa yang cedera pula dikejarkan ke unit kecemasan hospital sama untuk menerima rawatan.

Setakat ini wakil syarikat pelantar minyak dan pihak berkuasa masih belum membuat apa-apa kenyataan. – KOSMO! ONLINE

Hari Guru SDAR 2026


 SEBAHAGIAN pelajar yang meraikan majlis Sambutan Hari Guru di Sekolah Dato’ Abdul Razak, Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Jom Bersih Pantai Air Tawar bersama EPIC


 Sebahagian 400 sukarelawan yang menyertai program Jom Bersih berjaya mengutip 1.3 tan sampah anjuran Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) di Pantai Air Tawar, Besut, Terengganu baru-baru ini.

Satu bahagian RM600, bayar sikit-sikit

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Peserta projek ternakan lembu fidlot Kampung Seri Kenangan di sini menerusi Sejahtera Komuniti (Sejati) Madani mengambil inisiatif menawarkan pakej korban secara ansuran dan lebih murah bagi membantu penduduk menyertai ibadah itu sempena Aidiladha mula disambut pada hari ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Seri Kenangan, Mohamad Saad berkata, mereka menawarkan kadar sebahagian lembu cuma RM600 berban­ding mencecah RM900 di tempat-tempat lain.

 “Kami memahami ramai berhasrat mahu menyertai ibadah korban tetapi kurang berkemampuan ekoran harga a lembu yang semakin meningkat pada tahun ini. 

“Sehubungan itu, kadar sebahagian lembu ditetapkan cuma RM600 mengikut kemampuan penduduk kampung,” katanya ketika ditemui di Kampung Seri Kenangan di sini semalam.

 Mohamad berkata, pakej ansuran juga ditawarkan bagi memudahkan penduduk kampung menyertai ibadah korban pada tahun ini. 

Beliau berkata, pembayaran ansuran itu dilakukan secara bertahap dan telah diselesaikan semua peserta menjelang sambutan Aidiladha hari ini. 

“Alhamdulillah kita berjaya mengumpulkan 28 peserta dalam kalangan penduduk kampung. “Ia melibatkan empat ekor lembu baka brahman yang bersaiz besar,” katanya. 

Sementara itu, seorang peserta, Che Wan Mazuan Che Wan Mohamad, 38, menyambut baik inisiatif diambil peserta projek Sejati Madani terbabit. 

Dia berkata, ia menetapi matlamat projek kelolaan kerajaan tersebut yang mahu manfaatnya terus dinikmati penduduk setempat. 

“Bukan sahaja memudahkan penduduk kampung turut menyertai ibadah korban malah daging lembu dapat diagihkan kepada golongan kurang berkemampuan setempat,” katanya.

Terengganu laksana Pelan Tindakan Rangsangan Ekonomi Fasa 1

 


Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu melaksanakan Pelan Tindakan Rangsangan Ekonomi Fasa 1 bagi menangani impak negatif krisis bahan api berikutan konflik Asia Barat.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelan tindakan tersebut mengandungi enam inisiatif bagi meringankan beban golongan terkesan khususnya pemain sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan pesawah padi.

“Seramai 783 peminjam Skim Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (Tugas) akan diberi moratorium (penangguhan pembayaran pembiayaan) selama tujuh bulan mulai bulan Jun ini melibatkan nilai pinjaman tidak dikutip sebanyak RM2.1 juta.

“Saiz dana Tugas pada tahun ini juga akan ditambah kepada RM2 juta bagi membolehkan lebih ramai lagi usahawan dibantu,” katanya di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, moratorium turut akan diberikan kepada 400 peminjam Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) selama setahun dari bulan ini hingga April tahun depan melibatkan amaun RM2.9 juta pinjaman tidak dikutip.

Beliau berkata, setiap pesawah Terengganu juga bakal menikmati insentif RM100 bagi setiap tan metrik padi dikeluarkan.

“Jadual Kadar Harga (JKH) bagi bahan binaan terpilih akan dinilai semula selain penyelarasan kos kontrak dengan mengambil kira perubahan kos semasa bahan binaan terlibat.

‘Saya hilang anak yang sangat baik’

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Impian seorang bapa untuk melihat anak lelakinya melanjutkan pelajaran ke politeknik tidak kesampaian apabila remaja itu maut dalam kemalangan ngeri di Jalan Losong Feri berhampiran Kampung Losong Panglima Perang di sini kelmarin.

 Kejadian pukul 3.36 petang itu berlaku ketika mangsa, Wah Han Keong, 18, yang merupakan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membantu ­bapanya menguruskan perniagaan memasang dan menyelenggara ­penyaman udara. 

Lebih menyedihkan, kepala mangsa turut putus selepas sebatang tiang lampu jalan tumbang akibat rempuhan nahas terbabit.

Bapa mangsa, Wah Tee Tun, 49, berkata, sewaktu kejadian, dia dan anaknya dalam perjalanan ke premis pelanggan di Batu Burok untuk menyelenggara penyaman udara dari rumah mereka di Taman Sri Manir di sini.

 “Sebaik tiba di lokasi kejadian, van jenis Nissan Vanette yang saya pandu tidak sempat mengelak lalu merempuh sebuah kereta jenis Volkswagen Golf GTI yang telah terbabas dari laluan bertentangan. 

“Sebatang tiang lampu yang tumbang dipercayai akibat dirempuh kereta Volkswagen terbabit kemudian rebah mengenai cermin hadapan van kami sebelum mengenai kepala anak saya (Han Keong) yang berada di tempat duduk penumpang hadapan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam. 

Tee Tun berkata, hatinya luluh apabila melihat Han Keong yang merupakan anak sulung daripada dua beradik terkorban dalam nahas terbabit. 

Dia yang turut cedera ringan pada bahagian tangan berkata, tambah menyedihkan mendiang merupakan satu-satunya anak lelaki harapannya. 

“Dia (Han Keong) merupakan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas memperolehi 9A dan telah memohon untuk melanjutkan pelajaran ke politeknik. “Sementara menunggu masuk politeknik, dia ringan tulang membantu saya melakukan kerja-kerja pemasangan dan penyelenggaraan penyaman udara,” katanya. 

Tee Tun berkata, anaknya yang meminati automotif sejak kecil sebelum ini telah memohon melanjut pelajaran dalam bidang itu sama ada di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun atau Politeknik Kota Bharu, Kelantan.

 Walaupun reda dengan kematian Han Keong, beliau tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebabkan kemalangan sehingga meragut nyawa anak sulungnya. 

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor yang dihubungi mengesahkan kemalangan tersebut.

 “Kejadian berlaku apabila van Nissan Vanette dinaiki dua beranak itu tidak dapat mengelak lalu merempuh sebuah kereta Volkswagen Golf GTI yang dikatakan terbabas memasuki laluan bertentangan.

 “Sebatang tiang lampu yang tumbang dipercayai akibat dirempuh kereta Volkswagen Golf GTI tersebut telah menembus masuk ke dalam cermin hadapan van lalu mengenai kepala mangsa,” katanya. 

Mayat Han Keong dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sarjan polis didakwa makan suap RM3,000

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3,000, dua tahun lalu.

Tertuduh, Nik Mohamad Azaha Mohd. Zohari, 59, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Setiu didakwa memperoleh suapan RM990 sebagai dorongan melepaskan seorang lelaki daripada tahanan polis.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Permaisuri, Setiu dekat sini pada 22 Ogos 2024.

Anggota keselamatan itu turut didakwa menerima suapan RM2,010 daripada seorang lelaki bagi tujuan pada tarikh sama di sebuah bank berasingan di Setiu.

Oleh itu, Nik Mohamad Azaha didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Azman membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dan seorang penjamin dan menetapkan 26 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rabiatul Addawiah Mohd. Noorlee, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Nur Faid Afiq Aziz. – KOSMO! ONLINE

‘Kalau Han Keong masih hidup, dia pasti seronok ke PSMZA

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Wah Han Keong yang maut dalam nahas ngeri sehingga putus kepala pada Selasa lalu menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Dungun. 

Bapanya, Wah Tee Tun, 49, berkata, tambah menyedihkannya apabila mendiang ditawarkan untuk mengikuti Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) yang dipohon sebelum ini. 

“Semalam (kelmarin) saya kuatkan hati untuk menyemak permohonannya (Han Keong) menerusi Unit Pusat Universiti (UPU) Online. 

“Anak saya ditawarkan jurusan automotif yang dipohon. Kalau masih hidup, pasti dia paling gembira kerana bidang itu yang diminati sejak kecil,” katanya di sini semalam.

Tee Tun berkata, hatinya berbelah bahagi antara bangga dan terkilan kerana anak lelaki tunggalnya itu meninggal dunia tiga hari selepas tawaran melanjutkan pelajaran itu diterima. 

Katanya, hanya tuhan yang mengerti hancurnya perasaannya apabila hajat anak harapannya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang diminati tidak kesampaian ekoran kemalangan didakwa berpunca daripada kesilapan pihak lain berkenaan. 

Dalam pada itu, Tee Tun berkata, ritual keagamaan buat abu mayat anaknya, Han Keong selesai dilaksanakan di Wat Kampung Tanggol, Marang, kelmarin. 

“Terdahulu upacara pembakaran mayat dilakukan di Tokong Buddha Ariyakiri, Bachok, Kelantan pada kelmarin (Khamis),” katanya. 

Kosmo! Khamis lalu melaporkan Han Keong, 18, yang memperolehi 9A dalam peperiksaan SPM maut dalam kemalangan di Jalan Losong Feri berhampiran Kampung Losong Panglima Perang, di sini pada pukul 3.36 petang, Selasa lalu. 

Sewaktu kejadian, mangsa yang duduk di tempat duduk hadapan van dipandu bapanya dalam perjalanan untuk melakukan kerja-kerja pemasangan dan penyelenggaraan penyaman udara di Batu Burok di sini.

 Sebaik tiba di lokasi kejadian, van dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta Volkswagen Golf GTI yang terbabas dari laluan bertentangan. 

Tiang lampu jalan yang tumbang dirempuh kereta Volkswagen Golf GTI kemudiannya rebah memecahkan cermin hadapan van mereka sebelum mengenai kepala Han Keong. 

Sementara itu, Tee Tun berkata, pihak keluarga sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang dan mendapatkan nasihat pihak berkaitan. 

“Buat masa ini kami masih bersedih, tetapi kami akan melantik peguam. Kami sedang mencari individu yang sesuai untuk memberi nasihat,” katanya.

Anak ceria kini terlantar

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Hati ibu bapa mana yang tidak tersentuh melihat anak bongsu yang sebelum ini cergas kini terlantar di atas katil akibat kecederaan kepala selepas terlibat dalam kemalangan empat tahun lalu.

Samsudin Sulaiman, 64, berkata, kehidupan anak lela­kinya, Mohamad Fadil, 30, yang mesra dipanggil Ucu berubah 360 darjah selepas terlibat dalam nahas sewaktu keluar bekerja di Johor Bahru pada April 2022.

“Kemalangan itu menyebabkan kepalanya kini bergantung kepada tempurung tiruan yang dipasang menerusi beberapa pembedahan.

“Keadaannya bertambah memburuk apabila otak anak saya terkena jangkitan kuman tidak lama selepas itu menyebabkan fizikalnya lumpuh serta penglihatannya terjejas,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Seri Kena­ngan di sini semalam.

Samsudin berkata, keadaan Ucu kini amat menyedihkan memandangkan sebelum kema­langan tersebut, anaknya itu seorang yang ringan tulang dan gigih bekerja.

Katanya, selain bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Johor Bahru, anaknya sebelum ini turut me­lakukan pelbagai pekerjaan sampingan demi menambah pendapatan.

“Saya dan isteri, Rosnani Deraman (61 tahun) rindukan mendengar gelak tawa dan suara Ucu yang periang. Biarlah kami berkorban habiskan usia emas ini untuk menjaga dia selagi ha­yat dikan­dung badan,” katanya.

Samsudin berkata, setiap kali perlu dibawa ke hospital untuk rawatan berkala, dia mengerah kudrat mengendong Ucu mema­suki kereta.

Rosnani pula masih menaruh harapan Ucu yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik kembali sembuh seperti sedia kala suatu hari nanti.

“Jika tidak pun, biarlah sekurang-kuranya dapat dia (Ucu) berbicara semula. Buat masa ini, kami berkomunikasi menerusi kerdipan matanya,” katanya.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Agrobank Samsudin di 2006363000048410 atau menghubunginya di talian 014-271 9166.

Penagih dadah dalang palsu MyKad

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Serbuan dadah di sebuah rumah di Kampung Raja, Besut dekat sini, minggu lalu membongkar kegiatan pemalsuan MyKad bagi permohonan pinjaman peribadi melibatkan kerugian kira-kira RM40,000. 

Dalam serbuan pukul 10.05 malam itu, dua lelaki positif dadah berusia 35 dan 39 tahun berjaya ditahan dengan salah seorang suspek merupakan pakar teknologi maklumat (IT) yang disyaki dalang aktiviti penipuan yang beroperasi sejak setahun lalu. 

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, pemeriksaan lanjut di lokasi membawa kepada penemuan pelbagai peralatan komputer yang digunakan untuk mencetak dokumen pengenalan diri palsu bagi tujuan penipuan kewangan. 

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek berusia 39 tahun itu mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang IT dan pernah bekerja dengan sebuah syarikat kejuruteraan.

 “Siasatan awal mendapati, dua suspek itu memanipulasi aplikasi dalam talian untuk mencuri salinan MyKad mangsa sebelum menghasilkan ia sebagai dokumen palsu.

 “Modus operandi mereka menggunakan nama dan nombor MyKad milik individu sebenar tetapi gambar pada kad pengenalan itu telah diubah serta tidak sepadan dengan rekod rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya pada sidang akhbar di sini semalam. 

Katanya, serbuan di rumah turut menemui dua peket berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 7.11 gram. 

Mohd. Khairi memberitahu, MyKad palsu tersebut kemudiannya digunakan untuk membuka akaun bank seterusnya dijadikan sebagai dokumen permohonan pinjaman peribadi secara dalam talian kepada institusi perbankan dan e-wallet. 

Beliau berkata, siasatan awal percaya kedua-dua suspek telah melakukan aktiviti jenayah penipuan tersebut sejak kira-kira 18 bulan lalu. 

“Sepanjang tempoh itu, sekurang-kurangnya 12 permohonan pinjaman peribadi secara dalam talian menggunakan MyKad palsu terbabit telah diluluskan pihak bank dan pengendali e-wallet melibatkan kerugian kira-kira RM40,000,” katanya. 

Mohd. Khairi berkata, hasil siasatan mendapati mangsamangsa yang berasal dari seluruh negara tidak mengetahui butiran peribadi mereka telah disalah guna untuk membuka akaun bank dan memohon pinjaman peribadi. 

Beliau berkata, kedua-dua suspek yang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 468 akta sama, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Pendaftaran Negara 1959. 

“Mereka yang telah ditahan reman sejak Jumaat lalu akan dituduh di Mahkamah Seksyen Besut esok (hari ini),” katanya

‘Saya hilang satu-satunya anak lelaki harapan’

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Impian seorang bapa untuk melihat anak lelakinya melanjutkan pelajaran ke politeknik tidak kesampaian apabila remaja itu maut dalam kemalangan ngeri di Jalan Losong Feri berhampiran Kampung Losong Panglima Perang di sini kelmarin.

 Kejadian pukul 3.36 petang itu berlaku ketika mangsa, Wah Han Keong, 18, yang merupakan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membantu ­bapanya menguruskan perniagaan memasang dan menyelenggara ­penyaman udara. 

Lebih menyedihkan, kepala mangsa turut putus selepas sebatang tiang lampu jalan tumbang akibat rempuhan nahas terbabit.

Bapa mangsa, Wah Tee Tun, 49, berkata, sewaktu kejadian, dia dan anaknya dalam perjalanan ke premis pelanggan di Batu Burok untuk menyelenggara penyaman udara dari rumah mereka di Taman Sri Manir di sini.

 “Sebaik tiba di lokasi kejadian, van jenis Nissan Vanette yang saya pandu tidak sempat mengelak lalu merempuh sebuah kereta jenis Volkswagen Golf GTI yang telah terbabas dari laluan bertentangan. 

“Sebatang tiang lampu yang tumbang dipercayai akibat dirempuh kereta Volkswagen terbabit kemudian rebah mengenai cermin hadapan van kami sebelum mengenai kepala anak saya (Han Keong) yang berada di tempat duduk penumpang hadapan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam. 

Tee Tun berkata, hatinya luluh apabila melihat Han Keong yang merupakan anak sulung daripada dua beradik terkorban dalam nahas terbabit. 

Dia yang turut cedera ringan pada bahagian tangan berkata, tambah menyedihkan mendiang merupakan satu-satunya anak lelaki harapannya. 

“Dia (Han Keong) merupakan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas memperolehi 9A dan telah memohon untuk melanjutkan pelajaran ke politeknik. “Sementara menunggu masuk politeknik, dia ringan tulang membantu saya melakukan kerja-kerja pemasangan dan penyelenggaraan penyaman udara,” katanya. 

Tee Tun berkata, anaknya yang meminati automotif sejak kecil sebelum ini telah memohon melanjut pelajaran dalam bidang itu sama ada di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun atau Politeknik Kota Bharu, Kelantan.

 Walaupun reda dengan kematian Han Keong, beliau tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebabkan kemalangan sehingga meragut nyawa anak sulungnya. 

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor yang dihubungi mengesahkan kemalangan tersebut.

 “Kejadian berlaku apabila van Nissan Vanette dinaiki dua beranak itu tidak dapat mengelak lalu merempuh sebuah kereta Volkswagen Golf GTI yang dikatakan terbabas memasuki laluan bertentangan.

 “Sebatang tiang lampu yang tumbang dipercayai akibat dirempuh kereta Volkswagen Golf GTI tersebut telah menembus masuk ke dalam cermin hadapan van lalu mengenai kepala mangsa,” katanya. 

Mayat Han Keong dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Saturday, May 30, 2026

Pakej korban ansuran, lebih murah

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Peserta projek ternakan lembu fidlot Kampung Seri Kenangan di sini menerusi Sejahtera Komuniti (Sejati) Madani mengambil inisiatif menawarkan pakej korban secara ansuran dan lebih murah bagi membantu penduduk menyertai ibadah itu sempena Aidiladha mula disambut pada hari ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Seri Kenangan, Mohamad Saad berkata, mereka menawarkan kadar sebahagian lembu cuma RM600 berban­ding mencecah RM900 di tempat-tempat lain.

 “Kami memahami ramai berhasrat mahu menyertai ibadah korban tetapi kurang berkemampuan ekoran harga a lembu yang semakin meningkat pada tahun ini. 

“Sehubungan itu, kadar sebahagian lembu ditetapkan cuma RM600 mengikut kemampuan penduduk kampung,” katanya ketika ditemui di Kampung Seri Kenangan di sini semalam.

 Mohamad berkata, pakej ansuran juga ditawarkan bagi memudahkan penduduk kampung menyertai ibadah korban pada tahun ini. 

Beliau berkata, pembayaran ansuran itu dilakukan secara bertahap dan telah diselesaikan semua peserta menjelang sambutan Aidiladha hari ini. 

“Alhamdulillah kita berjaya mengumpulkan 28 peserta dalam kalangan penduduk kampung. “Ia melibatkan empat ekor lembu baka brahman yang bersaiz besar,” katanya. 

Sementara itu, seorang peserta, Che Wan Mazuan Che Wan Mohamad, 38, menyambut baik inisiatif diambil peserta projek Sejati Madani terbabit. 

Dia berkata, ia menetapi matlamat projek kelolaan kerajaan tersebut yang mahu manfaatnya terus dinikmati penduduk setempat. 

“Bukan sahaja memudahkan penduduk kampung turut menyertai ibadah korban malah daging lembu dapat diagihkan kepada golongan kurang berkemampuan setempat,” katanya.

27 asnaf ikuti kursus minyak dan gas


KUALA NERUS - Tiada apa yang menggembirakan buat 27 belia asnaf apabila ditaja untuk mengikuti kursus dalam bidang minyak dan gas selama empat bulan hingga berjaya mendapati sijil asas sektor tersebut.

Belia asnaf itu ditaja oleh Institut Teknologi Petroleum Petronas (Instep) dan Yayasan Pendidikan Maidam (YPM).

Pengurus Besar Instep, Azhar Ahmad berkata, program Latihan Teknikal Zakat Wakalah selama empat bulan tersebut yang berakhir baru-baru ini dibiayai sepenuhnya oleh Dana As-Syakirin. 

"Ia merupakan sebahagian wang zakat kakitangan Petronas yang digunakan untuk  melatih golongan asnaf berkelayakan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasiona (TVET)," katanya pada majlis tamat latihan program Latihan Teknikal Zakat Wakalah berkenaan di Instep, Batu Rakit di sini semalam. 

Azhar berkata, program Latihan Teknikal Zakat Wakalah berkenaan bertujuan untuk meningkat taraf hidup belia asnaf terbabit dengan membuka ruang untuk  mereka menceburi sektor minyak dan gas.

Tambah beliau, sepanjang tempoh empat bulan terbabit, peserta didedahkan dengan kemahiran asas elektrikal dan mekanikal. 

"Mereka juga dibekalkan dengan program-program pensijilan tambahan seperti Ujian Tanpa Musnah (NDT), Keselamatan Bekerja di Tempat Terkurung (AESP), Latihan Keselamatan dan Kesihatan (OGSP) dan Induksi Asas Keselamatan Luar Pesisir dan Latihan Kecemasan (BOSIET). 

"Kesemua sijil tersebut merupakan prasyarat bagi bekerja di dalam industri minyak dan gas," katanya. 

Azhar berkata, peserta juga menerima elaun sara hidup bulanan RM500 sepanjang tempoh latihan berkenaan.

Sementara itu, seorang pelatih, Muhammad Haikal Danial Jamil, 20, berkata, penyertaan dalam program Latihan Teknikal Zakat Wakalah tersebuy merupakan batu loncatan untuk dia mengubah nasib keluarga.

"Saya baru kehilang bapa yang meninggal dunia akibat sakit tua baru-baru ini. 

"Sebagai anak sulung, saya mengambil alih tanggungjawab menjaga ibu yang merupakan suri rumah dan dua adik yang masih bersekolah," katanya.

Gigih teruskan legasi rempeyek arwah isteri

 

SETIU – Seorang lelaki mengambil inisiatif meneruskan perniagaan rempeyek setelah kematian isterinya pada lapan tahun lalu. 

Khairuddin Saad, 57, berkata, perusahaan rempeyek itu telah diusaha arwah isterinya, Rahmah Salleh sejak tahun 2007. 

“Rempeyek air tangan arwah isteri (Rahmah) mempunyai peminatnya tersendiri sehingga pernah ditempah Istana Terengganu. 

“Biarpun pada mulanya agak ‘patah kaki’ apabila dia meninggal dunia pada tahun 2018, saya kuatkan semangat untuk meneruskan legasi perusahaan rempeyek ditinggalkannya,” katanya ketika ditemui di Kampung Kenangan di sini semalam. 

Khairuddin berkata, dia menggunakan pengalaman membantu arwah isterinya sebelum ini untuk mendapat rasa dan kualiti rempeyek sama seperti air tangan arwah isterinya. 

Bapa empat anak itu berkata, usahanya berhasil setelah berkali-kali mengadun dan menggoreng rempeyek berkenaan. 

“Resipi asal yang menggunakan rempah-ratus seperti jintan manis, jintan putih, ketumbar serta bawang putih dikekalkan. Ia membuat rasa rempeyek itu istimewa dan disukai pelanggan tetap kami. Alhamdulillah sambutan diterima terus baik sehingga hari ini,” katanya. 

Khairuddin berkata, permintaan terhadap rempeyek kami biasanya meningkat pada musim perayaan dan cuti persekolahan. 

Beliau berkata, rempeyek diusahakannya kini bukan sahaja sering ditempah agensi dan jabatan kerajaan, malah sudah menembusi sebuah pasar raya besar terkenal di Kuala Terengganu

Sekolah Angkat Madani UniSZA : SK Kampung Raja

 

Sebahagian murid yang memeriahkan majlis peluncuran Sekolah Angkat Madani Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Sekolah Kebangsaan Kampung Raja, Besut, Terengganu baru-baru ini.

‘Mereka janji nak balik 1 Jun’

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN dan NURSYASYA NADHIRAH ZABIDI

KUALA TERENGGANU – Tiga pekerja pelantar minyak menemui ajal dalam keadaan tragis manakala seorang lagi parah apabila bot penyelamat yang mereka naiki terjunam dari ketinggian kira-kira 20 meter ke dalam laut ketika hendak melakukan kerja-kerja penyelenggaraan kelmarin. 

Kejadian pada pukul 12.50 tengah hari di Platform Sepat berhampiran perairan Terengganu-Kelantan itu berlaku apabila tali penyangkut yang dipasang pada bot tersebut terlucut menyebabkan kesemuanya terjatuh. 

Mereka yang maut ialah Ahmad Fiqri Zakaria, 38, Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, dan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab. Majid, 38, manakala Mohd. Taufik Mohd. Ruslan, 37, pula parah apabila beberapa tulang tubuhnya patah. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, kesemua mangsa berada di dalam bot kecemasan terbabit yang diletakkan di atas binaan Platform Sepat.

 “Mereka sepatutnya turun bagi melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di bawah platform sebelum tali penyangkut dikatakan tiba-tiba tercabut. 

“Ia menyebabkan kesemua mangsa yang berada di dalam bot kecemasan berkenaan terjunam ke dalam laut,” katanya. Menurut Azli, kesemua mangsa kemudian diterbangkan dengan helikopter ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus dekat sini pada pukul 4 petang sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dengan ambulans. 

Penerbangan itu mengambil masa satu jam. 

Tambahnya, tiga mangsa kemudian disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. 

“Pasukan penyiasat telah dihantar ke lokasi kejadian yang terletak 150 kilometer dari perairan Kuala Terengganu. Kes akan diklasifikasikan semula jika ada unsur jenayah,” katanya. 

Sementara itu, Nurul Ain Shazwani Ab. Majid, 30, berkata, abangnya, Nik Muhammad Hafifi Asri sempat mengucapkan selamat hari jadi kepadanya pada 18 Mei lalu.

 “Saya tak sangka ia komunikasi kami yang terakhir apabila dia menghantar ucapan itu dalam kumpulan WhatsApp keluarga pada pukul 10.31 pagi. Ia menjadi kenangan tidak dilupakan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HSNZ di sini. 

Menurut Nurul Ain Shazwani, arwah merupakan anak keempat daripada tujuh beradik dan merupakan seorang yang penyayang serta rajin.

 “Arwah sentiasa mengambil berat kebajikan adik-beradik meskipun sibuk sejak bekerja offshore (luar pesisir) 10 tahun lalu. Dia kembali bertugas pada 17 Mei lalu dan sepatutnya pulang ke darat pada 1 Jun depan,” katanya.

 Dalam pada itu, Nurul Ain Shazwani berkata, arwah bercadang untuk mengusahakan inap desa di rumahnya yang dibeli di Kota Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang. 

Jenazah Nik Muhammad Hafifi Asri dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan. 

Dalam pada itu, isteri Muhammad Faezuan Hakim, Nurkhaeryna Dhania Azreen Khairil Azri, 28, yang sedang sarat hamil berkata, Allahyarham tidak sabar mahu pulang pada 1 Jun ini dan mengumpul cuti untuk bertemu serta menemaninya sehingga dia bersalin. 

“Kami berbual menerusi panggilan video pada pukul 10 malam semalam (kelmarin) dan WhatsApp pada pukul 7 pagi hari kejadian. Luluh hati saya apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh wakil syarikat pada pukul 4 petang,” katanya. 

Dia yang menetap di Bukit Setongkol, Kuantan, Pahang berkata, suaminya sudah bekerja dalam bidang pesisir pantai sejak 2019, namun baru menyertai syarikat tersebut pada Mac lalu. 

Ahmad Syafiq Zakaria, 40, pula berkata, adiknya, Ahmad Fiqri sempat bercuti sakan untuk bersama keluarga sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini sebelum kembali bekerja pada 17 Mei lalu. 

“Arwah baru setahun bekerja offshore. Kami sempat beraya bersama-sama kerana dia cuti sebulan dan dia menetap di rumah mentua di Kampung Padang Sebang, Alor Gajah, Melaka,” katanya. 

Menurut Ahmad Syafiq, adiknya seorang pendiam, namun bertanggungjawab terutama kepada isteri, Siti Aisyah Ahmad, 38, dan anak tunggal lelaki mereka berusia 10 tahun. 

Jenazah Ahmad Fiqri dikebumikan di Kampung Padang Sebang.

BESS Santong berfungsi sebagai bank tenaga

 

DUNGUN – Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakar satu lagi pencapaian penting dalam usaha peralihan tenaga negara melalui pengoperasian Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (Battery Energy Storage System, BESS) Santong berkapasiti 100 megawatt (MW) / 400 megawatt-jam (MWh) di Pencawang Masuk Utama (PMU) 132/33kV Santong BESS di sini. 

Ini adalah sistem BESS pertama di Malaysia disambungkan kepada grid. Kemudahan ini juga adalah sebahagian daripada inisiatif strategik TNB untuk memperkukuh keupayaan sistem grid nasional, khususnya dari segi penyimpanan dan pelepasan tenaga secara terkawal bagi meningkatkan kestabilan serta kebolehpercayaan bekalan elektrik, selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR). 

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad berkata, BESS Santong memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan sistem grid melalui keupayaan tindak balas pantas terhadap ketidakseimbangan bekalan dan permintaan, termasuk menyokong pengurusan beban waktu puncak serta integrasi tenaga solar pada skala lebih besar melalui keupayaan grid-forming.

 “BESS Santong boleh berfungsi sebagai ‘bank tenaga’ yang menyimpan elektrik daripada sumber tenaga boleh baharu seperti ladang solar berskala besar dan sistem solar terapung hibrid hidro, sebelum disalurkan ke grid apabila diperlukan. 

“Melalui keupayaan ini, BESS Santong dapat mengimbangi turun naik bekalan dan permintaan elektrik secara masa nyata, khususnya ketika waktu puncak atau gangguan sistem, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap grid dan meningkatkan kestabilan bekalan elektrik. 

“Sistem ini juga berkeupayaan menyokong keperluan elektrik bersamaan kira-kira 40,000 isi rumah di sekitar Pantai Timur, bergantung kepada corak penggunaan semasa, ” katanya. 

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran BESS yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Fadillah Yusof semalam. 

Mengulas lanjut, Shamsul menerangkan, projek tersebut telah berjaya disiapkan dalam tempoh 309 hari dari tarikh mula hingga mula tugas, mencerminkan keupayaan TNB melaksanakan projek infrastruktur tenaga secara cekap dan pantas.

Sedar rugi RM749,000 selepas 10 bulan diperdaya ‘scammer’

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang suri rumah kerugian RM749,000 diperdaya sindiket penipuan atau ‘scammer’ yang menyamar kononnya pegawai polis dan syarikat pengendali.

Penipuan yang berlarutan sejak 10 bulan lalu itu hanya disedari wanita berusia 43 tahun tersebut setelah dia membuat semakan nombor telefon ‘pegawai polis’ yang sering menghubunginya dengan portal Semak Mule Polis Diraja Malaysia, baru-baru ini.

Dia yang turut membuat pinjaman bank bagi memenuhi permintaan suspek berkenaan telah membuat laporan berhubung kes itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 12.16 tengah hari, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, suri rumah tersebut telah dihubungi individu tidak dikenali mendakwa kononnya wakil syarikat insurans dan pegawai polis pada 13 Julai tahun lalu.

“Mangsa terkejut apabila digertak kononnya akaun banknya dikesan terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.

“Dia yang ketakutan akur mengikut arahan suspek membuka dua akaun bank berasingan sebelum menyerahkan maklumat perbankannya,” katanya di sini hari ini.

Azli berkata, wanita berkenaan juga diarahkan untuk memindahkan wang secara berperingkat ke sekurang-kurangnya 19 akaun bank berlainan kononnya bagi tujuan siasatan Bank Negara.

Beliau berkata, semua transaksi tersebut dilakukan antara Ogos tahun lalu hingga Januari lalu. – KOSMO! ONLINE

Beruang merayau, penduduk tidak lena tidur

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Penduduk Kampung Alor Belanga, Jertih, di sini, kini hidup dalam ketakutan dan tidak lagi dapat lena tidur sejak sebulan lalu apabila seekor beruang matahari yang sesat mula berkeliaran di perkampungan mereka. 

Kehadiran haiwan liar itu juga semakin ganas apabila bertindak merosakkan sarang madu kelulut, membaham ternakan serta memusnahkan tanaman penduduk yang menjadi sumber pendapatan mereka. 

Seorang penduduk, Muhammad Isazuali Mohd Yusof, 27, berkata, pada mulanya, dua sarang kelulut yang diusahakannya habis dikerjakan beruang matahari itu, kira-kira dua minggu…

Tanah RM50,692 tergadai akibat skim pelaburan palsu


 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki warga emas berputih mata kerugian RM50,692 akibat diperdaya skim pelaburan yang tidak wujud.

Tambah menyedihkan, mangsa berusia 63 tahun yang tidak bekerja itu sanggup menjual sebidang tanahnya semata-mata mahu dijadikan modal skim pelaburan palsu berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, lelaki warga emas tersebut tertarik dengan iklan skim pelaburan tersebut yang dilihatnya di laman Facebook pada pukul 4.01 petang, 27 April lalu.

“Mangsa kemudiannya menekan pautan diberikan sebelum disambung dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp.

“Dia kemudiannya diterangkan dengan skim pelaburan tersebut yang kononnya menjanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh sesingkat tiga jam sahaja,” katanya di sini, hari ini.

Azli berkata, lelaki tersebut memilih pakej pelaburan RM350 sebelum terus diberikan imbuhan RM300.

Beliau berkata, warga emas itu tambah teruja apabila pelaburannya kononnya terus melonjak kepada RM20,039.68 pada hari sama.

“Mangsa kemudiannya membayar RM1,450 kononnya untuk mengeluarkan keuntungan pelaburan diperolehi terbabit sebelum terus diminta untuk membuat pembayaran lain berjumlah keseluruhan RM50,392,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Ikon Siswa UMT 2025

 

Sebahagian pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang menerima Anugerah Ikon Siswa 2025 di UMT, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Ketengah turun kadar sewaan premis perniagaan 20 peratus

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) mengambil inisiatif mengurangkan kadar sewa premis perniagaan milik agensi itu sebanyak 20 peratus bermula bulan depan.

Pengerusi Ketengah, Datuk Rozi Mamat berkata, inisiatif tersebut bakal memberi manfaat kepada 552 penyewa premis
gerai, medan selera, rumah kedai, kilang industri kecil dan sederhana di seluruh wilayahnya.

“Premis-premis perniagaan tersebut terletak di Bandar Al Muktafi Billah Shah, Ketengah Jaya dan Bukit Besi, Dungun; Seri Bandi, Ceneh Baharu, Kemaman dan Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

“Pengurangan 20 peratus kadar sewaan bulanan berkenaan melibatkan amaun antara RM20 hingga RM1,200 mengikut saiz dan lokasi premis,” katanya di sini, hari ini.

Rozi berkata, Ketengah berharap inisiatif terbabit dapat membantu peniaga di wilayah Ketengah dalam mendepani krisis ekonomi dan kenaikan harga bahan api global.

Beliau berkata, ia selaras arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang prihatin terhadap cabaran sedang dihadapi golongan peniaga. – KOSMO! ONLINE

Wanita ‘mabuk cinta’ rugi RM60,500

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Seorang ibu tunggal yang dikatakan ‘mabuk cinta’ dengan lelaki yang baru dikenalinya melalui TikTok mengalami kerugian lebih RM60,000 selepas menjadi mangsa penipuan love scam.

Lebih menyedihkan apabila sebahagian besar wang tersebut merupakan pinjaman peribadi yang dibuat mangsa. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, kejadian bermula selepas pembantu kedai berusia lewat 30-an itu berkenalan dengan seorang lelaki menerusi aplikasi TikTok pada awal bulan lalu.

 “Mereka kemudiannya berhubung menerusi aplikasi Whats App sebelum diminta agar membuat bayaran kononnya untuk tempahan hotel pada 10 April lalu.

 “Mangsa telah membuat pindahan wang sebanyak RM500 ke dalam akaun e-dompet diberi suspek,” katanya di sini semalam. 

Azli berkata, suspek terus meminta mangsa agar ‘membantu’ membuka akaun bank miliknya yang kononnya telah disekat pada 22 April lalu. 

Beliau berkata, ibu tunggal tersebut kemudiannya menunaikan permintaan tersebut dengan memindahkan sebanyak RM60,000 ke dalam akaun bank diberi suspek. 

“Mangsa akhirnya menyedari telah terperdaya sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini pada pukul 10.01 malam, semalam (kelmarin). 

“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. 

Sementara itu, seorang peniaga kedai perkakasan turut kerugian RM86,735 akibat diperdaya tender pembekalan jubin lantai serta kerusi dan meja kantin sekolah yang tidak wujud. 

Lelaki berusia 54 tahun yang menyedari tertipu telah membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu di sini pada pukul 12.50 tengah hari kelmarin. 

Azli berkata, kejadian berlaku apabila premis perniagaan peniaga tersebut yang terletak di bandar raya ini telah dikunjungi seorang lelaki mendakwa kononnya seorang guru pada pukul 12 tengah hari, 30 April lalu. 

“Suspek mendakwa mahu menempah jubin lantai kononnya untuk kegunaan sekolah menengahnya yang terletak di Marang. 

“Dia juga mendakwa mahu menempah 45 set meja dan kerusi kantin sekolah yang dianggarkan bernilai RM122,450,” katanya AZLI di sini semalam.

Tiada lagi gurau senda Ucu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Hati ibu bapa mana yang tidak tersentuh melihat anak bongsu yang sebelum ini cergas kini terlantar di atas katil akibat kecederaan kepala selepas terlibat dalam kemalangan empat tahun lalu.

Samsudin Sulaiman, 64, berkata, kehidupan anak lela­kinya, Mohamad Fadil, 30, yang mesra dipanggil Ucu berubah 360 darjah selepas terlibat dalam nahas sewaktu keluar bekerja di Johor Bahru pada April 2022.

“Kemalangan itu menyebabkan kepalanya kini bergantung kepada tempurung tiruan yang dipasang menerusi beberapa pembedahan.

“Keadaannya bertambah memburuk apabila otak anak saya terkena jangkitan kuman tidak lama selepas itu menyebabkan fizikalnya lumpuh serta penglihatannya terjejas,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Seri Kena­ngan di sini semalam.

Samsudin berkata, keadaan Ucu kini amat menyedihkan memandangkan sebelum kema­langan tersebut, anaknya itu seorang yang ringan tulang dan gigih bekerja.

Katanya, selain bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Johor Bahru, anaknya sebelum ini turut me­lakukan pelbagai pekerjaan sampingan demi menambah pendapatan.

“Saya dan isteri, Rosnani Deraman (61 tahun) rindukan mendengar gelak tawa dan suara Ucu yang periang. Biarlah kami berkorban habiskan usia emas ini untuk menjaga dia selagi ha­yat dikan­dung badan,” katanya.

Samsudin berkata, setiap kali perlu dibawa ke hospital untuk rawatan berkala, dia mengerah kudrat mengendong Ucu mema­suki kereta.

Rosnani pula masih menaruh harapan Ucu yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik kembali sembuh seperti sedia kala suatu hari nanti.

“Jika tidak pun, biarlah sekurang-kuranya dapat dia (Ucu) berbicara semula. Buat masa ini, kami berkomunikasi menerusi kerdipan matanya,” katanya.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Agrobank Samsudin di 2006363000048410 atau menghubunginya di talian 014-271 9166.

Friday, May 29, 2026

Dakwaan pemandu Perodua Myvi ‘lalok’ vape mushroom tidak benar

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU -Seorang pembantu kedai makan yang didakwa ‘lalok’ akibat penggunaan vape mushroom sewaktu terlibat dalam kemalangan kecil di Jalan Belukar Jambu, di sini pada Selasa lalu disahkan bebas daripada pengaruh dadah.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, ujian urin terhadap lelaki berusia 25 tahun itu bukan sahaja negatif malah pemeriksaan di rumahnya juga tidak menemui sebarang bahan larangan tersebut.

“Saya mengesahkan tiada penglibatan dadah (melibatkan pembantu kedai makan berkenaan) dalam kes tersebut.

“Sehubungan itu, orang ramai dipohon agar tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian sendiri tanpa fakta tepat,” katanya di sini malam ini.

Terdahulu, tular klip video berdurasi 59 saat di media sosial memaparkan kononnya pembantu kedai makan tersebut dalam keadaan mencurigakan sehingga didakwa berada di bawah pengaruh vape mushroom sewaktu terlibat dalam kemalangan berkenaan.

Azli berkata, insiden sebenarnya, lelaki itu yang memandu kereta Perodua Myvi didapati telah melanggar kenderaan utiliti sukan (SUV), Perodua Ativa dipandu seorang guru lelaki di Jalan Belukar Jambu di sini pada pukul 8.19 malam, Selasa lalu.

Beliau berkata, kemalangan tersebut menyebabkan kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan.

“Pembantu kedai makan itu telah dikenakan dua notis kompaun kesalahan trafik mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan Peraturan 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Semua mangsa layak terima faedah Perkeso

 KUALA TERENGGANU – Waris tiga pekerja pelantar minyak yang maut dalam insiden di Platform Sepat Ahad lalu layak menerima faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). 

Faedah sama turut dinikmati seorang lagi mangsa yang cedera dan dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah. 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, semakan mendapati empat mangsa itu merupakan pencarum aktif.

 “Balu dan anak tunggal arwah Ahmad Fiqri Zakaria layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) sebanyak RM 5,355 setiap bulan. 

“Balu arwah akan menerima FOT sepanjang hayat, manakala anaknya sehinggga berusia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama,” katanya. 

Kosmo! kelmarin melaporkan tiga pekerja maut, manakala seorang parah selepas tali pemegang bot keselamatan yang dinaiki mereka tercabut dari Platform Sepat lalu terjunam ke dalam laut dari ketinggian 20 meter di perairan TerengganuKelantan dekat sini. 

Mengulas lanjut, Ramanan berkata, balu dan anak-anak arwah Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam pula layak menerima FOT berjumlah RM3,105 sebulan.

Kedua-dua waris Ahmad Fiqri dan Muhammad Faezuan Hakim juga masing-masing bakal menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) RM3,000.

 “Waris Nik Muhammad Hafifi Asri Ab. Majid layak menerima FPM RM3,000 kerana arwah masih bujang dan ibu bapanya sudah meninggal dunia. Tujuh adik-beradik melepasi umur kelayakan.

 Muhammad Taufik Mohd. Ruslan yang cedera layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara sepanjang tempoh rawatan,” katanya.

Insiden tiga pekerja maut di FSO Sepat, Petronas laku siasatan

KUALA TERENGGANU – Firma minyak dan gas nasional, Petronas akan melakukan siasatan berhubung insiden mengorbankan tiga pekerja pelantar minyak di fasiliti Kapal Penyimpanan dan Pemunggahan Terapung (FSO) Sepat terletak di perairan Terengganu semalam.

Jurucakap Bahagian Komunikasi Strategik dan Perhubungan Petronas berkata, pihaknya akan memberi kerjasama penuh dengan agensi terlibat berhubung kemalangan yang turut menyebabkan seorang lagi pekerja pelantar minyak cedera parah.

“Petronas mengucapkan takziah kepada ahli keluarga dan sahabat handai mangsa terlibat.

“Tindakan segera memberi sokongan terhadap ahli keluarga terjejas telah diberi keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

FSO Sepat kendalian Petronas Carigali Sdn. Bhd. terletak di Medan Sepat, kira-kira 130 kilometer (km) dari timur Kuala Terengganu.

Terdahulu, jurucakap Bahagian Komunikasi Strategik dan Perhubungan Petronas mengesahkan insiden tersebut berlaku di FSO Sepat pada pukul 12.50 tengah hari, kelmarin.

Tiga pekerja pelantar minyak iaitu Ahmad Fiqri Zakaria, 38, Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, dan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab. Majid, 38, disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada pukul 5.57 petang. - KOSMO! ONLINE

Remaja maut dirempuh trak pikap, pemandu positif ketamin

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun maut selepas kereta yang dinaiki dirempuh sebuah trak pikap dipandu lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh dadah di Jalan Bukit Payong di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 12 tengah hari itu, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa angota badan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superindendan Md. Sani Md. Saleh berkata, ketika kejadian, remaja itu memandu kereta dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Bukit Payong.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan ternampak sebuah trak pikap di laluan bertentangan yang dipandu dalam keadaan terhuyung-hayang sebelum memasuki laluannya.

“Mangsa yang cemas dipercayai cuba mengelak dengan menukar haluan ke laluan bertentangan. Walau bagaimanapun pemandu trak pikap sekali lagi menukar haluan menyebabkan berlaku pertembungan,” ” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa meninggal dunia di dalam keretanya yang remuk teruk. Mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut di sini untuk tindakan lanjut.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati pemandu trak pikap tersebut positif dadah jenis ketamin,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Terhempas 20 meter

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan NURSYASYA NADHIRAH ZABIDI 

KUALA TERENGGANU – Tiga pekerja pelantar minyak maut manakala seorang lagi parah apabila bot penyelamat yang mereka gunakan terjunam dan terhempas di atas permukaan laut dari ketinggian kira-kira 20 meter ketika mahu melakukan kerja-kerja penyelenggaraan kelmarin. 

Kejadian pada pukul 12.50 tengah hari di Platform Sepat berhampiran perairan TerengganuKelantan itu berlaku apabila tali penyangkut yang dipasang pada bot tersebut dipercayai terlucut menyebabkan bot itu terjatuh.

Mereka yang maut ialah Ahmad Fiqri Zakaria, 38, Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, dan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab. Majid, 38, manakala Mohd. Taufik Mohd. Ruslan, 37, pula parah apabila beberapa tulang tubuhnya patah. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, kesemua mangsa berada di dalam bot kecemasan terbabit yang diletakkan di atas binaan Platform Sepat.

 “Mereka sepatutnya turun bagi melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di bawah platform sebelum tali penyangkut dikatakan tiba-tiba tercabut. 

“Ia menyebabkan kesemua mangsa yang berada di dalam bot kecemasan berkenaan terjunam ke dalam laut,” katanya. Menurut Azli, kesemua mangsa kemudian diterbangkan dengan helikopter ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus dekat sini pada pukul 4 petang sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dengan ambulans. 

Penerbangan itu mengambil masa satu jam. 

Tambahnya, tiga mangsa kemudian disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. 

“Pasukan penyiasat telah dihantar ke lokasi kejadian yang terletak 150 kilometer dari perairan Kuala Terengganu. Kes akan diklasifikasikan semula jika ada unsur jenayah,” katanya. 

Sementara itu, Nurul Ain Shazwani Ab. Majid, 30, berkata, abangnya, Nik Muhammad Hafifi Asri sempat mengucapkan selamat hari jadi kepadanya pada 18 Mei lalu.

 “Saya tak sangka ia komunikasi kami yang terakhir apabila dia menghantar ucapan itu dalam kumpulan WhatsApp keluarga pada pukul 10.31 pagi. Ia menjadi kenangan tidak dilupakan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HSNZ di sini. 

Menurut Nurul Ain Shazwani, arwah merupakan anak keempat daripada tujuh beradik dan merupakan seorang yang penyayang serta rajin.

 “Arwah sentiasa mengambil berat kebajikan adik-beradik meskipun sibuk sejak bekerja offshore (luar pesisir) 10 tahun lalu. Dia kembali bertugas pada 17 Mei lalu dan sepatutnya pulang ke darat pada 1 Jun depan,” katanya.

 Dalam pada itu, Nurul Ain Shazwani berkata, arwah bercadang untuk mengusahakan inap desa di rumahnya yang dibeli di Kota Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang. 

Jenazah Nik Muhammad Hafifi Asri dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan. 

Dalam pada itu, isteri Muhammad Faezuan Hakim, Nurkhaeryna Dhania Azreen Khairil Azri, 28, yang sedang sarat hamil berkata, Allahyarham tidak sabar mahu pulang pada 1 Jun ini dan mengumpul cuti untuk bertemu serta menemaninya sehingga dia bersalin. 

“Kami berbual menerusi panggilan video pada pukul 10 malam semalam (kelmarin) dan WhatsApp pada pukul 7 pagi hari kejadian. Luluh hati saya apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh wakil syarikat pada pukul 4 petang,” katanya. 

Dia yang menetap di Bukit Setongkol, Kuantan, Pahang berkata, suaminya sudah bekerja dalam bidang pesisir pantai sejak 2019, namun baru menyertai syarikat tersebut pada Mac lalu. 

Ahmad Syafiq Zakaria, 40, pula berkata, adiknya, Ahmad Fiqri sempat bercuti sakan untuk bersama keluarga sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini sebelum kembali bekerja pada 17 Mei lalu. 

“Arwah baru setahun bekerja offshore. Kami sempat beraya bersama-sama kerana dia cuti sebulan dan dia menetap di rumah mentua di Kampung Padang Sebang, Alor Gajah, Melaka,” katanya. 

Menurut Ahmad Syafiq, adiknya seorang pendiam, namun bertanggungjawab terutama kepada isteri, Siti Aisyah Ahmad, 38, dan anak tunggal lelaki mereka berusia 10 tahun. 

Jenazah Ahmad Fiqri dikebumikan di Kampung Padang Sebang.

Saya berhutang nyawa dengan Shahila, Afiqah – Ain

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Dua re­maja perempuan berusia 12 tahun menyifatkan mereka berhu­tang nyawa dengan dua beradik yang sanggup berkorban menye­lamatkan da­ripada lemas di Sungai Nerus berhampi­ran Kampung Jeram Manir di sini kelmarin. 

Kejadian pada pukul 3 petang itu meragut nyawa Nur Shahila Shahirah Azman, 12, dan kakak­nya, Nur Afiqah Shahirah Mohd. Shawalluddin, 15, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) lem­bam. 

Cerita Nurul Ain Fatihah Mohd. Zam­ri, 12, sebelum kejadian, me­reka bertiga bersama seorang lagi rakannya, Noor Sha­qi­ra Abdul Fatah, 12, , telah ke lokasi kejadian untuk beriadah dan mandi sungai pada pukul 2.30 petang. 

 “Waktu itu air surut, kami bermain dan mandi di kawasan berdekatan di batuan yang merintangi sungai. Namun, kira-kira setengah jam kemudian, tiba-tiba air pasang menyebabkan Shaqira yang sedang mandi dihanyutkan arus deras,” katanya kepada Kosmo! di Kampung Jeram Manir di sini semalam. 

Nurul Ain berkata, pada mulanya, dia cuba menyelamatkan Shaqira, namun turut dihanyut kan arus deras menyebabkan Shahila dan kakaknya, Afiqah bertindak nekad menyelamatkan mereka.

 “Saya dibantu dengan ditolak ke tebing sungai sehingga dapat berpaut pada rimbunan buluh yang terdapat di kawasan tersebut. Shaqira pula terapung di tengah-tengah sungai, manakala Shahila dan kakaknya, Afiqah pula yang lemas,” katanya. 

Nurul Ain berkata, dia dan Shaqira sudah kehabisan tenaga serta tidak mampu berbuat apaapa sehinggalah mereka dibantu dua penduduk kampung yang kebetulan melalui lokasi kejadian tidak lama kemudian. 

Katanya, dia sedih kehilangan Shahila dan kakaknya, Afiqah, serta berasa berhutang nyawa dengan kedua-dua beradik yang maut akibat lemas demi menyelamatkan dirinya dan Shaqira.

 Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Thoyyibah Taib berkata, mayat Shahila dan Afiqah ditemui berdekatan di dalam dasar sungai sedalam kira-kira enam meter pada pukul 6 petang kelmarin. 

Sementara itu, nenek dua beradik berkenaan, Esah Salleh, 76, berkata, ibu cucunya itu, Suria Sulung, 34, yang juga OKU lembam masih dalam keadaan terpinga-pinga dan dilihat kurang mengerti hakikat keduadua anaknya sudah meninggal dunia. 

“Suria merupakan ibu tunggal dan kedua-dua cucu perempuan saya yang berlainan bapa menetap dengan saya tidak jauh dari lokasi kejadian. 

“Tak sangka kedua-dua cucu saya mandi sungai kerana sebelum keluar rumah, mereka beritahu cuma mahu ke rumah kawan (Ain dan Shaqira),” katanya. 

Dia turut memberitahu jenazah Shahila dan Afiqah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jeram di sini semalam.

TNB lancar Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri Santong di Paka

 

DUNGUN – Sektor tenaga boleh diperbaharui tempatan terus diperkasa dengan pengoperasian Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) Santong kendalian syarikat utiliti nasional, Tenaga Nasional Berhad (TNB). 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fadillah Yusof berkata, BESS Santong merupakan projek sulung penyimpanan tenaga bateri utiliti berskala besar di negara ini. 

Beliau berkata, BESS Santong terbabit boleh menjana tenaga elektrik 100 megawatt atau 400 megawatt sejam (mw/j) untuk kegunaan 40,000 pengguna di Pantai Timur.

 “Inisiatif ini direncanakan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional bagi memastikan grid (rangkaian penghantaran kuasa elektrik bervoltan tinggi) nasional (sentiasa) dalam keadaan stabil. 

“Kita hendak memastikan bukan sahaja keterjaminan bekalan (elektrik), malah mesra alam dan mampu milik,” katanya selepas melancarkan BESS Santong, Paka di sini semalam. 

Fadillah berkata, pengoperasian BESS juga selaras dasar nasional untuk menjana 70 peratus tenaga elektrik daripada sumber bersih dan boleh diperbaharui. 

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) berkata, kos pembinaan BESS Santong yang mula beroperasi pada 17 April lalu menelan belanja kira-kira RM380 juta. 

“Ia dapat disiapkan dalam tempoh hanya 309 hari, (membuktikan) TNB ada keupayaan menyiapkan infra untuk keseluruhan rantaian tenaga (elekrik) kita.

 “Saya difahamkan projek BESS kedua akan dilancarkan di Sabah pada bulan Jun atau Julai depan,” katanya.