Translate

Saturday, November 10, 2018

Tragedi seminggu bertunang

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

MARANG – Dua remaja termasuk seorang gadis yang baru bertunang maut manakala dua lagi kritikal setelah kereta Pe­rodua Myvi dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh sebuah bas kilang di Kilometer 51, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Jambu Bongkok di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, Norillyana Mat Hassan @ Hassan (gambar kecil), 19, maut di lokasi kejadian manakala anak saudaranya, Muhammad Ismail Ramdzul Haisam, 19, disahkan meninggal dunia sewaktu me­nerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Dua lagi mangsa iaitu Muhammad Abdul Kudus, 21, yang juga abang kepada Muhammad Ismail Ramdzul dan kakak Norillyana, Norsyahida, 29, berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Ra­watan Rapi hospital sama.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, sewaktu kejadian, kereta Perodua Myvi yang dinaiki keempat-empat mangsa difahamkan dalam perjalanan ke Kuala Terengganu dari Kuantan, Pahang.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu Muhammad Abdul Kudus itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas sehingga merempuh belakang sebuah bas kilang yang diletakkan di tepi jalan.
“Rempuhan itu menyebabkan Perodua Myvi tersebut remuk menyebabkan Norillyana yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan anggota badan,” katanya di sini semalam.

Mohd. Suhaimi berkata, tiga lagi mangsa dikejarkan ke Unit Kecemasan HSNZ namun, salah seorang daripada mereka iaitu Muhammad Ismail Ramdzul mening­gal dunia tidak lama kemudian.

Difahamkan, Norillyana yang merupakan kakitangan sebuah syarikat berkaitan gas dan minyak di Teluk Kalong, Kemaman baru seminggu melangsungkan pertunangan pada hujung bulan lalu.

No comments:

Post a Comment