Translate

Sunday, October 4, 2026

PRN Melaka: Kerjasama BN atau tidak, PN tetap mahu kalahkan PH

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Rundingan kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) masih rancak berjalan menjelang mesyuarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Rabu depan.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, rundingan itu bukan sahaja melibatkan agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) malah penggunaan logo parti-parti bertanding.

Beliau berkata, disebabkan logo PN mungkin tidak dibenar digunakan dalam PRN Melaka ekoran isu dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), cadangan penggunaan logo BN atau Pas sendiri termasuk dalam agenda rundingan berkenaan.

“(Tarikh penamaan calon dan hari mengundi) PRN Melaka masih belum umum. (PN dan BN) masih dalam perundingan.

“Yang penting, pimpinan Melayu Islam pimpin Melaka. Kita tolak Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Rusila, di sini hari ini.

Abdul Hadi optimis tidak akan timbul masalah dalam pembahagian kerusi sekiranya kerjasama PN dan BN dalam PRN Melaka berjaya direalisasikan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Marang itu berkata, Pas tetap istiqamah dengan misi untuk mengalahkan PH dalam PRN Melaka biar akhirnya nanti rundingan kerjasama antara PN dan BN menemui jalan buntu.

“BN kalau pilih PH (kerjasama dalam PRN Melaka), itu atas dia. Kita tetap usahakan supaya PH kalah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Pinjaman tak dapat, simpanan yang lesap

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Hasrat seorang pengusaha bot pelancong untuk membuat pembiayaan bukan sahaja tidak kesampaian malah simpanan dia sebanyak RM135,800 pula yang lesap dipercaya skim pinjaman tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Rozaime Ab. Rahim berkata, pada mulanya, lelaki berusia 38 itu tertarik apabila terlihat iklan skim tawaran pinjaman tersebut menerusi aplikasi TikTok pada bulan 25 September lalu.

“Mangsa kemudiannya menghubungi individu mendakwa kononnya wakil institusi menawarkan pembiayaan berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp.

“Dia diarah untuk membuat bayaran sebagai prasyarat kelulusan pinjaman terbabit,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Rozaime berkata, pengusaha bot pelancongan terbabit yang tidak menaruh syak telah mengikuti arahan tersebut.

Beliau berkata, pembayaran dilakukan menerusi 18 transaksi ke dalam akaun bank diberikan suspek.

“Mangsa hanya menyedari tertipu apabila tidak menerima pinjaman dijanjikan malah didesak membuat lagi pembayaran tambahan.

“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tinggal gaji lumayan Singapura ‘kejar’ jadi usahawan bot

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Keputusan nekad seorang lelaki meninggalkan pekerjaan bergaji lumayan di Singapura 14 tahun lalu demi berada lebih dekat dengan keluarga ternyata berbaloi apabila dia kini muncul antara pembuat bot fiber berjaya di sini.

Nasarudin Hussin, 43, berkata, dia kini menyasarkan penjualan sekurang-kurangnya dua buah bot fiber sebulan bernilai sehingga RM20,000 sebuah.

Menurutnya, dia pernah be­kerja dalam sektor pembinaan di Singapura sejak tahun 2003, namun terpaksa berjauhan daripada isteri, anak-anak dan ­keluarga.

“Ketika itu gaji memang lumayan, tetapi saya terpaksa berjauhan dengan keluarga untuk tempoh yang lama.

“Pada 2012, saya buat keputusan berhenti kerja dan pulang ke tanah air. Demi meneruskan kehidupan, saya memanfaatkan kemahiran yang ada untuk menghasilkan bot fiber,” katanya di bengkelnya di Kampung Baharu, di sini, semalam.

Menurutnya, dia belajar membuat bot fiber sewaktu berusia 18 tahun di kampung halaman di Rantau Abang, Dungun sebelum berkelana ke Singapura selepas itu.

Katanya, biarpun cuma dua tahun menimba ilmu di bengkel pembuatan bot fiber itu, kemahirannya tidak hilang.

“Saya beranikan diri membuka bengkel pembuatan bot fiber di Kampung Baharu ini yang ­merupakan kampung halaman isteri.

“Alhamdulillah tempahan tidak pernah putus antara dua hingga tiga buah bot fiber sebulan sejak mula dibuka,” katanya.

Tambahnya, pelanggannya bukan sekadar dari sekitar Terengganu, malah negeri-negeri lain seperti Kelantan dan Kedah.

“Selain nelayan pesisir pantai dan pemancing, tempahan juga diterima daripada individu yang mahu membuat persediaan menghadapi banjir musim tengkujuh,” katanya.

Nafi penderma Arab sumbang Tabung Solidariti Najib

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Pegawai Khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Muhammad Mukhlis Maghribi menafikan dakwaan kononnya tabung solidariti yang dibuka untuk bekas Perdana Menteri itu menerima sumbangan besar daripada penderma asing dari Timur Tengah.

Beliau berkata, dakwaan beserta gambar bertebaran di media sosial itu yang dipercayai dijana dengan kecerdasan buatan (AI) oleh pihak tidak bertanggungjawab adalah palsu.

“Tabung Solidariti Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membantu membayar denda RM50 juta yang menjadi syarat menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah diuruskan sepenuhnya UMNO.

“Berdasarkan pengumuman terkini, sumbangannya mencapai RM9.25 juta dan kebanyakannya diberikan akar umbi UMNO seluruh negara. Tiada dana (penderma) luar (negara),” katanya ketika di Kampung Binjai Kertas, di sini, semalam.

Terdahulu, beliau menerima sumbangan RM23,400 untuk tabung solidariti tersebut daripada ahli-ahli UMNO Bahagian Hulu Terengganu yang disampaikan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat.

Muhammad Mukhlis berkata, Najib amat terharu dengan kesungguhan rakyat negara ini terutama ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang sanggup menyumbang bagi memastikan beliau dapat menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.

Menurut beliau, sewaktu ditemui di Penjara Kajang minggu lalu, Najib mengakui amat malu dan segan dengan kesungguhan UMNO berusaha membantunya membayar denda RM50 juta tersebut.

“Katanya, beliau sedar RM50 juta merupakan amaun besar yang lebih diperlukan parti (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Melaka tidak lama lagi.

“Tetapi saya menyakinkan beliau (Najib), sumbangan ahli akar umbi (UMNO) itu cara mereka menunjukkan keprihatinan, rasa sayang dan menghargai jasa-jasanya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Saturday, October 3, 2026

Musim bah: 460 lokasi pesisir pantai, muara sungai diberi perhatian

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Angkatan Pertahanan Awam (APM) selaku Sekretariat Pengurusan Bencana Terengganu akan memberi tumpuan terhadap 460 lokasi berisiko banjir di negeri ini sewaktu tempoh Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal bermula pada bulan depan.

Pengarah APM Terengganu, Mohd. Zul Khairi Shamsuddin berkata, kebanyakan lokasi berisiko banjir yang telah dikenal pasti itu terletak di kawasan pedalaman, pesisir pantai dan muara sungai seluruh negeri ini.

“Kesemua lokasi tersebut pernah ditenggelami banjir pada musim tengkujuh dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

“Pemantauan berkala dilakukan di kawasan-kawasan tersebut bergantung kepada keadaan cuaca dan akan dipertingkatkan menjelang ketibaan MTL pada bulan depan,” katanya di Pulau Kapas, dekat sini, hari ini.

Terdahulu beliau ditemui ketika mengetuai Latihan Pengendalian Bot bagi menghadapi musim tengkujuh.

Sehubungan itu, Mohd. Zul Khairi memberitahu, APM telah meningkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi banjir tengkujuh.

Beliau berkata, mesyuarat koordinasi banji melibatkan semua agensi terlibat di Terengganu telah diadakan pada Ahad lalu.

“Semua 900 anggota APM negeri telah bersiap sedia untuk digerakkan bagi operasi penyelamatan banjir mengikut keperluan.

“Sebahagian 126 aset daratan dan air seperti lori, kenderaan pikap dan bot laju telah diselenggara dan dipastikan akan keadaan baik untuk digunakan dalam musim banjir,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Mekanik maut dirempuh Honda Wave 125 ditunggang remaja 13 tahun

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Seorang mekanik maut selepas motosikal ditunggangi terlibat dalam kemalangan melibatkan dua lagi motosikal lain di Jalan Kampung Gong Kepas Dalam, di sini, malam tadi.

Dalam kemalangan pada pukul 7.15 malam tersebut, mangsa, Wan Mohd. Saidy Wan Harun, 46, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Rozaime Ab. Rahim berkata, kemalangan dikatakan berlaku selepas Wan Mohd. Saidy menunggang motosikal jenis Honda C70 yang turut dibonceng rakan lelakinya berusia 41 tahun tiba-tiba mengubah haluan dari kiri ke kanan jalan.

“Sebuah motosikal Honda Wave 125 yang ditunggangi seorang remaja lelaki berusia 13 tahun di laluan sama tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal mangsa.

“Impak kemalangan itu, motosikal ditunggangi remaja 13 tahun tersebut pula dirempuh dari belakang oleh sebuah motosikal Honda Demak Evo Z yang dinaiki pula remaja lelaki berumur 14 tahun,” katanya di sini, hari ini.

Mohd. Rozaime berkata, lelaki berusia 41 tahun yang memmbonceng motosikal Honda C70 serta dua remaja berkenaan turut mengalami kecederaan akibat kemalangan itu.

Beliau berkata, mayat Wan Mohd. Saidy telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut di sini, untuk tindakan lanjut.

“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Pembantu am Sekolah Menengah Sains Setiu maut kemalangan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Seorang pembantu am Sekolah Menengah Sains Setiu maut, manakala suaminya pula cedera parah selepas kereta Proton Wira dinaikinya mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 79, Jalan Kuala Terengganu berhampiran Kampung Bukit Grebar, di sini hari ini.

Dalam kemalangan pada pukul 2.15 pagi itu, mangsa, Raja Norizan Raja Ali, 41, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Suami mangsa yang berusia 44 tahun pula mengalami patah kaki kanannya.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Zahril Asri Mohd. Zain berkata, sewaktu kejadian, wanita itu dan suaminya dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Simpang Tiga, Kampung Che Mohid, Permaisuri di sini.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Wira dinaiki mereka dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan.

“Kereta mereka kemudiannya memasuki parit,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Zahril Asri berkata, mayat Raja Norizan telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Setiu di sini, untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, suami mangsa yang cedera parah pula dikejarkan ke unit kecemasan hospital sama untuk menerima rawatan. – KOSMO! ONLINE

Lambakan duku, FAMA Terengganu bantu pasar 300 tan metrik

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu mengambil inisiatif membeli 300 tan metrik duku bagi membantu petani mengatasi lambakan buah tempatan itu.

Pengarah FAMA negeri, Muhamad Fadlee Hassan berkata, pembelian buah duku terbabit melibatkan peruntukan kira-kira RM440,000.

“Pengeluaran duku di Terengganu pada musim kali ini meningkat sehingga 80 peratus berbanding kira-kira 19,000 metrik tan pada tahun lalu.

“Selain itu, pengguna juga mempunyai lebih pilihan ekoran pengeluaran duku dan dokong dari Johor dan Kelantan yang hampir serentak,” katanya di Kampung Kubang Bujuk, Serada di sini hari ini.

Terdahulu beliau memantau proses pengumpulan bekalan duku dari petani sekitar Serada.

Muhamad Fadlee berkata, lambakan duku tersebut menyebabkan harga di peringkat ladang jatuh dari RM2 sekilogram pada awal pertengahan bulan September lalu kepada RM1.50 bagi kuantiti sama pada masa ini.

Beliau berkata, bagi mengelakkan harga terus jatuh akibat lambakan berkenaan, FAMA Terengganu membantu membeli bekalan duku tersebut untuk dipasarkan ke luar negeri ini.

“Setiap hari kita memasarkan bekalan duku berkenaan untuk pasaran Lembah Klang, Johor dan utara tanah air selain karnival-karnival anjuran agensi kerajaan di seluruh negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Terpaksa berhentikan anak di tadika kerana sukar dikawal

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Seorang ibu cekal menjaga enam anaknya termasuk seorang yang menghidap masalah gangguan hiperaktif dan kurang tumpuan (ADHD) biarpun dia sendiri uzur menghidap pelbagai penyakit kronik.

Normahera Kholid, 39, berkata, dia terpaksa menjalani dialisis tiga kali seminggu berikutan kegagalan buah pinggang sejak bulan lalu.

“Keadaan ini impak daripada penyakit tiga serangkai iaitu diabetes, tekanan darah tinggi dan jantung yang saya deritai sejak hampir 10 tahun lalu.

“Selain itu, penyakit sama turut menyebabkan tahap penglihatan saya kian kabur,” katanya ketika ditemui rumahnya di Kampung Renek, di sini semalam.

Katanya, biarpun kudratnya semakin lemah terutama selepas menjalani rawatan dialisis berkala, namun dia tetap mengga­gahkan diri untuk menguruskan anak-anak terutama Muhammad Iffat

Anaqi, 6, yang baru disahkan orang kurang upaya (OKU) pada bulan Mac lalu.

Katanya, kebanyakan masa, dia terpaksa menguruskan rumah tangga dan anak-anak bersendirian memandangkan suaminya, Mohd. Nazri Mohd. Zarawi, 38, terpaksa bekerja di Jeli, Kelantan untuk mencari rezeki.

“Mujur ahli keluarga yang tinggal berdekatan banyak membantu terutama menjaga Iffat Anaqi yang merupakan anak kelima terutama sewaktu saya perlu menjalani rawatan dialisis di Hospital Besut.

“Anak saya (Iffat Anaqi) yang menghidap ADHD memerlukan tumpuan khas kerana baru belajar bercakap dan kebanyakan masa dia seakan berada dalam dunianya sendiri,” katanya.

Normahera berkata, sebelum ini dia terpaksa memberhentikan Iffat Anaqi di tadika ekoran agak lasak dan sukar dikawal.

Katanya, anak kelimanya itu berkemungkinan akan dihantar ke sekolah yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) pada tahun hadapan.

Dalam pada itu, Normahera memberitahu, dia juga terpaksa berbelanja kira-kira RM200 se­minggu termasuk membayar upah individu menghantarnya ke hospital bagi menjalani rawatan dialisis.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun bank bernombor 0301841000037310 (Bank Simpanan Nasional) atau hubungi Normahera di talian 019-903 7951.

Murid patah kaki dihempas guru dapat ganti rugi RM47,000

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang remaja lelaki yang patah kaki kanan selepas dikasari guru kelas al-Quran dan fardu ain (KAFA) empat tahun lalu akhirnya mendapat pembelaan apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan ganti rugi berjumlah RM47,000.

Hakim Yusrin Faidz Yusoff memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Muhammad Izz Anaqi Mohd. Izwan yang kini berusia 13 tahun selaku plaintif.

Beliau mengarahkan dua defendan iaitu guru KAFA, Ahmad Mursyidin Abdullah, 41, dan majikannya, Yayasan Islam Terengganu (YIT) membayar ganti rugi am kecederaan RM30,000 berserta kos RM17,000 dan faedah terhadap remaja tersebut.

Beliau mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen di sini yang sebelum ini menolak tuntutan Muhammad Izz Anaqi pada 16 Februari lalu.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang dikemukakan ibu plaintif, Nor Azlina Mohamad Yasin, 41, defendan pertama, Ahmad Mursyidin didakwa menghempas mangsa ke atas kerusi pada pukul 3.30 petang, 6 Julai 2022.

Muhammad Izz Anaqi yang kini menyambung pelajaran di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tidak dapat berjalan pulang ke rumah selepas kelas tersebut sebelum dirujuk ke sebuah klinik swasta.

Pihak klinik mengesahkan kaki kanan plaintif patah berdasarkan imbasan x-Ray.

Sementara itu, bapa Muhammad Izz Anaqi, Mohd  Izwan Ahmad Saidi, 40, berkata, insiden yang berlaku empat tahun lalu itu bukan sahaja menyebabkan kaki anaknya patah, malah mendatangkan trauma berpanjangan terhadap remaja tersebut.

“Dia (Muhammad Izz Anaqi) terpaksa memendam rasa dipandang serong sepanjang berada di sekolah rendah kerana mengambil tindakan perundangan terhadap gurunya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Friday, October 2, 2026

Bayar RM15,000 tapi tak dapat pergi umrah

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sebuah syarikat pelancongan di Besut sedang disiasat berhubung dakwaan melakukan penipuan berkaitan pakej mengerjakan umrah.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, setakat ini, pihak polis telah menerima aduan daripada enam individu yang sepatutnya mengikuti pakej umrah berkenaan.

“Ia termasuk seorang wanita berusia 63 tahun yang mendakwa telah membuat pembayaran RM15,000 kepada syarikat pelancongan terbabit. Bayaran buat tiga peserta pakej umah itu didakwa dibuat menerusi tiga transaksi ke dalam akaun bank diberikan,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Khairi berkata, wanita warga emas tersebut mendakwa sebelum ini perjalanan umrahnya telah ditangguhkan sebanyak dua kali atas alasan kononnya masalah visa.

Beliau berkata, mangsa juga mendakwa pernah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dan dimaklumkan kononnya visanya tidak diluluskan.

“Lima individu lain turut membuat aduan berhubung pakej umrah sama. Rakaman percakapan pengadu dan saksi sedang dijalankan.

“Begitu juga wakil syarikat pelancongan dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Musim tengkujuh: Barang keperluan di pulau, pedalaman Terengganu dijamin cukup

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah membuat persiapan awal memastikan barangan keperluan bagi penduduk rangkaian pulau dan pedalaman di Terengganu sentiasa mencukupi sepanjang tempoh musim tengkujuh nanti.

Pengarah KPDN Terengganu, Mohd. Mufsi Lat berkata, perancangan penghantaran ke kawasan pulau dan pedalamam itu telah mula dilakukan pada masa ini menerusi program Pengedaran Barang Perlu.

“Tiga kawasan terlibat di negeri ini iaitu Pulau Redang, di sini; Pulau Perhentian, Besut; dan Pasir Raja, Hulu Dungun.

“Ia melibatkan tujuh barangan iaitu beras putih, gula putih bertapis kasar, tepung gandum, minyak masak, tong gas memasak, petrol RON95 dan diesel,” katanya di Kampung Baharu Pulau Redang, dekat sini, hari ini.

Terdahulu beliau meninjau penyediaan kemudahan baharu, pam minyak petrol RON95 dan diesel untuk kegunaan 2,400 penduduk pulau peranginan tersebut.

Mohd. Mufsi berkata, syarikat pemborong dan peruncit dilantik telah dibenarkan mengambil bekalan tambahan bagi menjamin barangan keperluan untuk penduduk kawasan pulau dan pedalaman tersebut mencukupi sepanjang musim tengkujuh.

Beliau berkata, program Pengedaran Barang Perlu juga menjamin penduduk kawasan pulau dan pedalaman negeri ini menikmati barangan keperluan pada harga sama mengikut kadar semasa di peringkat nasional.

“Kerajaan memberi subsidi bagi membiayai kos pengangkutan barangan keperluan ke kawasan pulau dan pedalaman,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Nenek terjerat taktik ‘tarik’ duit, mahu wang segera langsai hutang, sedekah

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara terlalu percaya dengan seorang lelaki yang mengaku mampu ‘menarik’ duit, seorang suri rumah terputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM80,000 lesap akibat ditipu.

Perkara itu terbongkar selepas mangsa yang berusia 73 tahun membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, di sini pada pukul 4.17 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, siasatan mendapati wanita itu melihat satu hantaran berhubung aktiviti ‘menarik’ duit di Facebook tahun lalu.

“Mangsa tertarik apabila suspek mendakwa boleh mendapatkan bantuan wang ghaib secara dalam talian.

“Warga emas itu teringin mendapatkan wang segera untuk membaiki rumah, melangsaikan hutang dan menyumbang kepada anak yatim kemudiannya menghubungi suspek,” katanya di sini, hari ini.

Azli berkata, mangsa tidak memperoleh habuan walaupun sudah mengikuti syarat yang ditetapkan dengan membuat pembayaran sebanyak RM30,000 kepada suspek.

Suri rumah itu masih bersangka baik walaupun tidak menerima wang sebelum dihubungi individu tidak dikenali yang mendakwa wang ghaib tersebut berada dalam tangannya.

“Mangsa diarahkan membayar sebanyak RM50,000 kononnya sebagai denda kerana lewat mengambil wang tersebut,” katanya.

Tambahnya, mangsa sekali lagi diperdaya apabila mengikuti arahan itu selepas diyakinkan oleh lelaki yang ‘menarik’ wang ghaib tersebut. – KOSMO! ONLINE

Premis ‘sarang burung’ jadi asrama pelajar, pekerja asing diserbu bomba

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Empat premis pejabat yang diubah suai tanpa kebenaran menjadi asrama termasuk salah satunya untuk pelajar sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di bandar raya ini diserbu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Operasi bersepadu yang turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) itu mendapati kesemua premis tersebut tidak selamat sekiranya berlaku kecemasan termasuk kebakaran.

Pengarah JBPM Terengganu, Nor Mahathir Muhammad berkata, pemeriksaan mendapati kesemua premis terbabit termasuk asrama pelajar perempuan terbabit bukan sahaja sempit dan tidak selesa, malah binaannya tidak mengikut spesifikasi ditetapkan dan hanya mempunyai satu laluan keluar.

“Kesemua lokasi (yang diserbu) bermasalah kerana menukar kegunaan daripada kelulusan asal diberi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ulasan JBPM.

“Kegunaan awal (premis) untuk pejabat, namun telah dijadikan asrama pekerja dan pelajar,” katanya selepas mengetuai pemeriksaan Operasi Sarang Burung di sebuah asrama pelajar IPT di Jalan Engku Sar, di sini, hari ini.

Serbuan turut dilakukan di tiga premis yang dijadikan asrama pekerja asing di Jalan Masjid Abidin; Jalan Engku Pengiran Anom 2; dan Jalan Sultan Zainal Abidin, di sini.

Nor Mahathir berkata, keempat-empat pemilik premis asrama terbabit diberi notis amaran mengikut Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

Beliau berkata, mereka diarahkan membuat permohonan menukar status kegunaan premis dengan MBKT dalam tempoh seminggu sebelum pengubahsuaian lain dilakukan kemudian dalam jangka masa bersesuaian. – KOSMO! ONLINE

Monsun Timur Laut diramal ‘hentam’ Malaysia 2 minggu lagi

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Monsun Timur Laut (MTL) yang kebiasaannya bermula akhir Oktober hingga awal November depan berkemungkinan boleh berlaku awal sedikit tahun ini berikutan fenomena Super El Nino.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Chung Jing Xiang berkata, fenomena iklim ekstrem itu juga boleh menyebabkan musim tengkujuh kali ini berakhir lebih lewat berbanding lazimnya pada Mac.

“Kalau ikut kajian lepas, MTL biasanya akan tiba lebih awal dan berakhir lebih lambat pada tahun terjadinya El Nino.

“Dijangkakan perkara sama juga terjadi (tahun ini). Kejadian Super El Nino memang akan mempengaruhi MTL,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Fenomena Super El Nino yang dijangka berlaku pada November dan Disember depan dan boleh berlarutan sehingga tahun hadapan dijangka mengubah corak cuaca global ekoran pemanasan suhu permukaan laut di tengah dan timur Lautan Pasifik.

Ujar beliau, begitupun risiko berlaku banjir besar pada musim tengkujuh kali ini lebih rendah ekoran taburan hujan diramal akan berkurangan disebabkan fenomena Super El Nino.

Namun, jelas beliau, faktor banjir musim tengkujuh bukanlah bergantung kepada Ayunan Selatan El Nino semata-mata tetapi turut dipengaruhi luruan monsun, lekukan Borneo dan Ayunan Madden-Julian.

“Situasi sepanjang tempoh MTL nanti akan ditentukan keada­an semasa yang bakal berlaku pada waktu itu yang sukar diramal tepat ketika ini,” katanya.

Katanya, ketibaan MTL boleh dilihat menerusi beberapa indikator seperti perubahan arah ­angin yang bertiup secara berte­rusan dari arah timur laut dengan kelajuan kencang.

“Sepanjang tempoh MTL luruan udara sejuk dari pedalaman Siberia, Rusia juga akan mema­suki perairan Laut China Selatan.

“Ia membawa beberapa episod hujan lebat berterusan terutama di Pantai Timur, Johor Timur, Sabah dan Sarawak. Selain itu, perairan Laut China Selatan akan bergelora dan kemunculan ombak besar dengan lebih kerap serta kenaikan paras laut berikutan tiupan angin kencang,” katanya.

Ujarnya, walaupun risiko banjir besar rendah ekoran taburan hujan rendah semasa fasa MTL di­sebabkan Super El Nino, ia bukanlah berita yang terlalu baik malah sebenarnya perlu dirisaukan.

“Kekurangan taburan hujan itu dibimbangi menjejaskan takungan air di empangan-empangan utama di seluruh negara.

“Hujan berlebihan yang bia­sanya dibawa pada tengkujuh walaupun amat memudaratkan tetapi ia tetap merupakan sumber air penting dalam pengisian empangan kita. Malaysia pernah menghadapi fenomena El Nino yang sangat kuat pada 1983, 1997 dan 2015,” tambahnya.

Murid tahun dua dalam perjalanan ke sekolah maut kemalangan

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Perjalanan seorang murid tahun dua ke sekolah berakhir tragedi apabila kanak-kanak perempuan tersebut maut dalam kemalangan di Kilometer 50, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu, berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 29, di sini, hari ini.

Dalam kemalangan pada pukul 6.50 pagi itu mangsa, Putri Jannatul Arisha Abdullah, 8, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Zahril Asri Mohd. Zain berkata, sewaktu kejadian, mangsa sedang membonceng motosikal jenis Yamaha LC yang ditunggang neneknya.

“Mereka dalam perjalanan untuk menghantar mangsa (Putri Jannatul Arisha) ke SK Batu 29 dari Kampung Langkap, di sini.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha LC yang dinaiki mereka dikatakan rempuh sebuah kereta Proton Waja sebaik membelok untuk keluar simpang, ” katanya di sini hari ini.

Zahril Asri berkata, kereta Proton Waja yang dipandu seorang lelaki yang dalam perjalanan ke Kota Bharu, Kelantan itu dikatakan gagal mengelak motosikal dinaiki mangsa dan neneknya.

Beliau berkata, mayat Putri Jannatul Arisha telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu, di sini, untuk tindakan lanjut.

“Nenek mangsa yang cedera parah pula dikejarkan ke unit kecemasan hospital sama untuk menerima rawatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Burung dilindungi bernilai RM709,950 dirampas

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara membela unggas diiilindungi tanpa lesen sah, tiga individu termasuk dua wanita diberkas dalam operasi dilaksanakan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga di Kampung Binjai Manis, Manir, di sini, kelmarin.

Operasi selama sejam 20 minit berakhir pukul 5.30 petang itu berjaya merampas lebih 49 ekor burung dilindungi pelbagai jenis dianggarkan bernilai keseluruhan RM709,950.

Beliau berkata, operasi yang dijalankan bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) itu bertujuan membanteras aktiviti menyimpan hidupan liar dilindungi tanpa lesen.

Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Mohd. Khairuddin Jamal berkata, kesemua burung tersebut ditemukan dalam serbuan di dalam enam rumah di perkampungan terbabit.

“Antara hidupan liar yang dirampas ialah 38 ekor burung luris leher, ruak-ruak (sembilan) dan murai batu (dua).

“Selain itu, pelbagai spesies burung dilindungi lain seperti daun besar, punai tanah, kelicap kunyit, merbau kapur, bayan serindit, merbah jambul, bayan puling dan daun sayap biru turut disita,” katanya di sini, hari ini.

Mohd. Khairuddin berkata, serbuan turut berjaya merampas 60 unit sangkar burung.

Beliau berkata, tiga individu berusia 23 hingga 46 tahun yang ditahan telah dibawa ke Balai Polis Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Wednesday, September 30, 2026

‘Tak dapat bayang hidup dua anak kecil tanpa Rubayyi’

BESUT – “Masih tidak dapat membayangkan bagaimana saya dan dua anak, Wan Muhammad Nur Haqeem, 4 bulan, dan Wan Muhammad Raees, 2, yang masih kecil mahu menjalani hidup tanpa dia (Rubayyi) selepas ini.” 

Demikian luahan Wan Muhammad Naim Wan Hussin, 28, yang merupakan suami kepada pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka, Pahang, Rubayyi Razak, 27, yang maut bersama penyelianya, Wan Adilah Wan Awang, 49, akibat renjatan elektrik di Kampung Air Tawar, Kuala Besut dalam kejadian pada pukul 1 tengah hari di sini kelmarin. 

Rubayyi yang mengambil Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Biodiversiti adalah seorang penuntut yang berdedikasi dalam pengajian biarpun sudah mempunyai dua anak lelaki. 

Wan Muhammad Naim berkata, arwah isterinya mula menjalani latihan praktikal di kolam ikan tersebut sejak 10 Ogos lalu iaitu kira-kira tiga bulan selepas melahirkan anak kedua mereka. 

“Semalam (kelmarin) saya seperti biasa menjemput isteri (Rubayyi) untuk pulang sebentar ke rumah di Kampung Lahar, di sini, untuk makan tengah hari pada pukul 1 tengah hari. 

“Sebaik tiba di kolam ikan, saya cuba mencarinya sebelum terkejut menemukan tubuhnya dan pemilik kolam ikan (Wan Adilah) terbaring berhampiran sebatang paip,” katanya di sini semalam. 

Wan Muhammad Naim berkata, dia yang mengesyaki Rubayyi dan Wan Adilah terkena renjatan elektrik segera meminta bantuan penduduk kampung. 

Katanya, luluh hatinya apabila pegawai perubatan dan anggota polis yang tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian mengesahkan isterinya dan pengusaha kolam ikan kerapu hibrid terbabit sudah meninggal dunia. 

“Kami baru dapat tinggal bersama sejak arwah memulakan latihan praktikal. 

“Sebelum ini, anak-anak dijaga ibu mentua sewaktu dia belajar di kampus (UiTM Jengka),” katanya.

Sementara itu, kakak Wan Adilah, Wan Affida Malina Wan Awang, 51, pula tidak menyangka kejadian renjatan elektrik tersebut boleh meragut nyawa adiknya dan seorang pelajar praktikal.

 “Pada mulanya saya ingatkan mereka cuma cedera ringan. Kolam ikan itu diusahakan adik saya (Wan Adilah) sejak beberapa tahun lalu. 

“Dia yang masih bujang memang gigih sebagai usahawan dan aktiviti kemasyarakatan, malah pernah dilantik Exco Majlis Belia Malaysia,” katanya. J

enazah Rubayyi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Kamis, Pasir Puteh, Kelantan, manakala Wan Adilah pula di Tanah Perkuburan Islam Kampung Dengir, Jerteh, di sini.

Pekerja kafe didakwa salah guna kad ATM orang lain

BESUT – Seorang pekerja kafe dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan menyalahgunakan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) rakannya tanpa kebenaran untuk kegunaan sendiri minggu lalu. 

Tertuduh, Nur Amnie Nadirah Mat Din, 25, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurliyana Md. Zukri. 

Berdasarkan pertuduhan, Nur Amnie Nadirah didakwa menggunakan kad ATM milik individu lain untuk kegunaan sendiri. 

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah kedai runcit di Felda Tenang, di sini pada 15 September lalu. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. 

Mahkamah membenarkan Nur Amnie Nadirah dibebaskan dengan wang jaminan RM1,500 dan seorang penjamin. Sebutan semula kes pada 21 Oktober ini. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Najah Azhar.

Tuesday, September 29, 2026

SDAR Symphonic Band juara Asian Music Games Malaysia


  Kumpulan koir Sekolah Dato Abdul Razak, SDAR Symphonic Band bergambar selepas menjuarai kategori Senior Division Concert Band pada Asian Music Games Malaysia di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di ibu negara baru-baru ini

‘Rajuk’ penyu belimbing berakhir

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMUNCULAN semula penyu belimbing untuk bertelur di Terengganu selepas hampir sedekad menghilang memberi harapan baharu terhadap usaha konservasi reptilia yang diancam kepupusan itu.

Ia memberi harapan baharu terhadap Pantai Rantau Abang, Dungun dan sekitar yang pernah menjadi lokasi pendaratan terbesar spesies penyu terbesar berkenaan sehingga tahun 1980-an.

Bukan sekali, tetapi induk penyu belimbing berkenaan telah tiga kali mendarat di Pantai Rantau Abang dan sekitar dalam tempoh 22 hari.

Kali pertama di Pantai Pasir Putih, Marang yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Pantai Rantau Abang pada 1 September lalu.

Pendaratan pertama di Pantai Pasir Putih itu menghasilkan 44 biji telur, manakala kunjungan kedua di Pantai Rantau Abang pada 13 hari kemudian menemukan 81 biji telur penyu belimbing.

Penyu belimbing kembali sekali lagi mendarat buat kali ketiga untuk mengeluarkan 70 biji telur di Pantai Kuala Abang, Dungun pukul 2 pagi semalam.

Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Pang Nyukang berkata, berdasarkan kesan pergerakan ditinggalkan di pasir pantai terlibat, ketiga-tiga pendaratan itu dipercayai dilakukan induk sama.

Beliau tidak menolak kemungkinan penyu belimbing betina itu bakal melakukan pendaratan lagi untuk bertelur pada masa terdekat.

“Biasanya seekor ibu penyu boleh bertelur sehingga lima kali setiap musim mengawan.

“Kemunculan semula penyu belimbing untuk bertelur di pantai Terengganu setelah menghilang sejak 2017 memberi harapan baharu terhadap usaha pemuliharaan dirintis bertahun-tahun sebelum ini,” katanya semalam.

Pang berkata, ia petanda positif menunjukkan landskap pantai-pantai di Terengganu khususnya sekitar Pantai Rantau Abang masih sesuai untuk penyu bertelur.

Katanya, seekor induk penyu tidak mendarat di satu-satu pantai untuk bertelur secara rawak, namun amat bergantung kepada banyak faktor seperti struktur pasir, akses ke daratan, pencahayaan dan kekurangan gangguan manusia

Sementara itu, Ketua Pusat Konservasi Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Mohd. Uzair Rusli pula berkata, pendaratan semula penyu belimbing tersebut merupakan perkembangan positif, namun perjalanan usaha konservasi reptilia itu masih lagi panjang.

Katanya, berdasarkan sela masa konsisten dengan kitaran penyu bertelur, berkemungkinan besar induk yang mendarat di ketiga-tiga pantai Terengganu tersebut reptilia sama.

“Begitupun ia tidak bermakna populasi penyu belimbing di negara ini sudah memulih sepenuhnya selagi induk-induk spesies sama lain tidak ikut jejak sama bertelur di pantai Terengganu.

“Apa yang penting, ia mahu melihat kebanyakan 195 biji telur yang ditinggalkan induk penyu belimbing tersebut berjaya menetas,” katanya.

Mohd. Uzair berkata, tempoh 50 hingga 70 hari proses pengeraman yang dilakukan di Pusat Konservasi Penyu, Rantau Abang amat kritikal bagi memastikan kelangsungan penyu belimbing tersebut.

Beliau berkata, sebelum ini, kesemua 92 biji telur penyu belimbing yang ditemukan buat kali terakhir di Pantai Jambu Bongkok, Marang pada tahun 2017 gagal menetas berikutan tidak disenyawakan.

“Ia disebabkan perairan Terengganu kekurangan induk jantan bagi tujuan persenyawaan,” katanya.

Monday, September 28, 2026

Dua beranak masih pertahan rebana ubi

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

BESUT – Dua beranak gigih menerusi legasi pembuatan rebana yang merupakan salah sebuah peralatan muzik tradisional Melayu yang kian luput ditelan zaman. 

Hapizi Hussin, 44, berkata, dia merupakan generasi ketiga mengusahakan pembuatan rebana yang dirintis arwah datuknya, A Ghani Yusof.

 “Kemahiran itu diwarisi ayah, Hussin, 67, sebelum saya mengikut jejak mempelajari pembuatan rebana sewaktu berusia 18 tahun lalu.

 “Asalnya sekadar mahu membantu ayah menyiapkan tempahan, kini kami berganding bahu menjadikannya sebagai sumber rezeki,” katanya ketika ditemui di bengkel perusahaan mereka di Kampung Gong Ubi Keling, di sini semalam. 

Hapizi berkata, pada mulanya, arwah datuknya menghasilkan rebana untuk kegunaan sendiri bagi mengiringi persembahan dikir barat dan silat di sekitar daerah ini dan sekitar. 

Katanya, bapanya, Hussin mula mengkomersialkannya mulai tahun 1990-an setelah mendapat permintaan menggalakkan daripada agensi kerajaan dan peminat muzik tradisional Melayu termasuk dari negara jiran. 

“Antara rebana yang kerap ditempah pelanggan ialah rebana ubi dan dikir serta gendang silat. “Selain dijadikan alat muzik, banyak juga permintaan bagi dijadikan cederamata terutama rebana dikir,” katanya. 

Hapizi berkata, kerangka rebana biasanya diperbuat daripada kayu pokok nangka, cempedak dan pauh.

 Menurutnya, kulit kambing pula digunakan dalam pembuatan rebana dikir manakala kulit lembu bagi rebana ubi.

 “Pemilihan kulit haiwan berkualiti sangat penting kerana ia akan mempengaruhi bunyi dihasilkan kelak," katanya.

Hapizi berkata, secara purata, dia dan bapanya mampu menghasilkan 60 buah rebana pelbagai jenis dalam sebulan. 

Dia berkata, selain untuk pelanggan seluruh negara dan Singapura, rebana mereka yang dijual pada harga antara RM15 hingga RM3,500 sebuah juga dijual di Bazar Buluh Kubu, Kota Bharu, Kelantan.

UMT terima NC baharu


KUALA NERUS – Prof. Dr. Suriyani Muhamad dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke-7 berkuat kuasa Isnin ini. 

Beliau yang sebelum ini merupakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT menggantikan Prof. Datuk Dr. Mohd. Zamri Ibrahim yang tamat lantikan baru-baru ini. 

Sebelum dilantik Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) pada Januari 2025, Suriyani pernah menjawat jawatan Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial UMT. 

Suriyani berazam membawa UMT terus membina kekuatannya berasaskan bidang teras iaitu kelautan dan akuatik di samping memperkasa bidang-bidang strategik yang berpotensi tinggi untuk berkembang.

 “Kita akan memberi keutamaan memastikan kekuatan akademik UMT terus berkembang secara responsif terhadap perubahan landskap pendidikan tinggi, perkembangan industri dan keperluan masa hadapan negara. 

“Antara pembangunan strategik diberi perhatian ialah penyediaan akhir Teaching Shipyard (Limbungan Kapal Pengajaran) yang bakal memperkukuh lagi ekosistem pengajaran dan pembelajaran dalam bidang maritim,” katanya di sini semalam. 

Suriyani berkata, UMT juga akan memberikan perhatian terhadap penyelidikan berimpak tinggi bagi memberi nilai tambah bukan sahaja terhadap universiti, malah industri, masyarakat dan negara.

Katanya, kolaborasi strategik bersama industri, agensi kerajaan serta rakan antarabangsa turut akan terus diperluas. 

Dalam pada itu, Prof. Ts Naib Canselor (Jaringan Industri, Masyarakat dan Digital) UMT, Prof. Dr. Noor Maizura Mohamad Noor pula dilantik Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT.

Sunday, September 27, 2026

Terima syarat UMNO hanya runding Pas

MARANG – Pas berlapang dada dengan syarat ditetapkan UMNO yang lebih selesa menjalin kerjasama politik dengan parti itu sahaja berbanding keseluruhan gabungan Perikatan Nasional (PN).

 Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, UMNO dan partinya berkongsi prinsip politik sama iaitu mengutamakan kepimpinan Melayu Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem. 

“Kita akan teruskan perpaduan ummah ini, mengutamakan kepimpinan Melayu Islam dahulu, lepas itu bukan Islam yang tidak ekstrem.

 “Parti-parti lain dalam PN terpulang kepada mereka, terima tak prinsip itu. Kalau tidak terima, kita tidak terimalah,” katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Rusila, di sini semalam. 

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO lebih cenderung berunding dengan Pas berbanding PN secara keseluruhan bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

 Beliau berkata, ia berdasarkan kecenderungan disuarakan majoriti perwakilan parti tersebut sewaktu sesi perbahasan sepanjang Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini. 

Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi berpandangan tumpuan wajar diberikan terhadap mendesak Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) diumumkan segera berbanding membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) salah sebuah negeri dikuasai Pas semata-mata untuk menguji keutuhan kerjasama politik Barisan Nasional (BN) dan Pas. 

Ahli Parlimen Marang itu berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) boleh diadakan bersama PRU-16 sekiranya desakan tersebut berjaya direalisasikan. 

“Kalau boleh PRU buatlah cepat. Tak payah PRN (dahulu), PRU terus. Buat semua sekali gus,” katanya. 

Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan agar Pas membubarkan DUN di salah satu negeri di bawah pentadbirannya seperti Terengganu bagi menguji keikhlasan muafakat.

‘Rajuk’ penyu belimbing sudah berakhir

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMUNCULAN semula penyu belimbing untuk bertelur di Terengganu selepas hampir sedekad menghilang memberi harapan baharu terhadap usaha konservasi reptilia yang diancam kepupusan itu.

Ia memberi harapan baharu terhadap Pantai Rantau Abang, Dungun dan sekitar yang pernah menjadi lokasi pendaratan terbesar spesies penyu terbesar berkenaan sehingga tahun 1980-an.

Bukan sekali, tetapi induk penyu belimbing berkenaan telah tiga kali mendarat di Pantai Rantau Abang dan sekitar dalam tempoh 22 hari.

Kali pertama di Pantai Pasir Putih, Marang yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Pantai Rantau Abang pada 1 September lalu.

Pendaratan pertama di Pantai Pasir Putih itu menghasilkan 44 biji telur, manakala kunjungan kedua di Pantai Rantau Abang pada 13 hari kemudian menemukan 81 biji telur penyu belimbing.

Penyu belimbing kembali sekali lagi mendarat buat kali ketiga untuk mengeluarkan 70 biji telur di Pantai Kuala Abang, Dungun pukul 2 pagi semalam.

Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Pang Nyukang berkata, berdasarkan kesan pergerakan ditinggalkan di pasir pantai terlibat, ketiga-tiga pendaratan itu dipercayai dilakukan induk sama.

Beliau tidak menolak kemungkinan penyu belimbing betina itu bakal melakukan pendaratan lagi untuk bertelur pada masa terdekat.

“Biasanya seekor ibu penyu boleh bertelur sehingga lima kali setiap musim mengawan.

“Kemunculan semula penyu belimbing untuk bertelur di pantai Terengganu setelah menghilang sejak 2017 memberi harapan baharu terhadap usaha pemuliharaan dirintis bertahun-tahun sebelum ini,” katanya semalam.

Pang berkata, ia petanda positif menunjukkan landskap pantai-pantai di Terengganu khususnya sekitar Pantai Rantau Abang masih sesuai untuk penyu bertelur.

Katanya, seekor induk penyu tidak mendarat di satu-satu pantai untuk bertelur secara rawak, namun amat bergantung kepada banyak faktor seperti struktur pasir, akses ke daratan, pencahayaan dan kekurangan gangguan manusia

Sementara itu, Ketua Pusat Konservasi Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Mohd. Uzair Rusli pula berkata, pendaratan semula penyu belimbing tersebut merupakan perkembangan positif, namun perjalanan usaha konservasi reptilia itu masih lagi panjang.

Katanya, berdasarkan sela masa konsisten dengan kitaran penyu bertelur, berkemungkinan besar induk yang mendarat di ketiga-tiga pantai Terengganu tersebut reptilia sama.

“Begitupun ia tidak bermakna populasi penyu belimbing di negara ini sudah memulih sepenuhnya selagi induk-induk spesies sama lain tidak ikut jejak sama bertelur di pantai Terengganu.

“Apa yang penting, ia mahu melihat kebanyakan 195 biji telur yang ditinggalkan induk penyu belimbing tersebut berjaya menetas,” katanya.

Mohd. Uzair berkata, tempoh 50 hingga 70 hari proses pengeraman yang dilakukan di Pusat Konservasi Penyu, Rantau Abang amat kritikal bagi memastikan kelangsungan penyu belimbing tersebut.

Beliau berkata, sebelum ini, kesemua 92 biji telur penyu belimbing yang ditemukan buat kali terakhir di Pantai Jambu Bongkok, Marang pada tahun 2017 gagal menetas berikutan tidak disenyawakan.

“Ia disebabkan perairan Terengganu kekurangan induk jantan bagi tujuan persenyawaan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Saturday, September 26, 2026

Kerepek Rokiah tembusi pasar raya

SETIU – Usaha keras seorang wanita selama 11 tahun berbaloi apabila produk kerepek dan kuih tradisional yang dia usahakan kini sudah memasuki pasar raya dan kedai runcit di sekitar daerah ini sejak setahun lalu. 

Rokiah Seman, 67, berkata, rempeyek, kerepek pisang, bunga durian, getas dan karipap mini yang diusahakan menjana pendapatan ribuan ringgit setiap bulan. 

Katanya, perniagaannya mula berkembang selepas dia terpilih sebagai peserta program Satu Daerah Satu Industri pada 2015 yang membantunya mendapatkan peralatan seperti penguli, dapur dan mesin membuat karipap. 

“Perniagaan di pasar minggu semakin maju hingga menarik perhatian dan kepercayaan Yayasan Pembangunan Usahawan, Pejabat Daerah dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan. 

“Ada juga cabaran apabila perniagaan terhenti selama tiga tahun akibat pelbagai masalah termasuk Covid-19 tetapi saya bangkit pada 2024 dan mula menerima tempatan secara online di Pantai Timur,” katanya ketika ditemui di Kampung Gong Batu di sini semalam. 

Menurut Rokiah, kemajuan itu membuatkan produknya yang dijual antara RM6 hingga RM21 itu mula memasuki pasar raya dan kedai runcit. Dia berharap perniagaannya akan menembusi lebih banyak premis perniagaan di seluruh Terengganu.