Translate

Saturday, May 30, 2015

PM lancar Tabung Amanah Felcra

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan pelancaran Tabung Amanah Peserta Felcra dengan modal permulaan sebanyak RM10 juta.
Beliau berkata, tabung itu yang diuruskan oleh Permodalan Felcra Sdn. Bhd. diwujudkan bagi membantu peserta Felcra yang mengalami masalah modal pusingan berikutan tanah mereka bersaiz kecil dan kurang berdaya maju.
“Setiap tahun Felcra Berhad akan menyuntik dana (modal tambahan) sekurang-kurangnya RM5 juta. Lebih banyak keuntungan, lebih banyak suntikan (dana),” katanya ketika berucap melancarkan projek pembangunan Menara Felcra di Jalan Sultan Yahya Petra di sini semalam.
Hadir sama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Pengerusi Felcra, Datuk Bung Moktar Radin dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Datuk Ramlee Abu Bakar.
Majlis pelancaran projek pembangunan Menara Felcra di tanah seluas 1.73 hektar itu turut dimeriahkan dengan kehadiran 5,000 peserta Felcra dari seluruh negara.
Najib berkata, bangunan korporat Felcra yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2018 itu bakal menjadi hab untuk syarikat berkaitan kerajaan tersebut memasarkan produk-produk luar bandar ke pasaran global.
Beliau juga menjelaskan hasil keuntungan daripada projek pembinaan Menara Felcra itu akan dipulangkan untuk manfaat pesertanya yang kebanyakannya terdiri daripada masyarakat luar bandar.
Dalam pada itu, Bung Moktar memberitahu, Menara Felcra ber­kenaan mengandungi pejabat setinggi 35 tingkat dan kondominium servis setinggi 43 tingkat selain turut menempatkan pusat beli-belah, dewan auditorium dan banquet.
“Pusat komersial itu akan mengandungi empat tingkat yang boleh menampung 80 unit kedai manakala 480 unit kondominium servis bakal dibina dengan keluasan dari 73.39 meter persegi hingga 125.42 meter persegi,” katanya.

Friday, May 29, 2015

Felcra buka ladang Harumanis di Perlis

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR - Felcra Berhad (Felcra) akan memperluas cabang perniagaan peladangan bukan komoditi dengan menceburi penanaman buah mangga Harumanis di Perlis melibatkan pelaburan sebanyak RM5 juta.

Pengerusinya, Datuk Bung Moktar Radin berkata, ladang variasi mangga yang dianggap sebagai emas oleh penduduk utara tanah air itu akan dibina di tanah milik milik Felcra seluas 40.5 hektar di Lubuk Sireh, Padang Besar.

"Tanah tersebut didapati sudah kurang berdaya saing untuk penanaman kelapa sawit. Oleh itu, kami memutuskan untuk menukarkannya kepada penanaman pokok mangga Harumanis yang lebih memberi pulangan tinggi," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Bung Moktar berkata, Felcra telah bekerjasama dengan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) bagi pembukaan ladang tersebut yang dijangka bakal bermula selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Katanya, ladang mangga Harumanis itu bakal menggunakan teknologi pertanian dari Unimap dan dijangka mampu mengeluarkan hasil dalam tempoh dua tahun berbanding empat tahun pada kebiasaannya.

"Felcra menjangkakan bakal menerima pulangan besar daripada pelaburan tersebut memandangkan permintaan tinggi buah mangga terbabit di pasaran tempatan dan antarabangsa," ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, Bung Moktar memberitahu, Felcra juga akan melancarkan projek penghasilan madu lebah kelulut melibatkan pelaburan RM280,000 di lokasi penanaman mangga Harumanis itu.

Felcra giat bangunkan projek hartanah untuk kukuhkan syarikat

KUALA LUMPUR - Felcra Berhad (Felcra) akan membina bangunan korporat baharu yang turut mengandungi 450 unit kondominium dan premis rumah kedai di Jalan Semarak di sini merupakan salah satu pelaburan dalam sektor hartanah.
Pengerusinya, Datuk Bung Moktar Radin berkata, pendekatan mempelbagaikan cabang perniagaan termasuk memasuki bidang pembangunan hartanah itu merupakan strategi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu yang kini tidak mahu bergantung semata-mata terhadap peniagaan teras iaitu peladangan kelapa sawit dan getah.

"Pembinaan bangunan korporat baharu yang dianggarkan menelan belanja RM650 juta itu bukan sahaja dapat meningkatkan untuk imej Felcra malah mampu mengukuhkan kedudukan kami sebagai salah sebuah GLC yang berdaya maju.

"Selain pembinaan Menara Felcra di tanah seluas 1.73 hektar di Jalan Semarak itu, beberapa tanah milik kami di Melaka, Gombak dan Langkawi akan turut dibangunkan dalam sektor hartanah sepanjang tahun ini dan tahun hadapan," katanya pada sidang akhbar prapelancaran Menara Felcra di Wisma Felcra, Setapak Jaya di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Datuk Ramlee Abu Bakar dan Ketua Pegawai Pelaburan agensi itu, Zulkarnain Md. Eusope.

Bung Moktar berkata, Felcra juga bakal membangunkan tanah milik mereka seluas 34.43 hektar di Seri Mendapat, Merlimau, Melaka bagi pembangunan hartanah bercampur yang mengandungi 800 unit rumah mampu milik dan rumah kedai.

Selain itu, beliau memberitahu, pihaknya turut akan membina kira-kira 600 rumah mampu milik dan kos sederhana di tanah milik Felcra di Gombak, Selangor dan sebahagian daripadanya dikhususkan kepada kakitangan GLC itu yang masih belum memilik kediaman sendiri.

Perolehan sebenar GST diketahui Julai depan

KUALA LUMPUR - Perolehan sebenar kerajaan dalam pengutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) hanya bakal diketahui selepas proses pemfailan borang GST daripada peniaga kepada Kastam Diraja Malaysia (KDRM) selesai pada Julai depan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong berkata, walaupun sebelum ini dilaporkan KDRM telah mengutip RM2.58 bilion sejak pelaksanaan cukai baharu tersebut pada 1 April lalu namun kebanyakannya merupakan cukai terhadap barangan import yang boleh dituntut semula.

"GST import yang dikenakan terhadap pengilang, pemborong dan peniaga boleh dituntut semula dalam bentuk kredit cukai input. Oleh itu, ia tidak boleh dianggap sebagai perolehan kerajaan," katanya selepas merasmikan Persidangan GST sempena Festival Usahawan Malaysia di Menara Perbadanan Nasional Berhad (PNS) di sini semalam.

Menurut Tee Yoong, setakat ini sebanyak 358,000 syarikat telah mendaftar di bawah sistem GST.

Thursday, May 28, 2015

Tabung Amanah Peserta Felcra diwujudkan

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembukaan sebuah Tabung Amanah Peserta Felcra dengan modal permulaan RM10 juta.
Beliau berkata, tabung bertujuan untuk membantu peserta Felcra yang mengalami masalah kekangan modal pusingan berikutan tanah dimajukan bersaiz kecil dan kurang berdaya maju akan diuruskan oleh Permodalan Felcra Sdn. Bhd.
"Setiap tahun Felcra Berhad akan menyuntik modal tambahan sekurang-kurangnya RM5 juta. Lebih banyak keuntungan, lebih banyak suntikan modal tambahan," katanya ketika berucap melancarkan projek pembangunan Menara Felcra di Jalan Semarak di sini hari ini. - KOSMO!

PM lancar pembinaan Menara Felcra hari ini

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan projek pembangunan bangunan korporat baharu Felcra Berhad (Felcra) yang akan dikenali sebagai Menara Felcra di Jalan Semarak di sini hari ini.
Pengerusi Felcra, Datuk Bung Moktar Radin berkata, pembinaan bangunan korporat baharu yang dianggarkan menelan belanja RM650 juta itu adalah lambang kepada kejayaan syarikat milik kerajaan (GLC) itu yang telah berkembang pesat sejak 49 tahun penubuhannya.
“Menara Felcra yang dibina di atas tanah seluas 1.73 hektar tersebut bukan sahaja akan menempatkan pejabat pentadbiran Felcra dan anak syarikatnya malah bakal mempunyai sebuah dewan bankuet yang boleh memuatkan kira-kira 2,000 orang pada satu-satu masa.

"Selain itu di atas tapak tanah sama, 450 unit kondomium dan premis perniagaan juga akan dibina dan pemilikannya bakal dibuka kepada umum bagi menjana laba kepada Felcra," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Bung Moktar berkata, sempena pelancaran bangunan korporat berkenaan, pihaknya turut menganjurkan Karnival Ria Felcra yang diadakan di tapak projek tersebut selama empat hari sehingga Ahad ini.

Menurut beliau, selain 60 gerai pameran daripada pelbagai agensi kerajaan dan usahawan tempatan, pelbagai acara keagamaan, hiburan, sukan dan riadah telah disusun untuk pengunjung.

Antaranya, Forum Kasih Kepada Kekasih, demonstrasi memasak, zumba, pertunjukan fesyen Muslimah, pertandingan mewarna, cabutan bertuah, kembara harta dan mini konsert.

Beberapa artis tempatan turut terlibat menjayakan karnival tersebut seperti Leez AF, Nas Adilla, Ieda Moin, Khai, Rosma, Syed Ali, Buzen dan Zack Kool.

Wednesday, May 27, 2015

Hasil sebenar GST diketahui Julai


KUALA LUMPUR - Jumlah sebenar hasil kerajaan daripada pungutan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan pada awal bulan lalu hanya akan diketahui seawal-awalnya akhir Julai depan.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong berkata, walaupun setakat ini sebanyak RM2.58 bilion telah berjaya dikutip sejak pelaksanaan cukai baharu itu namun kebanyakannya dikelaskan sebagai GST import yang boleh dituntut semua dalam bentuk kredit cukai input.
"Jumlah sebenar hasil kerajaan daripada pungutan GST dijangka boleh diketahui pada akhir Julai depan selepas peniaga menghantar borang GST mereka," katanya selepas merasmikan Persidangan GST sempena Festival Usahawan Malaysia di sini hari ini. - KOSMO!

Tuesday, May 26, 2015

Bank nafi susah lulus pinjaman rumah

Oleh ZULKIFLI MANZOR dan MOHD. AZLI ADLAN


KUALA LUMPUR – Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) menafikan dakwaan bahawa bank-bank di negara ini mengenakan penilaian kredit yang sangat ketat sehingga menyebabkan banyak permohonan perumahan telah ditolak oleh pihak bank.
Pengarah Eksekutif ABM, Chuah Mei Lin berkata, walaupun mengambil berat tentang kadar hutang isi rumah, bank-bank tempatan telah memberi kerjasama penuh dalam usaha kerajaan untuk meningkatkan pemilikan rumah di negara ini.
“ABM sentiasa menyokong inisiatif kerajaan untuk memudahkan golongan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah sendiri dengan terlibat secara langsung dalam Skim Rumah Pertama dan Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA).
“Malah jumlah permohonan pinjaman perumahan yang telah ditolak telah berkurangan kepada 18 peratus pada tahun 2014 berbanding 25 peratus pada tahun 2012,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Mei Lin berkata, peningkatan dalam kelulusan pembiayaan sektor terbabit mencerminkan penambahbaikkan dalam penilaian kemampuan kewangan pemohon.
Tambah beliau, bank-bank yang bernaung di bawah ABM juga menawarkan pelbagai jenis pinjaman perumahan yang mengikut kehendak dan kemampuan pelbagai lapisan masyarakat.
“Sehubungan itu, orang ramai disaran memilih skim pinjaman perumahan yang sesuai dengan kemampuan mereka, selain telus dalam mendedahkan maklumat kewangan masing-masing ketika membuat permohonan.


Minggu lalu, akhbar melaporkan Presiden Syarikat Perumahan Negara Berhad, Datuk Dr. Kamarul Rashdan Salleh menggesa Bank Negara Malaysia (BNM0 agar meneliti semula syarat pinjaman perumahan bagi memastikan usaha kerajaan untuk menggalakkan setiap rakyat memiliki rumah sendiri selaras dengan sasaran Rancangan Malaysia Kesebelas dapat dipenuhi.

Beliau mendakwa walaupun terdapat usaha berterusan daripada kerajaan untuk membina rumah mampu milik tetapi proses penjualan tidak mencapai sasaran berikutan syarat pinjaman perumahan yang terlalu ketat.

Sementara itu, BNM menjelaskan pihaknya tidak pernah mengenakan had pinjaman, bagaimanapun sebarang kelulusan perlu berdasarkan kemampuan peminjam untuk membayar hutang terbabit.

Dalam pada itu, Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) menyangkal kenyataan ABM bahawa tidak mengenakan pemeriksaan kredit yang sangat ketat ke atas pemohonan orang ramai yang mahu membeli rumah.

Naib Presiden HBA, Brigadier Jeneral (B) Datuk Goh Seng Toh berkata, kenyataan ABM tersebut bercanggah dengan respons yang diterima pihaknya daripada orang ramai.

"Kami mencabar kriteria data yang dikemukakan ABM berhubung perkara tersebut. ABM perlu mengkaji data sebenar orang ramai yang tidak layak memohon pinjaman perumahan dari bank-bank di Malaysia.

"Berdasarkan pelbagai maklumat yang HBA terima, semakin kurang individu yang layak mendapat pinjaman perumahan," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Sunday, May 24, 2015

Jurutera Airbus 320 bunuh diri selepas pesawat AirAsia terhempas

KUALA LUMPUR – Gara-gara terlalu taksub dan tertekan kerana menganggap dirinya sebagai penyebab nahas pesawat AirAsia Indonesia, QZ8501 terhempas yang mengorbankan 162 nyawa pada tahun lalu, seorang jurutera pesawat di Britain telah bertindak membunuh diri pada 20 Januari lalu.
Menurut laporan akhbar Daily Mirror kelmarin, Gavin Price Jones, 37, yang merupakan jurutera sebuah syarikat di Flintstone, England ditemui mati selepas menggantung diri di rumahnya di daerah Saltney.
Dia merupakan salah seorang jurutera yang terlibat dalam projek pembinaan Airbus 320 iaitu model pesawat milik AirAsia yang terhempas pada 28 Disember tahun lalu di perairan Indonesia.
Akhbar itu melaporkan, ketika memberi keterangan dalam inkues kematian Jones di Mahkamah Majistret Cheshire Barat, England, isteri lelaki tersebut, Louise memberitahu, suaminya telah meninggalkan sekeping nota bagi menjelaskan tindakannya membunuh diri.

"Dalam nota itu, suami saya menyatakan, dia terlibat dalam pembuatan Airbus A320 iaitu model pesawat AirAsia yang terhempas.

"Dia berasa bertanggungjawab dan tertekan. Suami saya juga telah membuat lukisan teknikal bagi mewajarkan dirinya bersalah dalam tragedi nahas pesawat terbabit," katanya.

Kosmo! pada 29 Disember tahun melaporkan pesawat QZ8501 yang membawa 162 orang termasuk tujuh kru penerbangan terhempas ekoran faktor cuaca buruk ketika dalam perjalanan ke Singapura dari Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya, Indonesia.

Genap setahun insiden langgar lari

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA LUMPUR – Selepas genap setahun pemergian pasangan suami isteri Jefri Mohd. Zain, 50, dan Noorsalawati Ibrahim, 40, yang maut dalam kemalangan langgar lari di susur Jalan Chan Sow Lin di sini, nasib lima anak mereka terus mendapat perhatian.
Kelima-lima beradik yatim piatu tersebut yang kini di bawah jagaan ibu saudara mereka, Zaina Mohd. Zain diziarahi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di rumah mereka dekat Pangsapuri Taman Desa Cheras di sini malam kelmarin.
Ismail yang ditemani isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin dan anak-anak mereka iaitu Nina Sabrina, Gadaffi atau Dafi AF, Nashriq dan Iqbal serta menantunya, Jovian Mandagie meluangkan masa kira-kira setengah jam beramah mesra dengan Mohd. Haikal, 17, Fatin Adlina, 15, Norsyamimi, 5, dan Nur Auni Safia, 4 tahun.

Anak ketiga Allahyarham Jefri dan Allahyarham Noorsalawati, Mohd. Aidil, 11, bagaimanapun tidak dapat bersama kerana bersekolah asrama di Bangi.

Bagaikan mahu melepaskan rindu terhadap lelaki bergelar ayah, Nur Auni memeluk erat Ismail  sepanjang pertemuan itu sambil mengalirkan air mata terharu dan enggan berpisah dengan Ahli Parlimen Bera tersebut dipujuk oleh pelakon Rebecca Nur Islam yang merupakan ibu angkat kepada lima beradik yatim berkenaan.

Terdahulu Ismail turut menyertai majlis tahlil yang dianjurkan Persatuan Penduduk Taman Desa Cheras sebelum menyampaikan sumbangan peribadi kepada lima beradik itu.

Sementara itu, Zaina memberitahu, kesemua lima anak saudaranya itu menerima bantuan bulanan zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat masing-masing berjumlah RM700 dan RM450.

"Cuma Nur Auni sering tersedar daripada tidur dan menangis pada awal pagi kerana terkenangkan ibu bapanya," kata Zaina.

Kosmo! pada 24 Mei tahun lalu melaporkan Jefri, 50, dan Noorsalawati, 40, maut selepas motosikal yang mereka tunggangi digilis sebuah lori dalam kejadian langgar lari di susur Jalan Chan Sow Lin di sini.

Sewaktu kejadian pada pukul 8 pagi itu, pasangan suami isteri tersebut dalam perjalanan ke tempat kerja Noorsalawati di Jalan Chan Sow Lin.

Saturday, May 23, 2015

INFO Rancangan Malaysia Pertama hingga Kesebelas


RMK-1
Tahun : 1966 - 1970
Fokus : Menjaga kebajikan rakyat, meninggikan taraf hidup luar bandar
Peruntukan :  RM10,500 juta

RMK-2
Tahun : 1971 - 1975
Fokus : Dasar Ekonomi Baru
Peruntukan : RM7,250 juta

RMK-3
Tahun : 1976 - 1980
Fokus : Membasmi Kemiskinan dan menyusun semula masyarakat
Peruntukan : RM18,600 juta

RMK-4
Tahun : 1981 - 1985
Fokus : Dasar Pertanian Negara, Dasar Penswastaan dan Dasar Persyarikatan Malaysia
Peruntukan : RM40,000 juta

RMK-5
Tahun : 1986 - 1990
Fokus : Meningkatkan sektor perindustrian
Peruntukan : RM69,000 juta.

RMK-6
Tahun : 1996 - 2000
Fokus : Dasar Pembangunan Negara
Peruntukan : RM104 bilion

RMK-7
Tahun : 1996 - 2000
Fokus : Tingkatkan potensi keluaran, memesatkan peralihan struktur dan pembangunan seimbang
Peruntukan : RM385 bilion

RMK-8
Tahun : 2001 - 2005
Tema : Mencapai Pertumbuhan Mampan yang Berdaya Tahan
Peruntukan : RM253.4 bilion

RMK-9
Tahun : 2006 - 2010
Tema : Bersama Ke Arah Cemerlang, Gemilang dan Terbilang
Peruntukan : RM 200 bilion

RMK-10
Tahun : 2011 - 2015
Tema : Ke Arah Negara Berpendapatan Tinggi Dan Maju
Peruntukan : RM230 bilion

RMK-11
Tahun : 2016-2020
Tema : Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat
Peruntukan : RM236 bilion


Friday, May 22, 2015

INFO Enam Teras Strategik dan Pemacu RMK-11


Teras strategik 1: Memperkukuh inklusiviti ke arah masyarakat yang saksama 

a)Memperkasa komuniti untuk membina masyarakat yang produktif dan sejahtera
- Mencapai purata skor lapan daripada sepuluh Indeks Kesejahteraan Keluarga
- 59 peratus penyertaan wanita dalam pasaran tenaga kerja

b) Meningkatkan taraf isi rumah B40 (berpendapatan kurang daripada RM2,300 sebulan) ke arah masyarakat kelas menengah
-Meningkatkan pendapatan bulanan purata isi rumah kepada RM5,270
-Menaikkan pendapatan bulanan penengah isi rumah kepada RM5,701

c) Mempercepat pertumbuhan wilayah ke arah keseimbangan geografi yang lebih baik
- Pelaburan RM236 bilion di koridor ekonomi wilayah
- Mewujudkan 470,000 peluang pekerjaan

d) Mentransformasi luar bandar untuk meningkatkan kesejahteraan bandar
- Membina 3,000 kilometer jalan berturap
- 90,000 tambahan unit rumah akan menerima bekalan air
-36,800 tambahan unit rumah akan menerima bekalan elektrik

e) Memperkukuh peluang Komuniti Ekonomi Bumputera (BEC) untuk meningkatkan pemilikan kekayaan
-menambah baik ketidakseimbangan pendapatan secara keseluruhan
-Mengurangkan pekali Gini (ukuran ketidaksamaan dari pendapatan atau kekayaan) daripada 0.401 pada tahun 2014 kepada 0.385

Teras strategik 2: Meningkatkan kesejahteraan rakyat 

a) Mencapai akses sejagat kepada penjagaan kesihatan berkualiti
- 2.3 katil hospital bagi setiap 1,000 penduduk.
- Nisbah satu doktor untuk 400 penduduk.

b) Menyediakan perumahan mampu milik yang mencukupi dan berkualiti kepada isi rumah miskin, berpendapatan rendah dan sederhana
- Membina dan membaiki 47,000 rumah untuk isi rumah miskin.
- Membina 606,000 rumah untuk isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.

c) Mewujudkan persekitaran hidup lebih selamat untuk masyarakat yang berdaya maju dan sejahtera
- Meningkatkan persepsi rasa selamat kepada kadar 60 peratus.
- Mengurangkan lima peratus indeks jenayah setiap tahun.
- Menambah baik masa respons polis kepada lapan minit.

d) Meningkatkan keselamatan jalan raya dan perkhidmatan kecemasan untuk mengurangkan fataliti
- Menambah baik masa respons kecemasan kepada lapan minit.
- Mengurangkan indeks fataliti akibat kemalangan jalan raya bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar kepada 2.0.

e) Membudayakan semangat 1Malaysia untuk memperkukuh kesepaduan perpaduan nasional
 - Penubuhan Kelab Rukun Negara di 6,800 buah sekolah.

f) Menggiatkan sukan untuk kehidupan yang sihat dan memupuk perpaduan
-Sekurang-kurangnya 50 peratus rakyat Malaysia membudayakan sukan

Teras strategik 3: Meningkatkan kesejahteraan rakyat 

a) Menambah baik kecekapan pasaran buruh bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi
- Kadar pertumbuhan purata tahunan produktiviti buruh dalam RMK-11 kepada 3.7 peratus.
- Pampasan pekerja kepada Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2020 meningkat kepada 40 peratus.
- Gaji penengah bulanan meningkat kepada RM2,500 pada tahun 2020

b) Menambah baik kualiti pendidikan untuk meningkatkan hasil pelajar dan kecemerlangan institusi
- Menyasar untuk berada sekurang-kurangnya setara dengan purata antarabangsa dalam penilaian Program Kemasukan Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Kajian Trend dalam Sains dan Matematik Antarabangsa (TIMSS).
- Dua universiti dalam kalangan 100 terbaik Kedudukan Universiti Terbaik Dunia.
- Kemasukan 100 peratus bagi pendidikan prasekolah hingga menengah atas.

c) Mentransformasi Latihan dan Pendidikan Teknik dan Vokasional (TVET) untuk memenuhi permintaan industri
- Bilangan pengambilan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke TVET seramai 225,000 orang.
- Peningkatan bilangan pekerja yang dijangka mendapat faedah menerusi perluasan Akta Perbadanan Sumber Manusia Berhad (PSMB) meningkat kepada 2.8 juta orang pada tahun 2020.

d) Memperkukuh pembelajaran sepanjang hayat untuk peningkatan kemahiran
- 58 peratus peningkatan pekerja yang dijangka mendapat faedah menerusi perluasan Akta PSMB

Teras strategik 4: Menuju ke arah pertumbuhan hijau bagi meningkatkan kemampuan dan daya tahan

a) Memperkukuh daya tahan terhadap perubahan iklim dan bencana alam
- Pengurangan intensiti pelepasan Gas Rumah Hijau daripada KDNK sehingga 40% berbanding paras tahun 2005
- Penggubalan pelan induk pengurusan permintaan tenaga yang komprehensif
- Kapasiti terpasang tenaga boleh baharu kepada 2,080 Megawatt
- Perolehan hijau Kerajaan kepada sekurang-kurangnya 20%
- 22% kadar kitar semula daripada isi rumah

b) Memperkukuh persekitaran yang menyokong pertumbuhan hijau
- Penubuhan pusat krisis dan pengurusan bencana negara untuk meningkatkan kapasiti kesiapsiagaan dan respons terhadap bencana
- Dua juta rakyat dilindungi melalui projek tebatan banjir

c) Mengguna pakai konsep penggunaan dan pengeluaran mampan
- 17% kawasan terestrial (darat) dan air daratan diwartakan sebagai kawasan perlindungan
- 10% kawasan pesisir pantai dan marin diwartakan sebagai kawasan perlindungan

Teras strategik 5: Memperkukuh infrastruktur bagi menyokong pertumbuhan ekonomi

a) Membangunkan sistem pengangkutan bersepadu berdasarkan keperluan
- 40% perkongsian mod pengangkutan awam di Greater Kuala Lumpur dan Lembah Klang
- 3,000km jalan berturap luar bandar
- Penubuhan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia sebagai pengawal selia

b) Menambah baik liputan dan kualiti serta kemampuan langganan insfrastruktur digital
- 95% kawasan berpenduduk mendapat liputan infrastruktur jalur lebar
- 1% daripada PNK per kapita bagi kos langganan jalur lebar talian tetap
- 46 kawasan di seluruh negara mendapat perkhidmatan Televisyen Digital Terestial (DTT) pada tahun 2016-2017 dengan semua perkhidmatan disediakan selepas penamatan sistem analog (ASO) selesai.

c) Meneruskan peralihan kepada rangka kerja baharu industri perkhdimatan air
- 99% penduduk mendapat bekalan air bersih dan terawat menjelang tahun 2020
- 80% liputan perkhidmatan pembetungan bersambung terutamanya di bandar utama menjelang tahun 2020
- 25% kadar air tidak berhasil menjelang tahun 2020

d) Menjana pertumbuhan logistik dan meningkatkan fasilitasi perdagangan
- 8.5% pertumbuhan tahunan untuk subsektor pengangkutan dan penyimpanan
- Kedudukan 10 teratas dalam Indeks Pencapaian Logistik, Bank Dunia

e) Menggalakkan penggunaan tenaga secara mampan untuk menyokong pertumbuhan
- Standard bahan api bersih Euro 4M, Euro 5 dan B15 (15% adunan biodiesel) dilaksanakan menjelang tahun 2020
- 3.5 juta tan setahun (MTPA) kapasiti tambahan pengimportan gas petroleum cecair (LNG) melalui Terminal Regasifikasi Gas Cecair 2 (RGT-2) di Pengerang, Johor
- 7,626 Megawatt kapasiti baharu penjanaan ditambah di Semenanjung Malaysia menjelang tahun 2020
- 300,000 kapasiti tambahan penapisan minyak pada tahun 2019

Teras strategik 6: Merekayasa pertumbuhan ekonomi untuk peningkatan kemakmuran 

a) Mentransformasi sektor perkhidmatan
- Menyumbang RM3,488 bilion atau 56.5% kepada KDNK dengan 9.6 juta pekerjaan (pertumbuhan 6.9% setahun)

b) Memodenkan sektor pertanian
- Menyumbang RM519 bilion atau 8.2% kepada KDNK dengan 1.6 juta pekerjaan (pertumbuhan 3.5%)

c) Membangunkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang dinamik
- Menyumbang RM2,421 bilion atau 38.4% kepada KDNK dengan 9.5 juta pekerjaan dalam semua sektor (pertumbuhan 9.3%)

d) Menjana kekayaan melalui inovasi
- Dua peratus perbelanjaan kasar kajian dan penyelidikan (R&D) kepada KDNK
- Sebanyak 70% perbelanjaan R&D disumbangkan oleh perbelanjaan perusahaan perniagaan

e) Memperkukuh sektor pembuatan
- Menyumbang RM1,417 bilion atau 22.5% kepada KDNK dengan 2.8 juta pekerjaan (pertumbuhan 5.1% setahun)

f) Mentransformasi sektor pembinaan
- Menyumbang RM327 bilion atau 5.5% kepada KDNK dengan 1.2 juta pekerjaan (pertumbuhan 10.3% setahun)

g) Meningkatkan daya saing bandar dan pembangunan koridor ekonomi wilayah
- Merangka pelan pembangunan ekonomi khusus untuk 4 bandar yang telah dikenal pasti
- Pelaburan direalisasi sebanyak RM236 bilion dan 470,000 peluang pekerjaan

Festival Belia Putrajaya tonjol bakat muda


PUTRAJAYA - Festival Belia Putrajaya berlangsung selama tiga hari bermula esok bertemakan Pertunjukan Bakat yang menekankan pembangunan belia, perpaduan, galakan dan pengiktirafan bakat unik golongan muda tempatan.
Ketua Sekretariat Hari Belia Negara, Nor Azli Mohamad Daud berkata, festival tersebut bakal menjadi platform untuk golongan belia untuk mengembangkan kebolehan mereka dalam pembangunan diri dan negara.

"Tema tahun ini selaras dengan falsafah baru program Rakan Muda. Seramai 25 Mentor Rakan Muda akan ditampilkan sepanjang festival yang diadakan di Dataran Gemilang, Presint 4 di sini untuk memberi dorongan kepada pengunjung belia mengasah bakat masing-masing,"  katanya kepada Kosmo! semalam.

Nor Azli berkata, penganjuran Festival Belia Putrajaya kali ini juga terbahagi kepada empat segmen iaitu Zon Utara (Minda), Zon Timur (Aktif), Zon Barat (Komuniti) dan Zon Selatan (Seni dan Budaya).

Orang ramai yang ingin mendapat maklumat lanjut mengenai festival itu, sila layari laman web festivalbeliaputrajaya.com.

Wednesday, May 20, 2015

Ganocare penawar penyakit reput pangkal batang kelapa sawit

SERDANG - Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memperkenal produk GanoCare bagi mengawal penyakit reput pangkal batang (BSR) pokok kelapa sawit disebabkan kulat Ganoderma boninense.

Penyelidik Jabatan Pengurusan Tanah UPM, Prof. Dr. Mohamed Hanafi Musa berkata, produk yang dihasilkan bersama beliau dan Ketua Unit Penyelidikan Peyakit Ganoderma MPOB, Dr. Idris Abu Seman itu merupakan baja organik yang diformulasikan daripada serbuk tandan kosong buah kelapa sawit dan elemen bermanfaat dan ia berupaya meningkatkan ketahanan sistem akar pokok tersebut.

"Kulat Ganoderma biasanya menyerang akar seterusnya merebak ke bahagian pangkal batang yang mengakibatkan pengurangan penghasilan buah kelapa sawit sehingga 45 peratus sebelum pokok itu mati," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran produk itu di UPM di sini semalam.

Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah.

Mohamed Hanafi berkata, GanoCare yang telah menjalani proses penyelidikan selama tujuh tahun sejak tahun 2008 itu bakal dikomersial melalui Felcra Plantation Services dengan yuran perlesenan sebanyak RM30,000 dengan jumlah royalti tiga peratus daripada jualan kasar produk dibayar kepada UPM.

Tuesday, May 19, 2015

Laluan pejalan kaki untuk kemudahan murid sekolah


KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membina laluan pejalan kaki berbumbung untuk manfaat 1,187 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa, Kampung Datok Keramat di sini.

Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Lau Hoi Keong berkata, kemudahan yang dibina dengan kos RM60,000 itu dijangka siap sepenuhnya pada minggu depan.

“Laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 38 meter di hadapan SJKC Chong Hwa tersebut untuk kegunaan murid berteduh sementara menunggu ibu bapa atau bas sekolah selepas waktu persekolahan.

“Pembinaannya atas usaha Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani yang mengusulkan cadangan berkenaan kepada DBKL,” katanya selepas meninjau projek pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung SJKC Chong Hwa, Jalan Damai, Kampung Datok Keramat di sini semalam.

Kehadiran beliau bersama Jurutera Jabatan Pengangkutan Bandar DBKL, Nazatul Shima Shawal@ Abdul Malek dan Pegawai Kesihatan Persekitaran DBKL, Abdul Razak Jalil disambut oleh Guru Besar sekolah itu, Lim Siew Yoke.

SKJC Chong Hwa yang merupakan sekolah bantuan modal Kementerian Pendidikan mempunyai hampir 30 peratus murid berketurunan Melayu dan India selain 44 orang guru.

98 acara menarik menanti di Fiesta Belia Putrajaya


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Festival Belia Putrajaya anjuran Kementerian Belia dan Sukan bersama Majlis Belia Malaysia (MBM) selama tiga hari bermula 22 Mei ini menawarkan 98 acara khusus untuk golongan muda.

Presiden MBM, Mua'amar Ghadafi Jamal Jamaludin berkata, program yang akan diadakan di Dataran Gemilang, Putrajaya sempena sambutan Hari Belia Kebangsaan itu tidak hanya terhad kepada program hiburan semata-mata tetapi turut memfokuskan elemen kerohanian, kemahiran, ekonomi, pendidikan dan keusahawanan.

"Buat julung kalinya, generasi muda dari sembilan negara-negara Asia Tenggara turut dilibatkan dalam Fiesta Belia Putrajaya. Ia selaras dengan kedudukan negara sebagai Pengerusi ASEAN," katanya selepas majlis penajaan akhbar Kosmo! da Utusan Malaysia sempena Fiesta Belia di Wisma MBM di sini semalam.

Hadir sama Setiausaha Agung MBM, Ahmad Saparudin Yusup, Ketua Penerangan MBM, Mohammad Rizan Hassan dan Eksekutif Jualan Utusan Melayu (M) Berhad, Ismail Mohd. Sidek.

Menurut Mua'amar Ghadafi Jamal berkata, seramai 108 peserta dari negara anggota ASEAN akan terlibat dalam pelbagai acara termasuk Jaringan Kemahiran ASEAN dan Kepelbagaian Makanan ASEAN.

Selain itu, katanya, pengunjung juga berpeluang untuk menceburi bidang keusahawanan menerusi program Pavilion Koperasi Belia Malaysia.


"Menyedari minat golongan muda terhadap bidang fotografi, MBM turut menganjurkan pertandingan Fotografi Putrajaya dengan hadiah keseluruhan sebanyak RM30,000.

"Tidak lupa juga, aktiviti kerohanian iaitu Malam Indahnya Bermunajat bersama Habib Najmuddin Syed Othman Al Khered," ujarnya.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web festivalbeliaputrajaya.com

Monday, May 18, 2015

Gaya hidup berubah dengan transformasi televisyen digital

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM dan MOHD. AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

GAYA hidup sebahagian besar rakyat negara ini dijangka bakal berubah berikutan transformasi penyiaran negara kepada format televisyen digital sepenuh tidak lama lagi.

Menerusi Pelan Induk Pendigitalan Nasional, masyarakat termasuk di luar bandar berpeluang untuk menikmati siaran televisyen dengan kualiti audio dan visual bermutu tinggi secara percuma.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, selain disajikan dengan lebih saluran, format digital juga membolehkan pengguna memperolehi pengalaman menonton siaran televisyen yang lebih menarik.

Beliau berkata, televisyen dalam format digital dilengkapi dengan pengaturcaraan pelbagai saluran, panduan program elektronik, sistem audio alih bahasa dan mengurangkan risiko gangguan tergendala disebabkan cuaca buruk.

"Semuanya secara percuma tanpa sebarang kos tambahan yang perlu dibayar oleh pengguna. Ia bakal dipancarkan secara terus ke rumah melalui sambungan dekoder khas berharga RM200.

"Malah sebanyak kerajaan akan membekalkan dua juta dekoder itu secara percuma kepada golongan penduduk miskin luar bandar berdasarkan senarai penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan program e-Kasih," katanya baru-baru ini,

Menurut beliau, format televisyen digital membolehkan rancangan televisyen kegemaran dapat ditonton di mana-mana sahaja kerana ia boleh diakses menerusi pelbagai gajet seperti telefon pintar, komputer riba dan tablet selain kaedah konvensional, tontonan di televisyen.

"Transformasi dalam bentuk Terestial Televisyen Penyiaran Digital juga diharap dapat menggalakkan perkembangan industri kandungan tempatan dan membantu  meluaskan ruang perniagaan di televisyen," katanya.

Petaling catat kes tertinggi


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

PETALING JAYA - Jabatan Kesihatan Selangor melahirkan kebimbangan terhadap kes demam denggi yang kekal tinggi di daerah Petaling walaupun pelbagai usaha telah dilakukan pihaknya sejak awal tahun ini.

Pengarah Kesihatan Selangor, Dr. S. Balachandran berkata, lebih 46 peratus daripada 23,376 kes demam denggi yang dilaporkan di negeri itu berlaku di Petaling.

"Sehingga 2 Mei lalu, 10,923 kes demam denggi telah direkodkan di daerah Petaling dan ia merupakan tertinggi di negeri ini. Sepanjang tempoh itu juga, 22 kematian akibat wabak sama turut dicatatkan di daerah itu.

"Ia merupakan statistik yang sangat membimbangkan kerana masih belum menampakkan penurunan walaupun pelbagai usaha telah dilakukan (untuk mengurangkan kes demam denggi)," katanya selepas merasmikan Kempen Cegah Denggi sempena sambutan Hari Jururawat peringkat negeri di Padang Awam Pangsapuri Desa Mentari di sini semalam.

Turut hadir Ketua Penyelia Jururawat Selangor, Ng Siew Koon.

Seramai 200 jururawat yang berkhidmat di hospital dan klinik kesihatan seluruh negeri tersebut telah mengambil inisiatif mengunjungi sebahagian besar kediaman penghuni pangsapuri Desa Mentari untuk memberi pendidikan tentang pencegahan tempat pembiakan nyamuk aedes yang merupakan vektor pembawa virus demam denggi.

Balachandran berkata, Pangsapuri Desa Mentari merupakan antara kawasan panas  demam denggi di daerah Petaling dengan 58 kes telah dicatatkan di kawasan itu sejak awal Januari lalu.

INFO : TV Digital


Mengikut Pelan Induk Pendigitalan Nasional, negara akan migrasi sepenuhnya kepada siaran digital pada 2015.

Malaysia kini mempunyai enam saluran TV FTA iaitu TV1 dan TV2 siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan saluran TV3, NTV7, 8TV dan TV9 yang dikawal oleh konglomerat Media Prima Berhad.

Melalui siaran digital, isyarat yang dihantar dari pemancar ke penerima (dekoder) tidak akan mengalami gangguan seperti siaran TV analog.

Ia akan dilakukan secara berperingkat-peringkat, bermula dari Pantai Timur iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Kerajaan sasar 98 peratus penduduk di negara ini akan menerima siaran digital secara menyeluruh menjelang 2017.

ESTRA : EVOLUSI PENYIARAN DI MALAYSIA



28 Disember 1963 - Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) iaitu stesen televisyen milik kerajaan dilancarkan dan beroperasi di studio sementara di Dewan Tunku Abdul Rahman Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

6 Oktober 1969 - Operasi RTM berpindah di Kompleks Angkasapuri, Kuala Lumpur.

28 Disember 1978 - Siaran televisyen berwarna di TV1 dilancarkan oleh Perdana Menteri Ketiga, Tun Hussein Onn.

7 Mei 1979 - Siaran TV2 milik RTM dilancarkan.

1983 - Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) dilancarkan sebagai saluran televisyen swasta percuma pertama negara.

18 Oktober 1994 - Perkhidmatan televisyen kabel secara analog dan berbayar pertama negara, Mega TV dilancarkan. Namun operasinya yang dimiliki 40 peratus oleh TV3 terpaksa ditutup pada tahun 2001.

1 Oktober 1996 - Stesen televisyen satelit, Astro dilancar.

7 April 1998 - Saluran televisyen swasta percuma kedua,NTV7 dilancar. Diambil alih oleh Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima) pada 27 Oktober 2005.

9 September 2003 - Channel9 yang juga saluran televisyen percuma dilancarkan tetapi operasi ditutup pada 1 Februari 2005 kerana masalah pengurusan. Dilancarkan semula di bawah pengurusan Media Prima sebagai TV9 pada 22 April 2006.

8 Januari 2004 - Saluran televisyen swasta percuma yang menyasar penonton kaum Cina dan urban, 8TV dilancarkan oleh Media Prima.

September 2005 - Stesen televisyen berbayar, MiTV dilancar oleh Kumpulan Berjaya tetapi telah distruktur semula menjadi syarikat telekomunikasi, U Mobile pada Oktober 2006.

2009 - Stesen televisyen berkonsep Islamik, TV AlHijrah dilancarkan.

Disember 2009 - Astro memperkenal televisyen berdefinasi tinggi (HDTV) melalui perkhidmatan Byond dengan set dekoder baru.

24 Mac 2010 - Perkhidmatan stesen televisyen internet (IPTV), HyppTV dilancar Telekom Malaysia sebagai pelengkap perkhidmatan rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi, Unifi.

April 2011 - Astro Byond memperkenalkan perkhidmatan IPTV dengan kerjasama syarikat telekomunikasi Time dotCom. Perkhidmatan Perakam Video Peribadi (PVR) dan video atas permintaan turut disediakan menerusi rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi Time.

20 Disember 2011 - Astro memperkenalkan perkhidmatan televisyen satelit percuma NJOI yang menyalurkan saluran televisyen dan radio terpilih.

Mac 2013 - Astro melancarkan perkhidmatan Astro On-The-Go yang membolehkan salurannya diakses menerusi telefon pintar dan tablet.

April 2013 - Astro bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi, Maxis bagi perkhidmatan Astro IPTV.

8 Jun 2013 - Stesen televisyen digital, ABNxcess dilancar.

2015 - Transformasi migrasi sistem analog kepada siaran digital dalam penyiaran terestial televisyen  bermula.


Sunday, May 17, 2015

Percubaan Televisyen Terestial Penyiaran Digital


RAKYAT negara ini dijangka dapat mula menikmati saluran televisyen berbentuk terestial secara digital tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Sektor Pemerkasaan Digital Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Toh Swee Hoe berkata, Pelan Induk Pendigitalan Nasional kini dalam peringkat percubaan di beberapa lokasi terpilih dari pantai timur tanah air bermula 28 April lalu.

"Sebanyak 20,000 dekoder akan diberikan secara percuma kepada individu kurang berkemampuan yang tersenarai dalam program e-Kasih di Kelantan, Terengganu dan Pahang pada masa terdekat.

"Ujian Terestial Televisyen Penyiaran Digital di kawasan itu akan berlangsung sehingga September ini dan maklum balas daripada mereka terlibat akan diambil kira," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Swee Hoe memberitahu, transformasi dalam bentuk digital bagi sistem penyiaran negara akan dilaksana secara berperingkat ke seluruh negara sehingga tahun 2020.

Menurut beliau, kerajaan menyasar 97 peratus rakyat negara ini dapat menikmati saluran televisyen berbentuk digital itu pada tahun 2017 sebelum sistem berbentuk analog akan ditutup sepenuhnya pada setahun kemudian.

"Dalam sistem digital, spektrum yang membentuk satu saluran contohnya RTM 1 dalam sistem analog boleh dikembangkan kepada 12 hingga 15 saluran bagi siaran berbentuk definisi standard (SD).

"Bagi definisi tinggi (HD) pula, empat hingga enam saluran boleh dibentuk. Oleh itu, berbanding enam siaran percuma dalam terestial televisyen pada masa sekarang, pengguna boleh menjangka mereka dapat menikmati sehingga 120 saluran percuma pada era digital kelak," katanya.

Begitupun, Swee Hoe berkata, perkembangan bilangan saluran televisyen digital itu bergantung kepada kesediaan dan kemampuan syarikat penyiaran untuk menyediakan kandungan.

Beliau berkata, ia secara tidak langsung akan membuka lebih ruang kepada industri kandungan tempatan bagi memenuhi kehendak pasaran tersebut.

"Kabel yang digunakan untuk sistem analog sebelum ini tidak akan dipersia begitu sahaja kerana ia akan digunakan untuk memperkasa kemudahan jalur lebar negara," katanya.

MCMC komited memacu inovasi telekomunikasi dan ICT

SEMPENA Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Dunia pada hari ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) komited untuk terus membudayakan inovasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta telekomunikasi di kalangan masyarakat tempatan.

Ketua Pegawai Sektor Pemerkasaan Digital MCMC, Toh Swee Hoe berkata, ia sejajar dengan tema sambutan tersebut pada tahun ini iaitu Telekomunikasi dan ICT : Pemacu Inovasi.

"Seramai 20 juta atau kira-kira 67 peratus daripada rakyat Malaysia celik Internet manakala 15 juta daripada mereka memiliki sekurang-kurangnya satu akaun media sosial seperti Facebook.

"Namun kebanyakan mereka hanya menggunakan Internet sekadar medium untuk bersosial,  membuka email dan mencari maklumat," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Swee Hoe berkata, kesedaran masyarakat negara ini untuk memanfaatkan Internet bagi mencipta pelbagai inovasi untuk memudahkan kehidupan seharian dan peluang perniagaan harus dipertingkatkan.

Menurut beliau, MCMC telah berusaha untuk meningkatkan lagi literasi Internet negara ini yang kini berada di tahap sederhana seperti pembukaan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) dan penganjuran forum, bengkel dan program komuniti.

"Bagi memupuk minat terhadap ICT sejak di bangku sekolah, kita telah menganjurkan Liga Remaja Kreatif yang turut mendedahkan pelajar sekolah menengah dengan pengaturcaraan komputer untuk penciptaan aplikasi komputer," katanya.

Pada masa sama, Swee Hoe memberitahu, MCMC turut terlibat dalam beberapa projek dengan agensi kerajaan dan swasta mereka aplikasi komputer dan telefon pintar. Sebagai contoh, aplikasi waktu semasa pengangkutan awam yang merupakan kerjasama dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

"Aplikasi ini masih di peringkat ujian. Ia membantu pengguna pengangkutan awam mengetahui jadual, lokasi perhentian dan pergerakan bas yang hendak dinaiki.

"SMCMC juga bekerjasama dengan Pusat Perubatan Mahkota, Melaka mereka aplikasi pemantauan kesihatan seperti kadar tekanan darah, kadar gula dalam darah dan penimbang berat badan untuk pesakit luar hospital itu," katanya.

Siaran Digital buat Rakyat Malaysia


Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM dan MOHD. AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Sistem penyiaran televsiyen di negara ini bakal melalui fasa transformasi dalam bentuk Terestial Televisyen Penyiaran Digital atau Digital Terrestial Television Broadcasting (DTTB).

Ia bakal terlaksana pada tahun ini menggantikan sistem dalam bentuk analog yang akan membawa perubahan besar bagi televisyen negara.

Teknologi baharu ini akan dipaparkan ke kaca televisyen bagi siaran udara secara percuma dan memberikan kualiti terbaik kepada penonton.

Bahkan,sistem DTTB akan menyediakan lebih banyak saluran rancangan menarik, dilengkapi dengan pelbagai maklumat dan program hiburan yang bersesuaian kepada penonton.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) diberi tanggungjawab dalam merealisasikan agenda transformasi kerajaan ini bagi sistem penyiaran pendigitalan yang akan merubah landskap siaran analog tempatan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata,  peringkat pertama transmisi akan menggunakan stesen pemancar Bukit Pelindung di Kuantan, Bukit Besar (Terengganu) dan Machang (Kelantan) dalam usaha memastikan siaran digital sepenuhnya menjelang tahun 2020.

“Persiapan dari segi pelaksanaan infrastruktur dan sebagainya dijangka akan siap pada hujung tahun depan yang mana kawasan Wilayah Persekutuan dan Lembah Klang adalah kawasan yang terakhir sekali kerana kita hendak menumpukan kawasan luar bandar dahulu.

“Mahu tidak mahu kita kena hentikan siaran TV analog seperti mana kita hentikan siaran hitam putih dahulu. Kita tidak ada pilihan, semua kena berhijrah,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.

Ahmad Shabery berkata, sebanyak dua juta set top box (STB) akan dibekalkan secara percuma kepada golongan penduduk miskin luar bandar bagi menikmati siaran TV digital itu,

Beliau menambah, STB itu akan diagih mengikut senarai penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan program e-Kasih.

Wednesday, May 13, 2015

UPM jadi pilihan lanjut pengajian pascasiswazah

SERDANG - Lebih 2,000 orang mengunjungi Pameran dan Hari Terbuka Pascasiswazah Universiti Putra Malaysia (UPM) sepanjang dua hari penganjurannya berakhir semalam di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM di sini.

Ketua Seksyen Pengambilan Pelajar dan Promosi Sekolah Pengajian Siswazah UPM, Rahmawati Umar berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan hampir 600 permohonan telah diterima untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) bagi semester pertama 2015/2016.

“Mereka yang mendaftar program-program pascasiswazah UPM sepanjang program ini telah dikecualikan daripada membayar yuran pemprosesan pendaftaran program yang masing-masing bernilai RM63.60 bagi pelajar tempatan dan RM228.25 bagi pelajar antarabangsa.

“Seramai 1,800 pelajar disasar bakal mendaftar dalam 256 program ditawarkan meliputi bidang seperti pertanian, bioteknologi, perubatan, sains kesihatan, kejuruteraan dan ekonomi menjelang tarikh tutup permohonan pada 31 Julai depan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di semalam.

Sementara itu, seorang penjawat awam, Abdul Rahman Mohd. Ali, 33, pula, berkata, Pameran dan Hari Terbuka Siswazah UPM tersebut memberi beliau banyak maklumat diperlukan sebagai persediaan untuk melanjutkan pengajian di peringkat pascasiswazah.

Katanya, dia sedang mencari universiti awam sesuai setelah ditawarkan untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang Perniagaan Antarabangsa oleh Jabatan Perkhidmatan Awam baru-baru ini.

Apa kata mereka

“Sebelum ini, sumber informasi terkini tentang perkembangan Indonesia agak terbatas. Membaca Khabar Indonesia sedikit sebanyak dapat meredakan rindu kami terhadap keluarga dan sanak-saudara di seberang."

SUBKHAN
Presiden Persatuan Pelajar Indonesia di Malaysia

"Halaman 'Khabar Indonesia' dapat memberi pemahaman lebih jelas sebarang isu-isu berbangkit melibatkan kepentingan Malaysia dan Indonesia sekali gus mengurangkan jurang komunikasi rakyat kedua-dua negara."

HOTMAN WANGI
Presiden Pertubuhan Peniaga Indonesia di Malaysia

Tuesday, May 12, 2015

INFO ANTARA


- Agensi Berita rasmi Indonesia.

- Diasaskan oleh A.M. Sipahoetar, Seomanang, Pandoe Kartawagoena dan Adam Malik pada tahun 1937.

- Dinaiktaraf menjadi Lembaga Kantor Berita Nasional pada tahun 1962.

- Mempunyai wakil wartawan di setiap daerah di Indonesia.

- Tenaga kerja terdiri daripada 600 wartawan dan 400 kakitangan sokongan.

- Mempunyai cawangan luar negara di Kuala Lumpur, Tokyo, Beijing, London, Canberra dan New York.

- Dapat diakses menerusi portal www.antaranews.com

INFO Kosmo!


- Dilancar pada 30 Ogos 2004.

- Akhbar paling berkembang pesat di Malaysia.

-Akhbar harian Melayu kedua terbesar di negara ini.

-Bersaiz kompak dan mempunyai 64 halaman.

- Dijual pada harga RM1.

-Dapat diakses melalui online menerusi www.kosmo.com.my

800 tiket percuma Spur-Malaysia menanti pembaca Kosmo!


KUALA LUMPUR - Seramai 800 pembaca setia Kosmo! berpeluang untuk memenangi tiket perlawanan persahabatan antara kelab Inggeris, Tottenham Hotspur dengan pasukan pilihan Malaysia di Stadium Shah Alam pada 27 Mei ini.

Pengurus Iklan Kosmo!, Stella Abdullah berkata, 300 tiket tempat duduk utama berharga RM328 dan 500 tiket tempat duduk bebas berharga RM58 itu merupakan tajaan penganjur dan promoter perlawanan persahabatan tersebut, ProEvents International Sdn. Bhd. (ProEvents).

"Seramai 150 pembaca Kosmo! terawal yang menghubungi Kosmo! akan memenangi tiket perlawanan berharga RM358 manakala 250 pemanggil seterusnya pula bakal menerima tiket tempat duduk bebas.

"Sejak ia bermula pada 8 Mei lalu, sambutan yang diterima sangat memberangsangkan dan tiket-tiket tempat duduk utama telah kehabisan. Hanya tinggal tiket-tiket berharga RM58 untuk direbut," katanya kepada Kosmo! semalam.

Terdahulu beliau menyaksikan majlis penyerahan 800 tiket perlawanan bola sepak tajaan itu yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif ProEvents, Julian Kam kepada Pengarang Kosmo!, Datuk Baharom Mahusin di pejabat akhbar itu di sini semalam.

Hadir sama Pengarang Sukan Kosmo!, Asan Ahmad dan Pengarah Urusan ProEvents, San Boon Wah.

Stella memberitahu, tiket-tiket perlawanan bola sepak yang dimenangi tersebut boleh ditebus di pejabat Kosmo! dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari, Jumaat ini dengan mengemukakan 10 keratan masterhead Kosmo! sepanjang bulan ini.

Orang ramai yang ingin mendapatkan tiket percuma setiap hari perlu menghubungi talian 03-92212655 atau 03-92323000.

15,000 tiket sudah dijual


PENJUALAN tiket untuk perlawanan persahabatan antara kelab Liga Perdana England, Tottenham Hotspur dengan pasukan Pilihan Malaysia mendapat sambutan menggalakkan dengan kira-kira 15,000 tiket telah berjaya dijual setakat ini.
Ketua Pegawai Eksekutif ProEvents International Sdn. Bhd. (ProEvents), Julian Kam (gambar) berkata, pihaknya selaku penganjur dan promoter perlawanan persahabatan itu menjangkakan lebih 40,000 peminat bola sepak bakal membanjiri Stadium Shah Alam, Selangor bagi menyaksikan perlawanan tersebut pada 27 Mei ini.
“Bukan setakat peminat tempatan, ProEvents juga mendapat banyak permintaan daripada penyokong tegar Spurs dari negara jiran dan Asia Pasifik seperti Hong Kong, China, Thailand, Indonesia dan Singapura.
“Kami menjangkakan penjualan tiket perlawanan akan terus meningkat selepas Mauricio Pochettino (Pengurus Spurs) mengumumkan kesebelasan utama yang bakal diturunkan bagi menghadapi pasukan Pilihan Malaysia minggu depan,” katanya selepas menyerahkan 800 tiket penajaan untuk pembaca bertuah Kosmo! kepada Pengarang Kosmo!, Datuk Baharom Mahusin di pejabat Kosmo! di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur semalam
Hadir sama Pengarang Sukan Kosmo!, Asan Ahmad, Pengurus Iklan Kosmo!, Stella Abdullah, Pengarah Urusan ProEvents, San Boon Wah, Ketua Pegawai Operasi ShekhinahPR, Christopher Raj dan Pengarah Urusan TicketPro, Annie Ong.
Julian berkata, sebahagian besar pemain utama Spurs termasuk penyerang prolifik, Harry Kane yang dipilih sebagai Pemain Muda Terbaik musim 2014/15 oleh Persatuan Pemain Bola Sepak Professional England baru-baru ini dan kapten pasukan Perancis, Hugo Lloris dijangka diturunkan pada perlawanan menentang Pilihan Malaysia nanti.
Menurut beliau, kehadiran mereka diyakini mampu menarik lebih ramai penyokong bola sepak untuk menyaksikan perlawanan terbabit apatah lagi Malaysia merupakan satu-satunya negara di rantau Asia Tenggara yang dikunjungi Spurs untuk persiapan pra musim 2015/16.
“Penyokong tegar Spurs tempatan dan Asia Tenggara sememangnya teruja untuk melihat kelibat pemain kegemaran mereka selepas kali terakhir pasukan yang mempunyai maskot ayam digelar Chirpy itu beraksi di Malaysia pada tahun 1979.
“Jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh pasti menampilkan pemain-pemain terbaik Liga Malaysia termasuk lima tenaga import bagi memberi saingan sengit kepada Spurs untuk merebut Piala AIA,” ujarnya.
Spurs yang berpangkalan di Stadium White Hart Lane, London kini berada di kedudukan keenam dalam Liga Perdana England dan muncul naib juara Piala Liga musim ini.

Saturday, May 9, 2015

Budaya pengukuh semangat setia kawan Malaysia-Indonesia

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia dan Indonesia perlu menjadikan budaya sebagai satu pertalian yang mengukuhkan semangat setia kawan dan menge­ratkan penyatuan mereka, kata Tan Sri Dr. Rais Yatim (gambar).
Berucap melancarkan halaman ‘Khabar Indonesia’ terbitan akhbar Kosmo! di ibu pejabat Kosmo! di sini semalam, Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia itu berkata, Malaysia dan Indonesia dilahirkan dalam gugusan yang sama, namun rakyatnya sering berpecah akibat campur tangan pihak luar.
“Kita semua adalah daripada gugusan yang sama, tetapi wujud pihak-pihak yang sering kali cuba untuk mengacau supaya kita tidak bersatu dari segi politik dan urusan kerajaan.
“Namun, sebenarnya buda­yalah yang menjadi pertalian kita. Semangat setia kawan antara kitalah yang sepatutnya menyatukan kita. Kalau kita tidak dapat selesaikan dengan cara lain, kita guna budaya kita dengan sebaiknya (untuk merapatkan perbezaan),” kata Rais pada majlis pelancaran tersebut semalam.
Turut bersama Rais melancarkan halaman ‘Khabar Indonesia’ itu ialah Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno.
Sementara itu, Rais yang juga Pengasas Yayasan Ikatan Rak­yat Malaysia Indonesia (YIRMI) berkata, penerbitan halaman ‘Khabar Indonesia’ itu membuktikan peranan media sangat pen­ting dalam mengeratkan hubungan Malaysia dan Indonesia.
Rais turut menyatakan harapannya supaya lebih banyak berita mengenai warga Indonesia yang telah mengecapi kejayaan di Malaysia dipaparkan di media cetak Indonesia bagi tatapan rakyat di sana (Indonesia).
“Lebih kurang dua juta rakyat Indonesia bekerja di sini dan mereka menghantar duit kepada ahli keluarga di Indonesia dalam anggaran RM500 hingga RM1,000 setiap bulan.
“Perkara ini merupakan satu cetusan ekonomi yang gelombang­nya sangat besar, malah banyak antara mereka yang telah meraih kejayaan di sini. Oleh itu mari kita huraikan kejayaan mereka melalui penulisan berita,” katanya.

‘Khabar Indonesia’ kerjasama Kosmo!, ANTARA dan YIRMI

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH dan MOHD. AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR – Akhbar Kosmo! terus melakar sejarah tersendiri apabila menerbitkan ruangan khas ‘Khabar Indonesia’ yang dilancarkan oleh Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno di ibu pejabat Kosmo!, Bangunan Utusan Melayu di sini semalam.
Disiarkan secara rasmi bermula hari ini, ruangan ‘Khabar Indonesia’ merupakan pencetus baharu terhadap jalinan kerjasama dan komunikasi di antara Malaysia dan Indonesia.
‘Khabar Indonesia’ disiarkan melalui program pertukaran berita dan rencana dengan agensi berita nasional Indonesia, Lembaga Kantor Berita Nasional ANTARA yang disiarkan khusus dalam Kosmo! untuk pembaca di Malaysia.
Ruangan khas sebanyak dua muka surat itu bakal mengubat kerinduan warga Indonesia pada setiap Jumaat menerusi paparan berita, rencana dan isu terkini serta menarik mengenai perkembangan yang berlaku di negara tersebut.
Bahan-bahan yang akan disiarkan dalam halaman khas Kosmo! itu merupakan himpunan rencana tulisan wartawan ANTARA dari pelbagai wilayah di Indonesia dengan memberi tumpuan kepada aspek pelancongan, budaya dan isu-isu yang menarik minat ramai.
“Biarpun ruangan ini secara simboliknya hanya memaparkan dua halaman namun saya lihat usaha yang kecil ini sebenarnya membawa erti yang lebih besar dalam hubungan Malaysia dan Indonesia dalam konteks dan perspektif yang berbeza,” kata Pengarang Kos­mo!, Datuk Baharom Mahusin pada majlis pelancaran halaman ‘Khabar Indonesia’ semalam.
Majlis itu disempurnakan Rais dan Herman yang menyentuh butang khas sebagai simbolik pelancaran halaman ‘Khabar Indonesia'.

Hadir sama ialah Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak, Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad, Direktur Utama ANTARA, Saiful Hadi, wakil-wakil daripada Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia-Indonesia (YIRMI) dan Ikatan Setiawan Wartawan Malaysia-Indonesia dan persatuan-persatuan rakyat Indonesia yang berada di Indonesia.

Turut menyerikan majlis ialah persembahan daripada artis popular tanah air iaitu Misha Omar dan kumpulan 6ixt Sense selain tetamu turut berpeluang merakam gambar kenangan di studio Kosmo!.

Sementara itu, Saiful pula menyambut baik kerjasama yang terjalin antara ANTARA dan Kosmo! kerana rancangan tersebut sudah lama dipersetujui dan akhirnya berjaya direalisasikan.

"Wartawan kami berada di setiap daerah di Indonesia. Melalui kerjasama ini, Kosmo! mendapat akses kepada berita-berita eksklusif yang dilaporkan oleh wartawan ANTARA setiap hari.

"Selain berkongsi maklumat berita, pihak juga akan mendapat akses serta maklumat yang sama daripada Kosmo!,," katanya.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Herman pula memuji langkah yang diambil Kosmo! dalam usaha merapatkan hubungan komunikasi dan diplomatik di antara kedua-dua negara.

"Hubungan diplomatik tidak sekadar cukup dengan seorang perantara sahaja (duta), sebaliknya ia memerlukan peranan daripada pihak kedua iaitu media," katanya.

Tuesday, May 5, 2015

Lantai simen berasap sudah kembali normal

KUALA LUMPUR - Keluarga Rosli Sulaiman, 48, boleh menghela nafas lega apabila suhu lantai simen rumah mereka di Kampung Seri Nadi, Jalan Johan Setia, Klang dekat sini yang dikesan menjadi panas sehingga mengeluarkan wap sejak awal bulan ini sudah kembali normal.

Rosli berkata, suhu ruang berukuran kira-kira 264 sentimeter persegi yang menjangkau sekurang-kurangnya 65 darjah celcius mulai 3 April lalu telah menurun secara beransur-ansur sehingga sejuk sepenuhnya hampir seminggu lalu.

"Walaupun lega keadaan sudah pulih seperti asal tetapi sebagai langkah berjaga-jaga, ruang terbabit masih dikosongkan sehingga kini.

"Apa pun kami masih keliru apa sebenarnya telah berlaku dan tertunggu-tunggu hasil siasatan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor dan Jabatan Mineral dan Geosains negeri," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini baru-baru ini.

Rosli memberitahu sampel tanah dan air yang terdapat di bawah ruang tamu berkenan telah diambil untuk dianalisa oleh sepasukan anggota dari kedua-dua agensi itu pada 7 April lalu.

Monday, May 4, 2015

INFO Kayuh Basikal Jelajah Dunia

- Mengambil masa selama 485 hari

-Perjalanan sejauh 30,000 kilometer

-Melibatkan 25 negara seperti Thailand, Laos, China, Kazakhstan, Jepun, Korea Selatan, Greece, Azerbaijan, Albania, Itali, Switzerland dan Perancis.

-Sasaran kayuhan sejauh 80 kilometer sehari.

-Mempromosi Malaysia sebagai negara yang sangat mencintai keamanan

Sunday, May 3, 2015

Fiesta Bera bermula Khamis ini

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
BERA – Seramai 20,000 pengunjung dijangka memeriahkan Fiesta Bera 2015 yang bakal diadakan di Laman Kerayong, Bera, Pahang dari 7 Mei hingga 10 Mei ini.
Pengerusi Penganjur Fiesta Bera 2015, Tahzir Husain berkata, fiesta selama empat hari tersebut merupakan edisi keempat sejak kali terakhir dianjurkan pada tahun 2012.
Beliau berkata, pelbagai acara menarik telah diatur seperti forum agama, gerai pameran dan jualan, pertandingan futsal dan bola jaring, kursus keusahawanan serta konsert.


“Fiesta Bera 2015 akan membuka tirainya dengan forum agama bertajuk ‘Keluarga Bahagia’ oleh penceramah bebas terkenal, Datuk Mohammad Kazim Elias bermula pukul 9 malam, 7 Mei ini.

“Perasmiannya pula bakal disempurnakan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga merangkap Ahli Parlimen Bera pada 9 Mei ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Tahzir berkata, sepanjang empat hari fiesta itu berlangsung, pengunjung turut berpeluang membeli pelbagai produk pertanian dan asas tani di 40 gerai pameran dan jualan disediakan.

Menurut beliau, golongan belia juga berpeluang untuk menyertai Kursus Keusahawanan Agropreneur Muda bagi mengetahui peluang-peluang disediakan agensi-agensi kerajaan di bawah Kementerian Pertanian dan Asas  Tani yang turut menampilkan artis dan usahawan Hot Burger Malaysia, Fizo Omar atau nama sebenarnya, Wan Hafizol Wan Omar sebagai salah seorang penceramahnya.

“Tak ketinggalan juga, konsert Menjunjung Damai yang akan menyajikan ramai artis popular tanah air sebagai halwa telinga pengunjung bermula pukul 9 malam, 9 Mei,” katanya.