Translate

Thursday, May 28, 2026

Pasangan khalwat kali kedua disebat

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Seorang pembantu kedai makan dan pasangan yang ditangkap khalwat buat kali kedua sewaktu dalam tempoh bertunang pada Januari lalu masing-masing dijatuhi hukuman tiga kali sebatan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam. 

Hakim Syarie Nik Mohd. Shahril Mat Yusof memerintahkan hukuman tersebut selepas kedua-dua tertuduh, Muhammad Shazmel Aqimie Razalee, 26, dan pasangannya, Tengku Nur Faresha Ulani Tengku Ahmad Farek, 24, mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan. 

Beliau memerintahkan hukuman sebat terhadap kedua-dua tertuduh dilaksanakan di Penjara Marang pukul 10 pagi pada 7 Jun depan selepas tempoh 14 hari rayuan berakhir. 

“Kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM1,000 dan seorang penjamin sebelum perlu hadir menjalani hukuman pada hari tersebut,” katanya ketika membacakan penghakimannya di sini semalam.

 Muhammad Shazmel Aqimie dan Tengku Nur Faresha Ulani telah melangsungkan pernikahan pada 26 April lalu. Sebelum ini, kedua-dua tertuduh masing-masing pernah dijatuhi hukuman denda RM2,600 dan RM2,500 atas kesalahan khalwat kali pertama di Mahkamah Rendah Syariah Kemaman pada 13 Mei tahun lalu. 

Hakim Syarie Nik Mohd. Shahril dalam penghakimannya berkata, hukuman berat perlu dikenakan memandangkan kedua-dua tertuduh seolah-olah tidak serik melakukan maksiat dalam tempoh bertunang biar pun telah dihukum atas kesalahan khalwat buat kali pertama sebelum ini. 

“Kamu berdua tidak ambil pe luang untuk insaf dengan berkahwin sewaktu ditangkap pada kesalahan (khalwat) pertama dengan alasan tidak cukup duit tetapi tetap melakukan melakukan perkara sama,” katanya.

 Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Shazmel Aqimie dan Tengku Nur Faresha Ulani didakwa bersama sebagai pasangan bukan mahram di dalam sebuah rumah di Kerteh, Kemaman pada pukul 3.15 pagi, 15 Januari lalu. 

Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) menyerbu rumah tersebut setelah menerima aduan awam. 

Sewaktu membuka pintu rumah yang diketuk penguat kuasa JHEAT, Tengku Nur Faresha Ulani memakai baju tidur tanpa lengan, manakala Muhammad Shazmel Aqimie didapati berada di dalam salah satu bilik tidur. 

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31 Enakmen Kesalahan Jenazah Takzir Terengganu 2001 (Pindaan 2022).

No comments:

Post a Comment