Translate

Saturday, May 30, 2026

BESS Santong berfungsi sebagai bank tenaga

 

DUNGUN – Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakar satu lagi pencapaian penting dalam usaha peralihan tenaga negara melalui pengoperasian Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (Battery Energy Storage System, BESS) Santong berkapasiti 100 megawatt (MW) / 400 megawatt-jam (MWh) di Pencawang Masuk Utama (PMU) 132/33kV Santong BESS di sini. 

Ini adalah sistem BESS pertama di Malaysia disambungkan kepada grid. Kemudahan ini juga adalah sebahagian daripada inisiatif strategik TNB untuk memperkukuh keupayaan sistem grid nasional, khususnya dari segi penyimpanan dan pelepasan tenaga secara terkawal bagi meningkatkan kestabilan serta kebolehpercayaan bekalan elektrik, selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR). 

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad berkata, BESS Santong memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan sistem grid melalui keupayaan tindak balas pantas terhadap ketidakseimbangan bekalan dan permintaan, termasuk menyokong pengurusan beban waktu puncak serta integrasi tenaga solar pada skala lebih besar melalui keupayaan grid-forming.

 “BESS Santong boleh berfungsi sebagai ‘bank tenaga’ yang menyimpan elektrik daripada sumber tenaga boleh baharu seperti ladang solar berskala besar dan sistem solar terapung hibrid hidro, sebelum disalurkan ke grid apabila diperlukan. 

“Melalui keupayaan ini, BESS Santong dapat mengimbangi turun naik bekalan dan permintaan elektrik secara masa nyata, khususnya ketika waktu puncak atau gangguan sistem, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap grid dan meningkatkan kestabilan bekalan elektrik. 

“Sistem ini juga berkeupayaan menyokong keperluan elektrik bersamaan kira-kira 40,000 isi rumah di sekitar Pantai Timur, bergantung kepada corak penggunaan semasa, ” katanya. 

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran BESS yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Fadillah Yusof semalam. 

Mengulas lanjut, Shamsul menerangkan, projek tersebut telah berjaya disiapkan dalam tempoh 309 hari dari tarikh mula hingga mula tugas, mencerminkan keupayaan TNB melaksanakan projek infrastruktur tenaga secara cekap dan pantas.

No comments:

Post a Comment