Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Sepasang suami isteri memfailkan saman sivil terhadap 15 defendan termasuk empat doktor dan sembilan jururawat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) atas dakwaan cuai sehingga menyebabkan kematian bayi mereka, tiga tahun lalu.
Hazlinda Aini Bidin, 35, dan suaminya, Abd. Zaim Lokman Ibrahim, 30, memfailkan tuntutan tersebut menerusi peguam, Shaharuddin Mohamed dari firma guaman, Tetuan Shaharuddin Hidayu & Marwaliz di Mahkamah Sesyen di sini baru-baru ini.
Selain doktor dan jururawat HSNZ terlibat, pengarah hospital tersebut dan Kerajaan Persekutuan turut dinamakan sebagai defendan.
Hazlinda Aini berkata, dia dan suami, Abd. Zaim Lokman masih terkesan dengan kematian anak perempuan mereka, Nur Azzalea Ariana yang menghembuskan nafas terakhir sewaktu menerima rawatan di wad HSNZ pada 18 Ogos 2023.
“Jawatankuasa Bebas Kementerian Kesihatan (KKM) yang bersidang pada 25 Januari 2024 merumuskan kematian bayi kami disebabkan kegagalan alat bantuan oksigen berfungsi. Pengurusan HSNZ juga sudah mengakui kekhilafan dan memohon maaf.
“Kami ditawarkan ex gratia (pampasan) RM35,000 oleh KKM, namun ditolak. Ia tidak setimpal dengan nyawa anak kami dan trauma berpanjangan dialami saya dan suami mungkin hingga ke akhir hayat,” dakwanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Hazlinda Aini mendakwa, kematian bayi mereka yang ketika itu berusia sembilan bulan amat memberi impak sehingga menyebabkan dia dan suami terpaksa mendapatkan rawatan psikiatri sehingga kini.
Suri rumah itu mendakwa, insiden tersebut mungkin tidak akan berlaku sekiranya doktor dan jururawat HSNZ terlibat lebih cakna dan memenuhi permintaannya agar menukar alat bantuan pernafasan anaknya yang sebelum itu sudah dikhuatiri kurang berfungsi.
“Arwah bayi kami (Nur Azzalea Ariana) yang dilahirkan tidak cukup bulan pada 31 Oktober 2022 terpaksa bergantung dengan alat bantuan penafasan kerana tidak boleh bernafas dengan sempurna.
“Alat bantuan pernafasan dipakai anak saya telah ditukar seorang jururawat pada 13 Ogos 2023 atas alasan audit. Saya menyedari ia kurang berfungsi namun tetap tidak ditukar,” dakwanya.
Sementara itu, Shaharuddin berkata, ibu bapa Nur Azzalea Ariana menuntut ganti rugi am, kesedihan, khas teladan dan teruk beserta faedah dengan amaun yang bakal ditentukan mahkamah.
Berdasarkan writ saman sivil yang difailkan, sehari sebelum kejadian, Nur Azzalea Ariana mengalami demam dan muntah setelah menerima suntikan vaksin hepsa dan palivuzad pada 14 dan 15 Ogos 2023.
Hazlinda Aini yang menjaga Nur Azzalea Ariana di dalam wad kemudiannya menyedari bayinya tidak sedarkan diri dengan alat bantuan penafasan tidak berfungsi sebaik tersedar daripada tidur pada 7.10 pagi keesokan harinya.
Bayi perempuan tersebut kemudiannya disahkan meninggal dunia setelah 40 minit cuba diselamatkan dengan diberi bantuan pernafasan oleh jururawat bertugas.

No comments:
Post a Comment