Translate

Tuesday, May 19, 2026

Jangan terjerat badal haji palsu

Oleh MOHD AZLI ADLAN dan MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

PETALING JAYA – Menjelang mu­sim haji, sindiket penipuan aktif menawarkan iklan perkhidmatan badal haji di media sosial terutama Facebook pada harga se­rendah RM1,800 yang disifatkan tidak masuk akal. 

Sindiket penipuan dikesan menawarkan harga luar biasa murah tersebut untuk memikat mangsa yang berhasrat mahu melakukan upah haji bagi ahli keluarga mereka yang meninggal dunia, berbanding kos minimum sebenar seba­nyak RM11,000. 

Di Ipoh, Perak, seorang ekseku­tif pemasaran kerugian kira-kira RM1,800 selepas terperdaya dengan iklan perkhidmatan badal haji yang ditawarkan sebuah agensi pelancongan.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Faizah, 38, berkata, dia melihat iklan badal haji tersebut di Facebook yang ditawarkan pada harga RM1,800. “Secara kebetulan saya sedang mencari perkhidmatan badal haji untuk arwah ibu kerana diamanahkan oleh adik-beradik untuk menguruskan perkara ini.

“Tambahan pula harga yang ditawarkan sangat berpatutan, jadi saya bersetuju memilih tawaran tersebut,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini. 

Faizah berkata, dia tidak pernah berkunjung ke pejabat agensi tersebut dan segala urusan hanya dilakukan menerusi aplikasi WhatsApp. 

“Urusan pembayaran pula dilakukan secara pemindahan dalam talian

. “Saya turut menerima sijil badal haji, sejadah dan tasbih yang dihantar ke rumah dengan menggunakan perkhidmatan kurier. “Ketika kejadian, saya langsung tidak terfikir mengenai kos tersebut yang terlalu murah. 

Bagi meyakinkan pelanggannya, agensi pelancongan terbabit turut menghantar kiriman WhatsApp gambar dan video mengerjakan badal haji,” katanya. 

Jelasnya, kurang pengetahuan dan tiada pengalaman kerana tiada sesiapa dalam kalangan ahli keluarga termasuk bapanya menunaikan haji menjadi antara punca mereka terjerat dengan tawaran palsu tersebut. 

Faizah hanya menyedari dia menjadi mangsa penipuan apabila mendengar ceramah mengenai penipuan badal haji. 

Sementara itu, di Kuala Terengganu, seorang suri rumah nyaris ditipu ketika mahu mendapatkan pakej badal haji untuk arwah suaminya yang meninggal dunia tahun lalu. 

Aishah Mohd. Yusof, 39, berkata, pada mulanya, dia berasa teruja apabila pakej badal haji yang ditawarkan pada harga serendah RM2,700. 

“Saya mengetahui mengenai pakej badal haji tersebut menerusi Facebook dan hanya berhubung dengan wakil agensi tersebut melalui WhatsApp.

 “Selain sijil, pelanggan turut menerima air zam-zam, sejadah, tasbih dan minyak wangi yang diberikan secara percuma,” katanya. 

Aishah berkata, dia nyaris mendaftar pakej tersebut, namun bernasib baik selepas ditegur oleh salah seorang ahli keluarganya yang kebetulan bertugas dengan Lembaga Tabung Haji (TH). 

“Dia (petugas TH) memaklumkan kos sebenar untuk mengerjakan badal haji adalah kira-kira RM10,000 disebabkan syarat ketat yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi. 

“Tidak masuk akal sekiranya pakej yang ditawarkan terlalu murah serendah RM2,700, malahan pelanggan menerima banyak barangan yang diberikan secara percuma,” katanya. 

Wanita itu bersyukur kerana dia tidak membayar pakej tersebut sedangkan ibadah badal haji bagi arwah suaminya tidak tentu lagi disempurnakan atau sebaliknya.

 Tambahnya, walaupun kos RM2,700 mungkin tidak besar bagi sesetengah pihak, tetapi adalah lebih baik wang peninggalan arwah pasangannya digunakan untuk kebajikan lima anak mereka yang masih kecil.

No comments:

Post a Comment