PETALING JAYA – Situasi konflik global termasuk krisis bahan api tidak sedikitpun merencatkan suasana meriah ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha di seluruh negara yang bermula semalam.
Tinjauan Kosmo! di beberapa negeri mendapati, golongan pembesar serta rakyat jelata tetap melakukan ibadah korban dengan ‘menumbangkan’ haiwan ternakan seperti lembu, kambing, biribiri dan unta seperti yang dituntut oleh Islam.
Di Kuala Nerus, sebanyak 6,374 ekor haiwan ternakan akan disembelih sebagai ibadah korban di seluruh Terengganu dalam tempoh empat hari sempena sambutan Aidiladha semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Datuk Dr. Azman Ibrahim berkata, kebanyakan haiwan ternakan itu atau 97.78 peratus merupakan lembu.
“Sebanyak 6,233 ekor lembu telah diluluskan permit penyembelihan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu.
“Selain itu, 96 ekor kambing, kerbau (35) dan biri-biri (10) juga telah dibenar disembelih sebagai ibadah korban di negeri ini sempena Aidiladha tahun ini,” katanya di sini semalam.
Azman berkata, bilangan ternakan korban pada tahun ini meningkat 179 ekor atau 2.87 peratus berbanding tahun lalu.
Di Kuala Lumpur, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sebanyak 72 ekor lembu disumbangkan kepada penduduk sekitar Lembah Pantai sempena Aidiladha bagi mengeratkan hubungan masyarakat setempat.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu juga berkata, sumbangan merangkumi pelbagai agihan kepada surau, masjid, persatuan penduduk serta rukun tetangga di kawasan berkenaan.
“Ya, sebanyak 72 ekor lembu diagih di seluruh Lembah Pantai. Sebanyak empat ekor lembu turut dihantar ke Setiawangsa termasuk dua daripadanya untuk Kementerian Pertahanan memandangkan kawasan itu ketika ini tidak mempunyai Ahli Parlimen.
“Diharap program seperti ini dapat mengeratkan silaturahim serta semangat perpaduan komuniti dan rakan-rakan dalam parti komponen Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Di Kajang, seekor unta yang dibawa untuk dikorbankan di Masjid Taman Harmoni mencuri perhatian ramai selepas tular di media sosial semalam.
Menerusi hantaran di Threads oleh @Am.asyrafmhd, yang berkongsi beberapa gambar memaparkan haiwan itu berada di lokasi penyembelihan.
Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi netizen memandangkan korban unta jarang dilihat dilakukan di negara ini berbanding lembu atau kambing.
“Hei semuanya, selamat Hari Raya Aidiladha. Tempat aku buat korban lembu… eh silap unta,” selorohnya dalam hantaran tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, ramai pengguna media sosial meluahkan keterujaan kerana berpeluang melihat unta secara dekat selain ada yang mengakui sudah lama tidak menikmati daging haiwan berkenaan.
No comments:
Post a Comment