Translate

Wednesday, February 24, 2021

Vaksin Covid-19 tiba di Terengganu esok

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seramai 15,000 rakyat Terengganu yang kebanyakannya merupakan petugas barisan hadapan akan mula menerima suntikan vaksin Covid-19 bermula lusa.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bekalan vaksin Covid-19 peringkat pertama itu dijangka tiba di negeri ini esok.

Ujarnya, beliau dimaklumkan menjadi individu pertama di negeri ini yang akan menerima suntikan vaksin keluaran Pfizer-BioNTech tersebut.

“Saya dimaklumkan seramai 15,000 orang (di Terengganu) akan menerima suntikan vaksin (Covid-19) bagi fasa pertama.

“Kebanyakan penerima merupakan barisan hadapan dan senarainya telah disusun oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Mingguan di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, kesemua pihak terlibat termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu akan menerima suntikan vaksin itu di lokaliti masing-masing.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, kesemua vaksin Covid-19 yang tiba tersebut akan ditempatkan di 20 pusat pemberian vaksin (PPV) ditentukan Kementerian Kesihatan di seluruh negeri itu.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan fasa pertama telah bermula semalam dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah menjadi penerima terawal suntikan vaksin itu di negara ini. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment