Translate

Saturday, February 20, 2021

Banjir di empat negeri mula surut

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN

 PETALING JAYA – Keadaan banjir di empat negeri menunjukkan perkembangan baik apabila bilangan mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun semalam.

 Terengganu yang mencatatkan bilangan mangsa banjir seramai 13,302 orang kelmarin mula menurun kepada 11,478 mangsa semalam, manakala Kelantan pula merekodkan 3,093 orang semalam berbanding 5,210 mangsa kelmarin. 

Jumlah mangsa banjir di Johor terus menurun setiap hari dengan 1,075 orang semalam berbanding 1,395 kelmarin, manakala Perak pula tinggal 93 orang semalam berbanding 144 orang kelmarin.

 Bagaimanapun, berdasarkan aplikasi Info Banjir JKM, keadaan banjir di Pahang tidak menunjukkan perubahan apabila 26,319 orang ditempatkan di PPS semalam berbanding 26,250 orang kelmarin.

 Di Jerantut, tiga buah helikopter digunakan untuk menghantar 1,160 bungkusan makanan di kawasan pedalaman Ulu Tembeling semalam.

 Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, beliau mengetuai misi menghantar bantuan menggunakan dua buah helikopter milik Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).  

 Keadaan di Pahang masih meruncing, 26,319 mangsa berada di PPS Banjir di empat negeri mula surut Kerugian akibat bah dijangka cecah jutaan ringgit.

 “Kita amat prihatin dengan nasib penduduk di kawasan Ulu Tembeling yang terputus bekalan makanan ekoran banjir yang melanda daerah ini. 

“Kita terputus hubungan dengan mereka kerana semua laluan tak boleh digunakan akibat banjir dan hanya pengangkutan udara boleh sampai ke sana,” katanya. 

Di Kemaman, pesisir pantai Terengganu diramal mengalami limpahan air laut berikutan fenomena Luruan Monsun selama tiga hari mulai hari ini. 

Ketua Sekteriat Pengurusan Bencana Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran itu yang membawa limpahan air laut terutamanya ketika fenomena air pasang besar. 

“Fasa Luruan Monsun tersebut diramal membawa angin kencang dan laut bergelora kategori tiga di perairan Terengganu. 

“Sepanjang tempoh ini, kita perlu berwaspada dengan kemungkinan berlaku lagi limpahan air laut terutama semasa air pasang besar,” katanya. 

Luruan Monsun ialah fenomena ledakan udara sejuk kuat disebabkan tekanan rendah dan pusaran siklon yang terbentuk berhampiran garisan Khatulistiwa. Ia menghasilkan angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan dan menyebabkan hujan lebat di Pantai Timur dan Pantai Barat Sarawak.

 Sementara itu, seorang wanita sarat hamil 37 minggu nekad mengharung banjir sedalam lebih satu meter untuk mengambil barang keperluan bayinya di Bandar Baru Bukit Mentok, Kemaman semalam.

 Begitupun, sebaik tiba di rumah yang masih digenangi banjir, Hafifa Shafira Hamedi Zaidi, 33, sedih kerana banyak barang keperluan bayi ketiganya yang dijadual lahir dua minggu lagi telah rosak.

 Dia dan ahli keluarganya termasuk dua anak kecilnya yang sedang meredah banjir kemudian diselamatkan pasukan bomba yang melakukan pemantauan di lokasi berkenaan.

No comments:

Post a Comment