KUALA TERENGGANU – Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang disyaki menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan secara haram pada semalam.
Bot nelayan asing itu ditahan ketika sedang leka menangkap hasil laut pada kedudukan 65 batu nautika dari Kuala Terengganu pada pukul 10 pagi.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, pemeriksaan terhadap tujuh nelayan Vietnam terbabit mendapati kesemua mereka tidak memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja sah.
“Bot nelayan itu juga tidak mempunyai permit untuk menangkap ikan di perairan negara daripada Jabatan Perikanan.
“Bot, peralatan menangkap ikan, hasil laut dan minyak diesel telah disita sebelum ditunda ke Jeti Maritim Terengganu di sini untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Muhammad Suffi berkata, kesemua tujuh nelayan asing berkenaan juga telah ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1963.
Beliau berkata, APMM tetap komited mengawal perairan negara daripada dicerobohi walaupun pada musim tengkujuh dan perayaan Tahun Baru Cina pada waktu ini. – K! ONLINE.
No comments:
Post a Comment