Translate

Tuesday, February 23, 2021

'Enam kali berlaku air pasang musim ini'

 

KUALA TERENGGANU -  Hampir 400 rumah di  sekitar Losong khususnya Kampung Losong Haji Mohd., Losong Haji Su dan Losong Panglima Perang di sini dilanda banjir kilat berikutan fenomena air pasang besar kelmarin.

Kejadian itu menyebabkan paras Sungai Terengganu berhampiran meningkat lalu melimpahi kawasan penempatan tersebut mulai pukul 8.30 malam kelmarin sebelum surut sepenuhnya pada kira-kira lapan jam kemudian.

Seorang penduduk,  Hazizi Muhammad, 34, berkata, pekarangan rumahnya dinaiki air setinggi lebih semeter berikutan fenomena air pasang berkenaan.

Menurut lelaki itu, rumahnya di Kampung Losong Haji Mohd. sudah enam kali dilimpahi air Sungai Terengganu berikutan fenomena tersebut sepanjang musim tengkujuh yang bermula bulan November lalu.

"Dalam kejadian air pasang besar baru-baru ini, seekor ular sawa bersaiz besar dihanyutkan air itu memasuki bahagian dapur rumah saya.

"Mujur anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) membantu menangkap ular sawa itu," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Hazizi berkata, dia lima beranak tidak lena tidur setiap kali fenomena air pasang besar kerana bimbang rumah dinaiki air selain ancaman haiwan berbisa.

Seorang lagi penduduk,  Wan Ahmad Syahmi Wam Mohd., 44, berkata, air Sungai Terengganu yang melimpahi perkampungan mereka pada malam kelmarin merupakan paling tinggi sepanjang musim tengkujuh ini.

No comments:

Post a Comment