Translate

Saturday, February 13, 2021

300,000 pekerja asing komoditi bakal terima vaksin Covid-19

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menjangkakan kira-kira 300,000 pekerja asing dalam sektor peladangan dan perkayuan di negara ini bakal menerima manfaat daripada program pemberian vaksin Covid-19 percuma kepada warganegara asing.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, sektor komoditi merupakan antara segmen ekonomi negara yang mempunyai paling ramai tenaga asing.

“Sebahagian besar daripada warga asing yang bekerja di sektor komoditi berada di segmen peladangan kelapa sawit iaitu lebih 250,000 orang.

“Komoditi memberi sumbangan besar kepada pendapatan negara dengan sektor kelapa sawit sahaja menjana RM72.8 bilion pada tahun 2020,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni beberapa penduduk kaum Cina sempena Tahun Baru Cina di Taman Wakaf Tembusu di sini hari ini.

Kosmo! kelmarin melaporkan Kerajaan bersetuju untuk memberikan vaksin secara percuma kepada warga asing yang menetap di negara ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, keputusan itu diambil selepas mengambil kira faktor rekod jumlah pesakit yang ramai menerusi kewujudan kluster dalam sektor peladangan, pembinaan dan pembuatan.-K! ONLINE

No comments:

Post a Comment