SETIU – Seorang ibu sanggup berkorban nyawa untuk menyelamatkan dua anaknya dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan rumah mereka di Kampung Seri Kenangan, Pelong dekat sini semalam.
Kejadian kira-kira pukul 5 petang itu mengakibatkan Zuraidah Azahari, 42, melecur pada kedua-dua kakinya.
Menurut Zuraidah, kejadian berlaku ketika dia berada di rumah berkenaan bersama dua anaknya iaitu Muhammad Faris Suffian, 11 bulan dan Nur Aufa Zahidah, 5, manakala suaminya, Yusman Heri, 50, dan lima anak lain berada di luar.
“Ketika hendak ke bilik air, saya terhidu bau asap sebelum ternampak api mula membakar sebahagian dinding kayu rumah saya.
“Saya cepat-cepat berlari mengangkat Muhammad Faris Suffian yang sedang tidur di buaian selain memimpin tangan Nur Aufa Zahidah bagi menyelamatkan diri,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Katanya, dia kemudian meminta bantuan jiran-jiran memaklumkan kebakaran berkenaan kepada suaminya yang ketika itu sedang berada di kebun terletak kira-kira lima kilometer dari rumah mereka.
Jelasnya, sepasukan bomba tiba tidak lama kemudian dan api kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira pukul 5.30 petang.
No comments:
Post a Comment