Translate

Wednesday, February 24, 2021

Lelaki maut ketika berkonvoi di LPT 2

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Keceriaan 20 penunggang motosikal berkonvoi untuk bercuti sempena cuti Tahun Baru berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut dalam kemalangan di KM 386.4,  Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran Ajil di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 7.30 pagi itu, mangsa, Jamaludin Zainalabidin, 38, dari Kampung Paya Pulai, Segamat, Johor meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, sewaktu kejadian, mangsa yang merupakan penoreh getah dan rakan-rakannya sedang berkonvoi bermotosikal.

Beliau berkata, mereka dikatakan dalam perjalanan ke Kuala Terengganu dari Segamat sempena cuti Tahun Baru.

"Sewaktu tiba di lokasi kejadian, motosikal Yamaha Y15ZR yang ditunggangi mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas hingga bergesel dengan besi pembahagi jalan.

"Impak daripada rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak dari motosikalnya," katanya di sini semalam.

Mohd. Adli berkata, siasatan awal mendapati  kemalangan maut itu berlaku disebabkan permukaan jalan licin disebabkan hujan lebat.

Ujar beliau, mayat Jamaludin telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk di bedah siasat.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments:

Post a Comment