KUALA TERENGGANU – Seorang pegawai kanan bomba dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM16,344 bagi penyediaan makanan empat tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Rasydan Ismail yang berpangkat Penguat Kuasa Kanan Bomba mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh dituduh menyerahkan dokumen palsu berupa invois berjumlah RM6,480 ke Bahagian Kewangan, Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Marang pada Jun 2018.
Dia dituduh memperdaya penolong akauntan bahagian terlibat kerana tuntutan berhubung pembekalan makanan dan minuman bagi peserta Bengkel Perancangan dan Persediaan Kawat Kecekapan yang berlangsung pada 6 hingga 8 Mei 2018 itu tidak pernah dilaksanakan.
Pertuduhan kedua pula, dia dituduh mengemukakan satu lagi tuntutan palsu RM9,864 kepada pegawai bahagian sama, Disember 2017.
Tertuduh dituduh mengemukakan invois palsu berhubung penyediaan makanan dan minuman untuk peserta Bengkel Pengurusan Operasi Banjir yang tidak wujud.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ali Shaharuzaman, manakala tertuduh pula diwakili peguam Nur Shahida Shaifuddin.
Hakim Jamaludin membenarkan Muhammad Rasydan dibebaskan dengan wang jaminan RM10,000 dan seorang penjamin. Tertuduh membayar wang jaminan itu.
Sebutan semula kes ditetapkan 2 Februari depan.
No comments:
Post a Comment