Translate

Tuesday, February 2, 2021

Beruang matahari pencuri madu masuk perangkap

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Seorang pengusaha madu kelulut kini sudah boleh tidur lena apabila seekor beruang matahari yang sering mencerobohi halaman rumahnya sejak pertengahan bulan lalu berjaya ditangkap di Kampung Pengkalan Berangan di sini hari ini.

Beruang matahari jantan seberat kira-kira 70 kilogram (kg) berkenaan memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada pukul 4 pagi.

Pengusaha madu kelulut tersebut, Ali Yusof, 61, berkata, dia ternampak kelibat haiwan liar itu berada di dalam perangkap tersebut selepas menyuluhnya dengan lampu picit.

“Saya memeriksa perangkap itu pada masa tersebut kerana kebiasaannya halaman rumah saya sering dicerobohi beruang tersebut untuk mengambil madu dari sarang-sarang lebah kelulut antara pukul 4 pagi hingga 6 pagi.

“Sebanyak 18 sarang lebah kelulut yang saya usahakan sudah dirosakkan beruang berkenaan sejak 17 Januari lalu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Pengkalan Berangan di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Dr. Abdul Malek Mohd. Yusof berkata, pihaknya memasang perangkap di pekarangan rumah Ali selepas menerima aduan daripada lelaki itu pada 28 Januari lalu.

“Beruang matahari tersebut akan dihantar semula ke habitat baharu di Taman Negara Terengganu, Hulu Terengganu pada masa terdekat,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment