Translate

Saturday, February 27, 2021

Pemandu lori edar dadah RM22 juta dihukum gantung

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Perbuatan tamak seorang pemandu lori mengedar dadah jenis methamphetamine yang bernilai keseluruhan RM22 juta pada empat tahun lalu membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman mati mandatori oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Ishak Ramli, 37, selepas pihak pembelaan tertuduh pertama itu gagal menyangkal kes prima facie yang telah dikemukakan pihak pendakwaan.

Beliau begitupun melepaskan dan membebaskan seorang tertuduh, Nur Muhammad Izzudin Nordin, 29, yang merupakan kelindan lori daripada pertuduhan sama.

Berdasarkan pertuduhan, Mohammad Ishak dan Nur Muhammad Izzudin masing-masing dituduh mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 203.9467 kilogram (kg).

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di dalam ruang muatan sebuah treler jenis Volvo yang diletakkan di tepi sebuah rumah di Kampung Rawai, Bukit Payong, Marang pada pukul 11 malam, 25 September 2017.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Akhbar 28 September 2017 melaporkan polis berjaya menahan enam lelaki dalam dua serbuan di Terengganu dan Pulau Pinang yang membawa kepada kejayaan merampas dadah jenis syabu dengan berat keseluruhan 309 kg.

Datuk Seri Mohmad Salleh yang ketika itu merupakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman memberitahu ia adalah rampasan dadah terbesar di negara ini pada tahun 2017. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment