Translate

Tuesday, February 16, 2021

Turap jalan guna getah beku

 KUALA NERUS – Sebahagian jaringan jalan raya di Iskandar Malaysia, Johor akan dibina dengan menggunakan teknologi Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan (CMA) dan teknologi turapan bitumen sekerap terubah suai (CMB). 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, projek pembinaan jalan raya menggunakan kaedah penurapan campuran getah beku dan bitumen itu telah dibincangkan antara kementeriannya dengan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) pada Jumaat lalu. 

“Jalan raya sepanjang 20 kilometer (km) di kawasan seliaan IRDA akan dibina dengan menggunakan teknologi CMA dan CMB.

 “Sebelum ini, teknologi sama telah diguna pakai pada 200 km jalan seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) di seluruh negara termasuk di Jalan Parlimen (Kuala Lumpur) sepanjang 5 km,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi beberapa rumah penduduk kaum Cina sempena Tahun Baru Cina di Taman Wakaf Tembusu di sini semalam. 

CMA adalah kaedah penurapan jalan menggunakan bitumen dan getah beku sebagai bahan campuran asfalt yang boleh mengurangkan keretakan dan aluran. 

Tambahnya, inisiatif IRDA mengunakan teknologi CMA dan CMB yang turut bakal memberi penjimatan terhadap kos penyelenggaraan jalan raya bagi jangka panjang diharap dapat diteladani pihak berkuasa tempatan lain di negara ini. 

“Perluasan pembinaan jalan raya menggunakan teknologi CMA dan CMB mampu meningkatkan lagi penggunaan getah beku yang merupakan antara teras utama komoditi di negara.

 “Ia sekali gus melonjakkan tahap pengeluaran getah beku tempatan sekali gus menaikkan pendapatan pekebun kecil," katanya.

No comments:

Post a Comment