Translate

Monday, February 22, 2021

Dalang sebenar didakwa minggu depan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Sebuah syarikat pembekal daging dijangka akan dihadapkan di mahkamah pada minggu depan atas dakwaan membungkus semula daging dengan logo pengesahan halal palsu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, syarikat yang beralamat di Johor itu merupakan dalang sebenar kegiatan pembungkusan semula daging dengan logo pengesahan halal palsu.

"Syarikat (Raihanah Cold Storage Sdn. Bhd.) yang didakwa di mahkamah semalam (kelmarin) atas dakwaan mengangkut bungkusan daging terbabit menggunakan lori milik mereka yang tidak memiliki persijilan halal.

"Syarikat pembekal bungkusan daging yang dipek semula dengan logo pengesahan halal palsu pula akan didakwa pada masa terdekat, mungkin minggu depan mengikut Pejabat Pendakwa Raya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Bank Makanan kepada mangsa banjir di Kampung Lubuk Periuk, Ajil di sini semalam.

Mengulas lanjut, Rosol memberitahu, pendakwaan ke atas dalang kes itu tidak dapat dilakukan segera kerana perlu menunggu keputusan ujian makmal.

Keputusan asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap sampel daging yang dirampas itu penting untuk melengkapkan kertas siasatan sebelum pendakwaan dibuat di mahkamah.

"Saya difahamkan keputusan ujian makmal telah dipercepatkan dua minggu berbanding sebulan kebiasaanya kerana isu ini telah menimbulkan kegusaran dalam masyarakat," katanya.

Siasatan awal mendapati syarikat itu telah membungkus semula daging import dengan menggunakan dua jenama paling popular di Malaysia untuk mendapat keuntungan lebih.

KPDNHEP turut mendapati syarikat yang menjadi dalang tersebut cuma membekalkan kira-kira satu peratus daripada permintaan daging beku import di pasaran domestik.

"Tidak adil untuk kita dedahkan jenama bungkusan daging yang ditiru terlalu awal sebelum pertuduhan kerana syarikat tersebut tidak bersalah dan tidak terlibat dalam penyelewengan ini," katanya.

Kosmo! semalam melaporkan sebuah syarikat pembekal daging, Raihanah Cold Storage dan dua pengarahnya dihadapkan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan menggunakan logo halal tanpa diperakui pihak berkuasa.

Pendakwaan dijalankan mengikut Perenggan 8(A) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200,000 bagi syarikat manakala denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua bagi individu.

No comments:

Post a Comment