Translate

Friday, February 26, 2021

Masalah bekalan air di Kuala Nerus, Marang selesai April ini

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Syarikat Air Terengganu Berhad (Satu) memberi jaminan masalah gangguan bekalan air yang menjejaskan lebih 139,000 pengguna di Kuala Nerus dan Marang yang kerap berlaku sejak dua minggu lalu bakal selesai menjelang Ramadan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Satu, Atemin Sulong berkata,masalah disebabkan ketidakupayaan syarikat utiliti itu untuk memenuhi permintaan penduduk yang makin meningkat itu akan diatasi selepas tiga loji rawatan air baharu ter babit siap sepenuhnya menjelang bulan April depan.

“Loji Air Bukit Berapit, Loji Air Losong dan Loji Air Pulau Bahagia yang dijangka membekalkan tambahan 184 juta meter padu air sehari disasar boleh beroperasi secara berperingkat mulai bulan depan.

“Loji baharu ini akan menambah kapasiti 282 juta meter padu air sehari yang telah dibekalkan oleh tiga loji rawatan air sedia ada sekali gus mampu memenuhi permintaan 500,000 penduduk terlibat sehingga tahun 2030,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau mengulas laporan Kosmo! Ahad semalam tentang rungutan kebanyakan penduduk bandar raya ini yang kecewa dengan masalah gangguan bekalan air yang kerap berlaku terutama sejak dua minggu lalu.

Lebih mengecewakan penduduk, air yang dibekalkan juga berwarna keruh dan ia pasti menjejaskan para peniaga di daerah berkenaan.

Atemin berkata, tiga loji itu yang telah mula dibina sejak tahun 2016, sepatutnya siap sepenuhnya pada bulan September lalu tetapi terpaksa ditunda ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada bulan Mac tahun lalu.

Dalam perkembangan sama, beliau mengakui loji rawatan air sedia ada beroperasi pada tahap pengeluaran maksimum sejak tahun 2012 dan hanya mampu menampung 75 peratus penggunaan setiap isi rumah tiga daerah terbabit.

“Loji rawatan air itu hanya mampu untuk menyalurkan air bersih kepada 400,000 orang sahaja tetapi kepadatan penduduk kini telah meningkat sehingga 500,000.

“Ia diburukkan lagi apabila lebih 30 peratus paip penyaluran air di bandar raya ini sudahuzur kerana ia sudah berusia hampir 65 tahun,” katanya.

Atemin menjelaskan, bagi penyelesaian jangka pendek sebelum tiga loji rawatan air siap, pihaknya akan menghantar bantuan bekalan air ke kawasan terjejas dengan menggunakan lori tangki.

No comments:

Post a Comment