Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU - Pasangan suami isteri yang bernikah dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menarik perhatian apabila menjamu ahli keluarganya di sebuah kedai kopi di Ladang di sini hari ini.
Siti Nur Zaihusna Abdul Aziz, 24, dan suaminya, Nor Azam Abdullah, 25, yang masih memakai busana pengantin berwarna putih juga memilih roti canai dan roti telur sebagai hidangan 'makan beradab' mereka.
Pegawai keselamatan sebuah syarikat kawalan keselamatan di Putrajaya berkata, dia dan suami Nor Azam yang ditemani 10 ahli keluarga mereka singgah ke kedai kopi berkenaan sejurus selesai upacara angkat nikah di Pejabat Agama Islam Kuala Terengganu di sini pada pukul 11 pagi.
"Kami hanya dibenarkan bernikah di pejabat agama malah suami yang berasal dari Olak Lempit, Kuala Langat, Selangor pula datang sendirian berikutan pelaksanaan PKPB sejak Rabu lalu.
"Oleh kerana kenduri kahwin terpaksa ditunda, kami dan ahli keluarga yang sudi mengiringi singgah ke kedai kopi ini untuk makan ringan mengikut prosedur operasi standard (SOP) normal baharu. Saya dan suami memilih untuk jamah roti telur sebagai simbolik makan beradab," katanya sambil ketawa ketika ditemui di sini hari ini.
Siti Nur Zaihusna berkata, dia dan suaminya yang merupakan pegawai operasi sebuah syarikat swasta di Putrajaya bersyukur selamat diijabkabul walaupun bukan dalam suasana yang diimpikan.
Ujarnya yang berasal dari Kampung Gong Tok Nasek di sini, mereka lega impian untuk mengikat ikatan percintaan yang telah terjalin sejak lebih setahun lalu tercapai walaupun penuh cabaran ekoran penularan Covid-19.
"Apa pun perkara wajib (akad nikah) telah selesai dengan selamat dan kami telah bersedia untuk melayari alam rumah tangga," katanya. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment