Translate

Wednesday, February 17, 2021

Mangsa banjir Pahang cecah 22,000

Oleh MOHD. AZLI ADLAN, MOHD. SHAHRULANOOR ISHAK, MOHAMAD FAIZAL HASHIM dan BAHRUDDIN HATTA 

KUANTAN – Enam daerah di Pahang merekodkan pertambahan mangsa banjir kepada angka melebihi 21,900 orang setakat pukul 5 petang tadi. 

Peningkatan tersebut turut menyaksikan tambahan sembilan lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) baharu yang dibuka menjadikan keseluruhan 259 setakat semalam. 

Sumber Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan, hampir 6,000 keluarga mangsa banjir di negeri ini kini ditempatkan di semua PPS. 

Menurut beliau, daerah Maran berterusan menunjukkan trend pertambahan mangsa yang kini melebihi 5,400 orang berbanding 4,500 orang pada sebelah pagi. 

Turut mengalami pertambahan bilangan mangsa ialah Temerloh (3,810), Kuantan (3,433), Jerantut (2,442), Pekan (568) dan Bera (518). 

Dalam pada itu, daerah Lipis dan Rompin masing-masing kekal dengan angka 2,551 dan 1,014 orang mangsa. Hanya Raub setakat ini menunjukkan sedikit penurunan bilangan mangsa daripada 2,391 kepada 2,182 orang. 

Di Johor, jumlah mangsa banjir mencatatkan penurunan mendadak apabila seramai 1,939 mangsa daripada 512 keluarga sudah kembali ke rumah masing-masing dalam tempoh 24 jam setakat 12 tengah hari semalam.

 Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, sehingga pukul 12 tengah hari semalam, mangsa banjir yang direkodkan berada di PPS adalah seramai 3,560 orang. 

“Mangsa itu melibatkan 902 keluarga yang berada di 31 PPS di enam daerah yang terjejas iaitu di Mersing, Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru, Batu Pahat dan Segamat. 

“Jumlah itu mencatatkan penurunan ketara berbanding 5,499 mangsa daripada 1,414 keluarga yang direkodkan pada 12 tengah hari semalam (kelmarin),” katanya. 

Di Kelantan, hujan lebat berterusan sejak kelmarin mengakibatkan lima daerah iaitu Jeli, Tanah Merah, Kuala Krai, Gua Musang dan Pasir Mas terjejas.

 Sehingga pukul 5 petang semalam, portal eBanjir kerajaan negeri merekodkan jumlah terkini mangsa banjir di lima jajahan itu meningkat kepada 2,255 orang daripada 539 keluarga ditempatkan di 44 PPS pusat pemindahan (PPS) yang mula dibuka sejak malam kelmarin. 

Jeli merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,060 orang diikuti Kuala Krai (745 orang), Tanah Merah (348 orang), Gua Musang (49 orang) dan Pasir Mas (38 orang).

 Di Terengganu, banjir gelombang kelima di Terengganu kembali buruk selepas mangsa banjir meningkat mendadak kepada 1,037 mangsa daripada 269 keluarga. 

Ketua Sekretariat Pengurusan Banjir Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, hujan lebat berterusan dan fenomena air pasang besar telah menyebabkan banjir tersebut merebak ke daerah Hulu Terengganu selain Kemaman dan Dungun. 

“Kemaman kekal daerah paling teruk terjejas dengan 730 mangsa daripada 175 keluarga telah dipindahkan ke sembilan PPS. “Seramai 247 penduduk dari 78 keluarga pula telah berpindah ke tiga PPS di Dungun,” katanya kepada Kosmo! semalam.



No comments:

Post a Comment