Translate

Saturday, February 13, 2021

Aktiviti seleweng diesel dipatahkan KPDNHEP

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Seorang lelaki yang sedang mengisi minyak diesel ke dalam tong dram dipercayai bagi tujuan penyeludupan tergamam apabila diserbu pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sebuah stesen minyak di sini semalam.

Serbuan pada pukul 1.40 tengah hari itu berjaya merampas 615 liter minyak diesel, tiga tong dram dan sebuah kenderaan pacuan empat roda bernilai keseluruhan RM72,047.65.

Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, sewaktu serbuan, suspek berusia 40-an sedang menuang minyak diesel ke dalam sebuah tong dram yang diletakkan di belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda.

“Pemeriksaan mendapati lelaki itu gagal mengemukakan dokumen kebenaran daripada Pengawal Bekalan (KPDNHEP) untuk membeli minyak diesel bersubsidi tersebut.

“Sebelum ini, pasukan penguat kuasa KPDNHEP telah melakukan risikan selama tiga hari setelah menerima aduan aktiviti penyelewengan minyak diesel di stesen minyak berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Saharuddin berkata, kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menjual barang kawalan berjadual berupa minyak diesel kepada orang tidak mempunyai kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan.

Ujar beliau, hukuman denda sehinga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan terhadap pesalah individu jika sabit kesalahan. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment