KUALA TERENGGANU - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan membenarkan solat fardu berjemaah dan solat Jumaat di semua masjid dan surau di Terengganu dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 berkuat kuasa sehingga 18 Februari depan.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, Datuk Osman Muda berkata, kebenaran itu diberikan setelah diperkenankan baginda dengan mendapat pandangan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.
"Jumlah jemaah mestilah mengikut kapasiti keluasan masjid dan surau dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu tidak memasang penyaman udara sepanjang solat berlangsungm membawa sejadah sendiri dan memakai pelitup muka.
"Selain itu, jawatankuasa masjid dan suray dikehendaki melakukan sanitasi ruang solat dan kawasan sekitar termasuk tandas dan ruang wuduk sebanyak tiga kali seminggu," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Katanya, jawatankuasa masjid dan surau juga bertanggungjawab sepenuhnya dalam mematuhi SOP kesihatan dan keselamatan yang telah ditetapkan pihak berkuasa.
"Sekiranya gagal, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu boleh mengambil tindakan dengan menutup masjid dan surau berkenaan.
"Bagaiamanapun, aktiviti kuliah harian masih tidak dibenarkan termasuk aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan yang lain," ujarnya.
Katanya, Sultan Mizan juga menyery rakyat jelata agar mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan supaya wabak Covid-19 ini dapat dikawal dengan sebaik mungkin.
No comments:
Post a Comment