Translate

Saturday, February 20, 2021

Pencuri madu masuk perangkap

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

MARANG - Seorang pengusaha madu kelulut kini sudah boleh tidur lena apabila seekor beruang matahari yang sering mencerobohi halaman rumahnya sejak pertengahan bulan lalu berjaya ditangkap di Kampung Pengkalan Berangan di sini semalam.

Haiwan liar seberat kira-kira 70 kilogram (kg) berkenaan memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada pukul 4 pagi.

Pengusaha madu kelulut, Ali Yusof, 61, berkata, dia ternampak kelibat haiwan liar itu berada di dalam perangkap tersebut selepas menyuluhnya dengan lampu picit.

"Saya memeriksa perangkap itu pada masa tersebut kerana kebiasaannya halaman rumah saya sering dicerobohi beruang tersebut untuk mengambil madu dari sarang-sarang lebah kelulut antara pukul 4 pagi hingga 6 pagi.

"Sebanyak 18 sarang lebah kelulut yang saya usahakan sudah dirosakkan beruang berkenaan sejak 17 Januari lalu," katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Pengkalan Berangan di sini semalam.

Ali berkata, kerosakan sarang lebah kelulut disebabkan serangan beruang matahari yang dipercayai berasal dari Hutan Sador berhampiran tersebut telah menyebabkan dia kerugian hampir RM15,000.

Dengan penangkapan beruang matahari itu, pesara guru yang mengusahakan madu kelulut sejak tiga tahun lalu kini lega.

"Sebelum ini tidur saya tidak lena setiap malam bukan sahaja bimbangkan sarang lebah kelulut malah keselamatan ahli keluarga," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Dr. Abdul Malek Mohd. Yusof berkata, pihaknya memasang perangkap di pekarangan rumah Ali selepas menerima aduan daripada lelaki itu pada 28 Januari lalu.

"Beruang matahari tersebut akan dihantar semula ke habitat baharu di Taman Negara Terengganu, Hulu Terengganu pada masa terdekat," katanya.

No comments:

Post a Comment