Translate

Thursday, February 25, 2021

Air pasang besar landa pesisir pantai

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Fenomena air pasang besar 

yang membawa ombak setinggi sehingga 2.7 meter melanda melanda kebanyakan kawasan pesisir pantai di seluruh Terengganu menjelang detik 12 tengah malam.

Ombak tinggi tersebut menyebabkan air laut melimpahi sebahagian jalan raya dan perkampungan berhampiran pantai di Besut, Kuala Nerus, Dungun dan Kemaman bermula pukul 9 malam kelmarin.

Ketua Sekteriat Pengurusan Bencana Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, antara yang terjejas teruk ialah Pantai Seberang Takir yang terletak berhampiran Jambatan Angkat Kuala Terengganu di sini.

"Limpahan air laut membawa banyak sisa sampah, batu kecil dan lumpur ke jalan raya sehingga kesesakan lalu lintas yang teruk.

"Begitupun, tiada musibah dalam kalangan pengguna dan kerosakan struktur jalan dilaporkan setakat ini," katanya kepada Kosmo!  di sini semalam.

Che Adam berkata, pihak polis telah mengambil tindakan pantas menutup sebahagian laluan masuk dan keluar ke Jambatan Angkat Kuala Terengganu sejurus kejadian tersebut.

Tambah beliau, fenomena ombak tinggi dan angin kencang sekuat 40 kilometer sejam di kawasan sekitar Pantai Seberang Takir berkenaan dijangka akan berlarutan sekurang-kurang sehingga hari ini.

"Sehubungan itu saya meminta agar orang ramai menghindari kawasan tersebut terutama pada waktu air pasang.

"Jika tiada urusan sebolehnya jangan melalui kawasan ini,"jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Che Adam berkata,  seramai 36 penduduk di Kampung Pantai, Kuala Besut terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara Balai Raya Kampung Pantai setelah perkampungan mereka ditenggelami limpahan air laut.

Tambah beliau, kawasan Mengabang Telipot di sini dan Pantai Teluk Lipat, Dungun juga terjejas dengan fenomena air pasang besar sehingga menyebabkan hakisan pantai.

"Angin kencang juga telah menyebabkan banyak pokok tumbang di kawasan terlibat," katanya.

No comments:

Post a Comment