Translate

Monday, February 15, 2021

Padah menyamar polis ketika samun

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seorang buruh mengaku bersalah atas dua pertuduhan merompak dan menyamar sebagai anggota polis di Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Tertuduh, Megat Mohd Irash Mohd. Zainuri , 41, membuat pengakuan bersalah tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Megat Mohd. Irash dituduh merompak seorang remaja perempuan berusia 17 tahun sebanyak RM50.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di tepi jalan berhampiran Kampung Rhu Rendang, Marang pada pukul 1 petang, 3 Februari lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 392 kanun Keseksaan  yang memperuntukkan penjara  maksimum 14  tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, Megat Mohd. Irash dituduh menyamar sebagai anggota polis di lokasi, masa dan tarikh sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara  sehingga dua tahun atau denda atau kedua dua sekali jika sabit kesalahan.

Hakim Nooriah menetapkan 28 Februari depan sebagai tarikh menjatuhkan hukuman dan membenarkan Megat Mohd. Irash dibebaskan dengan wang jaminan RM10,000  dan seorang penjamin.

Beliau juga menetapkan tertuduh perlu melapor diri di balai polis terdekat pada setiap awal bulan selain dilarang untuk mengganggu mangsa dan saksi-saksi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

No comments:

Post a Comment