KUALA TERENGGANU – Perniagaan Pasar Kedai Payang di sini yang baru hendak bangkit dengan kehadiran ramai pelanggan berikutan kebenaran rentas negeri sejak sebulan setengah lalu kembali jatuh merudum.
Pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak Rabu lalu telah menyebabkan kehadiran pelanggan yang mengunjungi pusat sehenti produk Terengganu tersebut merosot sehingga 70 peratus.
Tinjauan Kosmo! mendapati kebanyakan peniaga terme nung menunggu pelanggan, malah segelintir lebih rela menutup operasi seketika daripada menanggung lebih kerugian.
Seorang peniaga, Syed Yusof Abdul Hamid, 58, berkata, sudah tiga hari tiada sehelai pun kain batik, pelikat, samping dan batik lukisnya dapat dijual.
“Jualan saya sejak Khamis lalu kosong. Saya menunggu dari pagi hingga petang, tiada seorang pun datang membeli,” katanya.
Tambahnya, lebih memeritkan, dia dan rakan peniaga lain di Pasar Kedai Payang, kebanyakan mereka sudah mengeluarkan modal tambahan untuk menambah stok sempena cuti Tahun Baru Cina tidak lama lagi.
Menurut Syed Yusof, mereka pada mulanya berkeyakinan tinggi bakal memperolehi jualan tinggi pada musim perayaan tersebut apatah lagi Pasar Kedai Payang baru melaksanakan sistem pembayaran secara elektronik (epembayaran) sepenuhnya pada dua minggu lalu.
Seorang lagi peniaga, Shamsinar Aman’lubillah, 35, pula memberitahu, dia terpaksa menggunakan media sosial untuk mempromosi produk keropoknya ekoran kekurangan pelanggan di premisnya.
“Kalau hendak harapkan jualan di kedai memang tiada, apatah lagi kebanyakan pengunjung Pasar Kedai Payang sebelum ini terdiri daripada pelancong,” katanya.
No comments:
Post a Comment